اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-555 : HUKUM NAFKAH PASANGAN YANG BERNIAGA BERKONGSI KEUNTUNGAN

HUKUM BAPA BUAT SYARAT SEBELUM KAHWIN 1

SOALAN

Asslamualaikum wbt

Saya ingin bertanya berkaitan nafkah. Saya dan isteri sama-sama berniaga di rumah. Saling bantu membantu. Keuntungan berniaga untuk bayar rumah, bil, barang dapur dan lain-lain keperluan. Selebihnya kami bahagikan sama rata. Jadi perlukah lagi saya memberikan nafkah duit kepada isteri.?Pendapatan saya menjadi kecil sebab sudah dibahagikan untuk komitmen tadi. Kalau ikutkan makan, pakain, tempat tinggal sudah tersedia. Saya rasa terbeban, sebab nak buat simpanan sendiri lagi dan nak hulurkan kepada ibu bapa di kampung. Wajibkah lagi saya memberi nafkah wang kepada isteri.? Jika isteri tidak redha macam mana? Terima kasih.

 

RINGKASAN JAWAPAN

Kami simpulkan jawapan dari persoalan di atas melalui beberapa isi yang utama:

  • Nafkah ialah mengeluarkan belanja atau sara hidup kepada mereka yang wajib atas seseorang itu untuk membiayainya.
  • Para ulama bersepakat (Ijma’) suami wajib memberi nafkah kepada isterinya.
  • Suami wajib memberi nafkah kepada isteri walaupun isteri ada harta atau pendapatan.
  • Sekiranya isteri redha tidak diberi nafkah, suami terlepas dari kewajipannya. Namun sebaliknya jika suami enggan untuk memberi nafkah, nafkah tersebut akan menjadi hutang bagi pihak isteri.
  • Kadar nafkah ialah melihat kepada kemampuan keadaan suami.
  • Nafkah kepada keluarga tetap wajib meskipun ketua keluarga jatuh miskin, manakala nafkah kepada ibu bapa hanya wajib jika anak itu mampu. Majoriti ulama berpendapat nafkah terhadapa isteri dan anak lebih utama daripada ibu bapa.

 

HURAIAN JAWAPAN

Waalaikumsalam wbth.

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

 

Nafkah dari segi bahasa mengeluarkan, iaitu pembiayaan belanja seseorang terhadap ahli keluarganya. Manakala dari segi syarak ialah makanan, pakaian, tempat tinggal dan selainnya. Ia di namakan Nafaqah kerana dikeluarkan atau digunakan untuk keperluan itu. (Lihat: Hasyiyah al-Bajuri ala Ibn Qasim Halabi Fatoni, 2/185, al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/274)

 

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَٱلۡوَٰلِدَٰتُ يُرۡضِعۡنَ أَوۡلَٰدَهُنَّ حَوۡلَيۡنِ كَامِلَيۡنِۖ لِمَنۡ أَرَادَ أَن يُتِمَّ ٱلرَّضَاعَةَۚ وَعَلَى ٱلۡمَوۡلُودِ لَهُۥ رِزۡقُهُنَّ وَكِسۡوَتُهُنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ

Maksudnya: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.

Surah al-Baqarah (233)

 

Imam Ibn Kathir berkata ketika mentafsirkan ayat di atas bahawa wajib ke atas ayah untuk memberi nafkah dari sudut pakaiannya dengan cara yang sepatutnya iaitu apa-apa pakaian yang diterima oleh adat atau seumpama dengannya di negara tersebut tanpa berlaku pembaziran dan tidak menyusahkan. Ia sekadar apa yang termampu ketika dia (ayah atau suami) dalam keadaan senang dan bersederhana serta apa yang melaziminya. (Lihat Tafsir al-Quran al-Azim, Dar al-Tayyibah 1999M, 1/634)

 

Selain itu, firman Allah SWT:

ٱلرِّجَالُ قَوَّٰمُونَ عَلَى ٱلنِّسَآءِ بِمَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بَعۡضَهُمۡ عَلَىٰ بَعۡضٖ وَبِمَآ أَنفَقُواْ مِنۡ أَمۡوَٰلِهِمۡۚ

Maksudnya: “laki-laki (suami) itu pelindung bagi perempuan (isteri), kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahgian yang lain (perempuan), dan kerana mereka (laki-laki) telah memberikan nafkah dan hartanya.”

