Soalan:
Seorang kenalan saya telah meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan ke tempat kerjanya kerana kemalangan jalan raya. Arwah seorang yang ikhlas bekerja, sangat baik dan amanah. Jadi, adakah kematian orang yang ikhlas bekerja kerana Allah S.W.T dikira sebagai mati syahid?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah S.W.T, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga baginda S.A.W, sahabat baginda S.A.W serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda S.A.W. Firman Allah S.W.T:
وَلَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتًا بَلْ أَحْيَاءٌ عِنْدَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ
Maksudnya: “Dan jangan sekali-kali kamu menyangka orang yang terbunuh (gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki”.
(Surah Ali ‘Imran: 169)
Pada asasnya, kita tidak boleh menentukan dengan khusus atau mengatakan seseorang itu mati syahid kecuali mereka yang telah dipersaksikan oleh Rasulullah S.A.W atau yang telah disepakati oleh umat atas kesyahidannya. Hal ini kerana hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui hakikat seseorang itu sama ada syahid atau sebaliknya.
Sebelum pergi lebih jauh, perlu difahami bahawa syahid itu terbahagi kepada tiga jenis mengikut pandangan jumhur ulama’, iaitu seperti berikut:
Pertama: Syahid Dunia dan Akhirat.
Iaitu orang-orang beriman yang ikhlas berjuang di jalan Allah untuk meninggikan syiar agama dan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata serta mati di medan peperangan. Mereka tidak lagi berada dalam keadaan hayah mustaqirrah (masih hidup) sebelum berakhirnya peperangan dengan golongan musyrikin (Rujuk: Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 2/164; Al-Iqna’, 1/414-415).
Dia dianggap syahid akhirat kerana di sisi Allah mereka mendapat pahala syahid dan dianggap sebagai syahid dunia kerana mereka tidak dimandikan, tidak dikafankan dan tidak disolatkan. Bahkan mereka ditanam secara terus bersama dengan darah dan pakaian mereka. (Rujuk: Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 2/164; Al-Iqna’, 1/414). Hal ini berdasarkan hadis daripada Saidina Jabir R.A bahawasanya Nabi S.A.W bersabda:
كَانَ يَجْمَعُ بَيْنَ الرَّجُلَيْنِ مِنْ قَتْلَى أُحُدٍ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ ثُمَّ يَقُولُ " أَيُّهُمَا أَكْثَرُ أَخْذًا لِلْقُرْآنِ " . فَإِذَا أُشِيرَ إِلَى أَحَدِهِمَا قَدَّمَهُ فِي اللَّحْدِ . قَالَ " أَنَا شَهِيدٌ عَلَى هَؤُلاَءِ " وَأَمَرَ بِدَفْنِهِمْ فِي دِمَائِهِمْ وَلَمْ يُصَلِّ عَلَيْهِمْ وَلَمْ يُغَسَّلُوا
Maksudnya: “Nabi SAW pernah menghimpunkan dua lelaki dari mereka yang telah dibunuh di (peperangan) Uhud seraya baginda bertanya kepada mereka siapakah antara mereka yang mempelajari lebih banyak Al-Qur'an? Dan ketika salah seorang dari mereka ditunjuk, baginda mengarahkannya agar diletakkannya di lahad (kubur) terlebih dahulu. Baginda bersabda "saya saksi ke atas mereka." Maka baginda memerintahkan supaya mereka dikebumikan dengan darah mereka, tidak boleh disolatkan, dan mereka tidak boleh dimandikan”.
Riwayat al-Bukhari (1347)
Kedua: Syahid Dunia.
Sesiapa yang meninggal dunia kerana berperang di jalan Allah tetapi dalam masa yang sama melakukan mawani’ al-syahadah (perkara yang menghalang daripada mendapatkan syahid) seperti berjuang di jalan Allah kerana inginkan ghanimah (harta rampasan) semata-mata, atau berjuang untuk dikatakan berani, atau untuk mendapatkan kedudukan di sisi manusia atau seumpamanya (dengan tujuan keduniaan), maka dia dianggap syahid dunia iaitu tidak disolatkan, dikafakankan dan dimandikan. Sementara itu dia tidak dianggap sebagai syahid akhirat iaitu tidak mendapat pahala syahid yang sempurna dan urusannya di akhirat adalah antara dia dengan Allah S.W.T. (Rujuk: Syarah al-Nawawi ‘ala Muslim, 2/164; Syarh Mukhtasar al-Kharqi, 72/14).
