Soalan :
Assalamualaikum w.b.t
Saya ada satu persoalan. Adakah keldai liar yang dimaksudkan halal dimakan itu sebenarnya adalah kuda belang (zebra) sahaja? Mohon pencerahan mengenai perkara ini.
Jawapan :
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan riwayat Jabir bin Abdullah RA bahawa :
أَكَلْنا زَمَنَ خَيْبَرَ الخَيْلَ، وَحُمُرَ الوَحْشِ، وَنَهانا النبيُّ ﷺ عَنِ الحِمارِ الأهْلِيِّ
Maksudnya : “Pada waktu perang Khaibar kami pernah memakan (daging) kuda dan keldai liar dan Nabi SAW melarang kami daripada memakan (daging) keldai jinak (peliharaan).” Riwayat Muslim (1941)
Keldai liar adalah merupakan salah satu daripada haiwan buruan yang halal dimakan. Dan para ulama telah menukilkan Ijma’ akan keharusan memakan dagingnya. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/9, Minhah al-‘Allam fi Syarh Bulugh al-Maram, 9/203 dan Taudhih al-Ahkam, Cet. Dar Ibn Hazm, 3/496)
Justeru, tidak ada syak lagi mengenai keharusan memakan daging keldai liar. Namun, persoalan yang tinggal ialah mengenai penentuan keldai liar tersebut. Adakah sifat-sifatnya sama seperti keldai jinak dari segi warna dan rupa bentuk atau sebenarnya berbeza sama sekali?
Apakah itu keldai liar?
Syeikh Abdullah al-Bassam menyebutkan bahawa terdapat pada keldai liar itu sebahagian daripada ciri-ciri keldai jinak melainkan saiz tubuhnya adalah lebih kecil berbanding keldai liar. Dan keldai liar itu dikenali sekarang sebagai al-Wadhihi (الوضيحي). (Lihat Taisir al-‘Allam Syarh ‘Umdah al-Ahkam, hlm. 711) Manakala dalam kitabnya yang lain, beliau menyatakan bahawa keldai liar ini dinamakan sebagai al-Fara’ (الفراء), dan dapat hidup lama (umurnya panjang) sebagaimana yang telah dinukilkan daripada Imam al-Damiri di dalam kitabnya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, Cet. Dar Ibn Hazm, 3/496 dan Hayah al-Hayawan al-Kubra, 1/359)
Dr. Soleh bin Abd al-‘Aziz Sindi juga ada menyebutkan bahawa sebahagian sarjana kontemporari mengatakan bahawa keldai liar itu ialah al-Mahah (المهاة - iaitu oryx) atau dikenali sekarang sebagai al-Wadhihi. Walau bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa pendapat ini tidak benar kerana tidak ada seorang pun dalam kalangan ulama terdahulu yang menyebutkan sedemikian. Bahkan mereka telah meletakkan al-Mahah atau oryx ini termasuk dalam kategori lembu liar dan bukannya keldai liar.[1]
Syeikh al-Jawhari di dalam kitabnya menyebut al-Mahah ialah lembu liar. (Lihat al-Sihah, 6/2499) Begitu juga, Imam Kamaluddin al-Damiri juga telah memasukannya dalam kategori lembu liar sebagaimana katanya :
البقر الوحشي : هذا النوع أربعة أصناف: المها والأيل واليحمور والثيتل
Maksudnya : “Lembu liar : Jenis ini terdiri daripada empat kategori iaitu oryx, rusa, yahmur (sejenis rusa) dan hartebeest (sejenis antelope).” (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 1/220)
Oleh itu, telah jelas kepada kita bahawa oryx bukanlah keldai liar yang dimaksudkan oleh para ulama.
Keldai liar menyerupai keldai jinak
Mengenai perkara ini, Syeikh Abdullah bin Soleh al-Fauzan ada menyatakan bahawa keldai liar adalah merupakan salah satu daripada haiwan buruan yang menyerupai keldai jinak (peliharaan) dan dagingnya termasuk dalam benda yang baik. (Lihat Minhah al-‘Allam fi Syarh Bulugh al-Maram, 9/203)
Begitu juga, Imam al-Mawardi menyebutkan bahawa keldai keldai liar dan keldai jinak (peliharaan), berhimpun pada kedua-duanya nama yang sama serta rupa bentuk yang serupa. Namun, berbeza pada hukum kedua-duanya iaitu dihalalkan keldai liar (untuk dimakan) dan diharamkan keldai peliharaan kerana kedua-duanya tinggal di tempat yang berbeza sekalipun sama di atas daratan. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 15/62)
Syeikh Muhammad bin Ibrahim secara jelas mengatakan bahawa terdapat banyak keldai liar di Kepulauan Arab suatu masa dahulu. Dan rupa bentuknya menyerupai keldai jinak (peliharaan) dari segi ia mempunyai huf (hoof), dua telinga panjang dan ciri-ciri yang lain. Ia bukanlah (berasal) daripada keldai jinak, kemudian menjadi liar. Akan tetapi ia adalah daripada jenis yang berasingan (tersendiri). Oleh itu, keldai liar (dagingnya) termasuk dalam benda yang baik manakala keldai jinak pula (dagingnya) termasuk dalam benda yang buruk. (Lihat Fatawa wa Rasail al-Syeikh Muhammad bin Ibrahim Âli al-Syeikh, 12/203)
Adakah kuda belang termasuk dalam jenis keldai liar?
