اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-559: HUKUM MEMBUKA PUSAT KECANTIKAN

IRSYAD FATWA 559

SOALAN

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya, apakah hukum sebenar membuka pusat kecantikan? Kalau pusat kecantikan itu hanya untuk perempuan. Mohon pencerahan daripada ustaz.

RINGKASAN JAWAPAN

Hukum membuka pusat kecantikan adalah harus selagi pusat kecantikan itu tidak menyediakan perkhidmatan berhias yang diharamkan atau melakukan perkara yang bertentangan dengan syarak. Oleh itu, kami nyatakan di sini beberapa garis panduan membuka pusat kecantikan:

  • Berhias dan berdandan hendaklah menepati kehendak syarak iaitu tiada unsur penipuan dan tidak mengubah ciptaan Allah SWT.
  • Tidak menyediakan khidmat yang diharamkan seperti membuat tatu, mencukur alis dan menyambung rambut.
  • Hendaklah peralatan dan barang kosmetik yang digunakan suci dan tidak berbahaya.
  • Premis pusat kecantikan tidak terdedah dan terbuka sehingga menampakkan aurat.
  • Mengkhususkan pusat kecantikan untuk pelanggan dan pekerja sesama jantina sahaja.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Perkembangan dunia kecantikan semakin rancak pada masa ini sehingga ramai wanita jarang berhias sendiri di rumah dan menggunakan perkhidmatan rias yang disediakan di pusat-pusat kecantikan. Islam membenarkan umatnya untuk berhias dan mencantikkan diri dengan cara yang bersederhana dan tidak tabarruj (berlebihan dalam berhias).

Berhias dan mencantikkan diri adalah satu amalan yang terbaik sebelum mendirikan solat. Perkara ini disebutkan dalam firman Allah SWT:

يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ

Maksudnya: Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang).

Surah al-A’raf (31)

Perhiasan yang dimaksudkan dalam ayat tersebut di atas ialah pakaian yang menutup aurat untuk mengerjakan solat. Tambahan lagi, memakai pakaian yang terbaik untuk menunaikan solat ialah sunnah Rasulullah SAW. Ayat ini juga merupakan dalil kewajipan menutup aurat semasa mendirikan solat. (Rujuk Tafsir al-Baidhawi, 3/405)

Selain itu, Allah SWT berfirman dalam ayat yang lain tentang keharusan memakai perhiasan:

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّـهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?"

Surah al-A’raf (32)

Berbalik kepada persoalan, hukum memulakan sesuatu perniagaan perlu dilihat kepada hukum asal akad muamalat sesama manusia ialah sah dan harus. (Rujuk al-Qawa’id li Ibn Rejab, hlm. 340)

Hal ini dikatakan demikian berdasarkan firman Allah SWT:

فَإِذَا قُضِيَتِ الصَّلَاةُ فَانتَشِرُوا فِي الْأَرْضِ وَابْتَغُوا مِن فَضْلِ اللَّـهِ وَاذْكُرُوا اللَّـهَ كَثِيرًا لَّعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).

Surah al-Jumu’ah (10)

Allah SWT juga berfirman:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya: Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

Surah al-Baqarah (29)

Sebagaimana kita sedia maklum, kebanyakan pusat kecantikan menyediakan perkhidmatan berdandan dan berhias di samping menjual barang atau produk kecantikan. Oleh yang demikian, timbul persoalan, apakah hukum mengambil upah (ijarah) daripada perkhidmatan berdandan dan berhias yang ditawarkan tersebut?

Imam Ibn Hajar al-Haitami menyatakan dalam kitabnya:

يَصِحُّ الِاسْتِئْجَارُ لِلْخِدْمَةِ ثُمَّ إنْ عَيَّنَا شَيْئًا اُتُّبِعَ وَإِلَّا اتَّبَعَ الْعُرْفُ اللَّائِقَ بِالْأَجِيرِ وَالْمُسْتَأْجِرِ

Maksudnya: Sah memberi upah kerana perkhidmatan. Jika kedua-duanya (pemberi upah dan orang yang diupah) menetapkan sesuatu perkara dalam khidmat itu maka, ikutilah. Sekiranya tiada, ikutilah kebiasaan uruf pengupah dan orang yang diupah.

(Rujuk Tuhfah al-Muhtaj, Ibn Hajar al-Haitami, 24/378)

Berdasarkan kenyataan tersebut, hukum mengambil upah ke atas perkhidmatan yang ditawarkan adalah dibolehkan sebagaimana yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pendandan dan pelanggan.

Selain itu, keharusan mengambil upah atas perkhidmatan berhias ini juga disebut dalam satu kaedah fiqh:

الأصل في الأشياء الإباحة حتى يدل الدليل على التحريم

Maksudnya: Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah mubah (harus) sehingga datangnya dalil yang menunjukkannya haram.