Ketiga: Syahid Akhirat.
Adapun syahid akhirat ialah selain daripada golongan yang telah disebutkan di atas, iaitu sesiapa yang syahid bukan di medan peperangan akan tetapi disebutkan dalam hadis dengan istilah syahid. Contohnya seperti orang yang meninggal dunia kerana penyakit perut, taun, ditimpa runtuhan bangunan dan lain-lain sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis sebagai syahid. Mereka dikurniakan dengan pahala dan ganjaran sebagai orang yang syahid di akhirat tetapi ganjarannya tidak sama dengan golongan yang pertama (syahid dunia dan akhirat). Adapun hukumnya di dunia adalah sama seperti kebiasaan orang yang meninggal dunia iaitu wajib dimandikan, dikafankan dan disolatkan. (Rujuk: Syarah al-Nawawi ‘ala Muslim, 2/164; Syarh Mukhtasar al-Kharqi, 72/14).
Kelebihan mati syahid
Firman Allah SWT:
فَلْيُقَاتِلْ فِيْ سَبِيْلِ اللّٰهِ الَّذِيْنَ يَشْرُوْنَ الْحَيٰوةَ الدُّنْيَا بِالْاٰخِرَةِ وَمَنْ يُّقَاتِلْ فِيْ سَبِيْلِ اللّٰهِ فَيُقْتَلْ اَوْ يَغْلِبْ فَسَوْفَ نُؤْتِيْهِ اَجْرًا عَظِيْمًا
Maksudnya: “Dan barangsiapa berperang di jalan Allah, lalu gugur atau memperoleh kemenangan maka akan kami berikan pahala yang besar kepadanya.”
(Surah An-Nisa’: 74)
Daripada Miqdam bin Ma’dikarib, Sabda Rasulullah SAW:
للشهيد عند الله ست خصال: يُغفر له في أول دَفعة ويَرى مقعده من الجنة، ويجار من عذاب القبر، ويأمن من الفزع الأكبرِ، ويوضع على رأسه تاج الوقار؛ الياقوتة منها خير من الدنيا وما فيها، ويزوج اثنتين وسبعين زوجة من الحورِ العِين، ويشفّع في سبعين من أقاربه
Maksudnya: "Bagi orang yang mati syahid ada 6 keistimewaan iaitu: 1) Diampuni dosanya sejak mulai pertama darahnya meluncur keluar, 2) melihat tempatnya didalam syurga, 3) dilindungi dari azab kubur, 4) terjamin keamanannya dari malapetaka besar merasakan kemanisan iman, 5) dikahwinkan dengan bidadari, 6) diperkenankan memberikan syafa’at bagi 70 orang kerabatnya".
Syarat-syarat untuk Mendapatkan Syahid
Telah dinukilkan daripada Imam al-Subki bahawa untuk mendapatkan ganjaran syahid, seseorang itu hendaklah menepati syarat-syarat berikut iaitu: sabar, ikhlas mengharapkan keredhaan Allah S.W.T semata-mata dan tidak melarikan diri daripada medan perang serta tidak melakukan mawani’ al-syahadah (perkara-perkara yang boleh menghalang daripada mendapatkan ganjaran syahid) seperti mengambil ghanimah (harta rampasan) perang orang lain, ada menanggung hutang manusia serta mencerobohi hak manusia yang lain. Antara contoh lain (yang menghalang daripada mendapatkan syahid) ialah seseorang yang mati dalam keadaan melakukan perbuatan maksiat contohnya orang yang memasuki sesebuah rumah untuk mencurinya lalu dia mati kerana ditimpa runtuhan rumah tersebut atau seorang wanita yang mati ketika melahirkan anak yang dikandung hasil daripada perzinaan. (Rujuk: Fatawa al-Subki fi Furu’ al-Syafie, 3/314-318).
Justeru, seseorang yang meninggal dunia dianggap syahid dan mendapat ganjaran syahid di sisi Allah S.W.T di akhirat kelak sekiranya dia menepati semua syarat-syarat yang disebutkan di atas. Adapun sekiranya dia melakukan salah satu daripada perkara yang dilarang tersebut, maka dia terhalang daripada mendapatkan ganjaran yang sempurna serta kelebihan yang dijanjikan oleh Allah S.W.T kepada orang yang syahid di akhirat kelak.
Adakah Meninggal Dunia kerana Pergi Bekerja Dikira Sebagai Syahid?
