اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM #261: MENGGANTIKAN IBADAT SOLAT DAN PUASA BAGI ORANG YANG MATI

Screen Shot 2018 10 26 at 11.04.52 AM

 

Soalan

Ibu saya meninggal dunia dan tidak memberitahu berapa bilangan solat dan puasa yang ditinggalkan. Bagaimanakah cara saya mengqada’ ibadat tersebut bagi ibu saya?

 

Jawapan

Bismillah, Alhamdulillah segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam, selawat serta salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang meninggalkan kita di atas agama yang suci ini, seterusnya buat ahli keluarga baginda, isteri-isteri baginda, serta mereka yang berpegang dengan ajaran baginda hingga hari akhirat.

Kematian adalah suatu perkara yang pasti berlaku. Maka, Islam mengajarkan kita tiga perkara utama apabila ada kaum kerabat kita yang meninggal dunia:

  • Menguruskan urusan pengebumian jenazah.
  • Membayar hutang-hutang si mati, samada hutang dengan Allah seperti puasa, haji yang belum terlaksana, nazar yang belum dilaksana dan sebagainya. Selain itu, hutang dengan manusia seperti hutang duit atau mengembalikan amanah yang diletakkan di atas tanggungjawab si mati.  
  • Menyempurnakan wasiat dengan mengambil satu pertiga daripada hartanya.
  • Membahagikan harta pusaka.

Oleh itu, berdasarkan di atas, kami akan memperincikan daripada kewajipan  kedua yang disebutkan di atas bagi menjawab persoalan yang diajukan.

Permasalahan ini memerlukan pemahaman dalam beberapa perkara. Antaranya:

 

Yang pertama, solat adalah suatu ibadat yang disyariatkan kepada setiap individu, dan tidak dibolehkan untuk dilakukan oleh orang lain. Begitulah juga halnya selepas seseorang itu meninggal, tidak boleh untuk mengantikan solat yang ditinggalkan. Inilah pendapat jumhur ulama terhadap masalah ini. Rujuk Hasyiah Rad al-Mukhtar (2/79), I’anah al-Thalibin (1/33)

Firman Allah SWT:

وَأَن لَّيْسَ لِلْإِنسَانِ إِلَّا مَا سَعَىٰ﴿٣٩﴾ وَأَنَّ سَعْيَهُ سَوْفَ يُرَىٰ ﴿٤٠ ثُمَّ يُجْزَاهُ الْجَزَاءَ الْأَوْفَىٰ

Maksudnya: "Bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya. Dan bahawa sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan (kepadanya pada hari akhirat kelak). Kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna".

(Surah al-Najm: 39-41)

Imam al-Qurtubi dalam menafsirkan ayat ini menyebut bahawa di sisi ahli ta’wil ayat ini adalah muhkam, tidak boleh seseorang melakukan amalan untuk yang orang lain, dan mereka berijma’ bahawa tidak boleh seseorang melakukan solat untuk orang lain. Lihat al-Jami’ li Ahkam Al-Quran (17/114)

 

Yang kedua, puasa yang ditinggalkan oleh si mati mempunyai dua keadaan sepertimana disebut dalam kitab Mughni al-Muhtaj (1/438) dan Bidayah al-Mujtahid (1/290):

  • Keadaan yang pertama sekiranya si mati tidak sempat menggantikan puasa, sama ada kerana kesempitan waktu, uzur disebabkan sakit atau bermusafir atau hal lain yang menghalang dari berpuasa, maka disisi ulama’ tidak ada sebarang tanggungjawab kepadanya atau warisnya untuk menggantikan puasa.
  • Sekiranya si mati meninggalkan puasa dan tidak menggantikan ketika kesempatan yang ada dalam hidupnya, maka dalam hal ini para fuqaha’ mazhab Syafie meletakkan dua keadaan: i) Boleh untuk warisnya berpuasa untuk si mati hal ini berdasarkan hadis yang diriwatkan oleh Aishah R.anha, bahawa Nabi SAW bersabda:

 ‏ مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ

Maksudnya: Barangsiapa yang meninggal dan mempunyai puasa (yang tertunggak), maka disempurnakan oleh warisnya.

Riwayat Bukhari (1952) Muslim (1147)

         Namun bukanlah suatu kewajipan ke atas waris-waris si mati untuk menggantikan puasa si mati. Lihat al-Majmu’ (6/ 418).          ii) Sekiranya waris-waris tidak melakukan puasa ganti maka perlu diambil dari harta pusaka si mati dan dibayar untuk satu hari, satu                 cupak beras mengikut hari yang ditinggalkan oleh si mati. Hal ini wajib dilakukan berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ أُمِّي مَاتَتْ وَعَلَيْهَا صَوْمُ شَهْرٍ أَفَأَقْضِيهِ عَنْهَا فَقَالَ ‏"‏ لَوْ كَانَ عَلَى أُمِّكَ دَيْنٌ أَكُنْتَ قَاضِيَهُ عَنْهَا ‏"‏ ‏.‏ قَالَ نَعَمْ ‏.‏ قَالَ ‏"‏ فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى ‏"‏

Maksudnya: Bahawa seorang lelaki datang kepada Nabi SAW, lalu berkata: Wahai Rasulullah, Sesungguhnya ibuku telah meninggal, dan dia mempunyai puasa (yang belum diganti) selama sebulan, apakah aku perlu tunaikan untuknya? Lalu baginda berkata: “sekiranya ibumu mempunyai hutang, apa kau akan bayar hutang untuknya?” Lelaki itu berkata: “Ya”. Maka berkata Nabi SAW: “Hutang kepada Allah lebih berhak untuk ditunaikan”

Riwayat Muslim (1148)

Yang ketiga, cara pengiraan bagi si mati yang tidak memberitahu bilangan puasa yang ditinggalkannya.

  • Sekiranya si mati itu adalah orang yang sentiasa berpuasa, maka tidak perlu mengandaikan bahawa dia pernah meninggalkan puasa dalam hidupnya. Ini berdasarkan kaedah fiqh:

 الأَصْلُ بَرَاءَةُ الذِّمَّةِ

Maksudnya: Asal (bagi suatu perkara) adalah bebas dari tanggungan.

  • Sekiranya si mati adalah orang yang sentiasa melakukan puasa pada bulan Ramadhan, namun ketika sakit tidak dapat melakukannya, maka dikira hari sakitnya sehingga mati sekiranya mati pada bulan Ramadhan.
  • Sekiranya si mati tidak pernah berpuasa sepanjang hidupnya, maka dikira bilangan hari puasanya daripada umur baligh sehinggalah sebelum mati.

 

Kesimpulan

Kesimpulan daripada apa yang kami nyatakan di atas:

  • Apabila berlaku sesuatu kematian hendaklah disegerakan tiga perkara yang dinyatakan di atas.
  • Solat tidak boleh digantikan atau dilakukan oleh orang lain samada ketika hidup atau mati.
  • Tidak perlu mengandaikan si mati mempunyai puasa yang tertinggal sekiranya secara zahir, dilihat dalam hidupnya cukup puasa dan tiada meninggalkan wasiat bahawa dia ada meninggalkan puasa.
  • Puasa boleh diganti oleh ahli waris yang terdekat, namun sekiranya tidak diganti oleh waris si mati, maka Wajib diambil dari harta pusaka si mati, untuk membayar Fidyah tersebut.

 

Semoga Allah SWT mengurniakan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala suruhan-Nya. Amin.