اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE 512 : HUKUM MELAKUKAN TAKBIRATUL IHRAM SEBANYAK DUA KALI

IF 512

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Saya ada satu soalan. Ada seseorang yang sudah bertakbiratul ihram. Kemudian selepas beberapa saat dia melakukan semula takbiratul ihram semula. Adakah sah solatnya?. Mohon pencerahan ustaz.

Jawapan :

Waalaikumussalam wbt. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Rukun solat adalah perbuatan atau bacaan tertentu yang wajib untuk dilakukan. Rukun  pula terbahagi kepada 4 bahagian. Iaitu rukun qauli, rukun fi’li, rukun qalbi dan juga rukun maknawi. Kesemua rukun ini mempunyai 13 rukun yang wajib untuk dilakukan dengan sempurna di dalam solat yang mana jika ditinggalkan akan menyebabkan solat terbatal. Rukun-rukun tersebut ialah :

  • Niat
  • Berdiri
  • Takbiratul Ihram
  • Membaca Al-Fatihah
  • Rukuk
  • ‘Itidal
  • Sujud sebanyak dua kali
  • Duduk antara dua sujud
  • Duduk tasyahud akhir
  • Bacaan Tasyahud akhir
  • Selawat ke atas Nabi di dalam tasyahud akhir
  • Salam
  • Tertib (Rujuk Al-Taqrirat Al-Sadidah Fi Al-Masail Al-Mufidah,208-225)

Maka tidak boleh untuk meninggalkan rukun-rukun ini kerana ianya boleh menyebabkan solat menjadi batal sama ada ditinggalkan secara sengaja atau tidak sengaja.

Di antara rukun-rukun tersebut ialah takbiratul ihram. Ianya dinamakan sebagai takbiratul ihram kerana apabila takbir sudah dimulakan maka diharamkan kepada orang yang menunaikan solat untuk melakukan apa-apa perkara yang diharuskan sebelum solat. Ini adalah berdasarkan hadis yang menceritakan bahawa Nabi SAW pernah menegur orang yang melakukan solat dengan tidak memenuhi rukunnya. Sabda Nabi SAW :

إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلَاةِ فَكَبِّرْ ثُمَّ اقْرَأْ مَا تَيَسَّرَ مَعَكَ مِنْ الْقُرْآنِ ثُمَّ ارْكَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ رَاكِعًا ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَعْتَدِلَ قَائِمًا ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ جَالِسًا وَافْعَلْ ذَلِكَ فِي صَلَاتِكَ كُلِّهَا

Maksudnya : “Jika engkau mahu  menunaikan solat maka bertakbirlah (mulalah dengan takbir) kemudian bacalah apa yang mudah bagi engkau daripada Al-Quran kemudian rukuklah sehingga engkau tenang ketika rukuk. Kemudian bangun sehingga engkau tegak berdiri kemudian sujudlah sehingga engkau tenang ketika sujud. Kemudian angkat kepala engkau sehinggalah engkau tenang dalam keadaan duduk dan lakukan sedemikian rupa di dalam solat keseluruhannya.”

Riwayat Al-Bukhari (757)

Di dalam riwayat lain menyebut :

مفتاح الصلاة الطهور وتحريمها التكبير وتحليلها التسليم

Maksudnya : “Kunci bagi solat ialah bersuci dan tahrimnya adalah takbir. Penyudahnya ialah salam.”

Riwayat Abu Daud (618)

Lafaz takbir iaitu الله أكبر pada asasnya perlulah disebut secara sempurna bagi mereka yang mampu untuk menyebutnya dengan kadar paling kurang sebutan tersebut didengari oleh dirinya sendiri. (Rujuk Al-Mu’tamad Fi Al-Fiqh Al-Syafi’i, 1/241).

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, Tidak sah solatnya jika dia bertakbiratul ihram sebanyak 2 kali. Ini kerana takbir kedua yang dilakukannya itu dianggap sebagai perbuatan yang membatalkan solat.

Imam Al-Nawawi menyebut :

لو كبر للاحرام اربع تكبيرات أو اكثر دخل في الصلاة بالاوتار وبطلت بالاشفاع وصورته أن ينوى بكل تكبيرة افتتاح الصلاة ولا ينوى الخروج من الصلاة بين كل تكبيرتين فبالاولي دخل في الصلاة وبالثانية خرج منها وبطلت وبالثالثة دخل في الصلاة وبالرابعة خرج وبالخامسة دخل وبالسادسة خرج وهكذا أبدا لان من افتتح صلاة ثم افتتح اخرى بطلت صلاته لانه يتضمن قطع الاولي