Kuda belang dan keldai liar adalah dua spesies yang berbeza sekalipun tergolong dalam genus dan family yang sama iaitu genus Equus dalam family Equidae. Menurut Ensiklopedia Dunia, keldai liar kelihatan seperti kuda belang tetapi tidak berbelang, kecuali kadangkala pada kakinya. Antara spesies keldai liar ialah kiang, kulan dan onager (Equus hemionus). Kesemua keldai liar jarang ditemui dan mengalami kepupusan. Manakala bagi kuda belang terdapat tiga spesies kuda belang iaitu kuda belang biasa (Equus burchelli), kuda belang Grevy, dan kuda belang gunung. Ada satu lagi spesies kuda belang iaitu quagga, tetapi telah pupus pada akhir tahun 1800-an. (Lihat Ensiklopedia Dunia, Terj. DBP, 10/531, 11/560 dan 15/336)
Tambahan lagi, terdapat beberapa perbezaan yang jelas antara kuda belang (zebra) dan keldai[2] iaitu :
- Kuda belang mempunyai jalur hitam dan putih di seluruh tubuh sedangkan warna antara keldai-keldai adalah berbeza-beza serta tidak ada jalur.
- Kuda belang dijumpai secara khusus di savana Afrika, manakala keldai pula tidak terhad hanya di Afrika, tetapi banyak juga di tempat-tempat yang lain.
- Kuda belang adalah lebih besar dan berat berbanding keldai.
- Hidung kuda belang adalah sentiasa berwarna hitam, sedangkan keldai tidak semestinya.
- Keldai mempunyai telinga panjang dan runcing manakala telinga kuda belang adalah sepertimana telinga kuda biasa.
Sekalipun dari segi saintifik dan ciri-cirinya ada sedikit perbezaan. Namun, di dalam Bahasa Arab kuda belang (zebra) ini telah dipanggil sebagai Himar al-Wahsyi al-Mukhattat (حمار الوحش المخطط) atau Himar al-Zarad (حِمَارُ الزَّرَدِ).[3]
Dr. Soleh bin Abd al-‘Aziz Sindi telah mengkelaskan kuda belang (zebra) sebagai salah satu daripada jenis keldai liar.[4] Perkara ini dikuatkan lagi dengan kenyataan Shihāb al-Dīn al-Nuwayri yang menyebutkan beberapa jenis keldai liar :
ويوجد منه ما تكون شيته معمّدة ببياض وسواد فى الطول من أعضائه المستطيلة، ومستديرة فيما استدار منها بأصحّ قسمة؛ ومنها صنف يسمّى الأخدرىّ وهو أطولها أعمارا. وقد وصفها أبو الفرج الببغاء من رسالة ذكر فيها أتانا معمّدة ببياض وسواد...
Maksudnya : “Terdapat daripadanya jenis yang berbelang hitam putih berbentuk segi empat panjang di sepanjang anggota-anggotanya, dan padanya juga ada yang berbentuk bulat yang sama (pembahagiannya). Ada juga jenis yang dinamakan sebagai Akhdari iaitu yang paling panjang umurnya. Sesungguhnya Abu al-Faraj al-Babbagha’ telah menyifatkannya di dalam risalahnya dengan menyebut terdapat juga keldai betina yang berwarna hitam putih…” (Lihat Nihayah al-Arab fi Funun al-Adab, 9/327)
Imam al-Munawi juga secara tidak langsung ada menyebutkan beberapa ciri keldai liar di dalam kitabnya sebagaimana katanya :
فما هو إلا كحمار الوحش يدخل به البلد فيطيف الناس به معجبين لتخطيط جلده...
