Soalan:
Apakah hukum makan dan minum dengan tangan kiri? Contohnya makan dengan menggunakan sudu, mestikah saya menyuap menggunakan tangan kanan?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.
Nabi SAW seringkali mengutamakan dan mendahulukan bahagian kanan untuk sebahagian besar urusan seharian yang melibatkan kebaikan. Daripada ‘Aisyah R.Anha:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُعْجِبُهُ التَّيَمُّنُ فِي تَنَعُّلِهِ وَتَرَجُّلِهِ وَطُهُورِهِ فِي شَأْنِهِ كُلِّهِ
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW membiasakan diri mendahulukan yang kanan dalam memakai selipar, menyikat rambut, bersuci dan dalam setiap urusan kehidupan sehariannya.
Sahih Bukhari (168)
Pandangan Para Ulama
- Sunat menggunakan tangan kanan, makruh dengan tangan kiri tanpa keperluan
Jumhur ulama mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’e dan Hanbali berpandangan bahwa hukum makan dengan tangan kanan hanyalah sunat dan dianjurkan, dan makruh hukumnya makan dan minum dengan tangan kiri ketika tidak dalam keadaan darurat. (Rujuk Al-Bahr al-Ra’iq 1/56, Bariqah Mahmudiyyah 4/111, 45/294, Hasyiyah al-‘Adawi 2/425, Mathalib Uli al-Nuha 5/242, Mughni al-Muhtaj 3/250 dan Al-Iqna’ fi Fiqh Imam Ahmad bin Hanbal, 3/231)
Kebanyakan ulama mazhab Syafi’e berpandangan bahwa hukum makan dengan tangan kanan hanyalah sunat dan dianjurkan, dan inilah pandangan Imam al-Ghazali dan Imam al-Nawawi. (Rujuk Fathul Bari, 9/522)
Dalam Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyah juga disebutkan bahawa jika ada keuzuran yang menghalang seseorang untuk makan dan minum dengan tangan kanan, contohnya kerana sakit atau luka, maka tidaklah makruh menggunakan tangan kiri. (Rujuk Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 6/119)
- Haram makan dan minum dengan tangan kiri
Menurut salah satu qaul Imam al-Syafi’e, beliau menegaskan bahawa hukum makan dengan tangan kanan adalah wajib. (Rujuk Fathul Bari, 9/522)
Ini juga adalah pendapat para ulama muhaqiqqin seperti Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah, Ibn al-Qayyim dan Al-Syaukani (Rujuk Al-Mustadrak ‘ala Majmu’ al-Fatawa 4/211, Zad al-Ma’ad 2/369 dan Nail al-Authar 15/157)
Ibn Muflih pula menukilkan pandangan Ibn Hazm dan Ibn Abd al-Barr yang mengharamkan makan dan minum dengan tangan kiri berdasarkan zahir hadith. (Rujuk Al-Adab al-Syar’iyyah, 3/168)
Perbahasan Dalil
Antara dalil yang menjadi sandaran kedua-dua belah kumpulan ialah hadith yang amat masyhur, dimana Nabi SAW berpesan kepada Umar bin Abi Salamah R.A:
يَا غُلاَمُ سَمِّ اللَّهَ ، وَكُلْ بِيَمِينِكَ وَكُلْ مِمَّا يَلِيكَ
Maksudnya: Wahai anakku, makanlah dengan menyebut nama Allah, makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah apa yang dekat dengan kamu.
Sahih Bukhari (5376)
Menurut Badr a-Din al-‘Ainiy, sebahagian ulama berdalilkan hadith ini dalam mewajibkan makan dan minum menggunakan tangan kanan, selain adanya banyak ancaman terhadap mereka yang menyelisihi arahan ini. (Rujuk ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari 21/29)
Begitu juga dengan hadith Nabi SAW:
إذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَأْكُلْ بِيَمِينِهِ وَإِذَا شَرِبَ فَلْيَشْرَبْ بِيَمِينِهِ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَأْكُلُ بِشِمَالِهِ وَيَشْرَبُ بِشِمَالِهِ
Maksudnya: Jika seseorang di antara kalian makan, maka hendaklah dia makan dengan tangan kanannya. Jika minum maka hendaklah juga minum dengan tangan kanannya, karena syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya pula.
