اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-493 : ADAKAH SOLAT MASIH SAH SEKIRANYA MEMIKIRKAN PERKARA HARAM KETIKA MENUNAIKANNYA?

IF 493 TERFIKIR

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada satu persoalan. Adakah solat saya masih sah sekiranya saya terfikir-fikir perkara yang haram semasa sedang menunaikannya seperti terfikir-fikir akan perempuan? Harap dapat pencerahan mengenai perkara ini.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١﴾ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ ﴿٢﴾

Maksudnya : “Sesungguhnya telah berjayalah orang-orang yang beriman, yang mana mereka itu khusyuk di dalam solat mereka.”

(Surah al-Mukminun : 1-2)

Imam al-Qurtubi ketika menjelaskan ayat ini menyatakan bahawa khusyuk tempatnya adalah di dalam hati. Sekiranya hati itu khusyuk (ketika menunaikan solat), maka anggota badan lain juga semuanya akan turut khusyuk disebabkan oleh kekhusyukan hatinya itu. Kemudian, Imam al-Qurtubi menceritakan sebuah kisah mengenai seorang ulama yang mana ketika menunaikan solat, dia akan memalingkan pandangannya daripada sesuatu pun urusan keduniaan. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 12/103)

Memikirkan sesuatu ketika sedang menunaikan solat

Sebenarnya perkara ini berlaku kepada hampir semua orang tatkala mereka menunaikan  solat. Imam al-Bukhari telah meletakan di dalam kitabnya satu bab iaitu “Bab mengenai seorang lelaki (atau seseorang) yang memikirkan sesuatu di dalam solatnya”. Kemudian, beliau telah membawa satu kata-kata daripada Saidina Umar bin al-Khattab RA :

إِنِّي لأُجَهِّزُ جَيْشِي وَأَنَا فِي الصَّلَاةِ

Maksudnya : “Sesungguhnya aku mempersiapkan tenteraku (memikirkan mengenainya), ketika aku sedang menunaikan solat.” (Lihat Sahih al-Bukhari, Cet. Muassasah al-Risalah, 1/427)

Imam Ibn Hajar al’Asqalani menukilkan daripada al-Muhallab yang menyatakan bahawa :

التَّفَكُّرُ أَمْرٌ غَالِبٌ لَا يُمْكِنُ الِاحْتِرَازُ مِنْهُ فِي الصَّلَاةِ وَلَا فِي غَيْرِهَا لِمَا جَعَلَ اللَّهُ لِلشَّيْطَانِ مِنَ السَّبِيلِ عَلَى الْإِنْسَانِ وَلَكِنْ يَفْتَرِقُ الْحَالُ فِي ذَلِكَ فَإِنْ كَانَ فِي أَمْرِ الْآخِرَةِ وَالدِّينِ كَانَ أَخَفَّ مِمَّا يَكُونُ فِي أَمْرِ الدُّنْيَا

Maksudnya : “Berfikir adalah merupakan perkara kebiasaan yang mana tidak mungkin seseorang itu akan terhindar daripadanya sama ada di dalam solat atau selainnya, setelah Allah SWT menjadikan bagi syaitan-syaitan itu jalan ke atas manusia (yakni untuk menggodanya). Akan tetapi, perkara tersebut berbeza keadaannya kerana memikirkan mengenai perkara akhirat dan agama (di dalam solat) sudah tentu lebih ringan berbanding memikirkan mengenai perkara keduniaan.” (Lihat Fath al-Bari, Cet. Dar al-Salam, 3/117)

Terdapat juga riwayat daripada ‘Uqbah bin al-Harith RA yang menceritakan bahawa Rasulullah SAW sendiri pernah teringat akan harta (emas) yang berada di dalam rumahnya serta belum lagi dibahagikan ketika sedang menunaikan solat. Riwayat al-Bukhari (1221)  Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan bahawa hadis ini secara zahirnya menunjukkan bahawa Rasulullah SAW tidak mengulangi solatnya semula disebabkan perkara tersebut. Begitu juga, berfikir-fikir di dalam solat tidak menyebabkan solat seseorang itu menjadi tidak sah, selagimana dia tidak meninggalkan mana-mana rukun solat. (Lihat Fath al-Bari, Cet. Dar al-Salam, 3/118)

Ada pendapat yang menyatakan bahawa berfikir-fikir di dalam solat diharuskan sekiranya sedikit. Adapun memikirkan secara terus-menerus dalam waktu yang panjang sehingga dia tidak tahu berapa rakaat yang telah dilakukan, maka dia termasuk orang yang lalai dalam solatnya dan wajib mengulanginya semula. Ini adalah merupakan pendapat Ibn al-Tin. Manakala Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani tidak bersetuju dengan pendapat ini dan membawakan bukti bahawa Saidina Umar RA pernah memikirkan sesuatu perkara yang memerlukan suatu tempoh yang panjang seperti menghitung jizyah yang terkumpul dari Bahrain sedangkan ketika itu beliau sedang solat. Begitu juga, diriwayatkan bahawa Saidina Umar RA pernah terlupa membaca surah al-Fatihah ketika solat Maghrib kerana disibukkan dengan memikirkan mengenai rombongan yang telah beliau siapkan ke negeri Syam. Apabila menyedarinya, beliau mengulangi semula solatnya dan bacaannya (surah al-Fatihah). Kata Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani :

