اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-604: HUKUM KAEDAH PENGAMBILAN CENDAWAN TRUFFLE MENGGUNAKAN ANJING

IF 604

 

SOALAN

Kaedah Hunting Truffle bagi memperolehi bahan mentah ini adalah dengan menggunakan khidmat anjing yang akan mencari cendawan truffle tersebut dengan cara menghidu kerana cendawan tersebut tumbuh dan membiak di dalam tanah. Kebarangkalian akan berlaku anjing tersebut akan menggigit cendawan truffle setelah dikenalpasti keberadaan cendawan tersebut. Truffle ini kerap digunakan dalam masakan sebagai Truffle Oil yang dicampur dengan minyak zaitun yang bertujuan membangkitkan aroma truffle dalam minyak yang dihasilkan. Oleh yang demikian, kami memohon pandangan hukum kaedah pengambilan cendawan truffle menggunakan anjing ini?

RINGKASAN JAWAPAN

Hukum menggunakan khidmat anjing untuk mengambil cendawan truffle adalah dibenarkan. Namun begitu, jika didapati anjing tersebut menggigit cendawan truffle itu, maka hendaklah dibasuh bahagian yang terkena gigitan dengan 7 kali basuhan dan salah satunya dengan dengan tanah. Ini ialah pendapat muktamad dalam mazhab Syafie.

Namun jika diketahui bahawa anjing yang memburu cendawan truffle hanya menghidu dan tidak menggigitnya, maka harus menggunakan cendawan truffle itu sebagai bahan masakan dan sebagainya dan tidak diwajibkan sertu iaitu dibasuh 7 kali salah satunya dengan air tanah. Namun begitu, lebih baik disertu sebagai langkah berjaga-jaga.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Apakah itu cendawan truffle?

Truffle ialah tumbuhan liar yang mempunyai badan berbuah dari kulat ascomycete yang tumbuh di bawah tanah, yang merupakan salah satu daripada spesies genus Tuber. Selain Tuber, banyak jenis kulat lain diklasifikasikan sebagai truffle termasuk Geopora, Peziza, Choiromyces, Leucangium dan lebih dari seratus kulat yang lain. Truffle adalah kulat ektomikoriza, iaitu kulat yang biasanya tumbuh berdekatan dengan akar pokok. Penyebaran spora dilakukan melalui fungivora iaitu haiwan yang memakan kulat.

Oleh sebab truffles tumbuh di bawah tanah, manusia perlu menggunakan khidmat haiwan yang mempunyai deria bau yang kuat seperti anjing dan khinzir untuk mengenal pasti tempat tumbuhnya truffle yang tumbuh meliar di hutan.

Di Itali, anjing digunakan sebagai alternatif untuk mencari truffle kerana anjing tidak memiliki keinginan yang tinggi untuk menggalinya keluar lalu dimakan. Anjing lebih selamat digunakan untuk mencari truffle berbanding khinzir yang lebih cenderung menggali kawasan truffle dan merosakkannya.[1]

Truffle ini adalah salah satu cendawan yang tidak beracun dan selamat untuk dimakan. Antara hasil cendawan truffle ini ialah minyak truffle yang digunakan untuk memberi aroma truffle dalam masakan.

Penggunaan anjing pemburu untuk memburu binatang yang halal dimakan tetapi tidak mampu ditangkap atau didapatkan dengan mudah adalah diharuskan. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ ۖ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ وَمَا عَلَّمْتُم مِّنَ الْجَوَارِحِ مُكَلِّبِينَ تُعَلِّمُونَهُنَّ مِمَّا عَلَّمَكُمُ اللَّهُ ۖ فَكُلُوا مِمَّا أَمْسَكْنَ عَلَيْكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهِ  ۖوَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ

Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): "Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?" Bagi menjawabnya katakanlah: "Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu. Oleh itu makanlah dari apa yang mereka tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya (ketika kamu melepaskannya berburu); dan bertaqwalah kepada Allah (dengan memelihara diri dari memakan yang diharamkan Allah); Sesungguhnya Allah Maha Cepat hitungan hisabNya.

