اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KE-100: ADAKAH BRAIN DEATH DIKIRA SEBAGAI KEMATIAN?

IRSYAD AL-FATWA KE-100: ADAKAH BRAIN DEATH DIKIRA SEBAGAI KEMATIAN?

Soalan:

Adakah mati otak (brain death) dikira sebagai kematian yang sah?

 

Jawapan: 

بسم الله الرحمن الرحيم

Mukadimah

Di dalam pengamalan perubatan, sering kali kes mati otak atau dalam istilah yang lain disebut sebagai brain deathterjadi kepada sesetengah pesakit. Apabila berlakunya mati otak ini, maka timbulnya isu lain yang berkaitan dengannya. Antara isu yang timbul adalah bagaimana ingin mensabitkan pesakit itu sama ada masih hidup ataupun telah meninggal dunia kerana kegagalan otak berfungsi yang mana secara amnya melihat bahawa otak merupakan pusat kawalan bagi seseorang manusia.

Brain Death (Mati Otak)

Mati otak atau brain death adalah terma yang digunakan bagi mendefinisikan keadaan klinikal yang mana seseorang itu hilang fungsi keseluruhan otak termasuk batang otak (brain stem) secara kekal. Seseorang yang telah didiagnos dalam keadaan ini dikira sebagai mati yang sah dan pengesahan ini dilakukan oleh dua[1] orang doktor pakar dengan syarat-syarat yang ketat. (Lihat Guidline of The Malaysian Medical Council, MMC Guideline 008/2006 mengenai Brain Death yang dikeluarkan oleh Majlis Perubatan Malaysia)

Brain Death Di Dalam Islam

Sebelum membahaskan mengenai brain death, terlebih dahulu dibincangkan dahulu mengenai hukum membunuh di dalam Islam. Islam meletakkan hukum haram membunuh manusia bahkan ianya adalah salah satu dari dosa besar (al-Kabair) di dalam Islam. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَا تَقۡتُلُواْ ٱلنَّفۡسَ ٱلَّتِي حَرَّمَ ٱللَّهُ إِلَّا بِٱلۡحَقِّۗ وَمَن قُتِلَ مَظۡلُومٗا فَقَدۡ جَعَلۡنَا لِوَلِيِّهِۦ سُلۡطَٰنٗا فَلَا يُسۡرِف فِّي ٱلۡقَتۡلِۖ إِنَّهُۥ كَانَ مَنصُورٗا ٣٣

Maksudnya: Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah dia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya dia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak).

(Al-Isra’: 33)

Bahkan ada ulama yang berpendapat bahawa seseorang yang membunuh tidak ada taubat untuknya dan kekal di dalam api neraka. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَمَن يَقۡتُلۡ مُؤۡمِنٗا مُّتَعَمِّدٗا فَجَزَآؤُهُۥ جَهَنَّمُ خَٰلِدٗا فِيهَا وَغَضِبَ ٱللَّهُ عَلَيۡهِ وَلَعَنَهُۥ وَأَعَدَّ لَهُۥ عَذَابًا عَظِيمٗا ٩٣

Maksudnya: Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya, dan melakanatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.

(Al-Nisa’: 93)

Apabila membahaskan  mengenai brain death di mana seseorang itu dikira mati, maka akan timbul satu permasalahan yang lain iaitu, jika pesakit itu telah mati (brain death) adakah dibolehkan untuk menghentikan hayat hidupnya kerana kebanyakan kes mati otak bergantung kepada alat bantuan untuk menuruskan hayatnya?

Dalam permasalahan ini, terdapat dua pandangan yang boleh diteliti:

  • Pertama: Pendapat yang mengatakan haram kerana mengatakan brain death itu tidak dikira sebagai mati. Mereka berdalilkan firman Allah SWT:

وَمَا كَانَ لِمُؤۡمِنٍ أَن يَقۡتُلَ مُؤۡمِنًا إِلَّا خَطَ‍ٔٗاۚ

Maksudnya: Dan tidak harus sama sekali bagi seseorang mukmin membunuh seorang mukmin yang lain, kecuali dengan tidak sengaja.

(Al-Nisaa’: 92)

Begitu juga dengan firman Allah SWT yang telah kami sebutkan sebelum ini dalam mengatakan hukum haram membunuh manusia. Ini kerana mereka mengatakan bahawa hayatnya masih ada jika terdapat denyutan jantung meskipun menggunakan alat bantuan.

