اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-561: HUKUM TUAN RUMAH MENGAMBIL HASIL TANAMAN YANG DITINGGALKAN PENYEWA SELEPAS TAMAT KONTRAK SEWA

asd

Soalan

Assalamualaikum, saya ada satu soalan. Terdapat pokok-pokok yang ditanam oleh seorang penyewa rumah di tanah pak mentua saya. Cumanya, dia sudah berpindah dari tanah ini. Dia tinggalkan pokok-pokok yang dia tanam ini tanpa apa-apa pesanan. Jadi sekarang kami yang jaga kawasan ini seperti mesin rumput dan bersihkan kawasan tanaman tersebut.

Soalannya, apakah hukum jika kami mengambil dan makan hasil-hasil pokok tersebut?

 

Jawapan Ringkas

Tuan rumah berhak mengambil dan memakan hasil-hasil tanaman tersebut dengan syarat membayar kepada penyewa asal nilai hasil yang diambil atau mendapat keizinan daripada tuannya. Hal ini kerana tanaman tersebut merupakan hak miliknya yang diusahakan sepanjang tempoh kontrak sewa.

Persoalan seterusnya berkenaan sama ada tanaman tersebut dikekalkan atau dicabut terserah kepada keputusan tuan rumah. Dia berhak memilih sama ada ingin membelinya, menyewanya semula, atau mengarahkan tanaman tersebut dicabut di samping memberikan ganti rugi kepada penyewa di atas kerosakan tanaman.

 

Huraian Jawapan

Situasi di atas berkait rapat dengan konsep pemilikan hak di antara penyewa dan tuan rumah. Hal ini perlu diberi perhatian penting supaya kita tidak mengambil hak orang lain secara batil. Allah SWT berfirman,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا

Maksudnya“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil. kecuali dengan cara perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.”  

Surah al-Nisa’ (29)

 Dalam sebuah hadis, Sa’id bin Zaid pernah mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda,

مَنْ أَخَذَ شِبْرًا مِنَ الأَرْضِ ظُلْمًا فَإِنَّهُ يُطَوَّقُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ سَبْعِ أَرَضِينَ

Maksudnya “Barang siapa yang mengambil sejengkal tanah secara zalim, maka Allah akan bebankan dengan mengalungkan tujuh bumi kepadanya”.

Riwayat Muslim (3024)

Merujuk kepada soalan di atas, penyewa berhak memanfaatkan segala perkara yang dikurniakan kepadanya sepanjang tempoh kontrak sewa berlangsung seperti tinggal di dalam rumah sewa, menggunakan alat-alat perkakas yang disediakan. Ini termasuklah juga hal bercucuk tanam sekiranya kawasan rumah tersebut mempunyai tanah lapang dan tuan rumah mengizinkannya.

Perkara ini dinyatakan oleh Syeikh al-Zuhaili,

وللمستأجر أن يستوفي المنفعة حسب العرف، لأن إطلاق العقد يقتضي المتعارف عليه، والمتعارف كالمشروط

Maksudnya: “Penyewa berhak mengambil manfaat daripada barangan yang disewa mengikut amalan uruf setempat. Hal ini kerana sesuatu akad (sewa) yang disebut secara umum, ia juga merangkumi setiap perkara-perkara lain yang diterima uruf setempat. (kaedah menyebut) Apa-apa perkara yang diterima uruf (walaupun tidak diperincikan dalam akad), kedudukannya sama seperti disyaratkan dalam akad”.

(Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 3/230-231)

Berdasarkan kenyataan ulama mazhab Syafie di atas, bercucuk tanam dalam kawasan rumah sewa termasuk dalam perkara yang berhak dimanfaatkan oleh penyewa. Maka, setiap tanaman yang diusahakan beserta hasil yang diperoleh sepanjang tempoh kontrak akad berlangsung merupakan hak milik penuh penyewa.

Kekeliruan yang berlaku adalah sekiranya kontrak sewa sudah tamat dan penyewa tidak menyambung kontrak tersebut. Apabila diteliti akad sewa di atas seakan-akan mempunyai dua akad iaitu akad sewa rumah dan akad sewa tanah bagi tujuan bercucuk tanam.

Akad Sewa Tanah Bagi Tujuan Bercucuk Tanam

Para ulama membincangkan hal ini dalam suatu topik yang khas berkaitan akad sewa tanah bagi tujuan bercucuk tanam. Antaranya, imam al-Baghawi menyebut:

ولو اكترى أرضاً ليغرس فيها، أو ليبني مدة: يجوز، ثم إن شرط القلع بعد مضي المدة: يؤمر بقلعه مجاناً؛ لأن قضية العقد أن تسلم العين إلى الآجر فارغة، وإن لم يشرط القلع: فلا يقلع بعد مضي المدة مجاناً، لكن يتخير مالك الأرض بين أحد الأشياء الثلاثة:إن شاء أقرها بالأجرة، وإن شاء تملكها بالقيمة، وإن شاء قلعها وضمن أرش النقصان.

Maksudnya: “(Hukum) Seseorang menyewa sebidang tanah untuk bercucuk tanam atau membina (bangunan) dalam sesuatu tempoh adalah harus. Kemudian, sekiranya disyaratkan perlu mencabut dan mengosongkan tanah tersebut selepas tempoh kontrak tamat, maka penyewa perlu mematuhinya dan dilakukan secara percuma (tanpa menuntut ganti rugi). Hal ini kerana akad sewa mengkehendaki untuk penyewa memulangkan semula ‘ain (sesuatu barang) kepada penyewanya dalam keadaan sudah dikosongkan (tanah tanpa tanaman dan binaan). Namun, sekiranya tidak disyaratkan cabut, maka tidak diwajibkan berbuat demikian secara percuma sebaliknya tuan tanah mempunyai pilihan untuk melakukan salah satu daripada tiga perkara berikut; Pertama, sekiranya dia mahu, dia boleh teruskan dengan mengenakan caj. Kedua, dia berhak membelinya daripada penyewa. Ketiga, dia boleh mencabutnya dan membayar ganti rugi ke atas kerosakan”.

