Soalan :
Assalamu’alaikum tuan, adakah boleh untuk saya melakukan solat ghaib ke atas jenazah umat Islam yang meninggal disebabkan covid- 19 dan juga mereka yang meninggal dunia bukan disebabkan Covid- 19 dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ?
Jawapan :
Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapakan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Solat jenazah merupakan salah satu fardhu kifayah ke atas diri seorang muslim terhadap saudaranya yang telah meninggal dunia. Terdapat banyak dalil yang menunjukkan kepada pensyariatan solat jenazah. Antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :
مَا مِنْ رَجُلٍ مُسْلِمٍ يَمُوتُ فَيَقُومُ عَلَى جَنَازَتِهِ أَرْبَعُونَ رَجُلاً لاَ يُشْرِكُونَ بِاللَّهِ شَيْئًا إِلاَّ شَفَّعَهُمُ اللَّهُ فِيهِ
Maksudnya : Tidak ada seorang lelaki muslim yang meninggal dunia, kemudian terdapat empat puluh orang lelaki yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun yang mendirikan solat jenazah ke atasnya, melainkan Allah akan memberikan syafaat dari mereka buat dirinya (jenazah tersebut).
Riwayat Muslim (948)
Menjadi kebiasaan bagi umat Islam, solat jenazah dilakukan secara berjemaah khususnya di masjid-masjid dan juga surau. Namun, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini tidak dinafikan bahawa sedikit sebanyak ia memberi kesan kepada perlaksanaan solat jenazah secara berjemaah. Ini kerana, antara perkara yang ditegaskan dalam PKP tersebut meliputi larangan ke atas sebarang aktiviti keagamaan di masjid dan juga surau sepanjang tempoh ini termasuk sebarang solat secara berjemaah.
Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, kami menyatakan terlebih dahulu bahawa yang dimaksudkan dengan solat ghaib ke atas jenazah adalah solat jenazah yang didirikan ke atas mereka yang meninggal dunia di luar kawasan solat didirikan. Dalam erti kata, jenazah tersebut tidak berada di hadapan mereka yang mendirikan solat jenazah tersebut. Mendirikan solat ghaib ke atas jenazah merupakan suatu perbuatan yang disyariatkan di sisi syarak. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata :
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم نَعَى النَّجَاشِيَّ فِي الْيَوْمِ الَّذِي مَاتَ فِيهِ، خَرَجَ إِلَى الْمُصَلَّى، فَصَفَّ بِهِمْ وَكَبَّرَ أَرْبَعًا
Maksudnya : Sesungguhnya Rasulullah S.A.W memberitahu akan pemergian Al-Najasyi pada hari kematian beliau, kemudian baginda keluar menuju ke musolla dan seterusnya membuat saf bersama mereka dan baginda bertakbir sebanyak empat kali.
Riwayat Al-Bukhari (1245)
Para ulama fekah secara umumnya mempunyai perbezaan pendapat dalam beristidlal dengan hadis ini. Kami nyatakan perbezaan tersebut seperti berikut :
Pertama : Sebahagian ulama berpandangan bahawa hadis tersebut adalah khusus kepada Najasyi sahaja. Ini kerana, Najasyi meninggal dunia dalam keadaan tidak ada umat Islam lain di kawasan tersebut untuk mendirikan solat jenazah ke atasnya. Justeru, Rasulullah S.A.W mengambil peranan mengajak umat Islam di zaman baginda untuk melaksanakan tuntutan fardhu kifayah tersebut.
Imam Ibn Battal yang merupakan antara kibar ulama’ al-Malikiyyah berpendapat bahawa solat jenazah secara ghaib ini adalah khas buat Najasyi sahaja. Bagi menguatkan kenyataan tersebut beliau berkata :
والدليل على ذلك أنه لم يصل (صلى الله عليه وسلم) على أحد من المسلمين ومتقدمى المهاجرين والأنصار الذين ماتوا فى أقطار البلدان، وعلى هذا جرى عمل المسلمين بعد النبى (صلى الله عليه وسلم) ، ولم يصل على أحدٍ مات غائبًا، لأن الصلاة على الجنائز من فروض الكفاية يقوم بها من صلى على الميت فى البلد التى يموت فيها
Maksudnya : Dalil ke atas perkara tersebut adalah, Rasulullah S.A.W tidak mendirikan solat ke atas seorang pun dari kalangan umat Islam dan juga golongan muhajirin dan ansar terdahulu yang meninggal dunia di serata negara. Dan inilah yang menjadi pengamalan umat Islam selepas Nabi S.A.W. Tidak dilaksanakan solat ke atas seorang pun secara ghaib. Ini kerana, solat jenazah merupakan antara fardhu kifayah yang didirikan oleh pelakunya di negeri tempat jenazah tersebut meninggal dunia. Rujuk Syarah Sahih Al-Bukhari, Ibn Battal (3/243)
Kedua : Manakala sebahagian fuqaha’ yang lain pula beristidlal dengan hadis di atas akan pensyariatan solat jenazah secara ghaib. Mereka menyatakan bahawa nas hadis tersebut jelas akan pensyariatan solat jenazah secara ghaib dan menjadi tuntutan ke atas setiap umat Islam untuk mengikut petunjuk dan meneladani sunnah Rasulullah S.A.W.
