اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-544: HUKUM STREAMER MENJANA PENDAPATAN MELALUI LIVE STREAMING

pubg 5

Soalan

Assalamualaikum, apakah hukum menjana duit pendapatan hasil daripada penstriman langsung (live streaming) video aplikasi game “PUBG” di Facebook? Khususnya bagi mereka yang melakukan secara sepenuh masa. Mohon penerangan daripada Mufti.

 

Jawapan Ringkas

1- Hukum asal menjana pendapatan melalui penstriman langsung PUBG melalui sumbangan stars peminat adalah harus.

2- Hukum boleh berubah menjadi makruh bahkan haram sekiranya terdapat elemen lain yang mengubah keharusannya seperti bermain sehingga meninggalkan kewajipan solat dan kewajipan lain-lain, tidak menutup aurat, bercakap dengan tidak sopan dan lain-lain.

3- Sentiasa mengutamakan kesihatan dan mengamalkan gaya hidup yang sihat.

4- Mengambil peluang untuk menyebarkan kebaikan dengan mengajak  followers berbuat kebaikan dan amal kebajikan.

 

Huraian Jawapan

Pada asalnya hiburan diharuskan di dalam islam melainkan terdapat perkara lain yang mengubah daripada harus kepada haram. Ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Hanzalah RA, Sabda Nabi SAW:

يَا حَنْظَلَةُ سَاعَةً وَسَاعَةً وَلَوْ كَانَتْ تَكُونُ قُلُوبُكُمْ كَمَا تَكُونُ عِنْدَ الذِّكْرِ لَصَافَحَتْكُمُ الْمَلاَئِكَةُ حَتَّى تُسَلِّمَ عَلَيْكُمْ فِي الطُّرُقِ ‏‏

Maksudnya: “Wahai Hanzalah! Ada masa untuk urusan keduniaan, ada masa untuk beribadah. Dan jika hati kamu sentiasa sama seperti kamu sedang mengingati Allah SWT, para malaikat akan bersalam denganmu dan memberi salam kepadamu di pertengahan jalan”

Riwayat Muslim (2750)

Umumnya, hukum bermain PUBG adalah harus jika bermain dengan kadar yang berpatutan. Namun, kami cenderung memakruhkan permainan PUBG jika bermain secara berlebihan kerana terdapat unsur-unsur yang membuang masa, bahkan hukumnya boleh menjadi haram sekiranya pemain itu melanggar batas-batas yang ditetapkan syarak serta meninggalkan tanggungjawab sebagai seorang muslim seperti solat, melawan dan meninggikan suara kepada ibu bapa kerana tidak mahu berhenti bermain dan lain-lain.

Bagi rujukan lebih lanjut berkenaan hukum bermain PUBG, boleh lihat artikel kami di https://muftiwp.gov.my/artikel/bayan-linnas/3992-bayan-linnas-siri-220-pubg-pandangan-dari-sudut-syarak-syarak.

 

Gambaran Isu dan Masalah

Khusus berkaitan hukum menjana duit daripada penstriman langsung (live streaming) di Facebook, perlu difahami terlebih dahulu amalan yang biasa diamalkan oleh penstrim (streamer).

Antara medium terkenal yang menjadi lubuk penstrim untuk menjana wang ialah melalui laman Twitch, Facebook Gaming dan Youtube Gaming. Kami akan memfokuskan perbincangan kepada Facebook Gaming.

Kaedah penjanaan duit daripada Facebook Gaming diperoleh melalui sumbangan yang diberikan oleh peminat-peminat penstrim. Sumbangan tersebut diberikan dalam bentuk ikon bintang (stars) yang dibeli oleh peminat dalam bentuk pakej dengan harga yang ditetapkan pihak FB; contohnya (100 stars = RM6).

Setiap satu bintang yang dibeli dan diberikan, penstrim mempunyai bahagian sebanyak 0.01$ USD lebih kurang RM0.40, manakala baki lebihan menjadi hak milik FB[1]. Namun begitu, pihak FB meletakkan beberapa syarat yang perlu dipenuhi sebelum penstrim layak untuk menerima stars, antaranya perlu:[2]

1- Membuat satu laman (page gaming) tersendiri.

2- Membuat penstriman langsung sekurang-kurangnya 4 jam dalam tempoh 14 hari.

3- Membuat penstriman langsung sekurang-kurangnya 2 hari dalam tempoh 14 hari.

4- Mempunyai sekurang-kurangnya 100 followers.

Melihat kepada penetapan syarat-syarat di atas, penjanaan duit melalui penstriman langsung bukanlah suatu perkara yang mudah kerana perlu melalui beberapa proses yang memperuntukkan tempoh masa yang agak panjang.

Bermula dengan proses melayakkan diri untuk menyertai program penjanaan FB melalui empat syarat di atas. Proses di atas hanya sebagai pra syarat untuk melayakkan penstrim menjana apa-apa pendapatan.

Namun, untuk menjana pendapatan secara berterusan, penstrim perlu melalui proses seterusnya iaitu mendapatkan seberapa banyak mungkin donations (sumbangan stars) dan subscribers dengan pelbagai cara seperti mempromosikan bakat bermain dan berinteraksi secara berterusan dengan penonton dan peminat yang melihat strim langsung tersebut.

