اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE 540 : HUKUM MERAKAM VIDEO ORANG YANG MENINGGAL DUNIA?

f 540

Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya bolehkan saya menyebar video orang yang telah meninggal dunia yang telah saya rakam bagi tujuan kenang-kenangan dan dikongsikan di dalam media sosial.

Ringkasan Jawapan

Tidak sepatutnya bagi seseorang muslim itu menyebar video atau gambar si mati di dalam media sosial atau kepada masyarakat umum. Ini kerana ia bertentangan dengan etika dan akhlak bagi seorang muslim. Selain itu, perbuatan itu juga boleh mengundangkan kepada fitnah dan perasaan tidak selesa terhadap keluarga si mati. Bahkan ia juga perlu dihentikan daripada terus tersebar dengan kadar segera.

Huraian Jawapan

Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Mengiringi jenazah merupakan suatu perkara yang dituntut di dalam Islam dan juga merupakan tanggungjawab seseorang muslim ke atas saudara muslimnya yang telah meninggal dunia, bahkan ganjaran pahala yang diberikan adalah sangat besar. Ini berdasarkan hadis yang dirirwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ شَهِدَ الْجَنَازَةَ حَتَّى يُصَلِّىَ عَلَيْهَا فَلَهُ قِيرَاطٌ، وَمَنْ شَهِدَ حَتَّى تُدْفَنَ كَانَ لَهُ قِيرَاطَانِ. قِيلَ وَمَا الْقِيرَاطَانِ؟ قَالَ: مِثْلُ الْجَبَلَيْنِ الْعَظِيمَيْنِ

Maksudnya: “Sesiapa yang bersama-sama jenazah sehingga selesai disolatkan dia mendapat satu qirath (قِيرَاطٌ) dan sesiapa yang bersama-samanya sehingga selesai dikebumikan dia mendapat dua qirath. Lalu Baginda ditanya: Apakah dua qirath itu? Baginda menjawab: Ganjarannya umpama dua buah gunung yang besar.”

Riwayat al-Bukhari (1261)

Disamping itu, etika ketika menziarahi si mati, syarak melarang daripada melakukan perkara yang boleh menyakiti atau menghina si mati sehingga boleh mendatangkan fitnah dan menjatuhkan maruah saudaranya itu. Ini kerana setiap manusia itu dimuliakan oleh Allah SWT ketika masih hidup atau setelah meninggal dunia. Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ

Maksudnya: Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam.

(Surah al-Isra’, 70)

Al-Hafiz Al-Sayuti dan Imam Al-Mahalli telah menjelaskan makna sebenar ayat ini. Mereka berdua berkata :

بِالْعِلْمِ وَالنُّطْق وَاعْتِدَال الْخَلْق وَغَيْر ذَلِكَ وَمِنْهُ طَهَارَتهمْ بَعْد الْمَوْت

“(Allah telah memuliakan anak cucu Adam) dengan ilmu, kepetahan bercakap, makhluk yang bersifat pertengahan dan lain-lain lagi. Antara (kemuliaan yang diberikan kepada anak Adam) adalah kesucian mereka walaupun selepas meninggal dunia.”[1]

Kewajipan seseorang muslim menjaga keharmonian sesama manusia ketika hidupnya sama seperti ketika kematiannya. Oleh itu, tidak boleh seseorang itu melakukan perbuatan yang boleh menyinggung perasaan si mati ketika hayatnya atau ahli keluarganya. Ini kerana Baginda Nabi SAW pernah bersabda:

كَسْرُ عَظْمِ الْمَيِّتِ كَكَسْرِهِ حَيًّا

Maksudnya: Mematahkan tulang mayat adalah seperti mematahkannya ketika hidup.

Berbalik kepada persoalan di atas, berkongsi gambar dan video kepada orang awam dan juga dimedia sosial perlu mendapat keizinan daripada ahli waris si mati. Hal ini, merupakan perkara yang perlu diambil berat bagi menjaga perasaan dan juga sensitiviti ahli warisnya, malah ini merupakan hak dan tanggungjawab bagi seseorang muslim ke atas muslim yang lain. Abu Hurairah RA meriwayatkan hadis daripada Rasulullah SAW:

الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لاَ يَخُونُهُ وَلاَ يَكْذِبُهُ وَلاَ يَخْذُلُهُ كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ عِرْضُهُ وَمَالُهُ وَدَمُهُ

Maksudnya: Seorang muslim itu adalah saudara bagi muslim (yang lain) dia tidak boleh mengkhianatinya, tidak membohonginya dan tidak memperdayainya, Hak bagi setiap muslim ke atas muslim yang lain adalah haram (baginya manjatuhkan) maruahnya, hartanya dan darahnya.”

Riwayat al-Tirmizi (1927)

Sheikh Abdurrahman Al-Mubarakfuri menukilkan padangan Ibn Qutaibah berkenaan hadith tersebut. Beliau menyebut :

عِرْضُ الرَّجُلِ نَفْسُهُ وَبَدَنُهُ لَا غَيْرَ

“Maruah seseorang adalah dirinya dan tubuhnya. Tiada yang lain.”[2]

Ini bermakna segala apa yang berkaitan dengan diri dan tubuh manusia adalah sesuatu yang tidak dibenarkan untuk dicemari. Apatah lagi, jika seseorang itu telah meninggalkan. Tambahan pula jika mayat tersebut mempunyai aib yang boleh mengundang kata-kata oleh orang yang menonton video tersebut. Maka seharusnya perkara sebegini yang perlu dijaga.

Justeru, berdasarkan kepada persoalan yang diajukan dan penjelasan yang diberikan, dapat disimpulkan disini bahawa tidak sepatutnya seseorang muslim itu menyebar video atau gambar si mati di dalam media sosial atau kepada masyarakat umum. Ini kerana ia bertentangan dengan etika dan akhlak bagi seorang muslim. Selain itu, perbuatan itu juga boleh mengundangkan kepada fitnah dan perasaan tidak selesa terhadap keluarga si mati. Bahkan ia juga perlu dihentikan daripada terus tersebar dengan kadar segera.

Namun, perbuatan menyebarkan video atau gambar tersebut diharuskan bagi tujuan tertentu untuk menjaga kebaikan dan manfaat bagi pihak yang berautoriti dengan syarat mendapat keizinan pihak keluarga serta menjaga aib si mati.

Selain itu, untuk maklumat yang lebih lanjut boleh rujuk artikel yang bertajuk: IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-519: HUKUM MENYEBARKAN GAMBAR MAYAT ORANG YANG TELAH MENINGGAL DUNIA[3]

 

[1] Al-Suyuti,Abdurrahman Bin Abu Bakar ;Al-Mahalli, Muhammad Bin Ahmad , Tafsir Al-Jalalain, Dar Al-Hadith, Kaherah, Mesir, h.827.

[2] Al-Mubarakfuri, Abdurrahman Bin Abdurrahim, Tuhfah Al-Ahwazi Syarh Jami’ Al-Tirmizi, Dar AL-Kutub Al-‘Imiyah, Beirut, j.6 h.46.

[3] Lihat pautan https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-hukum/umum/4644-irsyad-al-fatwa-siri-ke-540-hukum-merakam-video-orang-yang-meninggal-dunia