Berdasarkan pembahagian sebelum ini, kita telah mengetahui bahawa syahid terbahagi kepada tiga golongan. Jelas sekali bahawa orang yang meninggal dunia ketika keluar bekerja mencari nafkah tidak termasuk dalam golongan yang pertama dan kedua kerana bukannya meninggal dunia di medan peperangan. Justeru, persoalannya di sini adakah mereka yang meninggal dunia ketika keluar mencari nafkah tergolongan dalam golongan yang ketiga iaitu syahid akhirat? Para ulama’ mengatakan golongan yang mendapat syahid akhirat adalah ramai bilangannya. Walau bagaimanapun para ulama’ berbeza pandangan mengenai bilangan tersebut. Di sisi Imam Ibn Hajar al-Asqalani, orang yang mendapat syahid akhirat adalah 20 golongan dan lebih. (Rujuk: Fath al-Bari, 6/152). Manakala di sisi Imam al-Suyuti dan Imam al-Ajhuri ialah sebanyak 30 golongan (Rujuk: Al-Dur al-Mukhtar, 2/252; Khulasah al-Athar, 3/157). Di sisi Shaikh Abdullah al-Ghumari bilangannya ialah 39 golongan (Rujuk: Ithaf al-Nubala’ bi Fadhl al-Syahadah, hlm. 111), sementara di sisi Dr Musfir bin Said al-Ghamidi ialah 15 golongan (Rujuk: Al-Syahadah fi Sabilillah fi al-Kitab wa al-Sunnah, 41/288).
Di sini kami datangkan beberapa hadis yang menyebut tentang golongan yang mendapat syahid akhirat, antaranya:
Sabda Nabi Muhammad S.A.W yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A:
الشُّهَدَاءُ خَمْسَةٌ الْمَطْعُونُ وَالْمَبْطُونُ وَالْغَرِيقُ وَصَاحِبُ الْهَدْمِ وَالشَّهِيدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ
Maksudnya: “Orang yang mati syahid lima golongan iaitu orang yang mati kerana taun, mati kerana penyakit perut, mati lemas, ditimpa runtuhan dan syahid di jalan Allah.”
Riwayat al-Bukhari (653)
Sabada nabi S.A.W daripada Abu Hurairah RA:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَا تَعُدُّونَ الشَّهِيدَ فِيكُمْ؟ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، مَنْ قُتِلَ فِي سَبِيلِ اللهِ فَهُوَ شَهِيدٌ، قَالَ: إِنَّ شُهَدَاءَ أُمَّتِي إِذًا لَقَلِيلٌ، قَالُوا: فَمَنْ هُمْ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: مَنْ قُتِلَ فِي سَبِيلِ اللهِ فَهُوَ شَهِيدٌ، وَمَنْ مَاتَ فِي سَبِيلِ اللهِ فَهُوَ شَهِيدٌ، وَمَنْ مَاتَ فِي الطَّاعُونِ فَهُوَ شَهِيدٌ، وَمَنْ مَاتَ فِي الْبَطْنِ فَهُوَ شَهِيدٌ
Maksudnya: “Siapakah dalam kalangan kalian yang dianggap sebagai syahid? Mereka (sahabat) berkata: Wahai Rasulullah, orang yang dibunuh di jalan Allah adalah orang yang mati syahid. Baginda bersabda: Sesungguhnya syuhada’ dalam kalangan umatku adalah sedikit (bilangannya). Mereka bertanya: Wahai Rasulullah, siapakah mereka? Baginda bersabda: Sesiapa yang dibunuh di jalan Allah adalah syahid; orang yang mati di jalan Allah, adalah seorang syahid; seorang yang mati akibat wabak adalah seorang syahid; seorang yang mati akibat kolera adalah seorang syahid".
Riwayat Muslim (1915)
Sabda Nabi SAW:
مَنْ قُتِلَ دُونَ مَالِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ وَمَنْ قُتِلَ دُونَ أَهْلِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ وَمَنْ قُتِلَ دُونَ دِينِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ وَمَنْ قُتِلَ دُونَ دَمِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ
Maksudnya: “Siapa yang terbunuh kerana melindungi hartanya, dia adalah seorang syahid. Sesiapa yang terbunuh kerana melindungi keluarganya, dia adalah seorang syahid. Sesiapa yang dibunuh kerana melindungi agamanya, dia adalah seorang syahid. Siapa yang terbunuh kerana melindungi dirinya, dia adalah seorang syahid”
Sunan al-Nasaie (4095)
Di samping itu, terdapat juga hadis-hadis lain yang tidak dapat kami sebutkan di sini kerana jumlahnya yang banyak. Secara ringkasnya, di sini kami simpulkan beberapa golongan yang diberi pahala syahid akhirat berdasarkan banyaknya hadis sahih yang menyebutkan sebab-sebab kesyahidan (tersebut) serta ia merupakan ciri-ciri yang masyhur dalam kalangan para ulama’, antaranya seperti berikut:
- Orang yang mati kerana penyakit berjangkit.
