SOALAN
Assalamualaikum WBT. Saya ingin bertanya, adakah orang kafir juga mempunyai kitab catatan amalan sama seperti orang beriman?
Mohon pencerahan. Terima kasih.
RINGKASAN JAWAPAN
Secara kesimpulannya, kami menyatakan bahawa orang kafir juga mempunyai kitab catatan amalannya sendiri sama seperti orang yang beriman sepertimana yang disebutkan oleh zahir nas al-Quran. Walau bagaimanapun, cara hisab di antara dua golongan tersebut adalah berbeza.
Adapun golongan yang beriman, mereka akan diberikan kitab amalan mereka dengan tangan kanan. Kemudian, mereka dihisab dengan cara mudah dan ringan dengan dibentangkan amalan-amalan kebaikan yang telah mereka lakukan.
Manakala, orang kafir akan diberikan kitab amalan mereka dengan tangan kiri dari arah belakang. Kemudian, mereka akan dihisab dengan cara yang berat dan teliti sehingga timbulnya perasaan takut, kecewa dan penyesalan sebagai balasan terhadap kekufuran mereka kepada Allah SWT.
WaAllahu a’lam.
HURAIAN JAWAPAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Pertamanya, persoalan ini berkait rapat dengan perbahasan berkaitan penghitungan (hisab) di hari Akhirat. Para ulama’ menjelaskan bahawa hisab ini berlaku ke atas golongan mukmin dan kafir dalam kalangan jin dan manusia, kecuali ke atas golongan yang dimasukkan ke dalam Syurga tanpa hisab oleh Allah SWT. Hal ini seperti dinyatakan di dalam kitab Tuhfat al-Murid Syarh Jawharat al-Tauhid:
وَ يَكُونُ لِلمُؤْمِنِ وَ الكَافِرِ إنْسًا وَ جِنًّا إِلَّا مَنْ وَرَدَ الحَدِيثُ باسْتِثْنَائِهِمْ كَالسَّبْعِينَ أَلْفًا وَ أَفْضَلُهُمْ أَبُو بَكْر الصِّدِّيقُ فَلَا يُحَاسَبُ
Maksudnya: Dan (hisab) itu berlaku ke atas orang mukmin dan orang kafir dalam kalangan jin dan manusia kecuali sesiapa yang termasuk dalam hadith yang menyatakan pengecualian mereka seperti 70,000 (yang masuk Syurga tanpa dihisab). Dan yang paling afdhal dalam kalangan mereka ialah Abu Bakar al-Siddiq RA, beliau tidak dihisab. (Rujuk Ibrahim al-Laqqani, Tuhfat al-Murid Syarh Jawharat al-Tauhid, 1:280)
Namun begitu, cara dihisab itu berbeza mengikut keadaan seseorang mukmin dan kafir tersebut. Imam al-Laqqani menyebut:
وَ كَيْفِيَّتُهُ مُخْتَلِفَةٌ فَمِنْهُ اليَسِيرُ وَ العَسِيرُ وَ السِرُّ وَ الجَهْرُ وَ التَوْبِيخُ وَ الفَضْلُ وَ العَدْلُ
Maksudnya: Dan caranya (hisab) berbeza-beza. Di antaranya ada yang mudah, ada yang susah, ada yang secara rahsia, ada yang secara terang-terangan dan celaan, ada yang secara diberikan kelebihan dan ada yang secara adil. (Rujuk Ibrahim al-Laqqani, Tuhfat al-Murid Syarh Jawharat al-Tauhid, 1:280)
Adapun orang-orang yang beriman, mereka akan diberikan kitab catatan amalan dengan tangan kanan dan dihisab dengan cara mudah dan ringan. Allah SWT berfirman:
فَأَمَّا مَنْ أُوتِيَ كِتَابَهُ بِيَمِينِهِ ﴿٧﴾ فَسَوْفَ يُحَاسَبُ حِسَابًا يَسِيرًا
Maksudnya: Kemudian sesiapa yang diberi menerima surat amalnya dengan tangan kanannya, maka ia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan.
(Surah al-Insyiqaq: 7-8)
Golongan yang beriman tidak dihisab dengan cara yang berat dan teliti, bahkan hanya dibentangkan amalan-amalan kebaikan mereka. Hal ini kerana sesiapa yang dihisab dengan cara berat dan teliti, maka sesungguhnya dia akan celaka.