(Rujuk: al-Tahzib fi al-Fiqh al-Syafie, 4/485-486)

Berdasarkan pandangan ulama mazhab Syafie di atas, dapat difahami beberapa perkara seperti berikut:

Pertama: Memandangkan tanaman tersebut diusahakan penyewa sepanjang tempoh kontrak sewa, maka tanaman tersebut tetap berterusan menjadi hak milik penyewa. Pemilik rumah perlu meminta izin terlebih dahulu sekiranya ingin mengambil dan memakan hasil tanaman tersebut sekiranya penyewa lama tidak meninggalkan apa-apa pesanan.

Kedua: Dalam masa yang sama, memandangkan kontraks sewa sudah tamat, maka penyewa lama hanya berhak ke atas tanaman dan hasilnya sahaja. Dalam erti kata yang lain, pemilik rumah mempunyai beberapa pilihan;

a- Sekiranya tuan rumah mensyaratkan untuk tanaman tersebut dicabut sejurus sahaja tamat kontrak, maka penyewa perlu mematuhinya.

b- Sekiranya tiada syarat sedemikian dan pemilik rumah ingin memiliki tanaman tersebut, dia berhak membelinya daripada penyewa dan penyewa perlu mematuhinya.

b- Sekiranya penyewa tidak ingin menjual dan mencabutnya, tuan tanah berhak mengenakan caj terhadap sewaan tanah atau mencabutnya sendiri kerana ia ibarat mengambil hak orang lain tanpa izin pemiliknya.

 (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 3/326-327; al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 3/240-241)

Terdapat sebuah hadis yang boleh dijadikan panduan berkait dengan persoalan ini secara tidak langsung. Daripada Samurah bin Jundub R.A,

أَنَّهُ كَانَتْ لَهُ عَضُدٌ مِنْ نَخْلٍ فِي حَائِطِ رَجُلٍ مِنَ الأَنْصَارِ قَالَ وَمَعَ الرَّجُلِ أَهْلُهُ قَالَ فَكَانَ سَمُرَةُ يَدْخُلُ إِلَى نَخْلِهِ فَيَتَأَذَّى بِهِ وَيَشُقُّ عَلَيْهِ فَطَلَبَ إِلَيْهِ أَنْ يَبِيعَهُ فَأَبَى فَطَلَبَ إِلَيْهِ أَنْ يُنَاقِلَهُ فَأَبَى فَأَتَى النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم فَذَكَرَ ذَلِكَ لَهُ فَطَلَبَ إِلَيْهِ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَنْ يَبِيعَهُ فَأَبَى فَطَلَبَ إِلَيْهِ أَنْ يُنَاقِلَهُ فَأَبَى ‏.‏ قَالَ ‏"‏ فَهَبْهُ لَهُ وَلَكَ كَذَا وَكَذَا ‏"‏ ‏.‏ أَمْرًا رَغَّبَهُ فِيهِ فَأَبَى فَقَالَ ‏"‏ أَنْتَ مُضَارٌّ ‏"‏ ‏.‏ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم لِلأَنْصَارِيِّ ‏"‏ اذْهَبْ فَاقْلَعْ نَخْلَهُ ‏"

Maksudnya: “Beliau memiliki sederet pohon kurma yang tumbuh di kebun milik salah seorang golongan Ansar. Tempat tersebut didiami oleh orang ansar tersebut bersama keluarganya. Samurah sering memeriksa pohon-pohon kurmanya, termasuk pohon kurma yang tumbuh di tanah orang ansar tersebut. Kedatangan Samurah pada tanah tersebut mengganggu dan menyebabkan orang Anshar tersebut merasa tidak nyaman. Orang Ansar tersebut menawarkan kepada Samurah agar menjual pohon kurma tersebut kepadanya. Samurah menolak. Orang ansar meminta Samurah memindahkan pohon kurmanya. Samurah juga menolak tawaran tersebut. Akhirnya, dia melaporkan permasalahan ini kepada Nabi SWT. Nabi SWT meminta Samurah untuk menjual pohon kurmanya. Namun dia menolak, Nabi SWT meminta Samurah untuk memindahkan pohon kurmanya. Namun dia menolak, Nabi SWT mengatakan kepada Samurah, “Hadiahkan pohon kurma tersebut kepadanya, dan untukmu ada ganjaran demikian dan demikian.” Nabi SAW sebutkan hal yang disukai oleh Samurah. Samurah tetap menolak, maka Nabi SWT mengatakan, “Engkau ini memang pengganggu!” Nabi SWT lantas berkata kepada si ansar, “Pergilah! Silakan tebang saja pohon kurmanya!”

Riwayat Abu Daud (3636)

Sebagai saranan dan cadangan, sebaiknya tuan rumah meminta kepada penyewa lama agar menjual keseluruhan tanaman tersebut kepada tuan rumah dalam masa yang sama penyewa merelakannya. Hal ini bertujuan memudahkan urusan semua pihak di kemudian hari supaya tidak berlaku unsur mengambil hak orang lain secara batil di samping tidak merosakkan struktur tanah.

Akhir kata, semoga dengan penerangan ini dapat memudahkan urusan pihak-pihak yang terlibat dalam memahami letak duduk hak masing-masing di samping mengamalkan sikap toleransi antara satu sama lain.

Wallahu a’lam.