اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD FATWA SIRI KE-456 : HUKUM MENGGADAIKAN BARANG KEMAS YANG DIJUMPAI

if456 compressed

Soalan:

Assalamualaikum wrm. wbt.,

Saya menjumpai barang kemas iaitu rantai emas di suatu tempat. Saya cuba cari pemiliknya tetapi masih belum dijumpai. Kebetulan, saya sedang berada dalam kesesakan wang. Apa hukumnya saya menggadaikan emas berkenaan untuk menyelesaikan keperluan saya, kemudian saya tebus kembali untuk diberi semula kepada pemilik asal, sekiranya ditemui?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm. wbt.,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah ﷻ, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad ﷺ, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Isu penting dalam bab pungutan ialah niat si pemungut sewaktu mengambil barang itu. Dalam bab barang pungut, terdapat implikasi hukum berbeza mengikut niat pemungut. Ini kerana hukum barang pungut ini pada asalnya adalah untuk menjaga hak empunya barang, dan bukan untuk semata-mata pemilikan si pemungut. Firman Allah ﷺ:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: "Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan."

(Surah al-Maidah: 2)

Berkata ulama, apabila pemungut mengambil barang temuan ini dengan tujuan menjaganya selamanya, maka ia adalah amanah di tangannya, bersamaan adanya keinginan untuk mengembalikannya. Hal ini disebabkan ia menjaganya untuk pemiliknya, maka sama seperti penerima wadi`ah. Hal ini bersandarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid al-Juhani RA bahawa Rasulullah ﷺ bersabda tentang barang temuan:

اعْرِفْ وِكَاءَهَا وَعِفَاصَهَا، ثُمَّ عَرِّفْهَا سَنَةً، فَإِنْ لَمْ تُعْرَفْ فَاسْتَنْفِقْهَا، وَلْتَكُنْ وَدِيعَةً عِنْدَكَ، فَإِنْ جَاءَ طَالِبُهَا يَوْمًا مِنَ الدَّهْرِ فَأَدِّهَا إِلَيْهِ

Maksudnya: “Kenalilah wadah dan talinya, kemudian perkenalkan kepada orang ramai (atau  iklankan) selama setahun. Apabila pemiliknya tidak datang untuk mengenalinya, maka kamu boleh memanfaatkan, dan jadilah barang itu sebagai wadi`ah (barang simpanan orang) kepada kamu. Seandainya di suatu hari pemiliknya datang mencari barang tersebut, maka berikanlah barang tersebut (atau nilainya) kepadanya.”

Riwayat Muslim (1722)

Selain itu, terdapat hadith riwayat Ubay bin Ka’ab RA, beliau berkata:

صُرَّةً فِيهَا مِائَةُ دِينَارٍ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَتَيْتُ بِهَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: عَرِّفْهَا حَوْلاً. فَعَرَّفْتُهَا حَوْلاً فَلَمْ أَجِدْ مَنْ يَعْرِفُهَا ثُمَّ أَتَيْتُهُ. فَقَالَ: عَرِّفْهَا حَوْلا. فَعَرَّفْتُهَا فَلَمْ أَجِدْ، ثُمَّ أَتَيْتُهُ ثلاثاً فَقَالَ: احْفَظْ عَدَدَهَا وَوِعَاءَهَا وَوِكَاءَهَا فَإِنْ جَاءَ صَاحِبُهَا وَإِلاَّ فَاسْتَمْتِعْ بِهَا. فَاسْتَمْتَعْتُ

Maksudnya:Saya menemui satu uncang yang berisi seratus dinar dan saya pergi menemui Nabi SAW, lalu Baginda bersabda: “Umumkan tentangnya selama setahun”. Lantas saya pun umumkan selama setahun. Namun tiada siapa yang mengenalinya, kemudian saya pergi menemui Baginda lagi. Baginda bersabda: “Umumkanlah selama setahun. Sehingga tuannya datang. Jika tiada yang datang kamu gunalah”. Lalu saya pun menggunakannya.

Riwayat al-Bukhari (224)  dan Muslim (1723)

Ini kerana pada asalnya orang yang memungut adalah sukarelawan (mutabarri`) untuk menjaga, justeru dia tidak bertanggungjawab (dhomin) sekiranya barang itu hilang dan rosak, melainkan jika barang itu rosak dan hilang kerana kelalaian dan kecuaian daripada dirinya.

Dalilnya, Rasulullah ﷺ bersabda:

لَيْسَ عَلَى الْمُسْتَوْدَعِ غَيْرِ الْمُغِلِّ ضَمَانٌ

Maksudnya:Orang yang diminta untuk menjaga simpanan dan tidak melampaui had tidak perlu bertanggungjawab.

Riwayat al-Daraqutni (167)

Begitu juga, sekiranya penjaga perlu membayar ganti rugi, sudah tentu tiada siapa yang akan bersedia menerima simpanan. Ia sudah tentu akan membebankan semua pihak.

