اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE- 370 : ADAKAH DISYARATKAN BERJEMAAH UNTUK MENGULANG SOLAT YANG TELAH DIDIRIKAN ?

IF370

 

Soalan :

Assalamu’alaikum S.S. Mufti. Sebaik sahaja saya selesai mendirikan solat fardhu, saya merasakan bahawa ada kekurangan pada solat tadi dari sudut tidak fokus dan khusyuk. Soalan saya, bolehkah saya mengulangi semula secara bersendirian atau perlu secara berjemaah ?

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Solat dari sudut waktu ia didirikan terbahagi kepada dua bahagian. Pertama, solat yang dilakukan di dalam waktunya. Kedua, solat yang dilakukan di luar waktunya. Solat yang dilakukan di luar waktu disebut sebagai qadha’, manakala solat yang dilakukan di dalam waktunya terbahagi kepada dua iaitu :

  • Ada’ (أداء)
  • I’adah (اعادة) iaitu mengulangi solat fardhu yang telah didirikan.

Menurut kitab Al-Fiqh Al-Manhaji, perbuatan ‘iadah (mengulangi) solat merujuk kepada perbuatan seseorang yang melaksanakan satu solat dari solat-solat fardhu, kemudian dia merasakan bahawa terdapatnya kekurangan atau kecacatan di dalam solat tersebut dari sudut adab-adab atau pelengkap solat (yakni bukan pada perkara yang membatalkan solat), kemudian dia mengulanginya semula dalam bentuk yang tidak terdapatnya kekurangan atau kecacatan. Rujuk Al-Feqh Al-Manhaji (1/110).

Persoalan berkaitan isu hukum mengulangi solat fardhu yang telah didirikan telah kami ulas secara panjang lebar dalam ruangan Al-Kafi Siri Ke- 1020 : Hukum Mengulangi Solat Fardhu yang boleh dibaca menerusi pautan berikut https://bit.ly/2SCnpup

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, berikut kami kongsikan beberapa nas yang boleh dijadikan sandaran berkenaan isu ini. Antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Yazid bin Al-Aswad R.A beliau berkata :

شَهِدْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم صَلاَةَ الْفَجْرِ فِي مَسْجِدِ الْخَيْفِ فَلَمَّا قَضَى صَلاَتَهُ إِذَا هُوَ بِرَجُلَيْنِ فِي آخِرِ الْقَوْمِ لَمْ يُصَلِّيَا مَعَهُ قَالَ ‏ عَلَىَّ بِهِمَا ‏فَأُتِيَ بِهِمَا تُرْعَدُ فَرَائِصُهُمَا فَقَالَ مَا مَنَعَكُمَا أَنْ تُصَلِّيَا مَعَنَا ‏قَالاَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّا قَدْ صَلَّيْنَا فِي رِحَالِنَا قَالَ فَلاَ تَفْعَلاَ إِذَا صَلَّيْتُمَا فِي رِحَالِكُمَا ثُمَّ أَتَيْتُمَا مَسْجِدَ جَمَاعَةٍ فَصَلِّيَا مَعَهُمْ فَإِنَّهَا لَكُمَا نَافِلَةٌ

Maksudnya : ‘’Aku pernah mendirikan solat subuh bersama dengan Rasulullah S.A.W di Masjid Al-Khaif. Apabila baginda selesai mendirikan solat maka baginda mendapati ada dua orang lelaki di hujung jemaah yang tidak turut serta bersolat bersama baginda’’. Kemudian Rasulullah bersabda : ‘’Bawakan mereka berdua kepada aku’’. Lalu dibawakan kepada mereka dalam keadaan mereka ketakutan. Kemudian Rasulullah S.A.W bersabda : ‘’Apa yang menghalang kamu berdua untuk solat bersama kami ?’’ Maka mereka berdua berkata : ‘’Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami telah mendirikan solat di rumah kami’’. Lalu kata Nabi S.A.W : ‘’Janganlah kamu berdua buat begitu. Apabila kamu berdua telah melaksanakan solat di rumah kamu, kemudian kamu berdua datang ke masjid yang ada didirikan solat secara berjamaah, maka solatlah kamu berdua bersama mereka kerana ia adalah dianggap solat sunat buat kamu berdua’’.

Riwayat Al-Nasa’ie (858)

Begitu juga sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id Al-Khudri R.A beliau berkata :

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَبْصَرَ رَجُلا يُصَلِّي وَحْدَهُ فَقَالَ ‏‏ أَلاَ رَجُلٌ يَتَصَدَّقُ عَلَى هَذَا فَيُصَلِّيَ مَعَهُ ‏‏

Maksudnya : Rasulullah S.A.W telah melihat seorang lelaki solat secara bersendirian lalu baginda bersabda : ‘’Tidak adakah seorang lelaki yang ingin bersedekah kepada si fulan ini lalu dia solat bersamanya ?’’.

