اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-579 : HUKUM ISTERI MENJADIKAN SUAMINYA SEPERTI HAMBA KERANA LEBIH KAYA DARI SUAMI

HUKUM ISTERI MENJADIKAN SUAMINYA SEPERTI HAMBA KERANA LEBIH KAYA DARI SUAMI

SOALAN

Assalamualaikum dato’. Mohon pencerahan isu isteri curang kerana lebih kaya dari suami & buat suami seperti pak turut atau sebagai kuli asbab kekayaannya.

 

RINGKASAN JAWAPAN

Kekayaan isteri tidak bermakna isteri terlepas dari menunaikan haknya terhadap suami. Suami merupakan ketua rumah tangga dan isteri pengurusnya. Isteri wajib menjaga perasaan suami sebagaimana suami wajib menjaga perasaan isteri. Justeru, tolong -menolong pada mentaati Allah dan tanggungjawab bersama terhadap rumah tangga merupakan hak bersama yang wajib ditunaikan.   

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkah Baginda hingga Hari Kesudahan.

 

Hak suami merupakan tanggungjawab yang wajib dilaksanakan oleh isteri, hak suami adalah tanggungjawab yang tidak seharusnya diabaikan oleh isteri apabila berlangsungnya akad perkahwinan di antara mereka berdua. Hak suami atas isterinya adalah suatu yang perlu dijaga. Mengabaikan boleh menyebabkan akibat yang buruk di dunia dan di akhirat. Ini kerana kunci untuk masuk syurga bagi isteri terletak pada keredaan suaminya. Seperti sabda Nabi SAW:

 

لَوْ كُنْتُ آمِرًا أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ لِأَحَدٍ لَأَمَرْتُ المَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا

 

Maksudnya: “Jikalau memerintahkan seseorang untuk bersujud, pasti saya akan memerintahkan seseorang perempuan untuk sujud kepada suaminya”.

Riwayat al-Tarmizi (1159)

 

Hadis di atas jelas menunjukkan kedudukan suami serta tanggungjawab yang mesti dilaksanakan oleh isteri ke atas suaminya. Perbuatan sujud di dalam Islam lazimya dilakukan oleh manusia sebagai hamba kepada pencipta iaitu khaliq. Justeru itu, hadis di atas cuba menggambarkan betapa seorang isteri wajib mematuhi, menghormati dan mentaati seseorang suami. Walau bagaimanapun, isteri dikecualikan daripada mentaati suami pada perkara-perkara mungkar.

 

Sehubungan dengan itu, suami memainkan peranan sebagai ketua rumah tangga dan isteri adalah pengurusnya. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW:

 

‌كُلُّكُمْ ‌رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، الإِمَامُ رَاعٍ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ فِي أَهْلِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ فِي بَيْتِ زَوْجِهَا وَمَسْئُولَةٌ عَنْ رَعِيَّتِهَا

Maksundnya: “Kamu semua adalah pemimpin dan masing-masing daripada kamu akan ditanya (diminta pertanggung jawaban) atas apa yang dipimpinnya. Seorang ketua adalah pemimpin dan bertanggungjawab atas apa yang dipimpinnya. Seorang lelaki adalah pemimpin keluarganya. Seorang isteri adalah pemimpin (pengurus) bagi rumah suaminya serta anaknya. Oleh kerana masing-masing daripada kamu adalah pemimpin dan masing-masing daripada kamu diminta bertanggungjawab tentang apa yang dipimpinnya”.

Riwayat al-Bukhari (893)

 

Dalam ayat lain Allah SWT berfirman:

ٱلرِّجَالُ قَوَّٰمُونَ عَلَى ٱلنِّسَآءِ بِمَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بَعۡضَهُمۡ عَلَىٰ بَعۡضٖ وَبِمَآ أَنفَقُواْ مِنۡ أَمۡوَٰلِهِمۡۚ فَٱلصَّٰلِحَٰتُ قَٰنِتَٰتٌ حَٰفِظَٰتٞ لِّلۡغَيۡبِ بِمَا حَفِظَ ٱللَّهُۚ وَٱلَّٰتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَٱهۡجُرُوهُنَّ فِي ٱلۡمَضَاجِعِ

وَٱضۡرِبُوهُنَّۖ فَإِنۡ أَطَعۡنَكُمۡ فَلَا تَبۡغُواْ عَلَيۡهِنَّ سَبِيلًاۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلِيّٗا كَبِيرٗا

Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya. Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar”.