Rujuk al-Fiqh al-Manhaji (3/247)

Oleh itu, dia wajib menjaganya, dan mentakrifkan, yakni mengiklankannya. Jika dia menyerahkan kepada hakim (yakni pihak berautoriti) maka hakim itu wajib menerimanya. Jika dia berniat pada asalnya untuk memiliki, bukan untuk disimpan, kemudian mengubah niatnya untuk menjaga, kemudia diserahkan kepada hakim, wajib hakim itu menerimanya.

Jika pemungut itu mengambil barang itu dengan niat khianat terhadap pemilik asal atau untuk menguasainya serta merta, maka jadilah dia berstatus perampas, yang bertanggungjawab terhadap barang pungut itu jika hilang atau rosak walaupun jika dia mengiklankannya kemudian berniat ingin memilikinya, tetap tidak ada makna, kerana dia sudah dianggap sebagai perampas. Tidak lepas tanggungjawab ini ke atasnya sehingga dia mengembalikan semula kepada pemiliknya.

Jika pemungut mengambil barang temuan untuk mengiklankannya selama setahun kemudian untuk memilikinya selepas setahun, maka itu adalah amanah ke atasnya selama setahun itu seperti halnya muda` (orang yang menerima simpanan), dan berkekalanlah status itu sehingga dia membuat pilihan untuk memilikinya secara niat atau lafaz, lalu jadilah selepas itu barang temuan itu miliknya, beserta tanggungjawab untuk memulangkan kembali barang itu, atau nilanya jika pemiliknya ditemui.

Jika pemungut memegang harta secara yadd al-amanah, kemudian dia berniat khianat, maka mengikut pendapat yang asah, itu tidak mengubah statusnya kepada yadd al-dhaman dengan semata-mata niat, sehinggalah dapat dibuktikan dengan perbuatan, sama seperti orang yang menerima simpanan yang berniat khianat terhadap simpanan orang dengannya.

Jika dia khianat dengan perbuatan, setelah dia pada asalnya memegang atas dasar amanah, lalu jadilah dia dhamin terhadap barang temuan itu. Tetapi, jika dia membatalkan niat dan perbuatan khianat tadi, dan ingin untuk mengiklankan barang temuan kemudian baru memilikinya, maka dibenarkan mengikut pendapat yang asah, dengan syarat dia bertanggungjawab untuk memulangkan kembali barang itu jika pemiliknya ditemui.

Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (3/680-681)

Orang yang khianat dengan amanah ini dipanggil sebagai perampas. Hukum merampas ini adalah berdosa besar kerana menafikan hak pemilikan harta seseorang yang terpelihara – atau hifz al-mal. Daripada Abdullah bin Umar RA, Rasulullah ﷺ bersabda:

فَإِنَّ دِمَاءَكُمْ، وَأَمْوَالَكُمْ، وَأَعْرَاضَكُمْ، بَيْنَكُمْ حَرَامٌ، كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا، فِي شَهْرِكُمْ هَذَا، فِي بَلَدِكُمْ هَذَا، لِيُبَلِّغِ الشَّاهِدُ الغَائِبَ، فَإِنَّ الشَّاهِدَ عَسَى أَنْ يُبَلِّغَ مَنْ هُوَ أَوْعَى لَهُ مِنْهُ

Maksudnya: Maka sesungguhnya nyawa-nyawa kalian, harta-harta, dan maruah-maruah, antara sesama kamu adalah diharamkan untuk mencabulinya, sama seperti hari yang kalian berada kini (10 Dzulhijjah), bulan ini (Dzulhijjah, Bulan Haram), dan negeri ini (Tanah Haram), semoga orang yang menyaksikan di sini akan menyampaikan kepada yang tidak hadir, sesungguhnya, mudah-mudahkan orang yang hadir akan menyampaikan kepada orang yang lebih mengerti (tentang mesej ini).”

Riwayat al-Bukhari (67) dan Muslim (1679)

Berkata Imam al-Nawawi dalam al-Minhaj Syarh al-Muslim (8/182): “maknanya sebagai menguatkan pengharaman secara bersangatan (apabila dikaitkan dengan hari, bulan dan tanah Haram).”

Berkenaan isu rampasan ini, berikut kami petik ulasan para pengarang al-Fiqh al-Manhaji (3/359 & 364):

“Dalam bahasa Arab, al-Ghasbu atau rampasan bermaksud mengambil sesuatu dengan cara yang salah. Menurut istilah syara’ pula, rampasan bermaksud menguasai sesuatu hak orang lain dengan cara yang salah. Hak orang lain mencakupi hak dalam bentuk benda seperti rumah dan sebagainya, perkhidmatan seperti kediaman rumah, dan perkara yang dikhaskan kepada seseorang (ikhtisas) seperti anjing pemburu dan sebagainya, hak minum dan sepertinya. Dengan cara yang salah bermaksud ia dilakukan dengan cara pencerobohan dan kezaliman. Maksudnya, tindakan tersebut tidak diredhai pemilik malah dia dipaksa menerimanya. Orang yang makan makanan orang lain tanpa kebenaran atau sebarang kontrak adalah perampas. Orang yang mendiami sesebuah rumah tanpa persetujuan pemilik juga adalah perampas, walaupun dia membayar sewa. Orang yang duduk di bangku orang lain tanpa izin juga adalah perampas.”

