اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-444 : HUKUM MAKMUM MASBUQ ‘KEJAR’ IMAM

if444 compressed

Soalan:

Assalamualaikum wrm. wbt.,

Saya ingin bertanya. Saya pernah melihat seseorang yang solat di belakang imam secara masbuq, contohnya masuk ketika imam berada dalam rakaat ketiga dalam solat Zuhur. Tetapi, walaupun pada kebiasaan makmum itu mengikut perbuatan imam, orang tersebut ‘mengejar’ perbuatan imam dengan melaksanakan rakaat pertama dan kedua solat Zuhur dengan laju supaya dapat bersama dengan perbuatan semasa oleh Imam. Adakah sah solat orang tersebut dan dapatkah pahala jemaah?

 

Jawapan:

Wa`alaikumussalam wrm. wbt.,

Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah ﷻ. Selawat dan salam kepada Junjungan Nabiﷺ, para isteri dan keluarga baginda ﷺ, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda ﷺ hingga ke Hari Akhirat.

Seseorang yang ingin menjadi makmum wajib mengetahui bahawa apabila dia menjadi makmum di belakang seorang imam, maka dia hendaklah mengikut perbuatan imam tersebut. Ini berdasarkan hadis riwayat Aisyah R.Anha bahawa sabda Rasulullah ﷺ:

إِنَّمَا جُعِلَ الإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ فَإِذَا رَكَعَ، فَارْكَعُوا وَإِذَا رَفَعَ، فَارْفَعُو

Maksudnya: “Dijadikan imam adalah untuk diikuti.  Jika dia rukuk maka hendaklah kalian rukuk, jika dia i`tidal maka hendaklah kalian i`tidal.”

Riwayat al-Bukhari (688) dan Muslim (412)

Berkata Imam al-Nawawi dalam al-Minhaj Syarh Sahih Muslim (4/134):

فَمَعْنَاهُ عِنْدَ الشَّافِعِيِّ وَطَائِفَةٍ فِي الْأَفْعَالِ الظَّاهِرَةِ

Maksudnya: “maknanya di sisi al-Syafie dan sekumpulan ulama ialah (mengikut) pada perbuatan-perbuatan solat yang zahir.”

Dalam hadis Abu Hurairah RA diriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

إِنَّمَا جُعِلَ الْإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا، وَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا، وَإِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ فَارْفَعُوا رُءُوسَكُمْ، وَإِذَا قَالَ: سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ فَقُولُوا جَمِيعًا: اللهُمَّ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ، وَإِذَا سَجَدَ فَاسْجُدُوا، وَلَا تَسْجُدُوا قَبْلَ أَنْ يَسْجُدَ، وَإِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ فَارْفَعُوا رُءُوسَكُمْ، وَلَا تَرْفَعُوا رُءُوسَكُمْ قَبْلَ أَنْ يَرْفَعَ

Maksudnya: “Sesungguhnya imam itu dijadikan untuk diikuti, maka apabila imam bertakbir lalu hendaklah kalian bertakbir, jika dia rukuk hendaklah kalian rukuk, jika dia mengkat kepala (i`tidal) maka hendaklah kalian mengangkat kepala. Jika disebut: Sami`allahu liman hamidah, maka hendaklah kalian sebut beramai-ramai: Allahumma rabbana wa lakal hamdu. Jika dia sujud, hendaklah kalian sujud, jangan kalian sujud sebelum dia sujud, dan jika dia mengangkat kepalanya barulah kalian mengangkat kepala dan jangan mengangkat kepala sebelum imam mengangkat kepala.

Riwayat al-Baihaqi (2594) dalam Sunan al-Kubra

Maka, apabila seseorang yang solat dengan niat mengikut imam kemudian dia tidak mengikut perbuatan imam ketika itu maka dia telah menyelisihi Sunnah Nabi ﷺ yang menyuruh kita mengikut perbuatan imam dalam solat.

Adakah batal solat kerana menyelisihi perbuatan imam? Para ulama fiqh berkata hukumnya batal jika makmum menyelisihi imam sehingga dua rukun fi’li (perbuatan), yang sempurna, dan berturut-turut, sama ada penyelisihan itu bersifat mendahului imam atau lewat daripada imam. Rujuk Mughni al-Muhtaj (1/506 & 510) oleh Imam al-Khatib al-Syarbini

Tambahan lagi, perbuatan menyelisihi perbuatan imam adalah berdosa, berdasarkan hadis riwayat Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

أَمَا يَخْشَى أَحَدُكُمْ - أَوْ: لاَ يَخْشَى أَحَدُكُمْ - إِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ قَبْلَ الإِمَامِ، أَنْ يَجْعَلَ اللَّهُ رَأْسَهُ رَأْسَ حِمَارٍ، أَوْ يَجْعَلَ اللَّهُ صُورَتَهُ صُورَةَ حِمَارٍ

Maksudnya: “Tidakkah salah seorang dari kalian takut, atau apakah salah seorang dari kalian tidak takut, jika ia mengangkat kepalanya sebelum Imam, Allah akan menjadikan kepalanya seperti kepala keldai, atau Allah akan menjadikan rupanya seperti bentuk keledai?"