Maksudnya : “Tidaklah dia melainkan seperti seekor keldai liar yang dibawa masuk ke dalam suatu negeri. Lalu orang ramai mengelilinginya kerana kehairanan disebabkan oleh garisan-garisan di kulitnya (badannya)…” (Lihat Faidh al-Qadir, 1/481)
Walau bagaimanapun, keldai liar tidak hanya terhad kepada jenis yang berjalur hitam putih atau kuda belang ini sahaja. Ia hanyalah salah satu daripada jenisnya sahaja. Sebenarnya, terdapat banyak lagi jenis-jenis lain yang berbeza-beza warnanya. Ini adalah sebagaimana yang pernah disebutkan oleh Imam al-Damiri :
وألوان حمر الوحش مختلفة
Maksudnya : “Dan warna keldai liar itu berbeza-beza.”
(Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 1/359)
Jenis keldai liar yang berjalur atau kuda belang (zebra) ini lebih dikenali pada masa kini, berbanding jenis-jenis yang lain kerana jumlahnya yang masih banyak dan amat sedikit jenis lain yang masih tinggal atau sudah pupus. Dr. Soleh bin Abd al-‘Aziz Sindi mengatakan bahawa sekiranya kita membelek dan membaca kitab-kitab al-Adab klasik kita akan mengetahui terdapat banyak keldai liar dijumpai di Kepulauan Arab tetapi tidak ada satu pun yang menyebutkan mengenai jenis keldai liar yang berjalur ini.[5] Dr. Abdurrahman Naseer al-Saeed menyebutkan bahawa ciri-ciri keldai liar yang disebutkan di dalam syair-syair arab klasik warnanya adalah warna debu dengan sedikit merah keputihan, sisinya berwarna putih (sedikit) dan inilah (warna putih disisi) yang menjadi perbezaannya yang utama dengan keldai jinak. Generasi terawal bangsa Arab tidak mengetahui (mengenali) kuda belang atau zebra ini. Ia mula-mula sekali dikenali penduduk Iraq pada akhir kurun ke-4H dan di Mesir pada kurun ke-8H.[6]
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa keldai liar tidak terhad hanya kepada jenis berjalur sahaja iaitu yang dikenali sekarang sebagai kuda belang (zebra). Akan tetapi terdapat juga jenis-jenis keldai liar yang lain seperti onager, kiang, kulan dan lain-lain.
Kesemua jenis keldai liar tersebut adalah halal dimakan tidak kira sama ada daripada jenis yang berjalur (kuda belang) ataupun tidak. Para ulama telah menukilkan Ijma’ akan keharusan memakan daging keldai liar. Perkara ini kami telah bahaskan secara panjang lebar di dalam ruangan al-Kafi li al-Fatawi Siri ke-326.[7]
Begitu juga, keldai liar bukanlah berasal daripada keldai jinak. Tetapi kedua-duanya adalah daripada jenis dan spesies yang berbeza sekalipun secara kasarnya ada persamaan serta serupa. Dr. Abdurrahman Naseer al-Saeed menyebut bahawa timbulnya kekeliruan kepada kebanyakan orang atau masyarakat dalam menentukan keldai liar (حمار الوحش) ini ialah kerana tiadanya gambaran yang jelas mengenainya disebabkan oleh kebanyakan daripada spesiesnya telah pun pupus.[8]
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
[1] Lihat Artikel bertajuk Apakah keldai liar itu? oleh Dr. Soleh bin Abd al-‘Aziz Sindi, pensyarah di Universiti Islam Madinah, hlm. 1. (https://www.salehs.net/mk10x.pdf). Telah diakses pada 20 April 2020.
[2] Lihat tulisan bertajuk Difference Between Zebra and Donkey oleh Naveen, Doctoral Student in Agroforestry, former Research Scientist and an Environmental Officer. (https://www.differencebetween.com/difference-between-zebra-and-vs-donkey/). Telah diakses pada 20 April 2020.
[3] Lihat Jurnal bertajuk The Wild Ass in Ancient Arabic Poetry : Description and Identification (حمار الوحش في الشعر العربي القديم الوصف والتعيين) oleh Dr. Abdurrahman Naseer al-Saeed, King Saud University. Lihat juga https://ar.wikipedia.org/wiki/حمار_الزرد. Telah diakses pada 20 April 2020.
[4] Lihat Artikel bertajuk Apakah keldai liar itu? (حمار الوحش..ما هو؟) oleh Dr. Soleh bin Abd al-‘Aziz Sindi, pensyarah di Universiti Islam Madinah, hlm. 2. (https://www.salehs.net/mk10x.pdf). Telah diakses pada 20 April 2020.
[5] Ibid, hlm. 3
[6] Lihat Jurnal bertajuk The Wild Ass in Ancient Arabic Poetry : Description and Identification (حمار الوحش في الشعر العربي القديم الوصف والتعيين) oleh Dr. Abdurrahman Naseer al-Saeed, Department of Arabic Language and Literature, King Saud University, hlm. 193.
[7] Lihat https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1362-al-kafi-326-hukum-memakan-keldai. Telah diakses pada 20 April 2020.
[8] Op. cit