اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-380 : HUKUM SOLAT JENAZAH TANPA WUDUK

IF 380 solat jenazah

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya ingin bertanya, ada seorang sahabat saya kata boleh solat jenazah tanpa wuduk. Betul ka Datuk Mufti? Harap Datuk dapat beri pencerahan.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT ;

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ ﴿٣٤﴾

Maksudnya : “Dan bagi tiap-tiap umat itu ada ajalnya (tempoh yang telah ditetapkan); maka apabila datang ajalnya, tidak dapat mereka lewatkan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka awalkan (saat kematian tersebut).”

(Surah al-A’raf : 34)

Ayat ini menunjukkan bahawa bagi tiap-tiap generasi dan kurun itu tempoh masa dan waktu yang telah ditetapkan bagi ajal mereka. Apabila telah datang waktu-waktu mereka (ajal) yang telah ditentukan, mereka tidak dapat melewatkannya walaupun seketika (sesaat) atau memajukannya (lebih awal). (Lihat Mukhtasar fi Tafsir al-Quran al-Kareem, hlm. 154)

 

Kelebihan solat jenazah

Solat jenazah mempunyai ganjaran yang besar bagi mereka yang mengerjakannya. Sabda Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam :

مَنْ شَهِدَ الْجَنَازَةَ حَتَّى يُصَلَّى عَلَيْهَا فَلَهُ قِيرَاطٌ ، وَمَنْ شَهِدَهَا حَتَّى تُدْفَنَ فَلَهُ قِيرَاطَانِ . قِيلَ : وَمَا الْقِيرَاطَانِ ؟ قَالَ : مِثْلُ الْجَبَلَيْنِ الْعَظِيمَيْنِ

Maksudnya : “Sesiapa yang bersama-sama jenazah sehingga selesai disolatkan, maka dia mendapat satu qirat (قِيرَاطٌ) dan sesiapa yang bersama-samanya sehingga selesai dikebumikan, maka dia mendapat dua qirat. Lalu Baginda ditanya : Apakah dua qirat itu? Baginda menjawab : Ganjarannya umpama dua buah gunung yang besar”

[HR al-Bukhari (1325) dan Muslim (945)]

 

Pensyariatan solat jenazah

Pensyariatan solat jenazah adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa :

أن النبيَّ ﷺ نعى النَّجاشي في اليوم الذي مات فيه, وخرج بهم إلى المُصلَّى، فصفَّ بهم, وكبَّر عليه أربعًا

Maksudnya : “Sesungguhnya Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam bersedih atas kematian Najasyi pada hari kematiannya, lalu Baginda keluar ke tempat solat (musolla), membuat saf bersama-sama sahabat dan bertakbir sebanyak empat kali (solat jenazah)” [HR al-Bukhari (1245) dan Muslim (951)]

Berkenaan tatacara solat jenazah telah kami bahaskan di dalam artikel kami, al-Kafi li al-Fatawi (968) : Kaifiat Solat Jenazah Ghaib

 

Solat jenazah tanpa wuduk

Berbalik kepada soalan yang telah ditanyakan, kita harus ketahui bahawa disyaratkan bagi sah solat jenazah sebagaimana apa yang disyaratkan bagi solat-solat yang lain iaitu suci yang hakiki dari segi badan, pakaian dan tempat solat. Begitu juga suci yang hukmi (batin), menutup aurat, mengadap kiblat, dan berniat. Perkara yang membezakannya dengan solat-solat yang lain hanyalah waktu iaitu bagi solat jenazah tidak disyaratkan waktu yang khusus. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 16/18)

Terdapat satu riwayat daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma bahawa beliau telah berkata :

لا يصلي الرجل على الجنازة إلا وهو طاهر

Maksudnya : “Tidak boleh seorang lelaki untuk solat ke atas jenazah melainkan dia dalam keadaan suci.”

