Soalan :
Assalamu’alaikum ustaz, semalam telah keluar arahan supaya aktiviti solat berjemaah dan juga solat Jumaat di masjid-masjid dan surau ditangguhkan sebagai langkah mengekang penularan Covid - 19. Persoalan saya, adakah arahan ini wajib dipatuhi ?
Jawapan :
Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Mentaati pemerintah merupakan salah satu perkara yang dituntut oleh syarak. Banyak nas baik dari Al-Quran mahupun Al-Sunnah yang jelas menunjukkan kepada perkara ini. Antaranya adalah firman Allah S.W.T :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ
Maksudnya : Wahai orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah, taatlah kamu kepada Rasul serta (taatlah kepada) ulil amri (para pemimpin) dari kalangan kamu.
Surah Al-Nisa’ (59)
Sebahagian ulama tafsir dalam kupasan mereka terhadap ayat di atas ini menyatakan bahawa ketaatan kepada ulil amri hanyalah terikat dengan ketaatan mereka kepada Allah S.W.T serta Rasul-Nya S.A.W. Justeru, ketaatan kepada arahan para pemerintah adalah berkaitan dengan perkara-perkara yang makruf sahaja. Ini bertepatan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :
السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ حَقٌّ، مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِالْمَعْصِيَةِ، فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلاَ سَمْعَ وَلاَ طَاعَةَ
Maksudnya : Dengar dan taat (kepada pemerintah) itu merupakan suatu perkara yang hak (kemestian), selama mana mereka tidak memerintahkan kepada maksiat. Apabila mereka (pemerintah) mengarahkan kepada maksiat maka tidak wajib dengar dan taat (pada arahan tersebut).
Riwayat Al-Bukhari (2955)
Oleh yang demikian, sekiranya sebarang arahan yang dikeluarkan oleh pemerintah itu merupakan suatu kemakrufan, kebaikan, serta mendatangkan maslahah kepada rakyat, sama ada arahan tersebut disukai oleh kita atau tidak, namun sekiranya ia bukan maksiat maka wajib hukumnya arahan tersebut untuk dipatuhi. Ini bertepatan dengan kaedah fekah yang masyhur :
تَصَرُّفُ الإمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالمَصْلَحَة
Maksudnya : Urus tadbir pemerintah ke atas rakyat hendaklah terikat dengan maslahah.
Syaikh Syihabuddin Al-Qasthallani dalam syarahan beliau ke atas hadis Ibn Umar tersebut menyatakan : ‘’Ketaatan terhadap arahan-arahan mereka (pemerintah) adalah wajib, dan ini meliputi para pemerintah umat Islam sama ada di zaman Rasulullah S.A.W dan juga selepas baginda selama mana suruhan tersebut bukan terhadap perkara maksiat’’. Rujuk Irsyad al-Sari li Syarh al-Bukhari, Al-Qasthallani (5/119).
Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, kami menyatakan bahawa arahan yang dikeluarkan oleh pemerintah untuk menangguhkan aktiviti solat berjemaah dan juga solat Jumaat tidak ada unsur maksiat padanya. Ia merupakan arahan yang terbina demi menjaga maslahah masyarakat serta menghalang kemudharatan berlaku kepada rakyat. Arahan ini setelah berlakunya perbincangan demi perbincangan dengan badan-badan berautoriti serta pakar-pakar dalam bidang masing-masing, bertepatan dengan firman Allah S.W.T :
فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya : Maka bertanyalah kamu kepada ahl al-zikir (golongan yang pakar dalam bidang masing-masing) sekiranya kamu tidak mengetahui.
