اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM #253: WANITA LEBIH MUDAH TERDEDAH HISTERIA?

histeria

Soalan

Assalamualaikum wrt. Saya ingin mendapatkan kepastian SS Mufti, benarkah wanita merupakan golongan yang paling kuat terdedah kepada serangan histeria? Jika benar, bagaimana mahu mengatasi masalah ini?

Jawapan

Tidak dapat dinafikan, antara penyakit spiritual yang sering melanda kaum wanita adalah serangan histeria. Terdapat teori yang mengatakan punca serangan histeria adalah disebabkan oleh keadaan jiwa individu yang berada dalam keadaan tidak tenteram atau terganggu. Namun begitu, antara punca yang paling popular ia berlaku terutamanya dalam kalangan wanita adalah disebabkan rasukan syaitan.

Menurut Ibn al-Qayyim dalam kitab at-Tibb al-Nabawi, sakit seperti histeria ini dinamakan al-sar’ (rasukan), yang berlaku akibat rasukan roh-roh jahat yang menyerang roh manusia yang boleh memberi kesan buruk kepada fizikal mangsanya. Rasukan roh-roh jahat ini berupa jin dan syaitan yang memasuki aliran darah manusia lalu menyesatkannya melalui perlakuan di luar kawalan akal dan rohani. (Lihat Al-Tibb al-Nabawi, hlm. 51)

Gejala kemasukan jin yang berupa roh-roh jahat ke dalam badan manusia ini turut dihuraikan oleh Syeikh Wahid Abdussalam Bali yang menyebut al-sar’ (الصرع), suatu gejala kekurangan fungsi yang menimpa akal manusia sehingga tidak dapat menyedari apa yang diucapkannya dan tidak dapat menghubungkan antara apa yang sudah diucapkan dengan apa yang akan diucapkannya. Orang yang terkena penyakit ini mengalami kehilangan ingatan akibat dari kecelaruan yang berlaku pada saraf otak. (Lihat ‘Alam al-Jin fi Dhaw’ al-Kitab wa al-Sunnah, hlm. 252)

Disebabkan itu, histeria dari pandangan Islam turut dilihat sebagai gejala kerasukan iaitu kemasukan roh-roh jahat dari kalangan jin dan syaitan yang memasuki badan manusia sehingga mengganggu kewarasan akal dan jiwa. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang menjelaskan perihal jin dan syaitan berupaya memasuki tubuh manusia lalu merosakan hati insan melalui hadis Rasulullah:

إِنَّ الشَّيْطَانَ يَجْرِي مِنَ الإِنْسَانِ مَجْرَى الدَّمِ

Maksudnya: “Sesungguhnya syaitan berjalan pada anak manusia seperti jalannya darah pada peredarannya”.

Riwayat al-Bukhari (2038)

Menurut para ulama, gangguan spiritual kepada kaum wanita bukanlah suatu perkara baru. Peristiwa gangguan spiritual terhadap wanita pernah berlaku ketika hayat Rasulullah SAW. Antaranya seperti berikut:

قَالَ عَطَاءُ بْنُ أَبِي رَبَاحٍ: قَالَ لِي ابْنُ عَبَّاسٍ: أَلاَ أُرِيكَ امْرَأَةً مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ؟ قُلْتُ: بَلَى، قَالَ: هَذِهِ المَرْأَةُ السَّوْدَاءُ، أَتَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ: إِنِّي أُصْرَعُ، وَإِنِّي أَتَكَشَّفُ، فَادْعُ اللَّهَ لِي، قَالَ: «إِنْ شِئْتِ صَبَرْتِ وَلَكِ الجَنَّةُ، وَإِنْ شِئْتِ دَعَوْتُ اللَّهَ أَنْ يُعَافِيَكِ» فَقَالَتْ: أَصْبِرُ، فَقَالَتْ: إِنِّي أَتَكَشَّفُ، فَادْعُ اللَّهَ لِي أَنْ لاَ أَتَكَشَّفَ، فَدَعَا لَهَا

