SOALAN
Apakah hukum solat melihat mushaf al-Qur’an dalam solat fardhu dan solat sunat? Jika dibolehkan, adakah dibolehkan untuk kedua-dua imam dan makmum?
JAWAPAN
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Kiamat.
Solat merupakan merupakan salah satu daripada amal ibadat yang paling utama dalam kehidupan seharian umat Islam. Kita disyariatkan untuk membaca ayat-ayat al-Qur’an di dalamnya. Ini adalah sebagaimana firman Allah SWT:
فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنْهُ وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ
Maksudnya: “Maka bacalah apa-apa yang kamu mampu untuk membacanya (daripada al-Qur’an) dan laksanakanlah solat”
Surah al-Muzammil: 20
Mengenai soalan yang diajukan, kami telah menjawabnya secara ringkas pada artikel yang lepas di bawah tajuk: AL-KAFI #423: PENDAPAT PARA ULAMA BERKENAAN HUKUM MEMBACA MUSHAF DI DALAM SOLAT[1]. Pada artikel ini, kami akan menjawab beberapa persoalan yang berkaitan dengan masalah ini dengan lebih terperinci.
Hukum Imam Melihat Mushaf al-Qur’an di Dalam Solat
Ulama’ berbeza pandangan mengenai hukum seorang imam melihat mushaf al-Qur’an di dalam solat kepada beberapa pendapat, antaranya:
Pendapat pertama: Seorang imam yang melihat mushaf al-Qur’an di dalam solat, maka batal solatnya, sama ada dalam solat fardhu mahupun solat sunat. Ini adalah pendapat dalam mazhab Imam Abu Hanifah Rahimahullah. Rujuk al-Mabsut (1/201-202), Bada’i al-Sana’i fi Tartib al-Syara’i (1/236).
Hujah bagi pendapat pertama:
- Memegang al-Qur’an, membelek helaian mushaf, melihat kepadanya dan memikirkannya untuk memahami isi kandungannya merupakan perbuatan yang banyak dan ini boleh merosakkan solat.
- Kerana satu ibadah (melihat mushaf) disandarkn kepada ibadah lain (solat).
- Qias orang yang melihat mushaf al-Qur’an ke atas orang yang mempelajarinya daripada mushaf. Keadaan ini adalah seperti mempelajarinya daripada seorang guru di dalam solat. Perbuatan ini membatalkan solat.
Pendapat kedua: Hukumnya adalah harus melihat dan membaca al-Qur’an daripada mushaf dalam solat fardhu mahupun solat sunat, bahkan diwajibkan untuk melihat mushaf jika tidak menghafaz surah al-Fatihah. Ini adalah pendapat dalam mazhab Imam asy-Syafi’e dan Imam Ahmad Rahimahallah. Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (4/95), Raudhah at-Tolibin wa ‘Umdat al-Muftin (1/294), al-Mughni (1/411), Hasyiyah ar-Raudh al-Murbi’ (2/110).
Dalil bagi pendapat kedua:
- ‘Aisyah RA pernah menjadi makmum kepada hambanya yang telah dimerdekakan, Zakwan dalam keadaan dia membaca al-Qur’an di dalam solat dengan melihat mushaf.
Imam al-Bukhari meriwayatkannya secara mu’allaq di awal bab (إمامة العبد والمولى) dalam sahih al-Bukhari (1/140). Imam an-Nawawi menilai sanadnya adalah sahih. Rujuk al-Khulasoh (1/500). Ibn Abi Syaibah dan al-Baihaqi juga meriwayatkan perkara seumpama ini dalam Musannaf ibn Abi Syaibah (2/123) dan Sunan al-Kubra (2/253).
Al-Hafiz ibn Hajar Rahimahullah telah berkata: “Hadith ini menjadi dalil bahawa harus bagi orang yang sedang mengerjakan solat untuk membaca al-Qur’an dengan melihat kepada mushaf” Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari (2/185).
Peristiwa ini menjadi dalil yang jelas bahawa Zakwan solat dengan melihat mushaf dan ‘Aisyah RA tidak mengingkari perkara tersebut. Jika perkara tersebut tidak diharuskan, nescaya ‘Aisyah RA akan melarangnya berbuat demikian.