Surah an-Nisa’ (34)

 

Mengurus rumah tangga termasuklah melakukan kerja-kerja rumah serta memelihara keadaannya dengan baik adalah tanggungjawab isteri. Tambahan pula, Islam menyuruh suami untuk bergaul dengan isteri dengan cara yang baik. Sebagaimana firman Allah SWT:

وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦٓ أَنۡ خَلَقَ لَكُم مِّنۡ أَنفُسِكُمۡ أَزۡوَٰجٗا لِّتَسۡكُنُوٓاْ إِلَيۡهَا وَجَعَلَ بَيۡنَكُم مَّوَدَّةٗ وَرَحۡمَةًۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّقَوۡمٖ يَتَفَكَّرُونَ

 

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir”.

Surah al-Rum (21)

 

Jelas ayat di atas merupakan antara hikmah pensyariatan perkahwinan. Suami isteri hendaklah berkomunikasi dan beramal dengan cara yang baik, serta memanggil dengan nama yang baik. Antara cara pergaulan yang baik antara suami isteri ialah saling cinta menyintai dan kasih mengasihi, saling nasihat menasihati, tidak membuka aib pasangan, amanah, cinta, kasih, saling percaya, berlemah lembut dalam pergaulan, ucapan yang baik, penghargaan dan penghormatan serta tolong-menolong pada mentaati Allah dan tanggungjawab bersama terhadap rumah tangga.   Bertepatan dengan Firman Allah SWT:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ

Maksudnya: “Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik”.

Surah an-Nisa’ (19)

Sementara itu, Syeikh Abu Bakar Syatta menyebut di dalam karya beliau bahawa wajib ke atas suami isteri itu saling bergaul dengan cara yang baik:

‌ويجب ‌على ‌الزوجين أن يتعاشرا بالمعروف، بأن يمتنع كل عما يكره صاحبه ويؤدي إليه حقه مع الرضا وطلاقة الوجه من غير أن يحوجه إلى مؤنة وكلفة في ذلك

Maksudnya: “Wajib ke atas suami isteri saling bergaul dengan cara yang baik. Seumpama mengelakkan daripada perkara yang tidak disukai oleh pasangannya, menyempurnakan hak dan saling meredai antara satu sama yang lain serta saling menggembirakan dengan tidak mendatangkan sesuatu hajat yang membebankan pasangan melainkan perkara-perkara asas, pembiayaan nafkah  dan seumpamanya”.

(Rujuk: I’anah al-Tolibin, 3/421)

 

Namun, sekiranya isteri bertindak sebaliknya terhadap suami. Ini bermakna isteri telah melakukan perbuatan nusyuz. Perbuatan nusyuz seorang isteri adalah haram dan termasuk salah satu daripada dosa-dosa besar, dan akan dikenakan hukuman bagi sesiapa yang melakukannya. Maklumat secara jelas tentang hukuman dan penjelasan tentang nusyuz boleh rujuk artikel berikut: https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/3952-irsyad-al-fatwa-siri-ke-359-adakah-talak-penyelesaian-kepada-nusyuz

 

KESIMPULAN

Hak dan tanggungjawab yang lahir daripada akad perkahwinan mempunyai matlamat melahirkan kebahagian dan kerukunan dalam sesebuah keluarga yang terbina. Syariat Islam dan undang-undang Islam yang berkuatkuasa telah menetapkan supaya semua pihak perlu menghormati dan menyempurnakan hak kepada pasangan mereka serta melaksanakan tanggungjawab masing-masing demi tercapainya kebahagian untuk seluruh ahli keluarga. Mengabaikan hak dan mencuaikan tanggungjawab merupakan pelanggaran terhadap perintah syarak dan ketetapan undang-undang yang boleh mengakibatkan timbul ketidaktenteraman dalam kehidupan berkeluarga dan mengundang perpisahan yang dibenci oleh Allah SWT. Isteri wajib menghormati suami walaupun lebih kaya daripada suami Semoga kita sekeluarga di dalam rahmatNya.

Wallahu’alam.