Dalam firman Allah SWT yang lain:

أَمۡ حَسِبۡتَ أَنَّ أَصۡحَٰبَ ٱلۡكَهۡفِ وَٱلرَّقِيمِ كَانُواْ مِنۡ ءَايَٰتِنَا عَجَبًا ٩ إِذۡ أَوَى ٱلۡفِتۡيَةُ إِلَى ٱلۡكَهۡفِ فَقَالُواْ رَبَّنَآ ءَاتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحۡمَةٗ وَهَيِّئۡ لَنَا مِنۡ أَمۡرِنَا رَشَدٗا ١٠ فَضَرَبۡنَا عَلَىٰٓ ءَاذَانِهِمۡ فِي ٱلۡكَهۡفِ سِنِينَ عَدَدٗا ١١ ثُمَّ بَعَثۡنَٰهُمۡ لِنَعۡلَمَ أَيُّ ٱلۡحِزۡبَيۡنِ أَحۡصَىٰ لِمَا لَبِثُوٓاْ أَمَدٗا ١٢

Maksudnya: Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah “Ashaabul Kahfi” dan “Ar-Raqiim” itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami? [10] (Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama kami”. [11] Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun, yang banyak bilangannya. [12] Kemudian Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), untuk Kami menguji siapakah dari dua golongan di antara mereka yang lebih tepat kiraannya, tentang lamanya mereka hidup (dalam gua itu). 

(Al-Kahf: 9-12)

Wajh al-Dalalah (sudut pendalilan) adalah ketika mana Allah SWT mengatakan بَعَثۡنَٰهُمۡ iaitu “kami bangkitkan mereka”menjadi dalil iaitu semata-mata terhilangnya deria rasa bukanlah menjadi hukum seseorang itu dikira sebagai mati.

Selain itu, kaedah fiqhiyyah ada menyebutkan, اليقين لا يزول بالشك (Al-Yaqiin La Yazuul bi al-Syak) yang bermaksud: “Yakin tidak akan hilang dengan adanya syak”. Yakin di dalam masalah ini adalah seseorang itu tidak mati kerana masih adanya degupan jantung dan berlakunya syak di sini adalah pada matinya otak seseorang itu. Maka yang yakin itu tidak akan hilang dengan syak melainkan kematian telah benar-benar berlaku.

Kaedah fiqhiyyah yang lain menyebutkan, الأصل بقاء ما كان على ما كان (Al-Asl Baqaa’ Ma Kaana ‘Alaa Ma Kaana) yang bermaksud:“Sesuatu itu kekal pada keadaannya sepertimana kekal keadaannya sebelum itu”. Seseorang yang sakit itu asalnya hidup dan kekal keadaannya (hidup) sehinggalah hilangnya nyawa.

Antara alim ulama’ yang berpegang dengan pendapat yang pertama ini ialah:

  1. Mantan Mufti Besar Kerajaan Arab Saudi, al-Syeikh Abd al-Aziz bin Baaz Rahimahullah di dalam Majmu’ al-Fatawa wa Maqalaat Mutanawwi’ah (13/366-367).
  2. Mantan Syeikh al-Azhar, al-Syeikh Dr. Jad al-Haqq Ali Jad al-Haq Rahimahullah di dalam Buhuth wa Fatawa fi Qadaya Mu’asirah (5/612-625).
  3. Al-Syeikh Bakar bin Abdullah Abu Zaid Rahimahullah di dalam Fiqh al-Nawazil (hlm. 233-243).
  4. Al-Syeikh Dr. Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti Rahimahullah di dalam Ahkam al-Jarahah al-Tibbiyyah (hlm. 352-354).
  • Kedua: Pendapat yang mengatakan bahawa mati otak (brain death) adalah kematian yang sah dan boleh dicabut alat bantuan tersebut kerana telah dikira sebagai mati. Ini juga menunjukkan pada keharusan meninggalkan rawatan dalam keadaan tertentu.

Ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Amru bin Maimun ketika peristiwa pembunuhan Amir al-Mukminin Umar bin al-Khattab RA:

فَأُتِيَ بِنَبِيذٍ فَشَرِبَهُ، فَخَرَجَ مِنْ جَوْفِهِ، ثُمَّ أُتِيَ بِلَبَنٍ فَشَرِبَهُ فَخَرَجَ مِنْ جُرْحِهِ، فَعَلِمُوا أَنَّهُ مَيِّتٌ

                Maksudnya: “Para sahabat membawa nabiz kepada Saidina Umar RA, lalu beliau cuba meminumnya, namun air nabiz itu keluar dari rongganya. Kemudian mereka memberi susu, lalu beliau cuba meminumnya lagi, namun susu itu turut keluar dari tempat cederanya, maka mereka tahu Saidina Umar RA sudah hampir meninggal dunia.”

Riwayat Al-Bukhari (3700)

Para sahabat dalam keadaan itu tidak meneruskan usaha merawat Saidina Umar RA kerana mengetahui bahawa tiada lagi manfaat dan ikhtiar untuk mengubatinya lagi kerana telah dihukum sebagai seorang yang mati. Kisah ini juga menjadi dalil bagi kaedah:

أَنَّ الْحَيَاةَ المُسْتَعَارَةَ كَالْعَدَمِ

Maksudnya: Sesungguhnya kehidupan yang dipinjamkan sepertinya tiada.