Atha’ bin Abi Rabah berkata: Ibn Abbas r.a. telah berkata kepadaku: “Adakah kamu mahu sekiranya aku tunjukkan kepadamu seorang wanita yang menjadi penghuni syurga?” Atha’ menjawab: “Sudah tentu aku ingin”. Ibn Abbas lalu berkata: “Wanita kulit hitam itu telah datang kepada Nabi SAW dan berkata: “Sesungguhnya aku sering kerasukan dan (ketika aku dirasuk), auratku sering terdedah. Doakanlah kepada Allah agar aku sembuh. Nabi SAW bersabda: Sekiranya kamu mahu, kamu bersabarlah dan kamu akan mendapat syurga. Dan jika kamu mahu, aku akan berdoa kepada Allah agar Dia menyembuhkanmu. Lalu wanita itu berkata: Aku (pilih untuk) bersabar. Wanita itu berkata lagi: Sesungguhnya auratku sering terbuka (ketika aku dirasuk), maka berdoalah kepada Allah agar auratku tidak terdedah. Maka Nabi berdoa untuknya”.

Riwayat al-Bukhari (5652)

Berdasarkan pemerhatian, antara punca mengapa wanita lebih mudah mendapat gangguan spiritual dapat dinyatakan seperti berikut:

  1. Lemah semangat. Dalam menghadapi gangguan spiritual yang disebabkan oleh jin dan syaitan, kaum wanita didapati lebih mudah menjadi lemah semangat. Ia berdasarkan jiwa mereka yang halus dan lembut berbanding kaum lelaki yang diciptakan dengan jiwa yang lebih kasar dan keras. Apa lagi jika seseorang wanita itu sememangnya sedang dilanda dengan masalah tekanan perasaan yang membawa kepada depresi emosi dan mental. Ini sudah tentu memudahkan lagi kemungkinan untuk ia mengalami gangguan spiritual.
  1. Keuzuran syar’ie. Dalam keadaan uzur syar’ie seperti didatangi haid dan nifas, kaum wanita dilarang untuk mendirikan solat, berpuasa, membaca al-Quran dan pelbagai lagi ibadah khusus yang lain. Hal ini sudah tentu akan menyebabkan mereka sentiasa terdedah kepada unsur-unsur gangguan spiritual akibat daripada jin dan syaitan kerana keadaan rohani yang lemah.
  1. Jin jatuh cinta kepada wanita tersebut. Dalam sesetengah keadaan, berlaku kes jin mencintai seseorang wanita. Apabila ia mencintai wanita tersebut, maka ia akan berusaha untuk menguasai diri wanita tersebut agar sentiasa mendampinginya.
  1. Penyakit ‘ain. Penyakit ‘ain boleh berlaku kepada sesiapa jua terutama kepada wanita cantik yang gemar mempamerkan kecantikan dirinya kepada orang lain. Asalkan seseorang itu memiliki sesuatu yang menyebabkan orang lain merasa dengki, maka penyakit ‘ain boleh berlaku.
  1. Mengamalkan perkara-perkara syirik, khurafat dan tahyul. Perkara-perkara syirik, khurafat dan tahyul itu mungkin berlaku menerusi tangkal dan azimat yang dibekalkan bomoh, jampi serapah yang diamalkan atau ritual tertentu yang diajarkan. Hal ini menjadikan mangsa semakin jauh kebergantungannya dengan Allah SWT. Malah dalam sesetengah kes, bomoh itu sendiri yang menjadi penyebab kepada musibah yang menimpa mangsa seperti histeria, kerasukan dan lain-lain. Ia bagi memastikan mangsa sentiasa terikat untuk mendapatkan rawatan daripadanya.

Justeru, bagi memelihara diri kita daripada sebarang gangguan spiritual khususnya yang datang daripada jin dan syaitan, maka sebaik-baik cara adalah kembali kepada apa yang diajarkan di dalam agama. Berikut dibentangkan sebahagiannya.

