اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KE-372 : HUKUM MEMAKAN DAGING DUBUK (HYENA)

IF 372 Dubuk

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Maaf saya ingin bertanya satu soalan. Saya ada terbaca yang dahulu pada zaman sahabat, daging dubuk dijual antara Bukit Safa dan Marwah.  Soalannya, adakah kita dibenarkan untuk memakan daging dubuk?

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ ﴿١٣﴾

Maksudnya : “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang berfikir.”

(Surah al-Jathiyah : 13)

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT telah menundukkan untuk kamu semua segala apa yang ada di langit yang terdiri daripada matahari, bulan dan bintang, serta segala apa yang ada di bumi yang terdiri daripada haiwan-haiwan (makanan dan pengangkutan darat), tumbuh-tumbuhan, kapal dan lain-lain, untuk manfaat buat kamu semua. Kesemua nikmat-nikmat ini adalah merupakan pemberian daripada Allah semata-mata, Dia memberikan perkara-perkara tersebut kepada kamu sebagai nikmatNya dan juga kurniaanNya. Maka hendaklah kepadaNya sahaja kamu menyembah (beribadah) dan jangan sekali-kali kamu menjadikan bagiNya sekutu. Sesungguhnya pada apa yang telah Dia tundukkan buat kamu itu ada mengandungi tanda-tanda dan bukti-bukti yang menunjukkan kepada keesaanNya, bagi mereka yang merenung (berfikir) akan ayat-ayat Allah (tanda-tanda kekuasaanNya) serta hujah-hujah dan dalil-dalilNya lalu mereka mengambil pengajaran daripadanya. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 499)

Dubuk (hyaenidae)

Dubuk atau dikenali juga sebagai hyena ialah mamalia yang terkenal kerana lolongannya yang  aneh seperti hilaian orang yang diserang hysteria. Dubuk memburu haiwan sebagai makanannya. Ia juga memakan sisa-sisa bangkai haiwan.[1]Manakala menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, Dubuk ialah sejenis binatang liar yang memakan bangkai.[2]

Hukum memakan daging dubuk

Para ulama telah berbeza pandangan mengenai hukum memakan daging dubuk kepada dua pendapat. Ada ulama mengatakan bahawa dagingnya halal dimakan dan ada yang mengatakan bahawa ia haram dimakan.

Abu Hanifah menyatakan bahawa dubuk haram dimakan. Ini juga adalah merupakan pendapat Said bin al-Musayyib dan al-Thauri. Mereka berhujahkan bahawa dubuk adalah merupakan haiwan yang memiliki taring dan Nabi SAW telah melarang kita untuk memakan setiap binatang buas yang memiliki taring. (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 2/113)

Begitu juga, al-Zaila’ie al-Hanafi menyatakan di dalam kitabnya bahawa dubuk adalah merupakan haiwan yang (dagingnya) tidak dimakan kerana memakan bangkai dan dagingnya menjadi busuk disebabkan oleh pemakanannya itu. Oleh itu, ia termasuk dalam kalangan haiwan yang buruk (jijik). (Lihat Tabyin al-Haqaiq, 5/295) Firman Allah SWT :

وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya : “dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk”

(Surah al-A’raf : 157)

Manakala Imam al-Nawawi menyatakan bahawa daging dubuk boleh dimakan dan dijual beli. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/9) Imam Syafie juga ada menyebutkan bahawa:

وَلُحُومُ الضِّبَاعِ تُبَاعُ عِنْدَنَا بِمَكَّةَ بَيْنَ الصَّفَا وَالْمَرْوَةِ، لَا أَحْفَظُ عَنْ أَحَدٍ مِنْ أَصْحَابِنَا خِلَافًا فِي إحْلَالِهَا

Maksudnya : “Daging-daging dubuk dijual antara Bukit Safa dan Marwah semasa kami di Makkah. Dan aku tidak ketahui seorang pun daripada kalangan ashab kami, yang khilaf dalam menghalalkannya” (Lihat al-Umm, 2/273)

Mereka berdalilkan dengan riwayat Ibn Abi Ammar bahawa :