- Imam az-Zuhri Rahimahullah pernah ditanya mengenai lelaki yang membaca al-Qur’an dengan melihat mushaf di dalam solat, lalu beliau menjawab: “Mereka yang terpilih dan terbaik dari kalangan kami membaca al-Quran dengan melihat mushaf ketika dalam solat di bulan Ramadhan”. Rujuk Mathalib Uli an-Nuha Syarh Ghayat al-Muntaha (1/484).
- Nabi SAW telah memegang cucu Baginda, Umamah RA ketika Baginda sedang solat sepertimana yang diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari (516) dan Sahih Muslim (543). Jika tiada halangan untuk Rasulullah SAW memegang Umamah RA ketika solat, begitu juga halnya tiada halangan untuk seseorang itu memegang mushaf dan membacanya ketika solat. Ia juga mampu membantu untuk memanjangkan lagi tempoh berdiri dalam solat dan menambah kekhusyukan sepertimana firman Allah: {قُومُواْ لِلّهِ قَانِتِينَ}
Pendapat Ketiga: Hukumnya adalah makruh jika melihat mushaf al-Qur’an dalam solat fardhu, adapun melihatnya dalam solat sunat, maka hukumnya adalah harus. Ini adalah pendapat dalam mazhab Imam Malik Rahimahullah. Rujuk al-Dzakhirah (2/408), al-Jami li Masail al-Mudawwanah (3/1190).
Dalil bagi pendapat yang ketiga:
- Hadith ‘Aisyah RA yang menjadi makmum kepada Zakwan seperti mana dalil pertama dalam pendapat yang kedua.
Hadith ini menunjukkan bahawa Zakwan menjadi imam dan membaca al-Qur’an dengan melihat mushaf. ‘Aisyah RA mengikutinya sebagai makmum dan tidak mengingkarinya. Walaubagaimanapun, hukumnya menjadi makruh untuk berbuat demikian kerana dibimbangi orang ramai akan meninggalkan usaha untuk menghafaz al-Qur’an, dan mereka semua hanya cenderung untuk membaca al-Qur’an daripada mushaf, bukan menghafaznya.
- Melihat kepada mushaf merupakan satu ibadah, membaca al-Qur’an juga merupakan satu ibadah, menggabungkan satu ibadah kepada ibadah yang lain tidak sampai menjadikan ibadah tersebut rosak, tetapi menjadikan hukumnya makruh.
- Menyerupai ahli kitab yang membaca teks kitab mereka ketika beribadah.
Hukum Makmum Melihat Mushaf al-Qur’an di Dalam Solat
Berkenaan dengan keadaan makmum, marilah kita melihat tafsiran ulama’ berkenaan firman Allah SWT:
وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنْصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
Maksudnya: “Dan apabila al-Qur’an dibacakan, maka dengarlah bacaan al-Qur’an tersebut serta diamlah supaya kamu memperolehi rahmat”
Surah al-A’raaf:204
Imam ibn Kathir Rahimahullah menafsirkan ayat ini dengan berkata: “Allah SWT telah memerintahkan untuk diam ketika ayat al-Qur’an dibaca sebagai satu penghormatan kepada al-Qur’an, tidak seperti apa yang dilakukan oleh Musyrikin Quraisy sepertimana dalam firman-Nya dalam surah al-Fussilat ayat ke-26. Perkara ini lebih ditekankan jika imam membacanya dalam solat fardhu sepertimana hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab sahihnya:
إِنَّمَا جُعِلَ الْإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ، فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا، وَإِذَا قَرَأَ فَأَنْصِتُوا
Maksudnya: “Sesungguhnya imam dijadikan untuk diikuti, apabila imam mengangkat takbir, maka hendaklah makmum mengikutnya mengangkat takbir, dan jika imam membaca ayat al-Qur’an, maka hendaklah makmum diam”
Riwayat Muslim (404)
Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim (3/536)
Imam ibn Jarir at-Tobari Rahimahullah telah berkata: “Ahli tafsir berbeza pandangan mengenai keadaan yang diperintahkan oleh Allah untuk diam dan mendengar bacaan al-Qur’an yang dibaca; sebahagian mereka berpendapat perintah tersebut adalah ketika makmum mendengar bacaan imam di dalam solat dan ayat tersebut diturunkan kerana itu” Rujuk Jami’ al-Bayan fi Ta’wil al-Qur’an (13/345).