Imam Al-Nawawi yang merupakan antara kibar ulama Al-Syafi’eyyah yang berpegang dengan pendapat mengharuskan solat jenazah secara ghaib dengan berhujahkan hadis di atas berkata :
وَمَذْهَبُنَا جَوَازُ الصَّلَاةِ عَلَى الْمَيِّتِ الْغَائِبِ عَنْ الْبَلَدِ سَوَاءٌ كَانَ فِي جِهَةِ الْقِبْلَةِ أَمْ فِي غَيْرِهَا وَلَكِنَّ الْمُصَلِّيَ يَسْتَقْبِلُ الْقِبْلَةَ وَلَا فَرْقَ بَيْنَ أَنْ تَكُونَ الْمَسَافَةُ بَيْنَ الْبَلَدَيْنِ قَرِيبَةً أَوْ بَعِيدَةً وَلَا خِلَافَ فِي هَذَا كُلِّهِ عِنْدَنَا
Maksudnya : Dan mazhab kami (Al-Syafi’eyyah) adalah keharusan mendirikan solat ke atas mayat yang tidak berada di dalam negeri. Sama ada ia berada di arah kiblat atau selainnya. Akan tetapi orang yang mendirikan solat itu perlu menghadap kiblat. Dan tidak ada beza antara jarak di antara dua negara itu dekat ataupun jauh serta tidak ada khilaf dalam hal ini kesemuanya di sisi kami. Rujuk Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab (5/253).
Oleh yang demikian, kita berpegang dengan pendapat mazhab Imam Al-Syafi’e dalam isu ini yang membolehkan solat secara ghaib dilaksanakan ke atas jenazah. Persoalan yang timbul adalah, memandangkan kita berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, maka sudah tentu kita sebagai masyarakat awam tidak dapat untuk hadir ke masjid bagi mendirikan solat jenazah secara berjemaah ke atas jenazah yang meninggal dunia dalam tempoh ini sama ada jenazah tersebut meninggal disebabkan Covid-19 atau disebabkan penyakit-penyakit yang lain.
Bagi menjawab persoalan tersebut, berikut kami kongsikan pendapat Syeikh Zainuddin Al-Malibari yang berkata :
لو تعذر الحضور لها بنحو حبس أو مرض جازت حينئذ على الأوجه
Maksudnya : Sekiranya terdapat keuzuran untuk menghadirinya (solat jenazah) disebabkan terkurung atau sakit, maka ketika ini dibolehkan (untuk melakukan solat jenazah secara ghaib) mengikut pendapat (yang dikemukakan oleh ashab al-wujuh). Rujuk Fath Al-Mu’in, Zainuddin Al-Malibari (225).
Justeru, pendapat ini menunjukkan bahawa seseorang yang tidak dapat untuk menghadiri perlaksanaan solat jenazah disebabkan ada keuzuran maka dia boleh untuk mengerjakan solat jenazah ghaib ke atas jenazah tersebut.
Penutup
Sebagai kesimpulan, setelah kami menekuni beberapa nas dan hujahan di atas, kami akhiri kenyataan kami ini dengan beberapa noktah berikut :
- Solat jenazah merupakan fardhu kifayah ke atas umat Islam. Dalam erti kata sekiranya telah ada sekumpulan manusia telah melakukannya, gugurlah kefardhuan tersebut ke atas mereka yang lain. Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, sekiranya ada sebarang kematian yang berlaku dan jenazah telah selesai dimandikan atau ditayammumkan (bagi jenazah yang tidak dapat dimandikan), maka keluarga terdekat atau umat Islam yang terlibat dalam proses pengurusan jenazah tersebut bolehlah mendirikan solat jenazah di tempat-tempat yang sesuai dan bersih. Tidak disyaratkan solat jenazah itu untuk dilakukan di dalam masjid. Berkenaan pelaksanaan solat jenazah itu, boleh lihat kepada huraian kami di dalam artikel berikut https://bit.ly/3aOvlii
- Disyariatkan solat jenazah ghaib bagi jenazah yang meninggal dunia di luar kawasan demikian juga dibolehkan solat jenazah ghaib dilaksanakan di rumah bagi mereka yang tidak dapat turut serta melakukannya di masjid kerana faktor keuzuran. Kami juga menyatakan bahawa solat ghaib ke atas jenazah boleh juga dilakukan meskipun jenazah berada di dalam negeri. Hal ini juga telah kami kupas di dalam artikel berikut https://bit.ly/2x83s6b
- Berkenaan dengan kaifiat atau tatacara perlaksanaan solat ghaib ke atas jenazah, kami telah mengulas berkenaannya yang boleh dirujuk menerusi pautan berikut https://bit.ly/2X8pWyE
