SOALAN
Assalamulaikum, saya ternampak iklan produk dipamerkan di billboard (papan iklan bersaiz gergasi) tepi jalan dan lebuh raya yang mempunyai unsur lucah. Persoalannya, apakah hukum pengiklanan yang terdapat unsur lucah bagi mempromosikan produk mereka. Antara produk yang biasa menggunakan “tagline” yang dikaitkan dengan seks ialah produk kosmetik dan jamu. Mohon pencerahan S.S Mufti. Terima Kasih.
RINGKASAN JAWAPAN:
- Mempromosikan produk menggunakan tagline yang berunsur lucah adalah haram. Bahkan, penglibatan wanita mahupun lelaki sebagai model pengiklanan yang berunsur seks turut dilarang bagi menjaga maruah mereka.
- Pengharaman ini juga bertujuan untuk menutup pintu-pintu kemaksiatan dan ancaman fitnah berdasarkan kaedah Sadd al-Dzara’i.
HURAIAN JAWAPAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Terdapat tagline pengiklanan menggunakan ayat penerangan berbaur lucah untuk menunjukkan produk yang bersifat seksual terbukti berkesan dan mujarab. Strategi penyampaian iklan dilihat tidak sopan apabila menzahir ayat-ayat yang mengambarkan aset-aset pribadi wanita mahupun lelaki. Hal tersebut jelas tidak sesuai dengan budaya masyarakat Malaysia selain bertentangan dengan nilai-nilai Islam. Di samping itu, model wanita sering dipamerkan sebagai subjek pengiklanan tersebut.
Perintah Menjaga Kehormatan Dan Larangan Menzahirkan Aurat
Aurat adalah angggota badan yang tidak boleh dinampakkan dan diperlihatkan oleh lelaki atau perempuan kepada orang lain. (Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (31/44).
Umat Islam disyariatkan untuk memelihara aurat dan menjaga maruah. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT :
وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا
Maksudnya: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya
Surah al-Nur (31)
Tafsiran ayat وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ, membawa maksud memelihara kehormatan dengan cara menutup aurat dan menjaga diri daripada perbuatan zina (Rujuk Tafsir al-Baidhawi 4/104). Memelihara kehormatan daripada perlakuan keji atau memelihara diri daripada pandangan manusia ( Rujuk Tafsir al-Maraghi 18/98)
Ayat وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ – terdapat maksud majaz mursal, iaitu tempat meletakkan perhiasan, seperti gelang tetapi yang dimaksudkan adalah tempatnya (tubuh badan). Ini bertujuan memberikan pengertian mubalaghah (penekanan lebih) pada perintah menutupi tubuh dan menjaga diri. [Rujuk Tafsir al-Munir 18/210]. Dapat difahami bahawa perintah menjaga mata, menutup aurat dan memelihara kehormatan adalah langkah untuk menjauhi daripada kemaksiatan berlaku.
Kalimah يُبْدِينَ berasal daripada kalimah أبدى, bermaksud menzahirkan sesuatu. (Rujuk al-Mu’jam al-Wasit)
Perbuatan menceritakan atau memberitahu sesuatu perkara yang telah ditutup adalah sama seperti maksud mendedahkan atau menzahirkan. [Rujuk Kamus Pelajar Edisi Kedua]
Model yang dipamerkan dalam pengiklanan yang berbaur lucah akan turut tercalar maruah kerana seolah menzahirkan dan menceritakan aset peribadi yang bertujuan menunjukkan kesan penggunaan produk yang dipromosikan. Pengiklanan yang menggunakan “tagline” penerangan berbaur lucah dengan mengambarkan aset anggota pribadi wanita mahupun lelaki boleh mengundang kepada perkara - perkara maksiat dan membuka ruang kepada membayangkan anggota - angota aurat mahupun timbul keghairahan.
