Soalan:
Assalamualaikum Datuk Mufti dan ustaz. Adakah boleh ibadat puasa 6 diganti pada bulan Zulkaedah sekiranya tidak dapat menyempurnakan enam hari dalam bulan syawal disebabkan faktor keuzuran dan kesihatan. Mohon pencerahan dari pihak datuk dan ustaz sekalian. Terima Kasih.
Ringkasan Jawapan:
Mengqada atau menggantikan puasa 6 syawal dalam bulan yang lain seperti Zulkaedah adalah Sunat. Oleh itu, selaku umat islam yang bertakwa seharusnya berusaha untuk melengkapkan enam hari puasa tersebut dalam bulan Syawal kerana ia merupakan ibadat yang khusus dalam bulan tersebut.
Huraian Jawapan:
Wa’alaikumussalam, Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW,para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.
Secara asasnya puasa 6 dalam bulan Syawal ini merupakan ibadat sunat yang Muakkad di sisi Mazhab Syafie yang mana ia amat dituntut untuk mengerjakannya setelah selesai menunaikan ibadat puasa Ramadan. Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ، كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْر
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian diiringinya dengan puasa sunat 6 hari dalam bulan Syawal, maka ia adalah seperti berpuasa selama setahun.” [1]
(Riwayat Muslim :1164)
Berbalik kepada persoalan di atas, iaitu sama ada dibolehkan atau tidak untuk mengqada atau menggantikan puasa sunat Syawal ini. Secara umumnya, mana-mana ibadat sunat termasuk puasa 6 tidak wajib qada jika ibadat tersebut tidak dilakukan. Namun, ia juga disunatkan untuk qada ibadat tersebut sekiranya tidak sempat untuk menyempurnakan pada waktunya.
Menurut Imam Nawawi tentang ibadat sunat: “Sesiapa yang mengerjakan puasa sunat, atau solat sunat tidak wajib baginya untuk menyempurnakannya, tetapi ia disunatkan. Dan jika seseorang meninggalkan kedua-dua daripada ibadat tersebut, maka tidak wajib qada, tetapi ia disunatkan ganti”.[2]
(Rujuk Raudhah al-Tholibin: 2/386)
Tambahan lagi, Imam Ibnu Hajar al Haytami turut menyatakan keharusan mengganti ibadat puasa 6 pada bulan yang lain seperti mana di dalam karangannya:
مَنْ صَامَهَا مَعَ رَمَضَانَ كُلُّ سَنَةٍ تَكُونُ كَصِيَامِ الدَّهْرِ فَرْضًا بِلَا مُضَاعَفَةٍ وَمَنْ صَامَ سِتَّةً غَيْرَهَا كَذَلِكَ تَكُونُ كَصِيَامِهِ نَفْلًا بِلَا مُضَاعَفَةٍ
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa 6 bersama puasa Ramadan sepanjang tahun maka puasanya seperti puasa fardhu setahun tanpa gandaan pahala, dan sesiapa yang berpuasa 6 hari di bulan yang lain maka puasanya seperti puasa-puasa sunat tanpa gandaan pahala.” [3]
(Rujuk Tuhfat al-Muhtaj: 3/457)
Berdasarkan kenyataan Imam Ibnu Hajar di atas, puasa 6 Syawal yang digantikan pada bulan selain Syawal maka pahalanya tidak setanding berbanding ia dilaksanakan di bulan Syawal.
Begitu juga pandangan Sheikh Zakaria al-Ansari bahawa disunatkan mengerja puasa 6 dibulan Zulakedah bagi mereka yang sibuk menggantikan puasa Ramadan dalam bulan Syawal. Sesungguhnya beliau telah menyatakan perkara ini dalam Karyanya:
وَمَنْ فَاتَهُ رَمَضَانُ فَصَامَ عَنْهُ شَوَّالًا اُسْتُحِبَّ لَهُ أَنْ يَصُومَ سِتًّا مِنْ ذِي الْقَعْدَةِ لِأَنَّهُ يُسْتَحَبُّ قَضَاءُ الصَّوْمِ الرَّاتِبِ
Maksudnya: “Sesiapa yang luput puasa Ramadan dan dia berpuasa (ganti) Ramadan dalam bulan Syawal, sunat baginya untuk mengerjakan puasa 6 dalam bulan Zulkaedah kerana diharuskan mengganti puasa sunat yang muakkad.” [4]
(Rujuk Asna al-Mathalib: 1/431)
Kesimpulan
Berdasarkan dalil dan pandangan-pandangan yang telah dinyatakan, Mengqada atau menggantikan puasa 6 syawal dalam bulan yang lain seperti Zulkaedah adalah Sunat. Namun, selaku umat islam yang bertakwa seharusnya berusaha untuk melengkapkan enam hari puasa tersebut dalam bulan Syawal kerana ia merupakan ibadat yang khusus dalam bulan tersebut. Bahkan nilai pahala dikerja dalam bulan tersebut adalah berbeza berbanding dibulan yang lain.
Wallahu A’lam...
Nota Hujung:
[1] Al-Bukhari, Muhammad Zuhair bin Nasir al-Nasir. 1422H. Sohih al-Bukhari. Dar Tuq al Najah. Cetakan 1.
[2] An-Nawawi, Yahya bin Sharaf. 1412H/1991M. Raudhah al Tolibin. Beirut: Al Maktab al-Islami.
[3] Al-Haytami, 1357H/1983M. Tuhfat al-Muhtaj Fi Syarh al-Minhaj. Mesir: Al-Maktabah al-Tijariah al Kubra.
[4] Al-Ansari, Muhammad bin Ahmad bin Zakaria . T.TH. Asna al-Matalib fi Syarh Raudhah al-Thalib. Dar al-Kitab al-Islami.