Surah al-Nisa’ (34)

 

Sayyid Qutub dalam mantafsirkan ayat ini katanya:

Allah telah menciptakan manusia lelaki dan perempuan sebagai suami isteri mengikut peraturan semesta untuk membangunkan alam ini. Di antara tugas-tugas perempuan yang telah dijadikan Allah ialah mengandung, melahir, menyusu dan membela anak selaku hasil hubungan dengan lelaki. Tugas-tugas ini adalah tugas yang besar dan penting bukannya tugas yang senang dan kecil yang boleh dilaksanakan begitu sahaja tanpa persediaan jasmani, persediaan kejiwaan dan persediaan amali yang mendalam dalam diri perempuan. Oleh itu adalah adil bagi Allah meletakkan ke atas bahu lelaki tugas mengadakan keperluan-keperluan rumahtangga dan tugas memberi perlindungan kepada perempuan supaya ia dapat memberi tumpuan kepada tugas yang penting ini. Tentulah tidak sewajarnya ia dipaksa mengandung, melahir, menyusu dan memelihara anak-anak sedangkan serentak dalam waktu yang sama ia terpaksa bekerja, berpenat dan berjaga untuk memelihara keselamatan dirinya dan keselamatan anaknya. Begitu juga adil bagi Allah mengurniakan kepada lelaki dan perempuan ciri-ciri khusus masing-masing pada struktur anggota, saraf, akal dan jiwa mereka masing-masing, iaitu ciri-ciri yang dapat membantu mereka dalam kerja-kerja melaksanakan tugas mereka masing-masing. (Lihat: Fi Zilal al-Quran, Dar al-Syuruq 2009M al-Qahirah 2/650)

 

Manakala terdapat hadis Nabi SAW yang menyuruh kepada perkara tersebut berdasarkan hadis dari Mu’awiyah al Qusyairi R.anhu telah bertanya kepada Nabi SAW:

يا رسولَ اللَّهِ ، ما حقُّ زَوجةِ أحدِنا علَيهِ ؟ ، قالَ : أن تُطْعِمَها إذا طَعِمتَ ، وتَكْسوها إذا اكتسَيتَ ، أوِ اكتسَبتَ ، ولا تضربِ الوَجهَ ، ولا تُقَبِّح ، ولا تَهْجُرْ إلَّا في البَيتِ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, apakah hak isteri salah seorang dari kami yang menjadi kewajipan suaminya?” Baginda menjawab,”Engkau memberi makan kepadanya, jika engkau makan. Engkau memberi pakaian kepadanya, jika engkau berpakaian. Janganlah engkau pukul wajahnya, janganlah engkau memburukkannya, dan janganlah engkau meninggalkannya kecuali di dalam rumah”. (Lihat: Sunan Abi Daud, al-Maktabah al-Asriyyah Birut, 2/244)

 

Sehubungan dengan itu, majoriti ulama mengatakan nafkah yang wajib diberi kepada isteri itu ialah tujuh perkara:

  • Makanan
  • Barang-barang dapur
  • Pakain
  • Tempat tinggal
  • Alat-alat untuk membersihkan diri
  • Barangan rumah
  • Pembantu kepada isteri jika sekiranya kebiasaannya isteri mempunyai pembantu (bagi suami yang mampu sahaja).

(Lihat: Mughni al-Muhtaj, Dar al-Fikri Birut, 3/426, al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh, Dar al-Fikri Damsyiq, 10/7349)

Para ulama bersepakat (Ijma’) suami wajib memberi nafkah kepada isterinya. Ini bersandarkan kepada firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 233 yang tertulis diatas. Malahan ia termasuk juga sekiranya isteri mempunyai pendapatan, harta atau pekerjaan. Kewajipan nafkah tetap dipangku oleh suami.

 

Bahkan meninggalkan pemberian nafkah kepada isteri dan anak-anak dianggap sebagai satu dosa berdalilkan sabda Nabi SAW yang berikut. Abdullah bin ‘Amr bin al-Ash berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كَفَى بِالْمَرْءِ إِثْمًا أَنْ يُضَيِّعَ مَنْ يَقُوتُ

Maksudnya: Cukuplah seorang lelaki itu dikira berdosa apabila dia mengabaikan tanggungjawabnya ke atas sesiapa yang berada di bawah penjagaannya.  (Lihat: Sunan Abi Daud, al-Maktabah al-Asriyyah Birut, 2/132)

 