قُلْتُ لِجَابِرٍ : الضَّبُعُ صَيْدٌ هِيَ؟ قَالَ : «نَعَمْ»، قَالَ : قُلْتُ : آكُلُهَا؟ قَالَ : «نَعَمْ»، قَالَ : قُلْتُ لَهُ : أَقَالَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ قَالَ : «نَعَمْ»

Maksudnya : Aku pernah bertanya kepada Jabir : “Adakah dubuk termasuk haiwan buruan?” Dia menjawab : “Ya.” Aku bertanya lagi : “Bolehkah aku memakannya?” Dia menjawab : “Ya.” Aku bertanya lagi : “Apakah Rasulullah SAW pernah mengatakannya?” Dia menjawab : “Ya.” [HR al-Tirmizi (1791)]

Imam al-Tirmizi mengatakan bahawa hadis ini hasan sahih. Sebahagian sarjana telah berpendapat sedemikian (sebagaimana hadis di atas) iaitu tidak mengapa memakan daging dubuk. Ini juga adalah merupakan pendapat Imam Ahmad dan Ishak.

Selain itu, terdapat juga riwayat hadis yang menyatakan bahawa makruh memakan daging dubuk. Akan tetapi sanadnya tidak kuat. Oleh yang demikian, sebahagian sarjana yang lain telah memakruhkan memakan daging dubuk seperti pendapat Ibn al-Mubarak.

(Lihat Sunan al-Tirmizi, 4/252)

Di dalam hadis Jabir bin Abdullah yang lain, dia menyatakan bahawa :

سألْتُ رسولَ اللهِ ﷺ عنِ الضَّبُعِ، فقال : هو صيدٌ، ويجعلُ فيه كَبشٌ إذا صادَهُ المُحرمُ

Maksudnya : Aku telah bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai dubuk. Lalu Baginda SAW menjawab : “Ia adalah haiwan buruan dan dijadikan padanya denda (dam) seekor kambing, sekiranya orang yang berihram memburunya.” [HR Abu Daud (3801)]

Ini adalah merupakan dalil yang jelas menunjukkan keapda kita bahawa daging dubuk adalah halal dimakan kerana ia termasuk dalam kategori haiwan buruan.

Selain itu, Kamaluddin al-Syafie juga ada menyatakan bahawa antara dalil yang mengharuskan memakan dubuk ialah kerana dubuk tidak memakan makanan yang berjangkit dan ia boleh hidup tanpa menggunakan taringnya (untuk memburu haiwan lain). (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 2/113)

Syeikh Daud al-Fatani telah menyenaraikan dubuk termasuk dalam binatang darat yang halal dimakan. (Lihat Matla’ al-Badrain, disusun oleh PMWP, hlm. 26)  Akan tetapi dubuk yang dimaksudkan di sini adalah yang bertaring tetapi tidak memburu binatang pada kelazimannya kerana terdapat juga jenis dubuk yang bertaring dan memburu.[3]

Imam al-Nawawi juga ada menyebutkan bahawa mereka yang berpegang kepada keharusan memakan daging dubuk adalah seperti Imam Ahmad, Daud, Ibn Abi Talib, Ishak bin Rahuyah, dan Abu Thaur serta ramai dalam kalangan sahabat dan tabi’in. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/9) Antara sahabat yang mengharuskan memakan dubuk dan menjadikannya sebagai haiwan buruan ialah seperti Saad bin Abi Waqqas, Ali bin Abi Talib, Ibn Umar dan lain-lain. (Lihat Musonnaf Abd al-Razzak 4/512-513)

Sebab pengharaman haiwan bertaring serta pengecualian dubuk

Syeikh Soleh al-Fauzan mengatakan bahawa tiada pertembungan antara dua hadis iaitu yang mengharuskan memakan dubuk dan yang mengharamkan semua haiwan bertaring, kerana hadis yang mengharamkan semua haiwan bertaring adalah umum manakala hadis yang mengharuskan memakan dubuk adalah khas. Maka, didahulukan hadis yang khusus berbanding umum. (Lihat al-At‘imah, hlm. 40)

Dalam hal ini Ibn Qayyim al-Jauziyyah ada menyatakan bahawa :