  1. Ikhlas dalam beragama. Apabila iblis berjanji kepada Allah untuk menyesat, mengkafir, memusyrik dan menjadikan umat Islam ahli neraka, iblis dengan sendirinya mengakui bahawa ia tidak dapat melaksanakan janji tersebut kepada satu golongan orang, iaitu mereka yang ikhlas sebagaimana dinyatakan Allah SWT dalam surah al-Hijr ayat 36-40:

قَالَ رَبِّ فَأَنْظِرْنِي إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ (36) قَالَ فَإِنَّكَ مِنَ الْمُنْظَرِينَ (37) إِلَى يَوْمِ الْوَقْتِ الْمَعْلُومِ (38) قَالَ رَبِّ بِمَا أَغْوَيْتَنِي لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِي الْأَرْضِ وَلَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ (39) إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِينَ

Maksudnya: “(Berkata iblis: Ya Rabbku! Kalau begitu maka beri tangguhlah kepadaku sampai hari dibangkitkannya manusia. (Allah berfirman, "Kalau begitu, maka sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang diberi tangguh). (sampai hari suatu waktu yang telah ditentukan.") yaitu sampai tiupan sangkakala yang pertama. (Iblis berkata, "Ya Rabbku! Oleh sebab Engkau telah memutuskan bahwa aku sesat) artinya disebabkan Engkau telah menetapkan aku sesat; huruf ba pada lafal bimaa adalah bermakna qasam, sedangkan jawabnya ialah (pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik di muka bumi ini) terhadap perbuatan-perbuatan maksiat (dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya). (Kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis di antara mereka") yakni orang-orang yang beriman.”

  1. Takut kepada Allah. Jika kita takut kepada Allah SWT, maka syaitan akan takut daripada mengganggu kita. Sebaliknya jika kita tidak takut kepada Allah, maka syaitan juga tidak akan takut daripada mengganggu kita.

Sebagai contoh, cara sebenar untuk memagar rumah ialah membaca Basmalah setiap kali memasuki rumah dan ketika hendak menutup pintu. Kemudian hendaklah para penghuni rumah beristiqamah dengan amalan-amalan yang menepati al-Qur’an dan al-Sunnah seperti menunaikan solat berjamaah, membaca al-Qur’an khasnya surah al Baqarah dan melayani ahli keluarga dengan baik. Pada waktu yang sama jangan dilakukan perkara-perkara mungkar di dalam rumah. Cara ini akan menakutkan syaitan dari memasuki rumah dan mengganggu para penghuninya.

 

  1. Jangan mengikuti jejak-jejak syaitan. Antaranya seperti berakhlak buruk, bertemu bomoh bagi meminta ramalan, mencari barang hilang, meminta jampi-jampian dan menjatuhkan sihir kepada orang lain serta gemar membazirkan masa di pasar, pusat membeli belah dan seumpamanya tanpa tujuan.
  1. Sentiasa berjemaah. Jamaah yang dimaksudkan bukanlah sesuatu parti, persatuan, pertubuhan atau organisasi, tetapi sentiasa melakukan sesuatu dengan ditemani ahli keluarga atau rakan taulan. Kami juga maksudkan sentiasa solat berjemaah dan juga menghadiri majlis-majlis ilmu.
  1. Sentiasa berzikir. Sekurang-kurangnya terdapat tiga jenis zikir untuk kita melawan gangguan syaitan, iaitu:

PertamaBasmalah (بسملة)

Apabila kita hendak memulakan apa jua urusan, mulailah dengan menyebut “بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ”. Sebelum ini telah dikemukakan banyak hadis-hadis yang mengajar kita membaca Basmalah (بسملة) apabila mula melakukan sesuatu perkara. Walaubagaimana pun membaca Basmalah (بسملة) tidak terhad kepada urusan-urusan memasuki rumah dan mengunci pintu sahaja. Oleh kerana syaitan turut serta dalam apa jua urusan yang kita buat, maka dengan itu kita mendahului semuanya dengan Basmalah (بسملة). Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الشَّيْطَانَ يَحْضُرُ أَحَدَكُمْ عِنْدَ كُلِّ شَيْءٍ مِنْ شَأْنِهِ...

Maksudnya: “Sesungguhnya syaitan hadir di sisi seseorang kalian pada setiap sesuatu yang kalian lakukan…”.