(Lihat al-Muwatta’, hlm. 230)

Syeikh Abdul Karim al-Khudair menyatakan bahawa ini adalah merupakan pendapat majoriti ulama. Bahkan Ibn Abd al-Bar menukilkan bahawa para ulama telah sepakat dalam perkara ini melainkan apa yang diriwayatkan oleh al-Sya’bi. Beliau telah berpendapat bahawa solat jenazah boleh dilaksanakan tanpa perlu bersuci. (Lihat Syarh al-Muwatta’, 46/8)

Imam al-Nawawi juga ada menyatakan bahawa :

وَأَجْمَعَتِ الْأُمَّةُ عَلَى تَحْرِيمِ الصَّلَاةِ بِغَيْرِ طَهَارَةٍ مِنْ مَاءٍ أَوْ تُرَابٍ وَلَا فَرْقَ بَيْنَ الصَّلَاةِ الْمَفْرُوضَةِ وَالنَّافِلَةِ وَسُجُودِ التِّلَاوَةِ وَالشُّكْرِ وَصَلَاةِ الْجِنَازَةِ إِلَّا مَا حُكِيَ عَنِ الشَّعْبِيِّ وَمُحَمَّدِ بْنِ جَرِيرٍ الطَّبَرِيِّ مِنْ قَوْلِهِمَا تَجُوزُ صَلَاةُ الْجِنَازَةِ بِغَيْرِ طَهَارَةٍ وَهَذَا مَذْهَبٌ بَاطِلٌ وَأَجْمَعَ الْعُلَمَاءُ عَلَى خِلَافِهِ وَلَوْ صَلَّى مُحْدِثًا مُتَعَمِّدًا بِلَا عُذْرٍ أَثِمَ وَلَا يَكْفُرُ عِنْدنَا وَعِنْدَ الْجَمَاهِيرِ وَحُكِيَ عَنْ أَبِي حَنِيفَةَ رَحِمَهُ اللَّهُ تَعَالَى أَنَّهُ يَكْفُرُ لِتَلَاعُبِهِ وَدَلِيلُنَا أَنَّ الْكُفْرَ لِلِاعْتِقَادِ وَهَذَا الْمُصَلِّي اعْتِقَادُهُ صَحِيحٌ وَهَذَا كُلُّهُ إِذَا لَمْ يَكُنْ لِلْمُصَلِّي مُحْدِثًا عُذْرٌ

Maksudnya : “Umat telah sepakat pada keharaman solat tanpa bersuci sama ada daripada air ataupun tanah. Dan tidak ada beza antara solat fardu atau solat sunat atau sujud tilawah atau sujud syukur atau solat jenazah melainkan apa yang dinukilkan oleh al-Sya’bi dan Muhammad bin Jarir al-Tabari bahawa solat jenazah boleh dilaksanakan tanpa bersuci. Pendapat ini adalah batil dan para ulama telah sepakat pada sebaliknya. Sekiranya seseorang yang berhadas menunaikan solat secara sengaja tanpa sebarang keuzuran, dia berdosa tapi tidak jatuh kafir di sisi kami (mazhab Syafie) dan majoriti (ulama). Akan tetapi dinukilkan satu pendapat daripada Abu Hanifah Rahimahullah taala bahawa beliau berpandangan orang tersebut jatuh kafir kerana telah main-main dengannya (ibadah berkenaan). Adapun dalil kami (mazhab Syafie) hukuman kafir tersebut hanyalah bagi perkara-perkara yang melibatkan I’tiqad (Akidah). Dan orang yang menunaikan solat ini (solat jenazah tanpa wuduk), I’tiqadnya masih sahih. Dan perkara ini kesemuanya adalah sekiranya tidak ada bagi orang yang solat dalam keadaan berhadas tersebut sebarang keuzuran.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 3/103)

Imam al-Nawawi ada menambahkan lagi di dalam kitab yang lain bahawa menurut mazhab kami (Syafie) solat jenazah tidak sah melainkan dengan bersuci maknanya sekiranya dia mampu untuk berwuduk, maka tidak sah (solat jenazah tersebut) melainkan dengannya. Sekiranya dia tidak mampu, dia boleh bertayammum. Akan tetapi tidak sah tayammum dalam keadaan dia mampu menggunakan air, sekalipun dia takut terlepasnya waktu solat jenazah (telah selesai). Ini juga adalah merupakan pendapat Imam Malik, Ahmad, Abu Thaur, dan Ibn al-Munzir.

Abu Hanifah pula berpandangan boleh bertayammum dalam keadaan adanya air (boleh guna air) sekiranya dia takut terlepas untuk solat jenazah disebabkan sibuk mengambil wuduk (kerana jauh dan lain-lain).

Manakala al-Sya’bi, Muhammad bin Jarir al-Tabari dan Syiah berpendapat solat jenazah boleh dilaksanakan tanpa bersuci sekalipun dia mampu untuk berwuduk dan bertayammum kerana solat jenazah adalah doa.

(Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/223)

Ibn Battal ada menyebutkan bahawa al-Sya’bi membolehkan solat jenazah tanpa perlu bersuci (daripada hadas) kerana ia adalah doa dan tidak ada di dalamnya ruku’ dan sujud. Para fuqaha’ telah sepakat pada pendapat yang sebaliknya (berbeza dengan al-Sya’bi) serta jangan ikuti pendapatnya yang syaz ini (pendapat al-Sya’bi). Selain itu, para ulama juga telah sepakat bahawa tidak (sah) solat jenazah melainkan dengan mengadap kiblat. Oleh itu, kalaulah benar ia adalah doa sebagaimana dakwaan al-Sya’bi, sudah tentu ia boleh dilaksanakan tanpa mengadap kiblat. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 3/305)

Ibn Rejab al-Hanbali pula menyebutkan bahawa dinukilkan daripada sebahagian ulama terdahulu (mutaqaddimin) yang berpendapat ia adalah doa. Maka, tidak disyaratkan padanya wuduk. Kemudian, dikatakan padanya : Oleh itu, adakah ia boleh dilakukan tanpa mengadap kiblat? Kemudian, dia menarik semula pendapatnya itu. (Lihat Fath al-Bari, 3/92)

Maka, kita ketahui bahawa majoriti para ulama telah sepakat bahawa disyaratkan bagi melaksanakan solat jenazah mesti dalam keadaan suci sebagaimana disyaratkan bagi solat-solat yang lain. Adapun pendapat yang mengatakan ia boleh dilaksanakan tanpa bersuci adalah merupakan pendapat yang syaz (ganjil) dan tidak boleh diikuti sebagaimana kata Imam al-Nawawi dan Ibn Battal.

 

Dalil dan hujah jumhur ulama

Dalil jumhur ulama yang mengatakan bahawa disyaratkan padanya bersuci adalah berdasarkan firman Allah SWT :

وَلَا تُصَلِّ عَلَىٰ أَحَدٍ مِّنْهُم مَّاتَ أَبَدًا

Maksudnya : “Dan janganlah engkau sembahyangkan seorang pun yang mati dari orang-orang munafik itu selama-lamanya”

(Surah al-Taubah : 84)

Allah SWT menamakannya dengan solat. Begitu juga dengan lafaz di dalam hadis-hadis yang menamakannya sebagai solat seperti sabda Nabi SAW :

مَن صلّى على جِنازةً فله قِيراطٌ

Maksudnya : “Sesiapa yang solat ke atas jenazah, baginya (pahala) satu Qirat.”

[HR Ahmad (9016)]

Dan seterusnya Allah SWT ada menyatakan di dalam al-Quran mengenai perlunya berwuduk (bersuci) terlebih dahulu sebelum menunaikan solat sebagaimana firmanNya di dalam surah al-Maidah ayat 6. Begitu juga dengan sabda Nabi SAW yang menyatakan bahawa tidak diterima solat seseorang itu melainkan dalam keadaan bersuci (daripada hadas). [HR Muslim (224)].

Oleh kerana itu, apabila solat jenazah memerlukan kepada syarat-syarat solat, menunjukkan bahawa ia adalah termasuk dalam kategori solat. Adapun keadaan solat jenazah itu kebanyakkannya adalah doa, perkara tersebut tidak mengeluarkannya daripada sifatnya sebagai solat.

(Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/223)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada persoalan di atas, setelah diteliti pandangan para ulama, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara :

  • Disyaratkan bagi sah solat jenazah sebagaimana yang disyaratkan bagi solat-solat yang lain. Justeru, seseorang itu perlu memastikan dirinya berada dalam keadaan suci (berwuduk) sebelum melaksanakan solat jenazah. Imam al-Nawawi telah menukilkan bahawa pendapat ini para ulama telah ijma’ (sepakat) mengenainya.
  • Adapun pendapat yang menyatakan bahawa ia boleh dilakukan tanpa perlu berada dalam keadaan suci (dariapda hadas) sebagaimana yang telah dinisbahkan kepada al-Sya’bi dan Ibn Jarir al-Tabari adalah merupakan pendapat yang syaz (ganjil dan asing) serta tidak boleh beramal (berpegang) dengannya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.