Surah Al-Nahl (43)
Lebih-lebih lagi memang terdapat keringanan yang diberikan oleh syarak untuk tidak menghadiri masjid bagi mereka yang menghadapi keuzuran seperti ketakutan dan juga penyakit. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :
مَنْ سَمِعَ النِّدَاءَ فَلَمْ يَأْتِهِ فَلاَ صَلاَةَ لَهُ إِلاَّ مِنْ عُذْرٍ
Maksudnya : Sesiapa yang mendengar seruan azan kemudian tidak mendatanginya (pergi ke masjid) maka tidak sempurna solatnya, melainkan disebabkan keuzuran.
Riwayat Ibn Majah (793)
Menurut hadis di atas, secara asasnya seseorang itu dituntut untuk menghadiri solat berjemaah sekiranya dia mendengar panggilan azan. Meskipun begitu, jika ada keuzuran tertentu maka dia diberi pengecualian untuk hadir menyahut seruan tersebut. Manakala dalam sebuah riwayat yang lain, para sahabat bertanya kepada Rasulullah S.A.W apakah yang dimaksudkan dengan keuzuran ? Maka Rasulullah S.A.W. menjawab :
خَوْفٌ أَوْ مَرَضٌ
Maksudnya : Perasaan takut ataupun sakit.
Riwayat Abu Daud (551)
Maka jelas daripada hadis di atas bahawa perasaan takut atau sakit termasuk dalam kategori uzur yang membolehkan seseorang itu untuk tidak hadir ke masjid bagi solat berjamaah.
Selain itu, penutupan masjid ini adalah salah satu dari usaha mengekang penularan wabak penyakit berjangkit, dan Islam amat menitikberatkan soal pencegahan seperti yang disebut dalam firman Allah S.W.T :
وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
Maksudnya : Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke arah kebinasaan.
Surah Al-Baqarah (195)
Penutup
Secara tuntasnya, kami akhiri kenyataan ini dengan beberapa kesimpulan berikut :
- Mentaati arahan pemerintah yang bersifat makruf adalah wajib. Arahan yang tidak wajib adalah sekiranya ia sesuatu yang haram. Sebagai contoh, sekiranya pemerintah mengarahkan untuk meninggalkan solat, maka ini adalah arahan yang haram dipatuhi. Namun, sekiranya pemerintah mengarahkan untuk dihentikan secara bertempoh solat Jumaat dan solat berjemaah di masjid bagi mengekang penularan wabak penyakit berjangkit, maka ini adalah suatu kemakrufan yang mesti dipatuhi.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :
وَإِمَاطَةُ الأَذَى عَنِ الطَّرِيقِ صَدَقَةٌ
Maksudnya : Mengalihkan sesuatu yang menyakiti dari jalanan adalah sedekah.
Riwayat Al-Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrad (422)
Maka sebarang usaha untuk mengelakkan sebarang kesakitan dan gangguan penyakit berjangkit kepada umat Islam juga turut termasuk dalam perbuatan sedekah.
- Demikian juga kaedah fekah yang menyebut :
دَرْءُ الْمَفَاسِدِ أَولَى مِن جَلب المصَالِح
Maksudnya : Menolah mafsadah (keburukan) adalah lebih utama berbanding mendatangkan kebaikan.
Justeru, arahan yang dikeluarkan adalah bersifat menolak sedaya mungkin faktor-faktor yang boleh mendatangkan kemudaratan yang lebih besar meskipun terpaksa mengenepikan beberapa maslahah-maslahah yang tertentu.
- Perlu juga ditambah bahawa ulil amri itu meliputi para umara serta para ulama’. Maka jika kedua-dua pihak ini telah bersetuju dengan sesuatu arahan yang padanya kebaikan kepada masyarakat, maka adalah wajib untuk diikuti arahan yang telah dikeluarkan tersebut. Wallahu A’lam.
- Bagi yang selama ini sentiasa melazimi solat berjemaah di masjid atau surau, kemudian terpaksa meninggalkannya atas arahan ini, maka ganjaran pahala solat berjemaah di rumah adalah sama, dan sila rujuk artikel berikut untuk penjelasan lanjut https://bit.ly/2U8cqrI
Akhir kalam kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.