- Kami juga menyatakan, sekiranya seseorang itu tidak sempat melakukan solat jenazah kepada mereka yang meninggal dunia dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini (PKP), adalah dibolehkan untuk mereka melaksanakan solat jenazah tersebut di kubur para jenazah tersebut sesudah tempoh PKP ini berakhir. Bahkan perbuatan ini juga tsabit daripada perbuatan Rasulullah S.A.W berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata :
أَنَّ رَجُلًا أَسْوَدَ - أَوِ امْرَأَةً سَوْدَاءَ - كَانَ يَقُمُّ الْمَسْجِدَ ، فَمَاتَ ، فَسَأَلَ النَّبِيُّ عَنْهُ فَقَالُوا مَاتَ ، قَالَ أَفَلَا كُنْتُمْ آذَنْتُمُونِي بِهِ ، دُلُّونِي عَلَى قَبْرِهِ - أَوْ قَالَ قَبْرِهَا - فَأَتَى قَبْرَهَا فَصَلَّى عَلَيْهَا
Maksudnya : Seorang lelaki yang berkulit hitam - atau seorang perempuan yang berkulit hitam dahulunya selalu membersihkan masjid. Kemudian dia meninggal dunia. Maka Rasulullah S.A.W bertanyakan tentang lelaki tersebut. Para sahabat menjawab : ‘’Dia telah meninggal dunia”. Maka baginda berkata : ‘’Mengapa kamu tidak memberitahu kepada aku (akan berita kematiannya) ? Tunjukkan kepadaku di mana kuburnya’’. Kemudian baginda pun mendatangi kuburnya dan menunaikan solat ke atas jenazahnya.
Riwayat Al-Bukhari (458)
Hadis ini jelas menunjukkan bahawa dibolehkan untuk seseorang yang tidak sempat mengerjakan solat jenazah ke atas sebelum jenazah dikebumikan untuk melakukan solat jenazah selepas ia dikebumikan di perkuburan. Kami telah mengupas isu solat jenazah di perkuburan dengan panjang lebar yang boleh dibaca menerusi pautan berikut https://bit.ly/2ULilEN
Manakala berkenaan tempoh masa bolehnya didirikan solat jenazah di perkuburan ini, Imam Al-Nawawi telah menyebutkan enam pendapat dalam isu ini iaitu :
- Dibolehkan solat ke atas jenazahnya sehingga tempoh tiga hari dan tidak disolatkan sesudah tempoh tersebut.
- Selama sebulan.
- Selama mana jasad jenazah tersebut tidak reput.
- Solat jenazah dilakukan oleh mereka yang merupakan ahli fardhu solat (dalam erti kata bukan orang kafir, haidh dan seumpamanya) pada hari kematian jenazah tersebut.
- Solat jenazah dilakukan oleh mereka yang merupakan ahli solat sekalipun dia tidak termasuk dalam ahli fardhu solat maka ini meliputi kanak-kanak yang mumayyiz.
- Dilakukan solat ke atas jenazahnya untuk tempoh selamanya. Maka atas dasar ini, boleh untuk mendirikan solat ke atas kubur para sahabat dan generasi sebelum mereka pada hari ini. Dan ashab (al-Syafi’eyyah) telah bersepakat mendhaifkan pendapat keenam ini.
Rujuk Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (5/247)
Dan Imam Al-Nawawi menyatakan bahawa pendapat di sisi mazhab Al-Syafi’e adalah, dilakukan solat jenazah ke di perkuburan selama mana jasad jenazah tersebut tidak reput, yakni masih berbakinya tulang, daging, dan anggota badan pada jenazah tersebut.
Justeru, kami berpendapat bahawa ada dua pilihan yang boleh dilakukan dalam isu ini. Pertama, boleh untuk dilakukan solat ghaib ke atas jenazah yang meninggal dunia dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini khususnya bagi mereka yang tidak terlibat secara langsung dalam proses pengurusan jenazah tersebut. Sama ada jenazah tersebut meninggal dunia disebabkan Covid- 19 atau selainnya. Kedua, dibolehkan untuk melaksanakan solat jenazah di perkuburan setelah tamatnya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini, dengan syarat mereka merupakan individu yang layak mendirikan solat fardhu pada hari kematiannya. Dalam erti kata, seorang kafir atau wanita haid pada hari kematian seseorang, tidak boleh untuk mendirikan solat di kubur jenazah tersebut selepas ia dikebumikan, meskipun selepas kematiannya orang itu masuk Islam atau suci daripada haid. Wallahu A’lam.
Akhir kalam kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.