Namun, keputusan mengatakan seseorang yang mengalami mati otak ini perlulah dilakukan oleh dua orang doktor yang adil lagi pakar dalam bidangnya. Ianya juga dilakukan  setelah mendapat penelitian yang menyeluruh dan mendalam dengan syarat-syarat yang sangat ketat sehinggalah boleh disahkan bahawa pesakit itu telahpun mati.

Antara alim ulama’ yang berpegang dengan pendapat yang kedua ini ialah:

  1. Al-Syeikh Dr. Umar Sulaiman al-Asyqar Rahimahullah di dalam Buhuth Nadwahal-Hayah al-Insaniyyah Bidayatuha wa Nihayatuha (hlm. 146).
  2. Al-Syeikh Dr. Muhammad Sulaiman al-Asyqar Rahimahullah.
  3. Al-Syeikh Dr. Muhammad Nu’aim Yasin di dalam Buhuth Nadwahal-Hayah al-Insaniyyah Bidayatuha wa Nihayatuha(hlm. 420).
  4. Al-Syeikh Dr. Ahmad Sharf al-Din di dalam Al-Ahkam al-Syar’iah li al-A’mal al-Tibbiyyah (hlm. 176-177).
  5. Al-Syeikh Dr. Muhammad ‘Ali al-Baar di dalam Maut al-Qalb wa Maut al-Dimagh (hlm. 87).

Badan-Badan Fatwa Dalam Permasalahan Brain Death

  1. Majma’ al-Fiqh al-Islami bertarikh 11-16 Oktober 1986 yang berlangsung di Amman Jordan menetapkan bahawa kematian itu boleh disabitkan dengan kematian otak secara keseluruhannya yang mana para pakar perubatan yang akan mengesahkan. Ianya disahkan oleh pakar perubatan setelah fungsi utama otak tidak dapat memberi tindak balas kepada rangsangan.
  1. Dar al-Ifta Jordan mengatakan bahawa matinya otak seseorang itu termasuk dalam kategori mati yang sah mengikut syariat Islam setelah disahkan oleh doktor yang pakar setelah memenuhi syarat-syarat yang tertentu.[2]
  1. Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia juga mengatakan bahawa mati otak dikira sebagai kematian. Di dalam fatwa tersebut menyebut:

“Muzakarah juga memutuskan bahawa dalam kaedah perubatan, mati otak (brain death) adalah dianggap sebagai suatu kematian dan apabila kematian tersebut disahkan oleh pakar, maka akan thabit semua hukum berkaitan kematian yang ditetapkan oleh syarak. Justeru, adalah harus memberhentikan rawatan bantuan sokongan (contohnya penggunaan mesin ventilator) dengan persetujuan waris-waris terdekat selepas disahkan oleh dua orang pakar perubatan yang tidak terlibat dalam urusan pendermaan organ.”[3]

Tarjih

Setelah meniliti serta menghormati kedua-dua pandangan yang terdapat di dalam permasalahan ini, kami berpendapat bahawa mati otak (brain death) adalah kematian yang sah. Ini setelah mengambil kira beberapa alasan, antaranya:

  1. Kajian sainstifik dalam perubatan telah menunjukkan dalam sesetengah keadaan, moti otak yang telah menghilangkan fungsi utama otak dan tidak dapat memberi tindak balas terhadap rangsangan adalah kematian yang sah.
  2. Pakar-pakar perubatan yang adil dan terpercaya telah mengesahkan kegagalan otak untuk berfungsi secara total.
  3. Mereka yang mengalami mati otak ini lebih bergantung kepada alat bantuan.

Atas asas ini dengan mengambil kira dari pelbagai sudut, kami lebih cenderung untuk mengatakan bahawa mati otak adalah kematian yang sah setelah mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Semoga dengan pencerahan ini dapat memberikan kita kefahaman dalam permasalahan ini seterusnya lebih mengingatkan kita bahawa kematian itu adalah suatu hakikat yang pasti dan selayaknya kita menyiapkan diri kita untuk bertemu dengan Allah SWT dengan bekalan amal soleh. Amin.

Wallahu a’lam.

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

23 Rabi’ al-Akhir 1437H bersamaan 2 Februari 2016.

[1] Dua orang pakar yang dimaksudkan di sini sekurang-kurangnya memiliki 3 tahun pengalaman klinikal pasca-siswazah yang terlatih dalam pemeriksaan dan diagnosis otak dan seeloknya dari kalangan pakar bius, doktor umum, pakar neuro dan pakar bedah otak.

[2] http://aliftaa.jo/DecisionEn.aspx?DecisionId=333

[3] http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-eutanasia-atau-mercy-killing