Soalan:
Apakah hukum melakukan umrah berulang kali dalam satu perjalanan?
Jawapan:
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Dalam isu umrah berulang-kali dalam satu musim haji / sekali perjalanan ini, para ulama’ telah berbeza pandangan.
Pendapat Pertama: Sebahagian ulama menganggap umrah berulang-kali adalah bercanggah dengan amalan Nabi Muhammad SAW yang melakukan umrah empat kali dalam empat waktu berbeza:
اعْتَمَرَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَرْبَعَ عُمَرٍ عُمْرَةَ الْحُدَيْبِيَةِ وَالثَّانِيَةَ حِينَ تَوَاطَئُوا عَلَى عُمْرَةٍ مِنْ قَابِلٍ وَالثَّالِثَةَ مِنَ الْجِعْرَانَةِ وَالرَّابِعَةَ الَّتِي قَرَنَ مَعَ حَجَّتِهِ
Maksudnya: Rasulullah SAW melakukan umrah sebanyak empat kali; umrah pertama ialah umrah Hudaibiyah; umrah kedua ialah umrah yang dipersetujui bersama sahabat untuk menangguhkan umrah pada tahun berikutnya; umrah ketiga umrah daripada al-Ji’ranah dan yang keempat ialah umrah yang digabungkan dengan haji.
Sunan Abi Daud (1993)
Diriwayatkan daripada Thawus yang berkata:
الذين يعتمرون من التنعيم لا أدري يؤجرون أو يعذبون " ، قيل له : لم يعذبون ؟ قال : لأنه ترك الطواف بالبيت ، ويخرج إلى أربعة أميال ، ويخرج ، إلى أن يجيء من أربعة أميال قد طاف مائتي طواف ، وكلما طاف بالبيت كان أفضل من أن يمشي في غير شيء
Maksudnya: Mereka yang melakukan umrah daripada Tan’im, aku tidak tahu samada mereka diberi pahala atau akan diazab (mendapat dosa). Ditanya kepadanya: “Mengapa mereka diazab?” Beliau menjawab: “Kerana dia meninggalkan tawaf di sekeliling Kaabah, dan keluar sejauh 4 batu, dan kembali semula. Jarak dia berjalan itu sebenarnya menyamai jumlah tawaf sebanyak dua ratus pusingan. Setiap kali mereka tawaf sekeliling Kaabah, itu adalah lebih baik berbanding berjalan untuk urusan lain.
Perbuatan ini dimakruhkan menurut kesepakatan para salafussoleh dan tidak pernah dilakukan oleh mereka. Meskipun para fuqaha’ mazhab Syafi’e dan Hanbali mensunatkannya, namun menurut Imam Ibn Taimiyyah, hujah mereka tidak kuat dan hanya bersandarkan qiyas umum, iaitu atas dasar arahan supaya kita memperbanyakkan ibadat dan kelebihan-kelebihan umrah. (Rujuk Majmu’ al-Fatawa, 26/270)
Imam Ibnu Qudamah pula menyatakan kemakruhan perbuatan demikian menurut zahir pandangan ulama’ salaf, dimana beliau menukilkan kata-kata Imam Ahmad yang menyebut apabila kita hendak mengerjakan umrah, hendaklah mencukur atau menggunting rambut, dan ia tidak mungkin terjadi melainkan dalam tempoh masa sepuluh hari. (Rujuk Al-Mughni, 3/220)
Pendapat Kedua: Manakala sebahagian ulama’ yang lain pula tidak menganggap umrah berulang kali dalam satu musim sebagai satu masalah. Menurut Imam al-Nawawi pula, tidak dimakruhkan melakukan umrah dua kali, tiga atau lebih dalam tempoh setahun atau sehari, bahkan disunatkan memperbanyakkan umrah disisi ulama Syafi’iyyah. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 7/147-148)
Sementara Ibn ‘Abd al-Barr pula menyatakan bahawa jumhur ulama berpandangan harus hukumnya memperbanyakkan umrah dalam masa sehari semalam, kerana ianya amalan kebajikan. Tidak wajib menghalangnya melainkan dengan dalil, dan tiada dalil yang menghalang memperbanyakkan umrah. (Rujuk Al-Istizkar, 4/113)
Imam Ibn Qudamah menyebut bahawa menurut mazhab Syafi’e dan Hanbali, tiada halangan untuk melakukan umrah berulang kali dalam tempoh setahun. (Rujuk Al-Mughni, 3/220)
Mereka juga berdalilkan melalui keumuman hadith kelebihan umrah, iaitu hadith riwayat Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا وَالْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلاَّ الْجَنَّةُ
Maksudnya: Tempoh waktu antara satu umrah dengan umrah yang seterusnya merupakan penghapus dosa, dan haji yang mabrur akan menatijahkan balasan syurga.
Riwayat al-Bukhari (1773) dan Muslim (1349)
Tarjih
Kami mentarjihkan pandangan yang mengharuskan umrah berulang kali dalam satu perjalanan atau dalam satu musim haji. Hal ini bersandarkan kepada perintah umum untuk memperbanyakkan amal ibadah, dan inilah yang dipegang oleh para ulama’ mazhab Syafi’e dan sebahagian ulama mazhab Hanbali. Ini juga kerana jemaah yang datang dari jauh seperti jemaah Malaysia kadang-kadang peluang mereka untuk melakukan ziarah kali kedua ke Mekah adalah sukar. Justeru, masa yang berbaki ketika berada di Mekah bolehlah dilakukan umrah dengan syarat tidak membenakan serta mengganggu amalan ibadat haji yang hampir tiba.
Semoga Allah kurniakan kepada kita kefahaman yang baik dalam ibadat umarah dan juga haji akhirnya meraih haji dan umrah yang mabrur dan mabrurah. Amin.