Riwayat Abu Daud (574)

Maka hadis di atas secara mafhumnya difahami bahawa sekiranya seseorang itu masuk ke dalam masjid dan orang ramai telah selesai mendirikan solat, maka disunatkan sebahagian yang berada di situ untuk menunaikan solat bersama lelaki tersebut supaya dia memperoleh pahala solat berjemaah.

Justeru, berdasarkan beberapa riwayat di atas kita mendapat suatu gambaran bahawa solat ‘iadah iaitu mengulangi solat fardhu yang telah didirikan ini adalah dilakukan secara berjamaah. Maka sesiapa yang telah melaksanakan solat yang sahih sekalipun secara berjamaah kemudian dia menemukan seseorang yang melaksanakan solat di dalam waktunya sekalipun dalam keadaan dia solat bersendirian, maka disunatkan untuk seseorang itu solat bersamanya.

Bahkan sebahagian ulama berpendapat bahawa solat yang diulangi ini sama seperti solat Jumaat dari sudut tidak sah dilakukan secara bersendirian. Ini seperti yang disebutkan oleh Imam al-Khatib al-Syarbini Rahimahullah :

أَن الصَّلَاة الْمُعَادَة كَالْجُمُعَةِ إِذْ لَا تصح فُرَادَى فَلَا بُد من نِيَّة الْإِمَامَة فِيهَا

Maksudnya : Sesungguhnya solat yang diulangi adalah sama seperti solat Jumaat dari sudut tidak sah dilakukan secara bersendirian maka mesti adanya niat imam padanya (solat yang diulang).

Rujuk Al-Iqna’, Al-Khatib al-Syarbini (1/165)

Syaikh Nawawi bin ‘Umar Al-Bantani menyatakan bahawa ada beberapa syarat bagi i’adah (pengulangan solat). Berikut kami kongsikan antara syaratnya :

  • Solat yang pertama adalah solat fardhu yang telah didirikan dalam waktunya atau solat sunat yang disunatkan padanya untuk berjamaah.

Berkenaan isu solat sunat secara berjemaah, kami telah mengulasnya secara panjang lebar dalam ruangan Al-Kafi #624 : Hukum Menunaikan Solat Sunat Secara Berjamaah yang boleh dibaca menerusi pautan berikut https://bit.ly/2umlv76

  • Solat i’adah ini dilakukan sekali sahaja mengikut qaul (pendapat) yang muktamad. Imam al-Muzani pula berpendapat bahawa ia boleh diulang sebanyak 25 kali. Manakala Syeikh Abu al-Hasan al-Bakri menyatakan bahawa ia boleh diulang berkali-kali tanpa had selama mana belum tamat waktu solat.
  • Solat i’adah ini mestilah dilakukan kesemuanya secara berjamaah dari awal sehingga akhir. Berjemaah padanya sama seperti bersuci.

Rujuk Kaasyifah Al-Saja, Nawawi bin ‘Umar (Hlm. 325 - 327)

Kami menambah, sekiranya seseorang itu mengulangi solatnya, hendaklah dia melakukannya sebagai seorang makmum dan bukan sebagai seorang imam. Ini sebagai mengikut kaedah al-khuruj minal khilaf mustahab (keluar daripada khilaf merupakan suatu perkara yang dituntut) bagi mereka yang berpendapat tidak boleh untuk seorang yang solat fardhu berimamkan seorang yang solat sunat.

Penutup

Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa hukum mengulangi solat yang telah didirikan adalah sunat. Ia dilakukan apabila dirasakan solat yang dilakukan pertama kali tersebut didapati ada kekurangan dari sudut tidak khusyuk atau untuk mendapatkan ganjaran pahala yang lebih.

Oleh yang demikian, sekiranya anda telah menunaikan solat fardhu yang sahih sama ada secara berjemaah atau bersendirian lalu anda mendapati ada orang lain yang mendirikan solat secara berjemaah di dalam waktunya, maka untuk mendapatkan fadhilat dan ganjaran yang lebih besar maka anda mengulangi solat tersebut secara berjemaah. Lebih dituntut lagi untuk mengulangi solat jika imam bagi jemaah yang kedua itu adalah lebih alim atau lebih warak, ataupun jemaah kedua lebih ramai makmumnya.

Para ulama menyatakan bahawa menjadi syarat untuk solat i’adah itu dilakukan secara berjamaah, justeru tidak sah sekiranya seseorang itu mengulangi solat yang telah dilakukan secara bersendirian.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.