Surah al-Ma’idah (4)

Justeru pengambilan cendawan truffle yang tumbuh di kawasan hutan dan membiak di dalam tanah menggunakan khidmat anjing adalah dibolehkan sebagaimana diharuskan penggunaan anjing sebagai pemburu haiwan liar.

Namun begitu, menurut pandangan Mazhab Syafie, air liur anjing adalah najis berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW memerintahkan agar membasuh bejana makanan yang terdapat jilatan anjing dengan tujuh kali basuhan dan salah satunya dengan air campuran tanah.

طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya:Sucinya bejana salah seorang dari kamu apabila dijilat oleh anjing adalah dengan cara kamu membasuhnya sebanyak tujuh kali, dan basuhan pertama bercampur dengan tanah.”

RIwayat Muslim (279)

Imam al-Nawawi berkata untuk menerangkan hadis tersebut:

لَا فَرْقَ عِنْدَنَا بَيْنَ وُلُوغِ الْكَلْبِ وَغَيْرِهِ مِنْ أَجْزَائِهِ فَإِذَا أَصَابَ بَوْلُهُ أَوْ رَوْثُهُ أَوْ دَمُهُ أَوْ عَرَقُهُ أَوْ شَعْرُهُ أَوْ لُعَابُهُ أَوْ عُضْوٌ مِنْ أَعْضَائِهِ شَيْئًا طَاهِرًا فِي حَالِ رُطُوبَةِ أَحَدِهِمَا وَجَبَ غَسْلُهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ إِحْدَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

“Tidak ada perbezaan menurut kami (para ulama mazhab Syafie) antara jilatan anjing dengan selainnya daripada anggota-anggota badan anjing. Apabila terkena kencing, najis, darah, peluh, bulu, air liur atau mana-mana anggota dari anggota badannya yang bersih yang mana dalam keadaan salah satunya basah, maka wajib membasuhnya dengan tujuh kali basuhan dan salah satu daripadanya dengan air tanah.”

(Rujuk al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 3/185)

Berdasarkan kenyataan di atas, Imam Nawawi menjelaskan mana-mana bahagian anggota badan anjing yang menyentuh sesuatu atau disentuh oleh anjing dalam keadaan salah satunya basah atau lembab, maka sesuatu yang disentuh itu bernajis dan wajib disertu.

Timbul persoalan adakah kesan gigitan anjing pemburu pada buruan itu najis dan perlu dibasuh?

Terdapat beberapa pendapat ulama’ mazhab Syafie berkenaan kesan gigitan anjing pemburu ini. Berikut adalah pendapat-pendapatnya:

  • Pendapat pertama: Gigitan anjing pada buruan adalah najis. Hendaklah dibuang bahagian yang terkena gigitan anjing. Ini adalah salah satu pandangan dalam Mazhab Syafie. Ini berdasarkan kata-kata Imam al-Haramain:

لا بد من قطع جِلْفة من موضع عضه، فإن ذلك الموضع قد يغوص فيه لعاب الكلب بعضَ الغوص، فيستتر به ولا تتأتى التنحية والإزالة إلا بالقطع. وهذا القائل يطرد هذا في كل لحم أو ما في معناه يَعضّ عليه الكلب.

“Mestilah dipotong sebahagian daripada kawasan yang digigit anjing kerana air liur anjing mungkin telah menyerap ke dalam kawasan yang telah digigit. Kenajisan air liur itu tidak boleh disucikan atau dihilangkan kecuali dengan memotong bahagian itu. Termasuk dalam keadaan ini ialah semua jenis daging yang digigit anjing atau serupa denganya.”

(Rujuk Nihayah al-Mathlab fi Dirayah al-Mazhab, Imam al-Haramain, 18/110)

Ulama’ mazhab Syafie berselisih pendapat berkenaan pendapat yang disebutkan dalam kitab Nihayah al-Mathlab bahawa kawasan gigitan anjing mestilah dibuang sebelum dimakan. Ini adalah pendapat yang lemah dalam mazhab Syafie.