Nafkah pada asalnya sesuatu perkara yang diwajibkan ke atas suami terhadap isteri. Akan tetapi jika si isteri menghalalkan nafkah yang wajib diberikan suami ke atas dirinya tidak menjadi masalah. Nafkah itu secara langsung tidak menjadi kewajipan ke atasnya. Jika isteri tidak menghalalkannya maka ianya dikira sebagai hutang, menurut majoriti ulama bahawa nafkah yang tidak dijelaskan oleh suami akan dikira sebagai hutang sekiranya suami enggan menunaikannya kepada isteri. Ia tidak akan gugur kecuali dengan pembayaran atau dengan pelupusan sebagaimana hutang-hutang yang lain. Ia juga tidak akan gugur dengan sebab berlalunya tempoh idah tanpa membuat pembayaran. Dalil majoriti ulama ialah sesungguhnya nafkah adalah gantian, bukan sesuatu pemberian tanpa gantian. Sesungguhnya nafkah itu diwajibkan oleh syarak dengan berlangsung akad perkahwinan sebagai balasan daripada kedudukan isteri menjadi hak isteri bagi suami dalam perkahwinan. Apabila nafkah merupakan gantian semata-mata, maka ia adalah seperti hutang-hutang yang lain yang wajib dibayar. (Lihat: al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh, Dar al-Fikri Damsyiq, 10/7404).

 

Di dalam perbahasan nafkah suami terhadap isteri, para ulama feqah membahagikan kepada tiga golongan suami, yang senang, sederhana dan susah. Sekiranya suami merupakan orang susah, maka cukup sekadar mengeluarkan nafkah yang asas. Seperti mengeluarkan secupak beras berserta dengan lauk asas yang mengikut tradisi setempat. Kemudian, menyediakan pakaian asas untuk dipakai isteri mengikut pakaian yang dipakai masyarakat setempat sama ada ketika di rumah dan ketika keluar dari rumah, cukup sekadar menutup aurat serta mengikut budaya pakaian orang Islam setempat. Kemudian, menyediakan rumah mengikut kemampuan, tanpa disyaratkan untuk memiliki rumah tersebut, sudah memadai sekiranya menyewa. Sekiranya suami yang tidak berkemampuan ini menunaikan tanggungjawab dengan memberi nafkah asas ini, maka isteri tidak berhak untuk memohon fasakh. (Lihat: Hasyiyah al-Bajuri ala Ibn Qasim, Halabi Fatoni, 2/190-191)

 

Terdapat pelbagai nas al-Quran dan Sunnah berkenaan kemampuan nafkah suami di antaranya, Firman Allah SWT:

لِيُنفِقۡ ذُو سَعَةٖ مِّن سَعَتِهِۦۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيۡهِ رِزۡقُهُۥ فَلۡيُنفِقۡ مِمَّآ ءَاتَىٰهُ ٱللَّهُۚ لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا مَآ ءَاتَىٰهَاۚ سَيَجۡعَلُ ٱللَّهُ بَعۡدَ عُسۡرٖ يُسۡرٗا

Maksudnya: Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.

Surah al-Talaq (7)

 

Sementara itu, berkata Imam al-Nawawi RH dalam meresponkan tentang keutamaan di dalam memberi nafkah kepada ibubapa ataupun isteri dengan katanya ialah:

قَدَّمَ نَفَقَةَ الزَّوْجَةِ عَلَى نَفَقَةِ الْأَقَارِبِ

Maksudnya: “Nafkah isteri adalah wajib didahulukan daripada nafkah keluarga yang terdekat”.

(Rujuk: Raudah al-Tolibin Wa Umdah al-Muftin, al-Maktab al-Islami Birut t.3 1991M, 9/93)

 

Bacaan lanjut berkaitan nafkah isteri dan ibu bapa, rujuk artikel kami pada link: https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3804-al-kafi-1428-antara-nafkah-isteri-dan-ibu-mana-perlu-diutamakan

 

KESIMPULAN

Dalam kondisi saudara, kami menasihatkan supaya saudara berbincang dengan isteri tentang nafkah yang berkaitan selain daripada nafkah yang asas seperti alat-alat untuk membersihkan diri dan seumpamanya. Namun perlu diingatkan   bahawa pemberian nafkah ini hendaklah mengikut kemampuan suami.

Selain itu, sekiranya si isteri redha dengan suami tidak memberi nafkah zahir, adalah dibenarkan. Tetapi apabila muncul masalah di kemudian hari, mungkin isteri akan mengungkit dan akan mendatangkan masalah yang lebih besar. Justeru, suami perlu bertekad untuk menguruskan nafkah keluarga dengan baik. Perlu sentiasa berunding dengan hikmah dan baik dengan isteri. Dicadangkan juga suami dan isteri menyediakan plan tindakan bersama bagi mengurus kewangan keluarga.

Wallahua'lam.