Riwayat Muslim (135)

KeduaIsti‘azah.

 

Isti‘azah ialah menyebut “أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ”yang bermaksud “Aku berlindung kepada Allah dari syaitan yang direjam”. Apabila saja kita merasai dihasut, dibisik atau diganggu oleh syaitan, maka sebutlah Isti‘azah. Allah SWT berfirman dalam surah al-A’raf ayat 200-201:

وَإِمَّا يَنْزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ إِنَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ (200) إِنَّ الَّذِينَ اتَّقَوْا إِذَا مَسَّهُمْ طَائِفٌ مِنَ الشَّيْطَانِ تَذَكَّرُوا فَإِذَا هُمْ مُبْصِرُونَ (201)

Maksudnya: “Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari syaitan, mereka ingat (kepada Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar)”.

Ketiga: Ayat dan surah tertentu dari al-Qur’an.

 

Basmalah dibaca sebelum sesuatu urusan, Isti‘azah dibaca apabila merasai gangguan syaitan ketika melakukan sesuatu urusan, maka zikir yang ketiga ialah melazimkan diri membaca beberapa ayat dan surah yang tertentu. Ayat dan surah yang dimaksudkan ialah ayat al-Kursi, surah al-Baqarah dan surah al-Mu‘awwizatain (surah al-Falaq dan surah al-Nas).

Demikian tiga jenis zikir untuk melawan syaitan. Sebutlah ia, bacalah ia dengan penuh keyakinan dan penghayatan. Jangan dengan keraguan dan kelalaian. Ingin ditambah bahawa tiga jenis zikir di atas adalah umum untuk semua jenis gangguan syaitan dalam semua suasana. Sebagai tambahan terdapat beberapa zikir yang khusus diajar oleh Rasulullah SAW untuk kes-kes tertentu seperti memasuki tandas, keluar rumah untuk sesuatu perjalanan, apabila memasuki rumah yang kosong dan sebagainya.

Ketahuilah semua ini adalah termasuk dalam kategori ujian bagi orang yang beriman. Sebagaimana kata Abu al-Barra’ al-Ma’ani, “Bahawa rasukan jin terhadap manusia adalah termasuk dalam jenis ujian daripada Allah SWT, Allah SWT dengan kebijaksanaan-Nya menguji hamba-hamba-Nya dengan pelbagai jenis ujian dan rasukan adalah antaranya. Firman Allah: Dan kami menguji kamu dengan kejahatan dan kebaikan sebagai satu ujian, dan kepada kami kamu akan kembali. (Surah al-Anbiya’ ayat 35), maka kepada sesiapa yang diuji dengan demikian itu hendaklah ia bersabar dan mengharapkan ganjaran serta habuan daripada Allah di samping berusaha untuk mengubatinya dengan sebab-sebab yang disyariatkan…”. (Lihat Fath al-Haqq al-Mubin: 79)

Justeru, dalam mengharungi segala ujian yang diciptakan oleh Allah SWT ini, tiada jalan lain bagi seseorang wanita itu kecuali kembali mengikuti manhaj yang telah digariskan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya SAW. Melakukan segala yang diperintah oleh-Nya dan meninggalkan segala yang dilarang sehingga mencapai tahap kategori yang disebutkan oleh Nabi SAW sebagai wanita yang solehah. Sabda Rasulullah SAW,

الدُّنْيَا مَتَاعٌ، وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ

Maksudnya: “Sesungguhnya dunia ini nikmat, sebaik-baik nikmat dunia adalah wanita yang solehah”.

Riwayat Muslim (64)

Kami berdoa kepada Allah, semoga Allah selamatkan kita dari sebarang gangguan jin serta makhluk-Nya. Saya tutupi dengan doa yang ma’thur:

وَقُل رَّبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنْ هَمَزَاتِ الشَّيَاطِينِ ﴿٩٧﴾ وَأَعُوذُ بِكَ رَبِّ أَن يَحْضُرُونِ

Maksudnya: Dan katakanlah: "Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari hasutan Syaitan-syaitan, "Dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku".

(Surah al-Mukminun: 97-98)