Sahih Muslim (2020)
Berdasarkan hadith inilah Imam al-Nawawi berpandangan makan dan minum dengan tangan kiri hanyalah makruh dan tidak sampai ke tahap haram, dan dalam masa sama beliau berpesan agar hendaklah menjauhi perbuatan-perbuatan yang menyerupai perlakuan syaitan dengan semampu mungkin. (Rujuk Syarh Sahih Muslim 13/190-191)
Juga hadith Jabir bin ‘Abdillah R.A, bahwa Rasulullah SAW bersabda:
لا تأكلوا بالشِّمالِ ، فإنَّ الشَّيطانَ يأكلُ بالشِّمالِ
Maksudnya: Janganlah kalian makan dengan tangan kiri karena syaitan makan dengan tangan kiri
Sahih Muslim (2019)
Menurut sebahagian ulama, meskipun hadith-hadith yang menyuruh makan dan minum dengan tangan kanan secara zahirnya kelihatan seperti wajib, namun memandangkan ia lebih berbentuk adab dan irsyad, maka hukumnya bertukar menjadi sunat. (Rujuk Majmu’ah al-Rasa’il al-Fiqhiyyah min Syarh Manar al-Sabil, hal. 172)
Menurut Imam al-Qurthubi pula, suruhan dalam hadith ini berbentuk sunat, kerana ia satu bentuk memuliakan kanan ke atas yang kiri. Begitu juga antara contoh kemuliaan akhlak kalangan mereka yang terpuji ialah mengkhususkan perkara-perkara yang baik dengan yang kanan. (Rujuk Al-Mufhim lima Ashkala min Talkhis Kitab Muslim, 5/295)
Hadith Nabi Mendoakan Keburukan Terhadap Orang Yang Makan dengan Tangan Kiri
Terdapat sebuah hadith yang meriwayatkan bahawa Nabi SAW pernah mendoakan keburukan kepada seseorang yang enggan makan dengan tangan kanan:
أَنَّ رَجُلاً أَكَلَ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- بِشِمَالِهِ فَقَالَ « كُلْ بِيَمِينِكَ ». قَالَ لاَ أَسْتَطِيعُ قَالَ « لاَ اسْتَطَعْتَ ». مَا مَنَعَهُ إِلاَّ الْكِبْرُ. قَالَ فَمَا رَفَعَهَا إِلَى فِيهِ.
Maksudnya: Ada seorang lelaki makan di samping Rasulullah SAW dengan tangan kirinya. Lalu Rasulullah bersabda, ‘Makanlah dengan tangan kananmu!’ Dia menjawab, ‘Aku tidak mampu.’ Baginda bersabda, Semoga kamu benar-benar tidak mampu melakukannya.’ Tidaklah dia enggan untuk makan dengan tangan melainkan kerana kesombongan. Setelah itu tangannya tidak mampu sampai ke mulutnya.
Sahih Muslim (2021)
Menurut Imam al-Nawawi, doa Nabi SAW ini adalah kerana perbuatan lelaki itu yang melanggar hukum syarak. (Rujuk Syarh Sahih Muslim 13/192)
Menurut Imam al-San’ani, Rasulullah SAW tidak mungkin mendoakan keburukan kecuali untuk orang yang meninggalkan kewajiban. Jika doa itu karena alasan orang itu bersikap sombong, memang ada kemungkinan demikian. Dan tidak dapat dinafikan juga kemungkinan Nabi SAW berdoa kerana kedua-dua alasan tersebut. (Rujuk Subulus Salam 3/159).
Menurut Imam al-Munawi pula, perbuatan menyerupai syaitan tidak semestinya menunjukkan pengharaman, kadangkala ia merujuk kepada kemakruhan. Manakala doa Nabi SAW terhadap lelaki tersebut adalah disebabkan oleh kesombongannya daripada menuruti arahan Nabi SAW. (Rujuk Faidh al-Qadir 1/298)
Tarjih dan Kesimpulan
Tuntasnya, setelah meneliti dalil-dalil dan perbahasan pandangan para ulama, kami menyimpulkan bahawa:
- Makan dan minum dengan tangan kanan adalah sunat, manakala menggunakan tangan kiri adalah makruh, dan inilah pandangan majoriti ulama.
- Haram makan dan minum menggunakan tangan kiri dengan sengaja beserta niat untuk memperlekehkan sunnah Nabi SAW dan syariat Islam.
- Makan menggunakan kedua-dua belah tangan juga tidak diharamkan dalam keadaan yang memerlukan penggunaan kedua-dua belah tangan, lebih-lebih lagi pada zaman sekarang yang melibatkan penggunaan sudu dan garfu untuk sesetengah jenis hidangan dan jenis makanan.
- Namun demikian, seboleh-bolehnya hendaklah berusaha untuk menyuap makanan dan minuman menggunakan tangan kanan dalam setiap keadaan, dalam rangka beramal dengan sunnah Rasulullah SAW.
Wallahu a’lam.