“Sekiranya perampas melakukan sesuatu kontrak terhadap barang yang dirampas sama ada dengan cara jual beli, hadiah, sewa, pinjam, simpan atau sebagainya, tindakannya itu batil, tidak sah serta tidak mempunyai apa-apa implikasi syara’.”

Dalam masa yang sama, seseorang itu apabila berada dalam keadaan darurat, maka dia boleh menggunakan harta yang haram bagi tujuan menyelamatkan nyawanya, atau kepentingan-kepentingan yang lain seperti agama, aqal, keturunan dan harta. Allah ﷻ berfirman:

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّـهِ ۖ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ ﴿١٧٣﴾

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-Baqarah: 173)

Darurat menurut Syeikh Muhammad al-Zuhaili ketika membahas kaedah al-darurat tubih al-mahzhurat (perkara darurat mengharuskan perkara yang dilarang) ialah: “Sampainya seseorang kepada had peringkat yang jika dia tidak mengambil sesuatu yang dilarang maka akan menghasilkan kebinasaan kepada diri orang yang terdesak itu, atau hampir kepada kebinasaan, seperti hilangnya anggota, hilangnya pancaindera maka ini dianggap darurat daripada sudut Hukum Syarak.”

Rujuk al-Qawaid al-Fiqhiyyah wa Tatbiqatiha fi al-Madzahib al-Arba`ah (1/276) Cetakan Darul Fikir 2006.

Manakala takrif yang dipilih dalam Ma`lamah Zayed ialah: “Ia adalah hal keadaan di mana seseorang manusia berada dalam dilema; jika dia tidak meraikan sesuatu (yakni melakukan sesuatu) nescaya dia akan binasa atau ditakuti akan menghilangkan maslahat-maslahat bagi perkara-perkara yang doruri.”

Perkara yang doruri diperikan sebagai penjagaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Rujuk Ma`lamah Zayed li al-Qawaid al-Fiqhiyyah wa al-Usuliyyah (No. 258)

Namun begitu, kebenaran ini terhad pada perkara dorurat itu sahaja. Ini bersesuaian dengan kaedah fiqh:

مَا أُبِيحَ لِلضَّرُورَةِ يُقَدِّرُ بِقَدَرِهَا

Maksudnya: “Apa yang diharuskan kerana darurat itu diharuskan mengikut kadar daruratnya sahaja.”

Rujuk al-Asybah wa al-Nazha’ir (hal. 172) oleh Imam al-Suyuti rahimahullah.                          

Kaedah menyatakan:

المَيْسُورُ لَا يَسْقُطُ بِالمَعْسُوْرُ

Maksudnya: “Perkara yang mudah dilakukan tidak jatuh tuntutannya dengan perkara yang sukar dilakukan.”

  Rujuk al-Asybah wa al-Nazo`ir (hlm. 293) oleh Imam Jalaluddin al-Suyuti

Ertinya, jika seseorang yang mukallaf itu tidak dapat melaksanakan semua kewajipan yang perlu diraikan dalam satu amalan, jangan sampai amalan itu ditinggalkan secara keseluruhan.

Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, kami cenderung untuk mengatakan bahawa diharamkan kepada pihak yang memungut barang kemas untuk menggunakannya bagi tujuan gadaian, kerana barang tersebut adalah amanah, dan ketiadaan izin daripada pemilik asalnya untuk menggunakannya, melainkan jika terdapat darurat yang mengancam nyawa dan tujuan-tujuan Syariah yang lain. Jika digunakan atas dasar darurat, pihak pemungut wajib menggantikannya, atau dengan nilainya, kerana perkara yang diharuskan kerana darurat tidak menafikan tanggungjawab membayar balik ganti rugi. Justeru, kembali kepada hukum asal yakni jika khianat maka tanggungan ganti rugi kerana yadd dhaman, jika amanah maka ganti rugi kerana sengaja cuai dan lalai. Selain itu, wajib juga ke atas pihak pemungut untuk meneruskan aktiviti pengiklanan barang temuan itu di kawasan orang ramai atau menyerahkannya kepada pihak berautoriti seperti Majlis Agama Islam Negeri jika tidak mampu bersikap amanah.

 Wallahua’lam.

Semoga Allah ﷻ mengurniakan kita rezeki yang baik dan menjauhkan kita daripada rezeki yang haram. Amin.