  • Pendapat kedua: Gigitan anjing pada buruan adalah najis. Cukup membasuhnya dengan tujuh kali basuhan dan salah satunya daripada tanah. Ini adalah pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafie. (Rujuk Tuhfah al-Muhtaj, 9/331; Nihayah al-Muhtaj, 8/122)

Imam Ibn Hajar al-Haitami menjelaskan pendapat yang muktamad mazhab Syafie bahawa cukup sekadar sertu bahagian gigitan tanpa perlu membuangnya, kata beliau:

 (وَمَعَضُّ الْكَلْبِ مِنْ الصَّيْدِ نَجِسٌ) نَجَاسَةً مُغَلَّظَةً كَغَيْرِهِ مِمَّا أَصَابَهُ بَعْضُ أَجْزَاءِ الْكَلْبِ مَعَ رُطُوبَةٍ (، وَالْأَصَحُّ أَنَّهُ لَا يُعْفَى عَنْهُ) لِنُدْرَتِهِ (وَ) الْأَصَحُّ (أَنَّهُ يَكْفِي غَسْلُهُ بِمَاءٍ) سَبْعًا (وَتُرَابٍ) فِي إحْدَاهُنَّ كَغَيْرِهِ (وَلَا يَجِبُ أَنْ يُقَوَّرَ، وَيُطْرَحَ) لِأَنَّهُ لَمْ يَرِدْ

“Kawasan gigitan anjing pemburu adalah najis mughallazah seperti anjing-anjing yang lain, yang tetap menjadi najis apabila dalam keadaan lembap dan terkena mana-mana bahagian anjing. Pendapat yang paling sahih ialah gigitan anjing itu najis yang tidak dimaafkan kerana jarang berlaku, maka cukuplah dibasuh dengan tujuh kali basuhan air dan salah satunya dengan tanah. Bahagian yang digigit anjing tidak perlu ditoreh (dibuang) atau dipotong.”

(Rujuk Tuhfah al-Muhtaj, Ibn Hajar al-Haithami, 9/331)

Dalam isu ini, mazhab Hanbali sependapat dengan mazhab Syafi’ie sepertimana yang dinyatakan oleh Sheikh al-Buhuti:

(وَيَجِبُ غَسْلُ مَا أَصَابَهُ فَمُ الْكَلْبِ) لِأَنَّهُ مَوْضِعٌ أَصَابَتْهُ نَجَاسَتُهُ فَوَجَبَ غَسْلُهُ كَغَيْرِهِ مِنْ الثِّيَابِ وَالْأَوَانِي.

“Wajib membasuh bahagian yang terkena mulut anjing kerana bahagian itu adalah najis, maka wajib dibasuh sebagaimana apabila terkena pakaian atau bekas.”

(Rujuk Kasyaf al-Qina, al-Buhuti, 6/224)

Oleh itu berdasarkan dalil-dalil dan rujukan yang telah dinyatakan di atas, hukum bahagian gigitan anjing pada haiwan buruan adalah najis, maka hendaklah dibasuh dengan tujuh kali basuhan dan salah satunya dengan tanah berdasarkan pandangan yang muktamad dalam Mazhab Syafi’e.

KESIMPULAN

Tuntasnya, hukum menggunakan khidmat anjing untuk mengambil cendawan truffle adalah dibenarkan. Namun begitu, jika didapati anjing tersebut menggigit cendawan truffle itu semasa mengeluarkannya daripada tanah, maka hendaklah dibasuh bahagian yang terkena gigitan dengan 7 kali basuhan dan salah satunya dengan dengan tanah sebelum digunakan dalam masakan dan sebagainya. Ini ialah pendapat yang sahih dan muktamad dalam Mazhab Syafie.

Ini juga berdasarkan hadis Rasulullah yang telah dinyatakan sebelum ini berkenaan jilatan anjing pada bekas.

Namun begitu, jika diketahui proses pengambilan cendawan truffle ini hanya menggunakan anjing untuk menghidu tempat tumbuh cendawan truffle tanpa menggali dan menggigit cendawan tersebut, maka hukumnya harus digunakan cendawan truffle tanpa perlu dibasuh kerana cendawan tersebut tidak bernajis.

Akhir kalam, semoga pencerahan tersebut dapat memberikan kefahaman yang sahih dalam beragama.

Wallahu a’lam.

[1] https://en.wikipedia.org/wiki/Truffle