اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-350 : MINTA CINCIN DAN GELANG HANTARAN SEWAKTU BERCERAI

if350 compressed

Soalan:

Assalamualaikum,

Saya ada satu soalan. Adakah boleh (apakah hukumnya) suami minta semula cincin dan gelang yang telah diberi/dipakaikan semasa akad nikah semasa perceraian? Duit maskahwin telah diberi asing mengikut kadar ketetapan negeri (RM300).

Apakah status pemberian barang kemas tersebut? Bukankah ia hak mutlak isteri? Untuk pengetahuan, perceraian adalah dengan kebenaran mahkamah dan ketika bekas suami minta adalah ketika saya dan bekas suami sepakat untuk berpisah; sebelum saya memfailkan permohonan cerai fast track di mahkamah.

Juga, adakah amalan minta semula pemberian ketika akad nikah merupakan salah satu adat negeri memandangkan bekas suami bukan orang Selangor seperti saya tapi Melaka.

Mohon pencerahan. Sekian, terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm. wbt.,

Alhamdulillah, segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah ﷻ. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat dan seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

 

Mukadimah

Kami tidak menemui apa-apa dokumen perundangan yang meyakinkan dan menyokong kenyataan bahawa menjadi adat sebahagian negeri untuk memberikan semula pemberian ketika nikah kepada suami. Tetapi kami sebutkan di sini dalam bab pertunangan, Seksyen 15 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan bahawa:

“Jika seseorang telah mengikat suatu pertunangan mengikut Hukum Syarak, sama ada secara lisan atau secara bertulis, dan sama ada secara bersendirian atau melalui seorang perantaraan, dan kemudiannya enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi itu tanpa apa-apa sebab yang sah manakala pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir adalah bertanggungan memulangkan pemberian pertunangan, jika ada, atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang telah dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu, dan yang demikian boleh dituntut melalui tindakan dalam Mahkamah.”

Memandangkan isu di sini melibatkan perkahwinan dan perceraian, kami tidak bahaskan perihal balasan dalam pertunangan. Berikut kami nyatakan perbandingan “adat” tersebut dengan beberapa konsep dalam hukum hakam pernikahan.

 

Tiada pampasan ke atas wanita

Daripada satu sudut, adat berkenaan jika dipaksakan ke atas pihak perempuan, maka adalah salah satu bentuk bid’ah yang munkar. Ini kerana mengikut Hukum Syarak, pihak lelakilah yang sepatutnya memberikan pampasan mut`ah kepada isteri dan bukannya daripada isteri yang telah ditalakkan. Firman Allah ﷻ:

لَّا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ إِن طَلَّقْتُمُ النِّسَاءَ مَا لَمْ تَمَسُّوهُنَّ أَوْ تَفْرِضُوا لَهُنَّ فَرِيضَةً ۚ وَمَتِّعُوهُنَّ عَلَى الْمُوسِعِ قَدَرُهُ وَعَلَى الْمُقْتِرِ قَدَرُهُ مَتَاعًا بِالْمَعْرُوفِ ۖ حَقًّا عَلَى الْمُحْسِنِينَ

Maksudnya: “Tidaklah kamu bersalah dan tidaklah kamu menanggung bayaran maskahwin) jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka atau (sebelum) kamu menetapkan maskahwin untuk mereka. Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi "Mut'ah" (pemberian saguhati) kepada mereka (yang diceraikan itu). Iaitu: suami yang senang (hendaklah memberi saguhati itu) menurut ukuran kemampuannya; dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian saguhati menurut yang patut, lagi menjadi satu kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan.”

(Surah al-Baqarah: 236)

Kata ulama, ayat ini memiliki empat dalil:

  1. Arahan yang membawa kepada mewajibkan;
  2. Kadar dan penentuan kadar hanya pada perkara yang wajib dan tidak pada perkara sunat.
  3. Itulah adalah hak, maka ia adalah wajib ditunaikan.
  4. Frasa “`ala al-muhsinin”, “‘ala” di sini ialah huruf al-ilzam, untuk mewajibkan.

Firman Allah ﷻ:

وَلِلْمُطَلَّقَاتِ مَتَاعٌ بِالْمَعْرُوفِ ۖ حَقًّا عَلَى الْمُتَّقِينَ

Maksudnya: “Dan isteri-isteri yang diceraikan berhak mendapat Mut'ah pemberian saguhati) dengan cara yang patut, sebagai satu tanggungan yang wajib atas orang-orang yang taqwa.”

(Surah al-Baqarah: 241)

Ayat ini mengandungi huruf lam al-tamlik, yang membawa kepada pemilikan, dengan kadar yang mengikut uruf. Maka tidak dikadarkan perkara yang tidak wajib, melainkan perkara itu wajib jua. Oleh itu, siapa yang menegahnya adalah orang yang bukan bertaqwa, justeru, memberinya adalah kewajiban.

Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (3/184)

Dengan dalil ini, jelaslah bahawa kewajiban memberikan pampasan perceraian bukanlah tanggungjawab bekas isteri sebaliknya adalah pihak suami.

Menuntut kembali pemberian adalah diharamkan.

Berkata ulama, tidak dihalalkan kepada pemberi untuk meminta pulang barang yang telah diberikan, melainkan al-asl (bapa, ibu, datuk, dan nenek) meminta daripada al-far’ (anak dan cucu), dan pemberian yang bersyarat.

