اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-528 : BISIKAN MENYURUH UNTUK MELAFAZKAN KEKUFURAN

IF528

 

SOALAN

Assalamualaikum WBT. Akhir-akhir ini, saya selalu mengalami keadaan seakan-akan ada bisikan yang menyuruh saya untuk melafazkan ayat-ayat yang membawa kepada kekufuran seperti, “Biarlah aku kafir pun.” Soalan saya, adakah jika saya terlafaz, saya perlu untuk mengucap dua kalimah syahadah kembali?

Mohon pencerahan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Seseorang yang melafazkan ayat-ayat kufur tanpa niat atau secara tidak sengaja tidak dihukumkan sebagai kafir dan tidak pula batal syahadahnya. Oleh itu, seseorang yang menyebut lafaz-lafaz kufur tanpa niat dan tidak sengaja, tidak perlu untuk mengucap syahadah kembali. Namun begitu, sekadar untuk kesenangan hati adalah digalakkan untuk melakukan demikian serta memohon keampunan dan perlindungan kepada Allah SWT daripada bisikan-bisikan syaitan tersebut.

WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Pertamanya, kita harus menyedari bahawa syaitan akan sentiasa menghasut manusia untuk melakukan maksiat dan kejahatan, seterusnya membawa mereka terjerumus ke dalam kekufuran. Antaranya adalah dengan menimbulkan rasa was-was dan keraguan terhadap keyakinan kepada Allah SWT. Hal ini seperti firman Allah SWT:

الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ

Maksudnya: "Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia.”

(Surah al-Nas: 5)

Para ulama tafsir menerangkan bahawa maksud daripada ayat ini ialah syaitan  melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia itu melalui cara:

بالكلام الخفي الذي يصل مفهومه إلى القلب من غير سماع

Maksudnya: (Iaitu) Dengan bisikan halus yang sampai maknanya ke dalam hati walaupun tidak didengari. (Rujuk Tafsir al-Khazin, 4:503)

Oleh itu, bisikan-bisikan ini boleh jadi tidak didengari dengan jelas, namun maknanya itu sampai ke dalam hati lalu menimbulkan rasa was-was dan ragu-ragu.

Selain itu, Rasulullah SAW juga mengingatkan kita supaya memohon perlindungan daripada Allah SWT apabila mendengar bisikan-bisikan halus tersebut dan hendaklah berusaha menghilangkannya. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَأْتِي الشَّيْطَانُ أَحَدَكُمْ فَيَقُولُ : مَنْ خَلَقَ كَذَا ؟ مَنْ خَلَقَ كَذَا ؟ حَتَّى يَقُولَ : مَنْ خَلَقَ رَبَّكَ ؟ فَإِذَا بَلَغَهُ فَلْيَسْتَعِذْ بِاللَّهِ وَلْيَنْتَهِ

Maksudnya: Syaitan datang kepada seseorang dalam kalangan kamu dan berkata, “Siapakah yang menciptakan ini? Siapakah yang menciptakan itu?”, sehinggalah dia berkata, “Siapakah yang menciptakan Tuhan kamu?” Jika sekiranya ia telah sampai kepada tahap itu, maka hendaklah dia memohon perlindungan daripada Allah SWT dan menghentikannya.

Hadith riwayat al-Bukhari (3276) dan Muslim (213)

Berbalik kepada soalan yang ditanya, adakah menjadi murtad dan terbatal syahadah apabila seseorang melafazkan ayat-ayat kufur tanpa niat dan dengan tidak sengaja?

Dalam perkara ini, Allah SWT menjelaskan bahawa tidak dikira berdosa sekiranya tersilap dan tidak sengaja dalam melakukan sesuatu, kecuali jika ia disengajakan untuk dilakukan. Firman Allah SWT:

وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُم بِهِ وَلَـٰكِن مَّا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ ۚ وَكَانَ اللَّـهُ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya: Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

(Surah al-Ahzab: 5)

Disamping itu juga, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa seseorang yang terlafaz ucapan kufur disebabkan terlampau gembira sebagai contoh, maka ia tidak diambil kira ucapannya tersebut kerana dia tersasul perkataan. Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Saidina Anas Bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ثُمَّ قَالَ مِنْ شِدَّةِ الْفَرَحِ : اللَّهُمَّ أَنْتَ عَبْدِي وَأَنَا رَبُّكَ. أَخْطَأَ مِنْ شِدَّةِ الْفَرَحِ

Maksudnya: Kemudian dia (seseorang yang menjumpai unta selepas kehilangannya dalam permusafiran) berkata disebabkan sangat gembira, “Ya Allah, Engkau-lah hambaku, dan akulah tuhan-Mu.” Dia tersilap oleh kerana terlampau gembira.

Hadith riwayat Muslim: 2747

Jika dilihat dalam hadith tersebut, orang tersebut menyatakan sesuatu lafaz yang jelas menunjukkan kekufuran, namun ia tidak diambil kira kerana dia tersilap disebabkan oleh perasaan terlampau gembiranya.

Para ulama’ juga menjelaskan bahawa tidak diambil kira untuk dijadikan hukum jika sekiranya sesuatu yang disebut itu tidak difahami dan tidak diniatkan oleh seseorang. Antaranya sepertimana yang disebut oleh Imam al-‘Izz Ibn Abd al-Salam di dalam kitabnya, Qawa’id al-Ahkam fi Masalih al-Anam, bahawa:

إذا نطق الأعجمي بكلمة كفر أو إيمان أو طلاق أو بيع أو شراء أو صلح أو إبراء لم يؤاخذ بشيء من ذلك؛ لأنه لم يلتزم مقتضاه ولم يقصد إليه، وكذلك إذا نطق العربي بما يدل على هذه المعاني بلفظ أعجمي لا يعرف معناه فإنه لا يؤاخذ بشيء من ذلك؛ لأنه لم يرده، فإن الإرادة لا تتوجه إلا إلى معلوم أو مظنون

Maksudnya: Jika sekiranya seorang ‘ajam menuturkan kalimah kufur atau iman atau talak atau pembelian atau penjualan atau sulh atau ibra’, maka tidak diambil kira apa-apa jua berkaitan perkara tersebut. Ini kerana tidak melazimi akibat daripada perbuatan tersebut dan tidak diniatkan. Begitu juga, jika sekiranya seorang Arab menuturkan apa yang memberi makna di dalam bahasa Ajam yang tidak dia ketahui maknanya, maka tidak diambil kira apa-apa pun berkaitan perkara tersebut kerana dia tidak meniatkannya. Sesungguhnya kehendak itu tidak dimaksudkan kecuali pada perkara yang diketahui atau dzann sahaja. (Rujuk Qawa’id al-Ahkam fi Masalih al-Anam, 1:79)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyimpulkan bahawa Seseorang yang melafazkan ayat-ayat kufur tanpa niat atau secara tidak sengaja tidak dihukumkan sebagai kafir dan tidak pula batal syahadahnya. Oleh itu, seseorang yang menyebut lafaz-lafaz kufur tanpa niat dan tidak sengaja, tidak perlu untuk mengucap syahadah kembali. Namun begitu, sekadar untuk kesenangan hati adalah digalakkan dia untuk melakukan demikian serta memohon keampunan dan perlindungan kepada Allah SWT daripada bisikan-bisikan syaitan seperti disebut di dalam hadith di atas.

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya serta taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah ikhlas semata-mata kerana-Nya. Amin.

WaAllahu a’lam.