(Rujuk al-Asybah wa al-Naza’ir, al-Suyuti, hlm. 60)

Kaedah ini merupakan satu kaedah untuk menentukan bahawa sesuatu perkara yang tidak disebutkan dalilnya adalah halal. Hal ini juga berdasarkan pandangan Imam al-Syafie bahawa perkara yang halal ialah sesuatu perkara yang tiada dalil menunjukkan pengharamannya. (Rujuk al-Mantsur fi al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, Imam al-Zarkasyi, 2/70-71)

Oleh yang demikian, berdasarkan dalil-dalil tersebut di atas, membuka pusat kecantikan ialah suatu perniagaan yang dibenarkan dalam Islam bertepatan dengan hukum asal berhias itu sendiri adalah satu perkara yang dibenarkan. Namun, sekiranya pusat kecantikan itu melakukan perkara yang diharamkan dalam berhias seperti membuat tatu maka, hukum membuka pusat kecantikan pada keadaan itu adalah haram. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT untuk mengelakkan diri daripada bersubahat dalam melakukan dosa:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۖ إِنَّ اللَّـهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).

Surah al-Ma’idah (2)

Perhiasan yang Haram

Islam membenarkan berhias dan berdandan selagi ia tidak tabarruj atau membazir. Allah SWT berfirman:

وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَىٰ

Maksudnya: Dan janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu.

Surah al-Ahzab (33)

Imam al-Qurtubi menyatakan dalam kitab Tafsir-nya:

الْمَقْصُودَ مِنَ الْآيَةِ مُخَالَفَةُ مَنْ قَبْلَهُنَّ مِنَ الْمِشْيَةِ عَلَى تَغْنِيجٍ وَتَكْسِيرٍ وَإِظْهَارِ الْمَحَاسِنِ لِلرِّجَالِ، إِلَى غَيْرِ ذَلِكَ مِمَّا لَا يَجُوزُ شَرْعًا

Maksudnya: Dimaksudkan daripada ayat di atas supaya wanita tidak melakukan seperti mana yang dilakukan oleh wanita-wanita sebelum mereka (pada zaman jahiliyyah) dari segi melenggokkan cara berjalan dengan lenggok manja dan menggoda serta menzahirkan perhiasan kepada lelaki yang mana semua itu tidak dibenarkan di sisi syarak.

(Rujuk Tafsir al-Qurtubi, 14/180)

Tambahan daripada itu, beliau juga turut menyatakan bahawa tabarruj pada hakikatnya ialah menzahirkan sesuatu yang lebih baik apabila ditutup.

Islam telah meletakkan had yang dibenarkan dalam berhias iaitu selagi mana berhias untuk kecantikan tidak mengandungi unsur penipuan atau mengubah ciptaan Allah SWT. Hal berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud RA:

لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ، وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ‏

Maksudnya: Allah melaknat wanita-wanita yang membuat tatu dan yang meminta dibuat tatu, wanita-wanita yang mencukur bulu di wajah, mengikir gigi untuk kecantikan dan mengubah ciptaan Allah."

Riwayat al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari (4886) dan Muslim dalam Sahih Muslim (2125)

Imam al-Nawawi berkata dalam kitab Syarah-nya:

وَهَذَا الْفِعْلُ حَرَامٌ عَلَى الْفَاعِلَةِ وَالْمَفْعُولِ بِهَا لِهَذِهِ الْأَحَادِيثِ وَلِأَنَّهُ تَغْيِيرٌ لِخَلْقِ اللَّهِ تَعَالَى وَلِأَنَّهُ تَزْوِيرٌ وَلِأَنَّهُ تَدْلِيسٌ

Maksudnya: Dan perbuatan ini adalah haram ke atas pembuat dan orang yang dibuat perbuatan itu berdasarkan hadis ini. Hal ini demikian kerana perbuatan itu mengubah ciptaan Allah SWT dan merupakan satu pemalsuan dan penipuan.

(Rujuk al-Minhaj Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim,14/107)

Selain itu, sebagai seorang muslim yang membuka pusat kecantikan, hendaklah sentiasa mementingkan perihal aurat sesama jantina lebih-lebih lagi berlainan jantina. Haram bagi lelaki membuka pusat kecantikan bagi wanita dan begitu juga sebaliknya.

 

Oleh itu, kami nyatakan di sini beberapa garis panduan membuka pusat kecantikan:

  • Berhias dan berdandan hendaklah menepati kehendak syarak iaitu tiada unsur penipuan dan tidak mengubah ciptaan Allah SWT.
  • Tidak menyediakan khidmat yang diharamkan seperti membuat tatu, mencukur alis dan menyambung rambut.
  • Hendaklah peralatan dan barang kosmetik yang digunakan suci dan tidak berbahaya.
  • Premis pusat kecantikan tidak terdedah dan terbuka sehingga menampakkan aurat.
  • Mengkhususkan pusat kecantikan untuk pelanggan dan pekerja sesama jantina sahaja.

PENUTUP

Setelah meneliti hujah yang dikemukakan, kami simpulkan bahawa hukum membuka pusat kecantikan adalah harus selagi pusat kecantikan itu tidak menyediakan perkhidmatan berhias yang bertentangan dengan syarak seperti menyambung rambut atau menggunakan bahan kosmetik yang berbahaya.  Perkara ini selari dengan fitrah manusia untuk tampil cantik dan terutamanya golongan wanita, namun mestilah bertepatan dengan garis panduan dalam berhias yang ditetapkan oleh syarak. 

Wallahu a’lam.