اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-332: HUKUM MENGHENTIKAN SOLAT UNTUK MENJAWAB PANGGILAN PENTING

if332.png

SOALAN:

Assalamualaikum Dato’ Seri SS Mufti. Saya ada satu persoalan, adakah diharuskan untuk saya membatalkan solat disebabkan oleh ingin menjawab panggilan telefon berkaitan urusan yang penting?

Mohon penjelasan Tuan Mufti. Terima kasih.

JAWAPAN:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Allah SWT melarang umat Islam untuk sengaja membatalkan amalannya dengan sengaja tanpa apa-apa sebab yang mengharuskannya untuk melakukan demikian. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّـهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَلَا تُبْطِلُوا أَعْمَالَكُمْ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul Allah, dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu!

(Surah Muhammad: 33)

Dalam hal ini, para ulama’ membezakan hal keadaan orang yang ingin menghentikan solat dengan melihat dari sudut sama ada solat tersebut merupakan solat fardhu ataupun solat sunat, serta sama ada ia disebabkan oleh uzur syar’ie ataupun bukan.

Jika sekiranya solat tersebut merupakan solat fardhu, maka haram hukumnya bagi seseorang tersebut dengan tanpa uzur syar’ie yang membolehkannya membatalkan solatnya tersebut berdasarkan ayat yang disebutkan di atas. Di dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah menyebutkan bahawa:

قَطْعُ العِبَادَةِ الوَاجِبَةِ بَعْد الشُّرُوعِ فِيهَا بِلَا مَسُوغٌ شَرْعِي غَيْر جَائِز بِاتِّفَاقِ الفُقَهَاءِ؛ لِأَن قَطَعَهَا بِلَا مَسُوغٍ شَرْعِي عَبَثٌ يَتَنَافى مَعَ حُرْمَةِ العِبَادَةِ

Maksudnya: Membatalkan ibadah yang wajib setelah memulakannya tanpa sebab yang membolehkannya melakukan demikian adalah tidak harus dengan sepakat para fuqaha’. Hal ini kerana membatalkan ibadah tanpa sebab yang diizinkan oleh syarak adalah satu perbuatan yang sia-sia dan bersalahan dengan kehormatan solat. (Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 34:51)

Walaubagaimanapun, jika disebabkan oleh sebab yang dibolehkan oleh syarak dan keadaan yang mendesak dan kecemasan seperti menyelamatkan diri sendiri atau orang lain daripada bahaya contohnya, maka ia diharuskan berdasarkan kaedah fiqh yang menyebutkan bahawa:

الضَّرُورَةُ تُبِيحُ االمَحْظُورَاتِ

Maksudnya: Keadaan yang darurat itu mengharuskan perbuatan-perbuatan yang haram.

Di dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah menyebutkan lagi bahawa:

أَمَّا قَطَعَهَا بِمَسُوغٍ شَرْعِي فَمَشْرُوعٌ، فَتَقْطَعُ الصَّلَاةَ لِقَتْلِ حَيَّةٍ وَنَحْوِهَا لِلأَمْرِ بِقَتْلِهَا، وَخَوْف ضَيَاع مَال لَهُ قِيمَةٌ، لَهُ أَو لِغَيْرِهِ، وَلِإغَاثَةِ مَلْهُوف، وَتَنْبِيه غَافِل أَو نَائِمٍ قَصَدَتْ إِلَيهِ حَية ولَا يُمْكِن تَنْبِيهُهُ بِتَسْبِيح

Maksudnya: Adapun jika membatalkannya disebabkan oleh sebab yang dibolehkan oleh syarak, maka hukumnya adalah harus, seperti membatalkan solat bagi membunuh ular atau menyuruh orang lain membunuhnya, atau khuatir akan kehilangan harta benda yang berharga sama ada harta benda sendiri atau orang lain, atau menyelamatkan orang yang meminta pertolongan, mengejutkan orang yang terlalai atau tertidur yang sedang dihampiri oleh ular berbisa yang tidak boleh untuk diberikan peringatan dengan menyebut tasbih sahaja. (Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 34:51)

Bahkan, hal ini juga terpakai kepada menyelamatkan orang bukan islam seperti yang disebutkan kitab Kasysyaf al-Qina’, dengan berkata:

وَيَجِبُ رَدُّ كَافِرٍ مَعْصُومٍ بِذِمَّةٍ أَو هدنَةٍ أَو أَمَانٍ عَن بِئْر، وَنَحْوِه، كَحَيَّةٍ تَقْصُدُهُ كَرَدِّ مُسْلِمٍ عَنْ ذَلِكَ بِجَامِعِ العِصْمَةِ، وَيَجِبُ إِنْقَاذُ غَرِيق وَنحوه كَحَرِيق، فَيَقْطَع الصَلَاةَ لِذَلِكَ فَرْضًا كَانَتْ الصَّلَاةُ، أَو نَفْلًا. وَظَاهِرُهُ: وَلَو ضَاقَ وَقْتُهَا، لِأَنَّه يُمْكِن تَدَارُكُهَا بِالقَضَاء، بِخِلَاف الغَرِيق وَنَحْوه ؛ (فَإِن أَبَى قَطْعُهَا) ، أَي الصَّلَاة لِإنْقَاذ الغَرِيق وَنَحْوِه : أَثِمَ. انتهى

Maksudnya: Wajib menyelamat seorang kafir yang dihormati darahnya disebabkan oleh perjanjian perlindungan dan keamanan daripada jatuh ke dalam telaga dan seumpamanya, seperti ular yang menghampiri kepadanya, sama seperti menyelamatkan seorang muslim daripada perkara tersebut dengan syarat bahawa dihormati darahnya. Begitu juga wajib untuk menyelamatkan orang yang lemas atau terbakar. Justeru itu, hendaklah dia memberhentikan solatnya tersebut tidak kira sama ada solat tersebut fardhu ataupun sunat. Begitu juga, walaupun sudah singkat waktunya, ini kerana ia boleh diganti dengan qadha’ berbeza halnya dengan orang yang lemas dan seumpamanya. Jika sekiranya dia enggan membatalkan solatnya untuk menyelamatkan orang yang lemas tersebut, maka dia dikira sebagai berdosa. (Rujuk Kasysyaf al-Qina’, 1:380)

Berkenaan hal ini, Imam al-Izz Ibn Abd al-Salam RA menyebutkan bahawa:

تَقْدِيمُ إِنْقَاذ الغَرْقَى المَعْصُومِين عَلَى أَدَاءِ الصَّلَاة لِأَنَّ إِنْقَاذُ الغَرْقَى المَعْصُومِينَ عِندَ اللهِ أَفْضَل مِن أَدَاءِ الصَّلَاة، وَالجَمع بَينَ المَصْلَحَتَين مُمْكِنٌ بِأَن يُنقِذَ الغَرِيق ثُمَّ يَقْضِي الصَّلَاة. وَمَعْلُومٌ أَنَّ مَا فَاتَهُ مِن مَصْلَحَةِ أَدَاءِ الصَّلَاة لَا يُقَارِبُ إِنْقَاذُ نَفْس مُسْلِمَة مِنَ الهَلَاك

Maksudnya: Hendaklah didahulukan perbuatan menyelamatkan orang yang lemas diatas perbuatan solat. Ini kerana menyelamatkan orang yang lemas di sisi Allah SWT adalah lebih afdhal daripada menunaikan solat. Dan kedua-duanya boleh dihimpunkan iaitu dengan cara menyelamatkan orang yang lemas terlebih dahulu, kemudian mengqadha solatnya. Seperti yang sedia maklum, jika sekiranya terlepas maslahah untuk menunaikan solat pada waktunya tidak sama daripada mashlahah yang lebih besar iaitu menyelamatkan nyawa manusia daripada kebinasaan. (Rujuk Qawa’id al-Ahkam fi Islah al-Anam, 1:96)

Manakala, jika sekiranya seseorang itu sedang mendirikan solat sunat, maka hal keadaan ini adalah lebih ringan berbanding solat fardhu, sama seperti jika seseorang itu berpuasa sunat. Para ulama’ memberikan kelonggaran dalam keadaan seperti ini dengan mengharuskan untuk seseorang itu membatalkan solat atau puasanya disebabkan oleh keperluan. Perkara ini disebutkan oleh Ibn Hajar di dalam kitabnya Tuhfat al-Muhtaj, bahawa:

وَمَن تَلَبَّسَ بِصَومٍ تَطَوُّعٍ أو صَلَاةٍ أَو غَيْرِهِمَا مِن التَطَوُّعَات إِلّا النُّسُك، فَلَهُ قَطْعُهُمَا، لِلخَبَرِ الصَّحِيح: الصَّائِمُ الْمُتَطَوِّعُ أَمِيرُ نَفْسِهِ إِنْ شَاءَ صَامَ وَإِنْ شَاءَ أَفْطَرَ” وَقِيسَ بِهِ الصَّلَاة وَغَيرِهَا،فقوله تعالى:{وَلَا تُبْطِلُوا أَعْمَالَكُمْ} مَحَلُّهُ فِي الفَرْضِ

Maksudnya: Barangsiapa melaksanakan puasa sunat atau solat sunat dan seumpamanya daripada amalan sunat kecuali haji, maka dia boleh membatalkannya bersandarkan kepada hadith sahih, “Seorang yang berpuasa sunat berkuasa terhadap dirinya sendiri, jika sekiranya dia ingin terus berpuasa atau berbuka puasa, maka dia boleh melakukan demikian.” Justeru itu, diqiaskan hal ini kepada solat dan seumpamanya. Oleh itu, firman Allah SWT, Dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu, merujuk kepada ibadah yang fardhu. (Rujuk Tuhfat al-Muhtaj Syarh al-Minhaj, 3:459-460)

Disamping itu juga, Rasulullah SAW menyuruh umatnya untuk mendirikan solat dalam keadaan khusyuk dan tenang. Allah SWT berfirman:

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ 

Maksudnya: Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya.

(Surah al-Mu’minun: 1-2)

Imam al-Saadi dalam menafsirkan ayat menyebutkan bahawa, solat tanpa khusyuk dan tanpa kehadiran hati walaupun sah dan mendapat pahala, namun begitu kadar pahala yang didapati berdasarkan kekhusyukan seseorang di dalam solat tersebut. (Rujuk Tafsir Taysir al-Karim al-Rahman, 1:547)

Justeru dapatlah difahami bahawa kita dituntut untuk khusyuk di dalam solat dengan cara memberi fokus kepada solat tersebut dan tidak mencampur-adukkannya dengan urusan lain dari hal keduniaan. Ibn Kathir menyebutkan hal ini dalam tafsirnya dengan berkata:

وَالخُشُوعُ فِي الصَّلَاة إِنَّمَا يَحْصُلُ بِمَن فَرَغَ قَلْبُهُ لَهَا ، وَاشْتَغَلَّ بِهَا عَمَّا عَدَاهَا ، وَآثَرُهَا عَلَى غَيْرِهَا

Maksudnya: Khusyuk di dalam solat itu hanyasanya diperoleh dengan mengosongkan fikiran daripada perkara lain ketika mendirikannya, hanya sibuk dengan perbuatan dan bacaan di dalam solat sahaja dan mengutamakan solat sebagai perkara pertama berbanding perkara-perkara yang lain. (Rujuk Tafsir Ibn Kathir, 5:461). 

Justeru, kita hendaklah memberikan fokus dan tumpuan yang sepenuhnya ketika menunaikan solat dan menghindarkan segala gangguan yang boleh menyebabkan konsentrasi terganggu seperti bunyi telefon, televisyen dan sebagainya.

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa jika seseorang itu sedang mendirikan solat fardhu, maka tidak boleh untuk dia membatalkan solatnya kecuali jika terdapat hal kecemasan dan darurat seperti menyelamatkan nyawa yang berada di dalam bahaya atau harta benda yang berharga. Oleh itu, dalam hal ini, jika sekiranya panggilan telefon yang diterima tersebut dirasakan merupakan sesuatu kecemasan dan darurat, maka dibolehkan untuk membatalkan solat untuk menjawabnya.

Walau bagaimanapun, jika sekiranya seseorang mendirikan solat sunat, maka boleh untuk dia menghentikan solatnya untuk perkara-perkara yang penting. Namun, adalah sebaik-baiknya dia menyempurnakan solat tersebut terlebih dahulu sebelum dia melakukan pekerjaan penting tersebut supaya dapat menjaga kehormatan solat dan tidak mempermain-mainkan ibadah. Semoga Allah SWT memberikan kefahaman kepada kita terhadap agama-Nya serta memberikan kita hidayah untuk beramal dengan syari’atnya dengan sebaiknya. Amin.

WaAllahu a’lam.