- Orang yang mati kerana penyakit perut.
- Orang yang mati lemas.
- Orang yang mati dihempap bangunan.
- Orang yang mati kerana kebakaran.
- Orang yang mati kerana dizalimi.
- Orang yang mati kerana berkata benar dihadapan pemimpin yang zalim.
- Orang yang mati dalam keadaan menuntut ilmu.
- Wanita yang mati ketika bersalin.
- Orang yang mati kerana mempertahankan agamanya, nyawanya, hartanya dan keluarganya. (Rujuk: Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 13/62-63; Fath al-Bari, 6/51-52)
Justeru, berbalik kepada soalan di atas, adakah orang yang keluar mencari nafkah termasuk mereka yang mendapat syahid akhirat. Para ulama’ berselisih pandangan mengenai hal ini kerana tiada hadis sahih yang menyatakan perkara tersebut secara jelas. Walau bagaimanapun, sebahagian ulama’ muasarah menganggap mereka adalah termasuk dalam syahid akhirat, di antaranya Shaikh Ali Jum’ah, Shaikh Muhammad Amin bin Umar Abidin dan Shaikh al-Tahtawi dan Shaikh Abd al-Rahman al-‘Asimi.
Berkata Shaikh Muhammad Amin bin Umar Abidin dan Shaikh al-Tahtawi : “Adapun orang yang berusaha (mencari nafkah) untuk isteri, anak-anak serta hamba sahayanya, untuk melaksanakan kewajipan yang dituntut ke atasnya dan memberi makan daripada sumber rezeki yang halal maka mudah-mudahan Allah menjadikannya orang yang mendapat ganjaran syahid di akhirat“. (Rujuk: Rad al-Mahtar, 3/165; Hasyiyah al-Tahtawi ‘ala Maraqi al-Falah, hlm. 628).
Berkata Shaikh Abd al-Rahman al-‘Asimi: “Di antara golongan yang mendapat syahid akhirat ialah.......... orang yang mati ketika sedang menuntut ilmu samada melalui penulisan, pengajaran atau menghadiri majlis ilmu, dan Imam al-Suyuti dan Imam al-Ajhuri mengatakan bilangannya sehingga 30 golongan, dan di antaranya juga orang yang keluar mencari nafkah untuk orang di bawah tanggungannya”. (Rujuk: Hasyiyah al-Raudh al-Murabba’, 3/55).
Kesimpulan
Setelah meneliti perbahasan di atas, kami cenderung untuk memilih pandangan yang mengatakan orang yang meninggal dunia ketika keluar mencari nafkah adalah mudah-mudahan tergolong dalam golongan yang mendapat syahid di akhirat iaitu mereka mendapat ganjaran syahid di akhirat kelak, manakala di dunia hukumnya tetap dimandikan, disolatkan dan dikafankan seperti biasa. Hal ini disebabkan keluar bekerja mencari rezeki adalah perbuatan amal soleh yang amat dituntut oleh agama. Ia juga merupakan salah satu daripada cabang jihad iaitu berusaha mencari nafkah yang halal untuk menyara ahli keluarganya demi meneruskan kelangsungan hidup.
Hal demikian adalah dengan syarat hendaklah seseorang itu menepati syarat-syarat husul al-syahadah (yang melayakkan untuknya mendapatkan ganjaran syahid) seperti berjuang dengan sabar, ikhlas kerana Allah S.WT serta mengelakkan semua perkara yang boleh menghalang daripada mendapat syahid (sebagaimana yang telah disebutkan di atas). Di samping itu, kita hendaklah sedar bahawa hakikat sebenar seseorang mendapat ganjaran syahid atau sebaliknya hanyalah Allah S.W.T sahaja yang mengetahui kerana mati syahid merupakan satu kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada hamba-hambanya yang terpilih sahaja. Wallahu a’lam.