اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE 412 : ADAKAH BOLEH BERKAHWIN DENGAN NIAT UNTUK BERCERAI?

IF 412

Soalan :

Assalamualaikum wbt Datuk. Ada satu persoalan yang saya musykilkan. Ada sebahagian pasangan yang saya berjumpa mereka ini berkahwin akan tetapi dengan niat untuk bercerai disebabkan mereka berkahwin hanya untuk membahagiakan mak dan ayah. Kemusykilan saya adalah adakah terdapat perkahwinan yang sebegitu di dalam islam?. Mohon pencerahan Datuk.

Jawapan :

Waalaikumussalam wbt. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Perkahwinan adalah satu ikatan suci yang amat dijaga hal ehwalnya oleh syarak.  Setiap pasangan suami dan isteri masing-masing mempunyai tanggungjawab dalam mengemudi rumahtangga untuk melahirkan keluarga yang soleh dan menggapai redha Allah SWT. Oleh kerana itu, perkahwinan yang dibina bukan semata-mata memuaskan nafsu seksual akan tetapi ia merupakan sahutan terhadap perintah Allah SWT. Selain itu, perkahwinan yang terjalin adalah untuk menjaga nasab keturunan, memperbanyakkan zuriat yang akhirnya memperbolehkan pasangan untuk mendidik agar menjadi keluarga yang soleh dan taat kepada perintah Allah SWT. Ini berdasarkan firman Allah SWT :

فَٱنكِحُوا۟ مَا طَابَ لَكُم مِّنَ ٱلنِّسَآءِ مَثْنَىٰ وَثُلَـٰثَ وَرُبَـٰعَ ۖ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا۟ فَوَٰحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَـٰنُكُمْ

Maksudnya : “…Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki…”

(Surah Al-Nisa' : 3)

Hukum perkahwinan itu boleh dibahagikan kepada beberapa hukum. Ianya boleh menjadi wajib,sunat, harus, makruh dan haram mengikut situasi tertentu dan keadaan yang tertentu.Seseorang wajib untuk berkahwin jika ia sudah berkemampuan dan takut akan membawanya ke lembah kebinasaan jika dia tidak berkahwin. Ianya menjadi sunat jika dia berkemampuan dan mampu menahan dirinya daripada melakukan perkara yang haram.Ianya juga boleh menjadi makruh jika dia tahu bahawa jika dia berkahwin maka ia bakal mengakibatkan kezaliman. Begitu juga  ianya bahkan boleh menjadi haram jika perkahwinan yang dibina itu sememangnya akan  mengakibatkan kezaliman dan kesengsaraan.Ini kerana perkahwinan disyariatkan sebagai satu instrument untuk memelihara diri dan sebagai wasilah ibadah kepada Allah SWT.

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, jika seseorang berkahwin dengan niat untuk bercerai, maka ia perlu dilihat kepada akadnya. Jika akadnya dinyatakan tempoh-tempoh tertentu maka ianya adalah akad yang batil dan merupakan gambaran daripada nikah mut’ah. Al-Khatib Al-Syarbini menyebut :

Disyaratkan pada akad nikah nikah mutlak tanpa ada tempoh masa tertentu yang jelas seperti selepas sebulan atau yang tidak dimaklumi (majhul) seperti sehingga datangnya Zaid.Ianya merupakan nikah mut’ah yang diharamkan di dalam Islam.” (Rujuk Mughni Al-Muhtaj ila Ma’rifah Maani Alfaz Al-Minhaj, 3/139)

Namun, jika ianya tidak dinyatakan secara jelas di dalam akad dan hanya berniat sahaja maka ianya tidak menjejaskan akad perkahwinan. Ianya adalah akad perkahwinan yang sah selagi mana memenuhi rukun dan syarat pernikahan.

Al-Mawardi menyebut bahawa jika seseorang itu mensyaratkannya sebelum pernikahan dan dia bernikah tanpa ada syarat tersebut disebutkan akan tetapi dia telah berniat maka nikahnya itu adalah nikah yang sah. Ini kerana akadnya itu bebas dari perkara yang boleh merosakkannya. Akan tetapi ia merupakan perbuatan yang makruh kerana ia berniat perkara yang mana jika dizahirkan akan menyebabkan rosaknya perkahwinan. Niatnya semata-semata tidak akan merosakkan akad.” (Rujuk Al-Hawi Al-Kabir  Fi Fiqh Mazhab Al-Imam Al-Syafi’i, 9/841).

Kesimpulannya, jika seseorang berkahwin dengan niat untuk bercerai maka akad nikah dan perkahwinan tersebut adalah sah selagi mana rukun dan syarat dipenuhi. Namun begitu, perbuatan tersebut adalah perbuatan yang haram. Ini kerana niatnya itu betul-betul menyalahi dan bercanggah dengan tujuan perkahwinan. Bahkan Allah SWT telah memperingatkan di dalam Al-Quran tujuan satu-satu perkahwinan itu dibina. Firman Allah SWT :

وَمِنْ ءَايَـٰتِهِۦٓ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَٰجًا لِّتَسْكُنُوٓا۟ إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً

Maksudnya : “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.”

(Surah Al-Rum : 21)

Perlu diingat biarlah perkahwinan yang dibina itu perlulah berlandaskan taqwa bukan untuk menzalimi atau menyakiti orang lain. Jika tidak suka maka nyatakan secara terus terang kepada ahli keluarga. Semoga Allah memberikan taufiq dan hidayah-Nya kepada kita semua. Wallahu’alam.