اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE- 325 : HUKUM MEMBASUH TRANSOESOPHAGEAL ECHOCARDIOGRAPHY (TEE) PROBE DENGAN AIR SEBELUM PENGGUNAAN PEMBASMI KUMAN

IF 325 compressed

Soalan :

Saya merupakan salah seorang pekerja di Institut Jantung Negara. Saya ditugaskan di makmal Non Invasive Cardiovascular. Dan di antara tugas saya adalah mengendali pembersihan alat yang dikenali sebagai Transoesophageal Echocardiography (TEE) Probe. Dan di antara tatacara membersihkannya adalah menggunakan bahan pembasmi kuman yang dikenali sebagai Tristel Trio Wipes System. Akan tetapi sebelum tu probe ini akan dibasuh dengan air terlebih dahulu kemudian baru digunakan pembasmi kuman. Selepas itu akan disimpan terus. Apakah betul cara pembersihan untuk alat tersebut?. Mohon pencerahan dari pihak SS Mufti.

Jawapan :

Terima kasih kepada yang bertanya. Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Transoesophageal Echocardiography (TEE) Probe adalah alat untuk menjalankan ujian pengimbasan jantung yang mana alat tersebut dimasukkan melalui mulut ke dalam saluran pemakanan (oesophagus) dan perut bagi mendapatkan informasi yang terperinci dan tepat berkenaan fungsi injap dan otot jantung.

Menurut Institut Jantung Negara, tatacara pembersihan TEE probe adalah seperti berikut:

  1. Selepas melakukan TEE prosedur, Transoesophageal Echocardiography Probe yang kotor dilap dengan menggunakan Surface Distinfectant Wipes untuk menghilangkan lender , mucus atau darah yang terlekat pada probe tersebut.
  2. Setelah menghilangkan kekotoran pada Transoesophageal Echocardiography Probe dengan Surface Distinfectant Wipes. Probe tersebut akan dibilas (rinse) dengan menggunakan air bagi menyingkirkan sebarang kekotoran yang tertinggal pada probe tersebut.
  3. Seterusnya, proses pembasmian kuman akan dimulakan menggunakan ketiga-tiga langkah seperti yang disarankan. Langkah tersebut ialah :
  1. Langkah 1 : Pembersihan dengan Tristel Pre-Clean Wipe menggunakan Enzymatic enzyme
  2. Langkah 2 : Pembasmian kuman dengan Tristel Sporicidal Wipe and Avtivator Foam
  3. Langkah 3 : Pembilasan dengan Tristel Rinse Wipe dengan deionised water.
  1. Seterusnya Transoesophageal Echocardiography Probe akan diletakkan dan digantungkan di dalam cabinet khas di bilik penyimpanan probe.

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, Pada asasnya najis adalah sesuatu yang kotor dan ianya perlu dibersihkan. Ini berdasarkan kepada umum perintah Nabi SAW untuk membersihkan air kencing seorang badwi yang terdapat di masjid Nabawi. Nabi SAW bersabda:

وَأَهْرِيقُوا عَلَى بَوْلِهِ ذَنُوبًا مِنْ مَاءٍ أَوْ سَجْلًا مِنْ مَاءٍ فَإِنَّمَا بُعِثْتُمْ مُيَسِّرِينَ وَلَمْ تُبْعَثُوا مُعَسِّرِينَ

Maksudnya :” Siramkanlah kencing tersebut dengan sebaldi air atau sebekas besar yang penuh dengan air. Sesungguhnya kalian diutuskan untuk memudahkan dan kalian tidak diutuskan untuk menyusahkan.

Riwayat Al-Bukhari (6128)

Jika air kencing itu bukan najis sudah pasti Nabi SAW tidak memerintahkan untuk membersihkannya. Begitu juga dengan apa-apa bahan yang keluar daripada tubuh manusia seperti darah, tahi, muntah dan lain-lain. Kesemua ini adalah najis dan perlu dibersihkan sehingga hilang bau, rasa dan warna. Ini kerana najis-najis ini jika tidak dibersihkan maka ia akan memudaratkan dan mendatangkan bahaya. Ini berlandaskan firman Allah SWT :

قُل لَّآ أَجِدُ فِى مَآ أُوحِىَ إِلَىَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُۥٓ إِلَّآ أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُۥ رِجْسٌ

Maksudnya :” Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi kerana sesungguhnya ia adalah kotor..”

(Surah Al-‘An’am : 145)

Di dalam ayat ini Allah SWT menyifatkan najis seperti darah adalah sesuatu yang kotor. Sheikh Mustafa Al-Maraghi ketika menafsirkan ayat in beliau menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan perkataan رِجْسٌ ialah sesuatu yang kotor, jijik dan memudaratkan.(Rujuk Tafsir Al-Maraghi, 8/56).

Justeru arahan untuk membersihkan najis bukan semata-mata kerana ianya kotor dan memudaratkan akan tetapi sebagai seorang muslim khususnya perkara tersebut merupakan perintah daripada Allah SWT.