Segala wasilah yang boleh menzahirkan gambaran atau bayangan aurat tubuh badan yang diceritakan kepada berlainan jantina adalah dilarang. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud R.A, Rasulullah SAW bersabda:
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «لَا تُبَاشِرُ المَرْأَةُ المَرْأَةَ، فَتَنْعَتَهَا لِزَوْجِهَا كَأَنَّهُ يَنْظُرُ إِلَيْهَا»
Maksudnya: Janganlah seorang wanita bergaul dengan wanita lain kemudian menceritakan wanita lain itu kepada suaminya sehingga seakan-akan suaminya melihat wanita yang diceritakannya.
Riwayat al-Bukhari (5240)
Imam al-Qabisiy berkata ketika mensyarahkan hadis di atas:
هذا أصل لمالك في سد الذرائع فإن الحكمة في هذا النهي خشية أن يعجب الزوج الوصف المذكور فيفضي ذلك إلى تطليق الواصفة او الافتتان بالموصوفة
Maksudnya: (Hadis) Ini merupakan hujah bagi Imam Malik dalam sadd al-dzari’ah. Sesungguhnya hikmah pelarangan ini adalah dikhuatiri suami akan berasa takjub (tertarik) dengan sifat yang disebutkan (diceritakan oleh isterinya tentang wanita lain) maka ia akan menyebabkan suami menceraikan isterinya atau mengidamkan wanita yang diceritakan sifatnya oleh isteri tersebut. [Rujuk Fath al-Baari, 9/338]
Justeru, wanita mahupun lelaki dilarang yang menjadi subjek bagi pengiklanan yang berbau lucah mahupun seks. Hal tersebut sebagai langkah-langkah menutup pintu-pintu kerosakan (Sadd al-Dzara’i). Bahkan, implikasi pengiklanan yang menggunakan tagline lucah tersebut boleh merosakkan minda kanak-kanak dan dikhuatiri turut merosakkan masyarakat yang membawa ke lembah kemaksiatan.
Sementara itu, antara syarat-syarat kelulusan lesen billboard ialah visual yang mengiklankan minuman keras, rokok, gambar yang menjolok mata dan tata kelakuan yang kurang sopan mahupun berbentuk lucah tidak dibenarkan sama sekali dipamerkan.[1] Visual iklan papan hendaklah dirujuk dan oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka bagi mendapatkan pengesahan[2]. Sementara, kesalahan mendirikan struktur tanpa kelulusan dibawah Akta Jalan, Parit & Bangunan 1974 dan kesalahan mempamerkan iklan tanpa lesen dibawah Undang-Undang Kecil Iklan 1980 boleh dikenakan pada tiap-tiap hari kesalahan.[3]
KESIMPULAN
Konklusinya, setelah meneliti hujah yang dibentangkan, mempromosikan produk dengan mempamerkan model dalam kalangan lelaki mahupun perempuan beserta tagline berunsur lucah adalah haram. Hal ini kerana sebarang pengiklanan melalui billboard, media massa mahupun pamphlet yang terkandung tagline berunsur lucah boleh mengundang keghairahan kepada setiap lapisan masyarakat. Larangan tersebut untuk menutup pintu kerosakan yang lebih besar berdasarkan kaedah Sadd al-Dzara’i. Justeru, pihak peniaga yang ingin melariskan produk jualan mahupun perkhidmatan mereka perlu menitikberatkan penjagaan maruah dan kehormatan selain berusaha menjauhi perkara-perkara yang boleh mengundang ke lembah kemaksiatan.
Akhir kalam, kami menegaskan agar para perniaga memelihara nilai-nilai kesopanan dalam mengiklankan produk mereka.
[1] https://www.mps.gov.my/sites/default/files/primuscore_content_fetcher/downloads/lesen/lesen_2.pdf
[2] https://dbkk.sabah.gov.my/images/Lesen/Borangpermohonanleseniklan.pdf
[3] https://www.mbs.gov.my/index.php/ms/mbs/pusat-media/galeri/foto/operasi-penguatkuasaan-paparan-iklan-luar-billboard