اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-526: MEMBERI SALAM DENGAN LAFAZ “SALAM SUBUH” DAN SEUMPAMA DENGANNYA

salam

Soalan

Assalamualaikum Ustaz. Saya hendak bertanya. Adakah boleh memulakan ucapan dengan “Salam Jumaat”, “Salam Subuh”, “Salam Tahajud”, dll. Banyak sangat ucapan sebegini tersebar di grup Whatsapp. Ada sebahagian asatizah yang mengatakan kesemua ucapan salam yang disebutkan itu merupakan Salam Bid'ah sebab tidak pernah ada salam seperti itu ketika zaman Nabi dan para Sahabat.

Mohon pencerahan pihak ustaz adakah benar ia bidaah. Jadi adakah cukup dengan sebut ‘salam’ sahaja? Terima kasih.

Jawapan Ringkas

Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Secara umumnya, lafaz salam sebegitu secara zahirnya tidak pernah diucapkan oleh Nabi dan para sahabat. Namun, melihat kepada konteks penggunaanya, kami berpandangan hukumnya adalah harus melihat kepada penggunaannya sudah berubah daripada lafaz salam yang diajarkan Nabi kepada kata sapaan biasa yang digunakan mengikut uruf setempat seperti “selamat sejahtera”, “selamat petang”, dan sebagainya. Lantaran itu, kata sapaan sebegini tidak wajib dijawab.

Walau bagaimanapun, dinasihatkan kepada umat Islam untuk mengutamakan lafaz yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW. Sekiranya mahu menambahkan perkataan lain, sebaiknya ditulis secara berasingan seperti “Assalamualaikum dan selamat subuh” atau seumpama dengannya bagi mengelakkan sebarang pertikaian dan perdebatan yang kurang bermanfaat.

Huraian Jawapan

Salam merupakan ucapan penghormatan yang diucapkan oleh orang yang beragama Islam kepada saudaranya (seagama dengannya). Maksud ini diambil berdasarkan firman Allah SWT:

وَتَحِيَّتُهُمْ فِيهَا سَلَامٌ

Maksudnya: “Dan ucapan penghormatan mereka padanya ialah: Selamat sejahtera."

Surah Yunus (10)

Memberi salam sesama umat Islam merupakan salah satu perkara yang dituntut bahkan dianggap sebagai syiar Islam yang wajar disahut oleh seluruh umat islam. Perbuatan tersebut menzahirkan kesempurnaan akhlak dalam diri seseorang di samping mengeratkan hubungan silaturahim dan memupuk kasih sayang dan ukhuwah sesama saudara seagama.

Perkara ini disandarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Muhammad saw bersabda,

لَا تَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّى تُؤْمِنُوا، وَلَا تُؤْمِنُوا حَتَّى تَحَابُّوا، أَوَلَا أَدُلُّكُمْ عَلَى شَيْءٍ إِذَا فَعَلْتُمُوهُ تَحَابَبْتُمْ؟ أَفْشُوا السَّلَامَ بَيْنَكُمْ

Maksudnya: “Kalian tidak akan masuk syurga melainkan kalian beriman. Kalian tidak beriman sehingga kalian berkasih sayang. Adakah kalian mahu aku tunjukkan sesuatu perkara yang apabila kalian mengerjakannya nescaya kalian akan saling menyayangi antara satu sama lain? Sebarkanlah salam sesama kalian."

Riwayat Muslim (81)

Umumnya, hukum memberi salam asalnya ialah sunat yang sangat dituntut. Adapun menjawabnya adalah wajib. Imam al-Nawawi menyatakan bahawa:

إبْدَاءُ السَّلَامِ سُنَّةٌ مُؤَكَّدَةٌ... وَأَمَّا جَوَابُ السَّلَامِ فَهُوَ فَرْضٌ بِالْإِجْمَاعِ

Maksudnya: “Hukum memulakan salam itu adalah sunat muakkad… Adapun hukum menjawab salam adalah fardu (wajib) secara ijma’.”

(Lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/593-594)

Lafaz-lafaz Salam

Sebelum kita menjawab persoalan di atas, sewajarnya kita membahaskan terlebih dahulu bentuk ucapan salam yang dianjurkan dalam agama Islam bermula daripada seringkas-ringkas salam sehinggalah ucapan yang paling sempurna.