فَإِنَّهُ إنَّمَا حَرَّمَ مَا اشْتَمَلَ عَلَى الْوَصْفَيْنِ : أَنْ يَكُونَ لَهُ نَابٌ، وَأَنْ يَكُون مِنْ السِّبَاعِ الْعَادِيَةِ بِطَبْعِهَا كَالْأَسَدِ وَالذِّئْبِ وَالنَّمِرِ وَالْفَهْدِ. وَأَمَّا الضَّبُعُ فَإِنَّمَا فِيهَا أَحَدُ الْوَصْفَيْنِ، وَهُوَ كَوْنُهَا ذَاتَ نَابٍ، وَلَيْسَتْ مِنْ السِّبَاعِ الْعَادِيَةِ. وَلَا رَيْبَ أَنَّ السِّبَاعَ أَخَصُّ مِنْ ذَوَاتِ الْأَنْيَابِ، وَالسَّبُعُ إنَّمَا حَرَّمَ لِمَا فِيهِ مِنْ الْقُوَّةِ السَّبُعِيَّةِ... وَلَا رَيْبَ أَنَّ الْقُوَّةَ السَّبُعِيَّةَ الَّتِي فِي الذِّئْبِ وَالْأَسَدِ وَالنَّمِرِ وَالْفَهْدِ لَيْسَتْ فِي الضَّبُعِ حَتَّى تَجِبَ التَّسْوِيَةُ بَيْنَهُمَا فِي التَّحْرِيمِ، وَلَا تُعَدُّ الضَّبُعُ مِنْ السِّبَاعِ لُغَةً وَلَا عُرْفًا.

Maksudnya : “Sesungguhnya haiwan tersebut haram (dimakan) apabila ia merangkumi dua ciri ini; iaitu ia mempunyai taring dan merupakan haiwan pemangsa secara tabiat semulajadinya seperti singa, serigala, dan harimau. Adapun dubuk memiliki salah satu daripada dua ciri tersebut iaitu bertaring. Akan tetapi tabiat semulajadinya bukan daripada haiwan pemangsa (memburu binatang sebagai makanan). Dan tidak syak lagi bahawa haiwan pemangsa adalah lebih khusus daripada haiwan-haiwan yang bertaring. Dan haiwan pemangsa haram (dimakan) disebabkan oleh sifatnya yang ganas memburu… Juga tidak syak lagi bahawa sifat ganas memburu yang ada pada serigala, singa dan harimau, tidak ada pada dubuk sehingga membolehkan persamaan antara kedua-duanya pada pengharaman. Selain itu, dubuk juga tidak dianggap termasuk dalam kategori haiwan pemangsa sama ada dari segi bahasa mahupun adat setempat.” (Lihat I’lam al-Muwaqqi’in, 2/90) 

Kesimpulannya

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara :

  • Kami cenderung kepada pandangan yang mengharuskan (halal) memakan daging dubuk sebagaimana pendapat majoriti para ulama.
  • Namun, dubuk yang dimaksudkan adalah daripada jenis yang bertaring tetapi tabiat semulajadinya tidak memburu binatang lain (sebagai makanannya yang utama).
  • Menjadi tuntutan ke atas kita seorang Muslim, bukan sahaja perlu memilih makanan yang halal tetapi juga perlu baik (berkualiti) sebagaimana firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya : “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik”

(Surah al-Baqarah : 168)

  • Begitu juga, makanan yang halal dan baik juga adalah merupakan antara faktor doa diterima oleh Allah SWT. Sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW :

الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ، يَا رَبِّ، يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟

Maksudnya : “Seorang lelaki yang melakukan perjalanan jauh (lama), tubuhnya diliputi debu lagi kusut, dia menadah tangannya ke langit dan berdoa, ‘Ya Rabbku, ya Rabbku’. Akan tetapi makanannya haram, minumannya haram, dan ia diberi makan dengan yang haram. Maka bagaimana mungkin doanya dikabulkan.”

[HR Muslim (1015)]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

 

[1] Lihat : http://prpmv1.dbp.gov.my/Search.aspx?k=aneh&d=8. Telah di akses pada 16 Januari 2020.

[2] Lihat : http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=dubuk&d=73528&. Telah di akses pada 16 Januari 2020.

[3] Lihat Matla’ al-Badrain, oleh Syeikh Daud al-Fatani, disusun oleh PMWP, nota kaki no. 13, hlm. 26