Maksudnya : “ Jika seseorang itu bertakbiratul ihram sebanyak empat takbir ataupun lebih maka dia dikira masuk solat dengan takbir yang ganjil dan batal solatnya dengan takbir yang genap. Gambarannya adalah seseorang berniat menunaikan solat pada setiap takbir dan tidak berniat keluar dari solat di antara dua takbir. Takbir pertama dia masuk dalam solat, takbir yang kedua dianggap keluar dari solat dan batal. Takbir yang ketiga dia masuk ke dalam solat dan takbir yang keempat dianggap keluar dari solat dan terbatal solatnya. Takbir yang kelima dia masuk ke dalam solat dan takbir yang keenam dianggap keluar dari solat dan terbatal solatnya. Dan begitulah seterusnya. Ini kerana sesiapa yang memulakan solatnya kemudian memulakannya sekali lagi (dengan takbir yang lain) maka terbatal lah solatnya. Ini kerana dalam perbuatan memulakan solat kali kedua (takbir yang kedua) itu dianggap membatalkan perbuatan yang pertama.” (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 3/298)

Al-Khatib Al-Syarbini menyebut :

ولو كبر للإحرام تكبيرات ناويا بكل منها الافتتاح دخل في الصلاة بالأوتار وخرج منها بالأشفاع لأن من افتتح صلاة ثم نوى افتتاح صلاة أخرى بطلت صلاته

Maksudnya : “ Jika seseorang itu melakukan takbiratul ihram dengan beberapa takbir dengan berniat untuk menunaikan solat pada setiap kali takbir itu, maka dia dikira masuk ke dalam solat pada jumlah takbir yang ganjil dan dianggap keluar daripada solat pada jumlah takbir yang genap. Ini kerana sesiapa yang memulakan solat kemudian memulakan lagi dengan niat yang lain maka terbatal lah solatnya. “ (Rujuk Al-Iqna’ Fi Hilli Alfaz Abi Syuja’, 1/132).

Imam Al-Ramli menyebut :

وَلَوْ كَبَّرَ لِلْإِحْرَامِ تَكْبِيرَاتٍ نَاوِيًا بِكُلٍّ مِنْهَا الِافْتِتَاحَ دَخَلَ فِي الصَّلَاةِ بِالْأَوْتَارِ وَخَرَجَ بِالْأَشْفَاعِ

Maksudnya : “Jika seseorang bertakbiratul ihram dengan beberapa takbir dengan berniat memulakan solat pada setiap kali takbir , maka dia dikira masuk ke dalam solat dengan takbir yang ganjil dan keluar dari solat dengan takbir yang genap.” (Rujuk Nihayah Al-Muhtaj Ila Syarh Al-Minhaj, 4/68).

Namun jika seseorang hanya berniat pada takbir yang pertama, kemudian dia melakukan sekali lagi takbiratul ihram tanpa berniat maka solatnya tidaklah batal. Perbuatan takbir yang kedua itu dianggap sebagai zikir. Imam Al-Nawawi menyebut :

فَلَوْ لَمْ يَنْوِ بِالتَّكْبِيرَةِ الثَّانِيَةِ وَمَا بَعْدَهَا افْتِتَاحًا وَلَا دُخُولًا ولا خروخا صح دُخُولُهُ بِالْأُولَى وَيَكُونُ بَاقِي التَّكْبِيرَاتِ ذِكْرًا لَا تبطل به الصلاة

Maksudnya : “Jika dia tidak berniat pada takbir yang kedua sama ada niat memulakan atau masuk ke dalam solat maka sah solatnya dengan takbir yang pertama dan takbir yang lainnya menjadi zikir. Ianya tidak membatalkan solat.” (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 3/298-299).

Imam Al-Ramli menyebut bahawa jika seorang hanya berniat pada takbiratul ihram yang pertama kemudia dia melakukan lagi takbir tanpa niat maka ianya tidak memudaratkan solat iaitu perbuatan takbir yang kedua itu tidak membatalkan solat. (Rujuk Nihayah Al-Muhtaj Ila Syarh Al-Minhaj, 4/68).

Kesimpulannya, perbuatan seseorang yang melakukan takbiratul ihram dua kali adalah perbuatan yang boleh menyebabkan solat tidak sah. Ini kerana perbuatan dia bertakbir pada kali kedua dianggap membatalkan takbir yang pertama. Namun begitu, jika dia berniat pada takbiratul ihram yang pertama kemudian dia bertakbir sekali lagi tanpa berniat maka solatnya tetap sah dan dianggap sebagai zikir.

Nasihat kami, perdalami ilmu berkenaan dengan solat sekaligus menjauhkan diri kita daripada dijangkiti penyakit was-was. Kami pernah mengulas berkenaan was-was di dalam ibadat di dalam beberapa ruangan artikel. Antaranya :

  • Al-Kafi Lil Al-Fatawi no 235[1]
  • Irsyad Al-Fatwa siri ke 158[2]

Semoga Allah memberikan kefahaman di dalam agama-Nya kepada kita semua. Wallahu’alam.

 

[1] Rujuk https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1757-was-was-dalam-ibadat

[2] Rujuk https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-hukum/umum/1038-irsyad-al-fatwa-ke-158-cara-mengubati-penyakit-was-was