Para Sahabat pernah menunaikan solat Subuh di belakang Rasulullah SAW yang mana Rasulullah SAW membaca ayat al-Qur’an di dalam solat tersebut dengan bacaan yang panjang dan para Sahabat mengikut bacaan Baginda, lalu Nabi SAW bersabda:
لا تَفعَلوا إلَّا بفاتحةِ الكتابِ؛ فإنَّه لا صلاةَ لمَن لم يَقرَأْ بها
Maksudnya: “Janganlah kamu berbuat demikian kecuali membaca surah al-Fatihah. Sessungguhnya tiada solat bagi sesiapa yang tidak membaca (surah al-Fatihah) di dalamnya (solat)”
Riwayat Abu Daud (823)
Sheikh Syu’aib ar-Arnouth Rahimahullah menilai hadith ini sebagai sahih lighairihi. Hadith ini mempunyai syahid daripada hadith yang diriwiyatkan oleh seorang Sahabat yang tidak dinamakan dan telah dikeluarkan oleh Imam Ahmad (18070), sanad hadith ini adalah sahih. Rujuk Takhrij Sunan Abi Daud (2/116)
Sheikh Abdul Karim al-Khudair Hafizahullah telah berkata: “Adapun sesiapa yang memegang al-Qur’an di dalam solat Terawih bagi mengikuti bacaan imam, ia bertentangan dengan kewajipan makmum untuk diam dan mendengar dengan tekun bacaan imam serta tidak disibukkan dengan perkara lain, maka perkara ini tidak sepatutnya dilakukan oleh makmum. Adapun imam yang tidak menghafaz al-Qur’an dan melihat mushaf, maka dibolehkan kepadanya, insyaAllah” Rujuk Fatawa Nur ‘ala ad-Darb (halaqah yang kelima, no. fatwa: 3712)
Kesimpulan
Kami berpandangan harus untuk membaca al-Qur’an dengan melihat mushaf bagi imam dan mereka yang solat bersendirian, sama ada dalam solat fardhu mahupun solat sunat jika dengan melihat mushaf tersebut mampu untuk memanjangkan tempoh berdiri di dalam solat dan membantu menambahkan kekusyukan di dalam solat. Namun begitu, kami berpendapat bahawa yang terbaik adalah membaca ayat-ayat al-Qur’an tanpa melihat mushaf di dalam solat jika tiada keperluan yang mendesak untuk berbuat demikian.
Kami ingin menukilkan apa yang telah dinyatakan oleh Imam al-Khatib al-Syarbini Rahimahullah: “Namun begitu, membaca ayat al-Qur’an dengan melihat mushaf dan juga membelek kertas mushaf ketika sedang menunaikan solat adalah harus dengan syarat ia dilakukan dengan tidak berturut-turut sebanyak tiga kali dan ianya dilakukan kerana mempunyai keperluan. Jika ia dilakukan dengan sengaja tanpa ada keperluan, maka hukumnya adalah makruh. Rujuk Mughni al-Muhtaj Ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj (1/419).
Kami juga berpandangan bahawa adalah lebih baik bagi makmum untuk tidak melihat mushaf ketika mengikuti imam. Ini kerana perbuatan memegang mushaf atau yang seumpama dengannya seperti melihat telefon bimbit dan selainnya akan menyebabkan makmum tersebut terlepas untuk melakukan beberapa perkara sunat dalam solat yang lebih utama untuk dibuat ketika itu seperti menumpukan pandangan ke tempat sujud, mendekap tangan ketika berdiri, dan boleh menyebabkan pergerakan yang banyak dalam solat tanpa keperluan yang mendesak.
Semoga sedikit penjelasan ini dapat membantu dan menjawab persoalan yang sering berlegar di kalangan masyarakat terutamanya di bulan Ramadhan. Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya. Amiin.
[1] http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1329-al-kafi-423-pendapat-para-ulama-berkenaan-hukum-membaca-mushaf-di-dalam-solat?highlight=WyJtZWxpaGF0IiwiJ21lbGloYXQnIiwibWVsaWhhdCciLCJtdXNoYWYiLCJtZWxpaGF0IG11c2hhZiJd