Dalilnya ialah daripada Ibn Umar dan Ibn Abbas – radhiallahu `anhum – bahawa mereka membawa suatu kes kepada Rasulullah ﷺ yang kemudiannya bersabda:

قَالَ لَا يَحِلُّ لِرَجُلٍ أَنْ يُعْطِيَ عَطِيَّةً أَوْ يَهَبَ هِبَةً فَيَرْجِعَ فِيهَا إِلَّا الْوَالِدَ فِيمَا يُعْطِي وَلَدَهُ وَمَثَلُ الَّذِي يُعْطِي الْعَطِيَّةَ ثُمَّ يَرْجِعُ فِيهَا كَمَثَلِ الْكَلْبِ يَأْكُلُ فَإِذَا شَبِعَ قَاءَ ثُمَّ عَادَ فِي قَيْئِهِ

Maksudnya: "Tidak halal bagi seorang laki-laki yang memberi suatu pemberian kemudian mengambilnya kembali, kecuali orang tua mengambil apa yang ia berikan kepada anaknya. Dan permisalan orang yang memberi suatu pemberian kemudian mengambilnya seperti anjing yang makan, maka setelah kenyang ia muntah kemudian menelan muntahannya kembali."

Riwayat Abu Daud (3539) dan al-Tirmidzi (1299). Al-Tirmidzi mensahihkannya.

Ulama fiqh berkata, memakan muntah semula adalah haram maka begitu jugalah perangai buruk siku.

Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (3/184)

 

Mahar dan cerai secara khulu’

Suami hanyalah boleh meminta balik pemberian yang diberikan ketika nikah jika tuntutannya itu adalah cerai secara khulu’. Menurut Imam al-Nawawi “Khulu`” bermaksud pembubaran perkahwinan dengan suatu balasan, menggunakan lafaz talak atau khulu’. Rujuk Minhaj al-Tolibin (ms. 226). Firman Allah ﷻ:

فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّهِ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا فِيمَا افْتَدَتْ بِهِ

Maksudnya: “Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa - mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu).”

(Surah al-Baqarah : 229)

Perceraian secara khulu’ perlu mempunyai sighah ijab dan qabul antara suami dan isteri yang ingin bercerai itu, seperti lafaz suami, “Aku ceraikan dikau dengan balasan gelang hantaran”, kemudian jawab isteri, “Aku terima,” atau, isteri menyebut, “Ceraikan aku, nanti aku berikan balik gelang hantaran,” kemudian dijawab oleh suami, “Baik, aku ceraikan kau.” Jika sah ijab qabul itu, maka sahlah talak khulu’ dan wajiblah isteri itu serahkan balasan yang diminta.

Manakala mahar, itu menjadi milik mutlak pihak isteri. Memintanya kembali tanpa sebab khulu’ adalah haram dan berdosa. Allah ﷻ juga mencela para suami yang menarik kembali mahar yang telah dia berikan kepada isterinya. Allah ﷻ berfirman:

وَإِنْ أَرَدْتُمُ اسْتِبْدَالَ زَوْجٍ مَكَانَ زَوْجٍ وَآتَيْتُمْ إِحْدَاهُنَّ قِنْطَارًا فَلَا تَأْخُذُوا مِنْهُ شَيْئًا أَتَأْخُذُونَهُ بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُبِينًا (20) وَكَيْفَ تَأْخُذُونَهُ وَقَدْ أَفْضَى بَعْضُكُمْ إِلَى بَعْضٍ وَأَخَذْنَ مِنْكُمْ مِيثَاقًا غَلِيظًا (21)

Maksudnya: “Jika kamu ingin menggantikan isteri kamu dengan isteri yang lain (menceraikan isteri pertama dan bernikah lagi), sedang kamu telah memberikan kepada seorang di antara mereka harta yang banyak (mahar), maka janganlah kamu mengambil kembali daripadanya walau sedikitpun. Apakah kamu akan mengambilnya kembali dengan jalan tuduhan yang dusta dan dengan (menanggung) dosa yang nyata? Bagaimana mungkin kamu akan mengambilnya kembali, padahal sebagian kamu telah bergaul (bercampur) dengan yang lain sebagai suami-isteri? Dan mereka (isteri-isterimu) telah mengambil dari kamu perjanjian yang kuat.”

(Surah al-Nisa: 20 – 21)

Kami telah membahaskan isu mahar ini dan bolehg rujuk Irsyad Al-Fatwa Ke-198 : Hukum Suami Menggunakan Mahar Yang Telah Diberikan Kepada Isteri

 

Kesimpulan

Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, kami berpendapat seperti berikut:

  • Kami tidak mengetahui adat setempat yang mewajibkan isteri memulangkan kembali hadiah yang diterima semasa pernikahan pada waktu perceraian. Sekiranya adat itu wujud sekalipun, maka hukumnya adalah tertakluk kepada keredaan bekas isteri dan ihsannya, bukannya kewajiban. Ini kerana adat tidak boleh menghalalkan perkara yang haram, dan mengharamkan perkara yang halal.
  • Jika pemulangan hadiah itu adalah balasan dalam cerai khulu’ maka itu diharuskan kerana sifatnya adalah harta. Justeru, isteri wajib memulangkan untuk menguatkuasakan sighah cerai khulu’. Jika tidak dipulangkan, maka tidak berlaku cerai khulu’.
  • Mahar tidak boleh dituntut oleh pihak suami sama ada dalam perkahwinan atau selepas perceraian, kerana itu adalah isteri yang diiktiraf berdasarkan nas al-Quran. Penggunaan harta mahar oleh suami tertakluk dengan budi bicara dan ihsan pihak isteri. Apatahlagi merampas balik harta mahar itu adalah diharamkan.
  • Secara asasnya, apa-apa pemberian sudah termeterai pemilihan milik apabila berlakunya qabdh (penerimaan barang). Justeru, tidak halal bagi seorang pemberi untuk buruk siku meminta kembali barang yang diberikan melainkan dalam kes-kes yang tertentu.

Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman kepada pihak penanya. Wallahua`lam.