Antara lafaz “salam” yang dianjurkan adalah:

  • السلام عليكم (Assalamualaikum)
  • السلام عليكم ورحمة الله (Assalamualaikum Warahmatullah)
  • السلام عليكم ورحمة الله وبركاته (Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh)

Adapun memendekkan lafaz salam kepada lafaz (السَّلَامُ) sahaja, para ulama berbeza pendapat mengenainya. Sebahagian mengharuskannya berhujah dengan jawapan salam yang diberikan Nabi Ibrahim A.S kepada kepada para malaikat; iaitu lafaz (سلام) atau salam dengan makna “Waalaikumussalam”. Rujuk juga artikel kami https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3846-al-kafi-1453-hukum-menjawab-salam-yang-bertulis

Bertitik tolak daripada perbahasan di atas, dapatlah difahami bahawa ucapan salam seperti “salam subuh”, “salam jumaat”, “salam tahajud”, dan ucapan-ucapan lain yang seumpama dengannya terkandung padanya dua kalimah yang digandingkan. Contohnya ucapan “salam subuh” terdiri daripada dua perkataan, iaitu “salam” dan “subuh”.

Adapun mengucapkan lafaz salam dengan semata-mata “salam” sudah dibahaskan di atas iaitu hukumnya harus. Namun, sekiranya lafaz “salam” tersebut digandingkan dengan lafaz-lafaz lain yang tidak pernah digunakan oleh Nabi mahupun salafussoleh, kami berpandangan hukumnya bergantung kepada niat pemberi salam tersebut.

Sekiranya mereka beranggapan lafaz tersebut kedudukannya sama seperti ucapan salam yang diajarkan Nabi, maka kami mengatakan ucapan lafaz sebegitu tidak wajar dilakukan kerana ia merupakan sebahagian daripada ibadah yang perlu mengikut tatacara yang dianjurkan Syarak dan sandaran daripada perkataan, perbuatan mahupun pengakuan Baginda Nabi SAW.

Namun begitu, sekiranya mereka menganggap lafaz tersebut dengan bermacam-macam versi baru sebagai kata sapaan yang setara dengan “selamat petang”, “salam perpaduan” dan seumpanya, maka hukum mengucapkannya adalah harus. Hujahnya, walaupun lafaz-lafaz di atas tidak pernah digunakan masyarakat sebelum ini, namun konteks penggunaannya boleh difahami iaitu kata sapaan.

Budayawan Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim pernah mengulas ketika polemik "salam 1Malaysia" menjadi hangat suatu ketika dahulu dengan mengatakan lafaz sebegitu merupakan satu trend baru seperti "salam perpaduan" yang pernah diperkenalkan sebelum ini.

Beliau juga berkata ucapan tersebut tidak mempunyai sahutan yang spesifik kerana "salam 1Malaysia" lebih kepada sapaan yang tidak memerlukan jawapan berbanding ucapan "apa khabar" dan "assalamualaikum" yang memerlukan kepada jawapan balas.”

Rujuk Bagaimana hendak sahut 'salam 1Malaysiaoleh Malaysiakini

Melihat kepada penghujahan “salam perpaduan” dan “salam 1Malaysia” dari sudut pandang bahasa, maka kedua-duanya dikategorikan kata sapaan yang bersifat umum, bukanlah bersifat khusus seperti lafaz “assalamualaikum”. Penetapan sebegini boleh diqiyaskan juga dengan lafaz salam yang disebutkan dalam situasi soalan di atas.

Ini dikuatkan lagi dengan hadis nabi SAW:

إنَّما الأعْمالُ بالنِّيّاتِ

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan ini tergantung pada niatnya.” 

Riwayat al-Bukhari (1)

Hal ini kerana seseorang itu kebiasaannya tidak akan menulis atau memendekkan lafaz salam kemudian digandingkan dengan perkataan lain melainkan perkataan tersebut difahami sebagaimana kata-kata sapaan seperti “selamat petang”, “selamat tengah hari” dan seumpamanya.

Berkenaan perihal menjawab kata sapaan, ulama menetapkan bahawa tidak wajib menjawabnya kerana ia bukan sebahagian daripada lafaz salam yang warid daripada Nabi SAW. Kata kuncinya ialah perlu dibezakan antara lafaz salam yang khusus dengan kata-kata sapaan lain yang bersifat umum.

Walau bagaimanapun, sekiranya lafaz salam tersebut dapat ditulis dengan penuh dan ditulis secara terpisah seperti ‘assalamualaikum dan selamat subuh” maka itu adalah lebih baik dan keluar daripada khilaf. Dalam masa yang sama ia lebih menepati Sunnah yang diajarkan Baginda SAW lantas mengelakkan perdebatan yang kurang bermanfaat. 

Wallahua’lam.