Riwayat al-Bukhari (691) dan Muslim (427)

Berkata Imam Ibn Hajar al-Asqalani: “Zahir hadis ini menunjukkan kepada pengharaman mengangkat kepala sebelum imam kerana kedudukan hadis ini menjanjikan kecacatan (pada muka atau kepala), sedangkan itulah sedahsyat-dahsyat balasan. Oleh sebab itu al-Nawawi menjazamkan (memastikan) dalam Syarh al-Muhadzzab, sekalipun ada pendapat lain, bahawa hukumnya adalah pengharaman. Justeru, majoriti ulama berpendapat bahawa pelakunya berdosa sekalipun solatnya itu tetap sah.”

Rujuk Fath al-Bari (2/183)

Hadis riwayat Abu Hurairah RA berikut juga menunjukkan bahawa makmum wajib mengikut perbuatan semasa imam. Rasulullah ﷺ bersabda:

إِذَا سَمِعْتُمُ الإِقَامَةَ، فَامْشُوا إِلَى الصَّلاَةِ وَعَلَيْكُمْ بِالسَّكِينَةِ وَالوَقَارِ، وَلاَ تُسْرِعُوا، فَمَا أَدْرَكْتُمْ فَصَلُّوا، وَمَا فَاتَكُمْ فَأَتِمُّوا

Maksudnya: “Jika kalian mendengarkan iqamat, maka hendaklah kalian berjalan menuju solat dalam keadaan kalian tenang dan berjalan sederhana, jangan tergesa-gesa. Apa yang kalian dapatkan dari solat maka ikutilah, dan apa yang kalian tertinggal maka sempurnakanlah."

Riwayat al-Bukhari (636) dan Muslim (602)

Berkata al-Syarbini: “Menyempurnakan sesuatu tidak berlaku melainkan setelah sudah pun dimulakan.” Rujuk Mughni al-Muhtaj (1/512)

Berdasarkan fakta dan kenyataan di atas, kami cenderung kepada pendapat bahawa perbuatan individu tersebut jika dia memulakan solat dengan niat sebagai makmum yang masbuk, tetapi melakukan rukun-rukun solat secara bersendirian untuk ‘mengejar’ sampai ke perbuatan semasa imam, adalah batal jemaah, dan solatnya, kerana dia telah meninggalkan syarah sah jemaah iaitu mengikut perbuatan imam. Disebut dalam Fath al-Muin (ms.178-179):

“Maka jika seseorang itu meninggalkan niat qudwah atau syak pada niat (termasuk jika syarat qudwahnya tidak memenuhi – pent.) kemudian dia mengikut pada perbuatan seperti menunduk badan untuk rukuk mengikut (“imam”nya) atau memberi salam, dengan niat tanpa mengikut imam, dan hal itu berlaku dengan lama mengikut uruf pada penungguannya, maka batallah solat.”

Di dalam I`anah al-Tolibin (2/25) menyebut alasan batal itu ialah:

“Kerana orang yang solat itu bermain-main dengan keadaannya yang menggantung solatnya dengan solat orang lain tanpa penyambung yang sah antara mereka berdua.”

Ini merupakan pendapat yang asah (lebih sahih). Adapun pendapat ulama yang muqabil asah (berlawanan dengan yang lebih sahih) mengatakan hukumnya adalah tidak membatalkan solat tetapi dikira solat bersendirian. Fakta ini ada disebutkan dalam kitab al-Majmu` Syarh al-Muhadzzab (4/201):

“[Pendapat yang asah lagi masyhur mengatakan hukumnya batal solatnya kerana solatnya diikatkan dengan orang yang tidak bukan imam bagi, maka jadilah seperti hukum mengikat dengan orang yang tidak bersolat. Inilah pendapat yang dipastikan oleh al-Baghawi dan ulama lain. Manakala pendapat kedua bahawa tidak batal kerana orang itu telah melaksanakan rukun-rukun berdasarkan bentuknya. Inilah pendapat yang telah dipastikan oleh ramai ulama. Justeru jika kita berpegang bahawa tidak batal solatnya maka jadilah solat itu dilaksanakan secara berseorangan, dan tidak mendapat pahala jemaah tanpa khilaf, dan inilah yang dijelaskan oleh al-Mutawalli, dan selain beliau.”

Namun jika, seseorang itu bersolat secara bersendirian pada mulanya, kemudian berniat masuk ke dalam jemaah solat atau niat menjadi makmum di pertengahannya, maka hukum solatnya adalah sah, mengikut pendapat yang lama oleh Imam al-Syafie dan difatwakan oleh ulama mutaakhkhirin. Berkata Syeikh al-Nawawi al-Bentani dalam Kasyifah al-Saja (205): “Kalau seseorang makmum itu berniat mengikut imam di pertengahan solatnya maka hukumnya sah tetapi makruh, serta tidak mendapat pahala berjemaah sekalipun pada apa yang dia sempat bersama dengan imam berdasarkan pendapat muktamad kerana dia telah mengubah dirinya sebagai makmum yang mengikut sedangkan dia bermula sebagai berseorangan. Maka yang utama ialah dia mencukupkan dengan dua rakaat solat (ertinya tukar jadi solat sunat) kemudian dia memberi salam kemudian dia niat mengikut imam di belakang imam tadi. Sebagaimana memasukkan dirinya bersama imam ketika pertengahan solat adalah makruh begitu juga jika dia memutuskannya.”

Rujuk juga Tuhfah al-Habib (2/158) oleh Syeikh al-Bujairimi; Bughyah al-Mustarsyidin (hlm.16)

Maka jelaslah bahawa sebaiknya adalah makmum itu mengikut Sunnah Rasulullah ﷺ dengan mengikut perbuatan semasa imam, kemudian setelah salam, maka disempurnakan bilangan rakaat yang telah luput. Wallahua’lam.