Soalan :
Assalamualaikum ustaz. Ada yang mengatakan bahawa jika wanita menyembelih binatang maka tidak sah. Betul ke ustaz benda tu?
Jawapan :
Waalaikumussalam WBT. Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Sembelihan adalah satu syarat bagi membolehkan satu-satu binatang itu halal dimakan. Ia dianggap sebagai satu ibadah. Ini kerana mencari yang halal adalah fardu ain.Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT :
حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ ٱلْمَيْتَةُ وَٱلدَّمُ وَلَحْمُ ٱلْخِنزِيرِ وَمَآ أُهِلَّ لِغَيْرِ ٱللَّـهِ بِهِۦ وَٱلْمُنْخَنِقَةُ وَٱلْمَوْقُوذَةُ وَٱلْمُتَرَدِّيَةُ وَٱلنَّطِيحَةُ وَمَآ أَكَلَ ٱلسَّبُعُ إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ وَمَا ذُبِحَ عَلَى ٱلنُّصُبِ
Maksudnya :” Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala.”
(Surah al-Maidah : 3)
Sheikh Tahir Ibnu ‘Asyur menyebut di dalam tafsirnya bahawa ayat ini menjelaskan tentang haiwan-haiwan ternakan yang tidak halal.Pengharaman yang ada di dalam ayat ini bermaksud haram untuk memakannya. Kerana itulah maksud dari ayat ini. Ia juga menerangkan tentang keadaan binatang-binatang ternakan yang haram dimakan.
Rujuk al-Tahrir wa al-Tanwir (4/124)
Sheikh Zakariyya al-Ansari menyebut : Rukun sembelihan adalah
- Penyembelihan
- Tukang sembelih,
- Haiwan sembelihan
- Alat penyembelihan.
Rujuk Minhaj al-Tullab (1/281)
Para ulama telah memberikan beberapa syarat untuk penyembelih haiwan agar haiwan yang disembelih menjadi halal dimakan. Antara syarat tersebut :
- Penyembelih adalah seorang muslim atau ahli kitab.
- Ahli kitab tidak kira dari kalangan ‘ajami atau arab yang mana ia merupakan ahli kitab[1] yang asal sebelum berlakunya penyelewengan
Rujuk al-Mu’tamad Fi al-Fiqh al-Syafie (2/582-584)
Ibnu al-Muqri al-Yamani menyatakan :
“Syarat bagi orang yang menyembelih atau yang memburu adalah dia seorang muslim atau ahli kitab.Begitu juga halal sembelihan hamba daripada ahli kitab walaupun haram menikahinya.”
Rujuk Raudh al-Tolib (1/229)
Maka syarat yang paling utama bagi seorang penyembelih adalah dia mesti seorang muslim. Ini berdasarkan firman Allah :
إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ
Maksudnya :” kecuali yang sempat kamu sembelih.”
(Surah al-Maidah : 3)
Ayat ini ditujukan kepada orang islam. Ini bermakna halal apa yang disembelih oleh orang islam sendiri.
Imam al-Qurtubi menyebut bahawa kesemua perkara yang disebut di dalam ayat tersebut adalah haram untuk dimakan kecuali apa yang disembelih oleh kalian sendiri
Rujuk al-Jami’ Li Ahkam al-Quran (6/50)
Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, jika binatang tersebut disembelih oleh wanita maka sembelihan itu tetap sah dan boleh dimakan. Ini kerana, lelaki atau perempuan bukan syarat utama bagi penyembelih. Yang paling utama adalah penyembelih mestilah seorang muslim. Di dalam satu hadis riwayat Ka’ab Bin Malik, beliau menceritakan :
أَنَّ امْرَأَةً ذَبَحَتْ شَاةً بِحَجَرٍ فَسُئِلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ذَلِكَ فَأَمَرَ بِأَكْلِهَا
Maksudnya :”Seorang wanita menyembelih seekor kambing. Kemudian ditanya kepada Rasulullah SAW tentang sembelihan tersebut. Lantas Rasulullah SAW memerintahkan untuk makan sembelihan yang dilakukan wanita tersebut.”
Riwayat al-Bukhari (5504)
Ibnu Hajar al-Asqalani menyatakan :
“Sa’id Bin Mansur dengan sanadnya daripada Ibrahim al-Nakhaie. Ibrahim berkata tentang sembelihan wanita dan kanak-kanak bahawa tidak mengapa jika dia mampu untuk menyembelih dan menyebut nama Allah. Inilah pandangan yang dipegang oleh jumhur ulama.”
Rujuk Fath al-Bari (9/632)
Maulana Zakariyya al-Kandahlawi menyebut bahawa Imam al-Bukhari meletakkan hadis ini di bawah bab sembelihan wanita dan hamba perempuan. Seakan-akan beliau ingin memberi isyarat sahnya sembelihan tersebut dan menolak pandangan yang mengatakan bahawa sembelihan yang dilakukan wanita tidak sah.
Beliau mengatakan lagi, di antara faedah hadis ialah harus makan hasil sembelihan wanita tidak kira sama ada dia seorang hamba atau seorang yang bebas,yang kecil atau yang dewasa.,muslim atau ahli kitab. Juga sama ada dalam keadaan suci atau tidak. Ini kerana Nabi SAW memerintahkan untuk makan sembelihan wanita itu tanpa bertanya apa-apa.
Rujuk al-Abwab Wa al-Tarajim Li Sahih al-Bukhari (6/58)
Imam al-Nawawi bersetuju dan mengatakan sah sembelihan yang dilakukan oleh wanita dan halal untuk memakannya. Kata beliau :
“Tidak syak lagi bahawa sembelihan wanita adalah halal. Ini berdasarkan hadis Ka’ab yang dinyatakan oleh pengarang (al-Syirazi) di dalam kitab. Sembelihan lelaki lebih baik dari sembelihan wanita sepertimana yang disebutkan oleh pengarang sendiri. Sama ada wanita itu bebas, hamba,dalam keadaan haid atau nifas, muslimah atau kitabiah kesemua sembelihan mereka sah dan halal dimakan. Ini yang dinyatakan secara oleh al-Syafie dan para ulama mempersetujuinya.”
Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (9/86)
Kesimpulannya, sembelihan yang dilakukan oleh wanita adalah sah dan halal dimakan. Ya, memang ada sebahagian ulama mengatakan bahawa sembelihan lelaki lebih afdal daripada wanita. Perkara ini dilihat dari sudut kekuatan dan kemampuan menyembelih binatang.
Semoga Allah memberi kita kefahaman di dalam agama-Nya. Wallahu’alam.
[1] Perbahasan mengenai ahli kitab telah kami bahaskan di dalam artikel al-Kafi Li al-Fatawi siri ke 484. Perbahasan tersebut boleh dilihat di pautan berikut : http://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1389-al-kafi-li-al-fatawi-siri-ke-484-perkahwinan-dengan-perempuan-ahli-kitab