Lantaran itu, menjadi amalan kebiasaan bagi para penstrim untuk membuat strim langsung berjam-jam sekitar 4-8 jam sehari. Tempoh masa mungkin menjadi lebih panjang sekiranya penstrim membuat pekerjaan tersebut secara sepenuh masa.[3]

 

Penelitian Hukum Syarak

Asasnya, situasi berbeza kadangkala menatijahkan hukum yang berbeza. Ini sangat bertepatan dengan kaedah umum yang menyebut,

الحكم على الشيئ فرع عن تصوره

Maksudnya: “Hukum terhadap sesuatu perkara merupakan natijah daripada bagaimana gambaran sesuatu isu difahami”.

(Lihat: Syarh Mukhtasar Li al-Sullam al-Munauraq, 3/11)

Allah swt juga berfirman di dalam al-Quran,

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَـٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

Maksudnya:  “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya”.

Surah al-Isra’ (36)

Syeikh Sa’di dalam tafsirnya ketika menerangkan ayat ini menyebut bahawa ayat ini memerintahkan agar umat Islam membuat penelitian dan penyelidikan secara menyeluruh dan tidak tergesa-gesa dalam menjatuhkan hukum-hakam.

(Lihat: Tafsir al-Karim al-Rahman, m/s 532)

Berdasarkan mekanisme dan penerangan di atas, kami melihat hukum menjana pendapatan melalui penstriman langsung adalah Harus.

Kami kemukakan beberapa hujah dan alasan:

1) Asal sesuatu perkara khususnya bidang muamalat adalah harus selagi mana tiada dalil lain yang menunjukkan sebaliknya. Bertitik tolak dengan keputusan keharusan bermain PUBG secara umum, maka kami katakan menjana pendapatan melaluinya juga harus.

Keharusan asal sesuatu perkara dalam bidang muamalat diperakui oleh majoriti ulama termasuklah Imam al-Syafie Rhm (wafat 205H).

(Lihat: al-Umm, 3/3)

2) Kerajaan juga mengiktiraf PUBG sebagai salah satu E-Sport dan menjanjikan peluang pekerjaan baru bagi generasi akan datang[4]. Maka, hukum menjana duit melalui PUBG mengambil hukum yang sama seperti pekerjaan lain yang seumpama dengannya.

Ini bertepatan dengan kaedah Fiqh yang menyebut,

لا ينكر تغير الأحكام بتغير الأزمان

Maksudnya: “Tidak dinafikan perubahan hukum disebabkan perubahan masa dan tempat”.

(Lihat: Durar al-Hukkam, 1/47)

Nasihat dan Saranan

Walaupun begitu, kami menasihatkan agar para penstrim mengimbangkan waktu mereka bermain dengan tuntutan-tuntutan lain mereka sebagai seorang Muslim, seorang anak, seorang rakan, mahupun seorang bapa supaya mereka tidak mengabaikan urusan lain khususnya menjaga solat, tanggungjawab keluarga , menjaga kesihatan, menjaga batas pergaulan, menjaga aurat dan lain-lain.

Kegagalan untuk meneliti dan mengambil berat aspek-aspek lain boleh mengubah status keharusan tersebut kepada hukum makruh bahkan boleh menjadi haram seperti mengabaikan waktu solat, bertutur dengan perkataan tidak sopan, menonjolkan aurat secara sengaja untuk menarik penonton dan lain-lain perkara yang dilarang oleh Syarak.

Imam Zarkasyi Rhm (wafat 794H) menyimpulkan bahawa hukum harus boleh berubah mengikut kepada situasi tertentu. Kadangkala berubah menjadi wajib jika meninggalkan perkara tersebut akan memberi kemudaratan. Kadangkala menjadi haram sekiranya melakukan perkara tersebut menyebabkan tidak melakukan kewajipan lain yang ditetapkan Syarak, dan begitu juga boleh berubah kepada hukum-hukum taklifi yang lain seperti sunat dan makruh.

(Rujuk: al-Bahru al-Muhith, 1/365)

Dalam masa yang sama, disarankan kepada penstrim untuk mengambil peluang yang ada menjadikan medium laman gaming sebagai tempat untuk berdakwah dan mengajak para penonton dan peminat untuk melakukan kebaikan walau di mana sahaja mereka berada. Selain itu, menjadi medium untuk penstrim mengingatkan kepada pemain-pemain PUBG lain untuk pandai membahagikan masa dan tidak mengabaikan urusan dan tanggungjawab yang lain.

Akhir kata, medan dakwah tidak terhad di lapangan alam realiti semata-mata, bahkan menjangkaui sehingga ke alam maya termasuklah alam gaming. Ini bagi menyahut seruan nabi Muhammad saw dalam hadis masyhur yang diriwayatkan Abdullah Ibn Amru RA,

بَلِّغُوا عَنِّي ولو آيَةً

Maksudnya: “Sampaikanlah daripadaku walaupun sepotong ayat”.

Riwayat Bukhari (3461)

Semoga penjelasan di atas dapat menghuraikan segala kekusutan dan menjadikan kita seorang mukmin yang lebih kreatif dan produktif dalam masa yang sama tidak mengenepikan urusan halal dan haram dalam urusan muamalat seharian.

Wallahu a’lam.

 

[1] Rujuk https://gamingph.com/2019/11/how-much-are-stars-worth-on-facebook-for-streamers/  & https://www.facebook.com/fbgaminghome/blog/support-your-favorite-creator-with-stars

[2] Rujuk https://www.facebook.com/fbgaminghome/blog/introducing-the-facebook-gaming-creator-level-up-program

[3] Rujuk https://streamersplaybook.com/how-do-streamers-play-for-so-long/

[4] Rujuk https://www.hmetro.com.my/itmetro/2018/08/364175/e-sukan-masa-depan-negara