وَهَذَا يَدُلُّ عَلَى أَنَّهُ إِنَّمَا أَعَادَ لِتَرْكِ الْقِرَاءَةِ لَا لِكَوْنِهِ كَانَ مُسْتَغْرِقًا فِي الْفِكْرَةِ

Maksudnya : "Ini menunjukkan bahawa dia mengulangi solatnya kerana meninggalkan bacaan (iaitu surah al-Fatihah) dan bukan disebabkan oleh tenggelam dalam fikirannya.”

(Lihat Fath al-Bari, Cet. Dar al-Salam, 3/117)

Memikirkan perkara haram di dalam solat

Mengenai perkara ini, Imam al-Nawawi ada menjelaskan bahawa :

يستحب الخشوع في الصلاة والخضوع وتدبر قراءتها وأذكارها وما يتعلق بها والاعراض عن الفكر فيما لا يتعلق بها، فإن فكر في غيرها وأكثر من الفكر لم تبطل صلاته لكن يكره سواء كان فكره في مباح أو حرام كشرب الخمر

Maksudnya : “Disunatkan khusyuk dan merendah diri dalam solat serta mentadabbur bacaan al-Quran, zikir-zikir dan apa yang berkaitan dengannya. Juga hendaklah berpaling daripada memikirkan mengenai apa-apa perkara yang tiada kaitan dengannya. Sekiranya seseorang memikirkan mengenai perkara yang lain (yang tidak berkaitan dengannya) dan banyak memikirkannya, solatnya tidak batal tetapi hukumnya adalah makruh sama ada perkara yang difikirkannya itu adalah sesuatu yang diharuskan atau diharamkan seperti meminum arak.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, Cet. al-Maktabah al-Taufiqiyyah, 4/32)

Hal ini adalah berdasarkan kepada sabda Rasulullah SAW :

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي مَا حَدَّثَتْ بِهِ أَنْفُسَهَا، مَا لَمْ تَعْمَلْ أَوْ تَتَكَلَّمْ

Maksudnya : “Sesungguhnya Allah SWT akan memaafkan ummatku apa yang terlintas dalam dirinya selagi mana dia tidak melakukannya atau bercakap (mengenainya).” Riwayat al-Bukhari (5269)

Kesimpulannya

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas,  kami cenderung kepada pendapat bahawa seseorang yang memikirkan sesuatu di dalam solatnya, sama ada perkara tersebut banyak atau sedikit, harus atau haram, tidaklah membatalkan solatnya selagimana tidak meninggalkan rukun-rukun solat. Namun, perbuatan tersebut hukumnya adalah makruh. Begitu juga, solatnya tetap sah sekiranya tiada apa-apa perbuatan yang membatalkannya seperti keluar sesuatu daripada kemaluannya (air mazi dan seumpamanya) kerana fikiran atau khayalannya itu.

Sekalipun solatnya tetap sah dan tidak batal, namun perbuatan berfikir atau berkhayal dalam tempoh yang lama atau banyak bukanlah suatu perkara yang digalakkan. Apatah lagi berfikir dan berkhayal mengenai perkara yang haram. Oleh itu, perbuatan tersebut hendaklah dihindari semampu mungkin.

Kita dituntut bahkan disunatkan untuk  menghadirkan sepenuh hati dan khusyuk ketika menunaikan solat serta menghayati segala bacaan di dalamnya. Khusyuk di dalam solat adalah merupakan salah satu ciri orang beriman yang berjaya sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Mukminun ayat 1-2.

Cukuplah kata-kata Sayyid Sabiq ini sebagai renungan kita bersama :

ومع أن الصلاة في هذه الحالة صحيحة مجزئة فإنه ينبغي للمصلي أن يقبل بقلبه على ربه ويصرف عنه الشواغل بالتفكير في معنى الايات والتفهم لحكمة كل عمل من أعمال الصلاة فإنه لا يكتب للمرء من صلاته إلا ما عقل منها

Maksudnya : “Meskipun solat dalam keadaan ini (sibuk berfikir mengenai perkara yang tiada kaitan dengan solat) tetap sah dan diterima (tidak perlu mengulanginya). Akan tetapi, sepatutnya orang yang bersolat itu mesti menghadapkan hatinya kepada Allah SWT dan mamalingkan daripadanya segala fikiran yang menyibukkan (yang tiada kaitan dengan solat) dengan memikirkan mengenai makna ayat-ayat (yang dibaca atau didengar) dan memahami  hikmah bagi setiap perbuatan solat. Sesungguhnya tidak ditulis bagi seseorang itu (pahala) daripada solatnya melainkan apa-apa yang disedari (difahami) daripadanya.” (Lihat Fiqh al-Sunnah, Cet. Muassasah al-Risalah, 1/196)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.