Sebelum menjawab persoalan yang dikemukakn, najis-najis selain kencing bayi, babi dan anjing ianya disebut sebagai najis mutawassitah. Ianya dinamakan sebagai mutawassitah kerana syarak tidak menyukarkan proses pembersihannya.Imam Ahmad Al-Ramli dan kebanyakan fuqaha dari kalangan syafi’iyyah membahagikan najis mutawassitah kepada dua iaitu hukmiah (حكمية) dan ‘ainiyyah (عينية). Hukmiah ialah yang tidak kelihatan najisnya secara jelas kerana tiada tanda-tanda seperti bau,rasa dan juga warna. Cara basuhannya adalah cukup sekadar alirkan air pada tempat yang terkena najis tersebut. Manakala ‘ainiyyah pula ialah najis yang kelihatan dan ada sifat-sifatnya sama ada bau,rasa dan juga warna. Cara membersihkannya adalah dengan dihilangkan terlebih dahulu sisa-sisa najis yang kelihatan kemudian basuh dengan air. Jika dengan sekali basuhan sudah menghilangkan sisa najis yang ada maka ia sudah mencukupi.Jika najis tidak hilang dengan sekali basuhan maka diwajibkan untuk membasuh kali kedua dan menggunakan bahan-bahan bantuan seperti sabun dan lain-lain bagi menghilangkan najis tersebut. (Rujuk Nihayah Al-Muhtaj ila Syarh Al-Minhaj, 2/353 ; Al-Taqrirat Al-Sadidat Fi Masail Al-Mufidah hlm 135-136).

Bagi menjawab persoalan yang dikemukakan, kami melihat bahawa penggunaan “Tristel Trio Wipes System” untuk pembersihan Transoesophageal Echocardiography (TEE) Probe adalah harus dengan syarat TEE Probe perlu dibasuh juga dengan air sebelum atau selepas penggunaan wipes tersebut.Ini merupakan syarat yang telah diletakkan bagi membersihkan najis mutawassitah.Tidak cukup hanya menggunakan wipes.Bahkan kami melihat langkah-langkah pembersihan yang telah dinyatakan iaitu ianya dibasuh sebelum penggunaan pembasmi kuman adalah mematuhi dan menepati hukum syarak di dalam tatacara pembersihan sisa-sisa najis.

Sheikh Nawawi Al-Bantani menyebut bahawa najis mutawassitah terbahagi kepada dua. Iaitu ‘Ainiyyah dan Hukmiah.’ Ainiyyah ialah najis yang dilihat dengan mata yang mempunyai rasa, bau dan warna. Manakala hukmiah ialah tempat yang terkena najis dihukum sebagai najis walaupun ianya tidak dilihat dengan mata kasar. Cara membasuh najis ‘Ainiyyah adalah menggunakan air untuk menghilangkan bau,warna dan rasa. Jika susah untuk hilangkan warna dan bau. Cukup hilangkan ain najis dan tidak wajib untuk menghilangkan warna dan bau. Cara menghilangkan najis hukmiah ialah cukup dilalukan air pada tempat bernajis walaupun sekali. (Rujuk Kasyifah Al-Saja Syarh Safinat Al-Naja, m/s 182-183)

Bahkan Sheikh Hasan Bin Ahmad Al-Kaf menyebut bahawa jika najis ‘Aniyyah sudah hilang walaupun dengan sekali basuhan maka ianya sudah memadai. Jika tidak maka sunat untuk menambah bilangan basuhan. (Rujuk Al-Taqrirat Al-Sadidah Fi Masail Al-Mufidah Qism Al-Ibadat, m/s 135).

Justeru itu, kami menasihati agar sebelum menggunakan pembasmi kuman, probe tersebut dibasuh sebanyak tiga kali bagi menghilangkan sisa najis yang ada secara yakin. Inilah yang dinyatakan oleh Sheikh Nawawi Al-Bantani di dalam kitabnya.

Walaupun TEE Probe tidak masuk ke bahagian perut kami menasihati untuk tetap juga dibasuh menggunakan air. Walaupun di sana ada pandangan yang tidak mewajibkan akan tetapi kami menggunakan kaedah ihtiyat iaitu berhati-hati.Ini kerana menyucikan dan membersihkan najis adalah termasuk di dalam bab ibadah. Kaedah menyebut :

الاِحْتِيِاطُ فِي بَاب الِعبَادَاتِ وَاجِبٌ

Maksudnya :” Berhati-hati di dalam bab ibadah adalah wajib.”

Pendekataan ini lebih selamat. Bahkan kaedah lain menyebut :

الخُرُوجُ مِنَ الخِلاَفِ مُسْتَحَبٌ

Maksudnya :” Keluar daripada khilaf (perselisihan) adalah perkara yang dituntut.”

Kesimpulannya, penggunaan “Tristel Trio Wipes System” untuk pembersihan Transoesophageal Echocardiography (TEE) Probe adalah harus dengan syarat TEE Probe perlu dibasuh juga dengan air sebelum atau selepas penggunaan wipes tersebut. Probe yang dibasuh sebelum proses pembasmian kuman, maka ianya adalah basuhan yang sah dan sudah cukup untuk memenuhi tatacara menghilangkan najis yang ada.

Semoga Allah memberikan kefahaman kepada kita semua. Wallahu’alam.