Ini berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah RAnha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَيْسَ أَحَدٌ يُحَاسَبُ إِلَّا هَلَكَ ". قَالَتْ : قُلْتُ : يَا رَسُولَ اللَّهِ، جَعَلَنِي اللَّهُ فِدَاءَكَ، أَلَيْسَ يَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ : {فَأَمَّا مَنْ أُوتِيَ كِتَابَهُ بِيَمِينِهِ} {فَسَوْفَ يُحَاسَبُ حِسَابًا يَسِيرًا}؟ قَالَ : ذَاكِ الْعَرْضُ يُعْرَضُونَ، وَمَنْ نُوقِشَ الْحِسَابَ هَلَكَ
Maksudnya: Tidak ada seorang pun yang dihisab kecuali akan celaka. Saidatina Aisyah RAnha berkata: aku berkata: Wahai Rasulullah SAW, Allah SWT telah menjadikan aku tebus bagimu, bukankah Allah SWT berfirman: “Kemudian sesiapa yang diberikan kitab ‘amalnya dengan tangan kanan, maka ia akan dihisab dengan mudah dan ringan.” Rasulullah SAW bersabda: “Itu ialah pembentangan amal kebaikan mereka yang dibentangkan. Barangsiapa yang dibincangkan kitab amalannya dengan dihisab, maka akan celaka.
Hadith riwayat al-Bukhari (4939) dan Muslim (2876)
Manakala, bagi golongan yang kafir pula, mereka akan diberikan kitab catatan amalan mereka dengan tangan kiri dari arah belakang. Firman Allah SWT menceritakan tentang hal keadaan orang kafir yang menyesal dan berharap mereka tidak dihisab:
وَأَمَّا مَنْ أُوتِيَ كِتَابَهُ بِشِمَالِهِ فَيَقُولُ يَا لَيْتَنِي لَمْ أُوتَ كِتَابِيَهْ ﴿٢٥﴾ وَلَمْ أَدْرِ مَا حِسَابِيَهْ
Maksudnya: Adapun orang yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan kirinya, maka ia akan berkata (dengan sesalnya): "Alangkah baiknya kalau aku tidak diberikan kitab amalku: "Dan aku tidak dapat mengetahui hitungan amalku.”
(Surah al-Haqqah: 25-26)
Firman Allah SWT lagi:
وَأَمَّا مَنْ أُوتِيَ كِتَابَهُ وَرَاءَ ظَهْرِهِ ﴿١٠﴾ فَسَوْفَ يَدْعُو ثُبُورًا ﴿١١﴾ وَيَصْلَىٰ سَعِيرًا
Maksudnya: Dan sesiapa yang diberi menerima surat amalnya (dengan tangan kiri), dari sebelah belakangnya. Maka dia akan meraung menyebut-nyebut kebinasaannya. Dan dia akan menderita bakaran neraka yang marak menjulang.
(Surah al-Insyiqaq: 10-12)
Disamping itu juga, mereka akan dihisab dengan hisab yang sangat berat dan teliti. Firman Allah SWT:
وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَـٰذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا ۚ وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا ۗ وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا
Maksudnya: Dan kitab-kitab amal juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata: Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya! Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun.
(Surah al-Kahfi: 49)
Kesimpulan
Secara kesimpulannya, kami menyatakan bahawa orang kafir juga mempunyai kitab catatan amalannya sendiri sama seperti orang yang beriman sepertimana yang disebutkan oleh zahir nas al-Quran. Walau bagaimanapun, cara hisab di antara dua golongan tersebut adalah berbeza.
Adapun golongan yang beriman, mereka akan diberikan kitab amalan mereka dengan tangan kanan. Kemudian, mereka dihisab dengan cara mudah dan ringan dengan dibentangkan amalan-amalan kebaikan yang telah mereka lakukan.
Manakala, orang kafir akan diberikan kitab amalan mereka dengan tangan kiri dari arah belakang. Kemudian, mereka akan dihisab dengan cara yang berat dan teliti sehingga timbulnya perasaan takut, kecewa dan penyesalan dalam diri mereka sebagai balasan terhadap kekufuran mereka kepada Allah SWT.
WaAllahu a’lam.