Soalan
Assalamualaikum. Saya nak bertanya pandangan sedikit .Ini sebenarnya persoalan dari kawan saya katanya ada syubhah dari segi mualamat cara marketing kalau kita tunjuk bonus perniagaan dekat orang. Ini berkaitan dengan isytihar bonus / komisen / insentif dari berniaga. Ada ke dalam hukum mualamat yang mengatakan haram atau syubhah tunjuk bonus kepada orang awam.
Situasinya begini...A menjalankan perniagaan dengan syarikat abc, hujung bulan syarikat abc beri bonus kepada A. A pun post di facebook amaun komisen tersebut dan dia tulis alhamdulillah dapat bonus dari komisen perniagaan abc. “Jomlah sertai saya perniagaan ini”. Maksudnya marketing untuk dia tarik orang masuk dalam rangkaiannya dengan menggunakan bonus. Adakah ini syubhah dalam muamalat?
Jawapan Ringkas
Hukum memaparkan bonus daripada perniagaan yang dijalankan sebagai teknik pemasaran adalah harus kerana mengambil hukum asal bagi muamalat adalah harus. Namun begitu, sekiranya terdapat unsur-unsur yang diharamkan seperti menipu, maka perbuatan tersebut diharamkan kerana perbuatan menipu adalah perbuatan yang amat dilarang.
Perniagaan adalah salah satu pekerjaan yang mulia. Oleh kerana itu, setiap perniaga mestilah mengamalkan sikap yang mahmudah dan meninggalkan sikap-sikap mazmumah ketika menjalankan pekerjaannya. Ini adalah kerana seorang peniaga yang jujur dan amanah akan ditempatkan bersama para nabi, siddiqin dan syuhada’ di akhirat kelak. Moga-moga kita tergolong dalam golongan tersebut.
Huraian Jawapan
Marketing atau pemasaran merupakan satu perkara yang tidak dapat dipisahkan daripada aktiviti perniagaan bahkan sesebuah perniagaan amat bergantung pada aktiviti pemasaran untuk memastikan produk yang dijual diketahui oleh bakal pembeli serta menarik perhatian mereka untuk mendapatkan produk yang dijual tersebut.
Justeru, antara teknik atau cara pemasaran yang biasa digunakan adalah dengan memaparkan bonus atau penyata pencapaian jualan dan seumpamanya. Biasanya teknik ini digunakan dengan tujuan menarik orang lain untuk turut menyertai perniagaan yang dijalankan sebagai dropship, ejen, stokis, reseller, downline dan seumpamanya. Ini kerana penyata bonus tersebut akan menunjukkan potensi untuk menjana kewangan dan seterusnya menarik perhatian orang yang ingin mencari pendapatan tambahan.
Hukum-hakam berkaitan dengan muamalat pada asalnya adalah harus selagi tiada larangan mengenainya. Allah SWT telah berfirman:
وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا
Maksudnya: Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.
Surah al-Baqarah (275)
Imam Syafie ketika mentafsirkan ayat ini menyatakan bahawa firman Allah SWT tersebut menunjukkan kepada keharusan bagi perkara berkaitan jual beli. Namun begitu, sekiranya terdapat larangan daripada al-Quran dan Sunnah maka hukum berkaitannya akan turut berubah menjadi sebaliknya. (Rujuk Tafsir al-Imam al-Syafie 429/1)
Bertitik tolak daripada ayat tersebut, muncul satu kaedah fiqh yang menyatakan bahawa hukum asal berkaitan muamalat adalah harus.
الأصل في المعاملات الإباحة
Maksudnya: Hukum asal berkaitan muamalat adalah harus (Rujuk Mawsu’ah al-Ijma’ fi al-Fiqh al-Islamiyy 346/2)
Namun begitu, tidak semua perkara yang berkaitan dengan muamalat adalah diharuskan. Ini adalah kerana dalam masa yang sama terdapat juga larangan-larangan daripada Allah SWT atau daripada Rasulullah SAW mengenai beberapa perkara yang tidak boleh dilakukan oleh seorang muslim. Allah SWT berfirman;
وَقَدْ فَصَّلَ لَكُم مَّا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ
Maksudnya: Allah telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa yang diharamkanNya atas kamu.
Surah al-An’am (119)
Ulama tafsir mentafsirkan bahawa ayat ini membawa maksud Allah SWT telah menunjukkan secara jelas tentang perkara-perkara yang halal serta perkara-perkara yang haram untuk dilakukan oleh umat Islam. (Rujuk Tafsir Ibn Kathir 323/3; Tafsir al-Qurtubi 73/7)
Justeru itu, mengenai persoalan yang diajukan tersebut, sekiranya teknik pemasaran tersebut tidak mempunyai unsur-unsur yang diharamkan seperti manipulasi atau menipu maka tiada halangan untuk menggunakan teknik tersebut. Namun begitu, sekiranya terdapat unsur menipu padanya seperti mengaku bahawa penyata bonus tersebut adalah miliknya sedangkan pada hakikatnya bukan penyata miliknya, maka disini terdapat unsur menipu untuk memperdaya orang lain. Perbuatan menipu adalah satu perbuatan yang amat dilarang dalam Islam. Abu Hurairah r.ah meriwayatkan:
مَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا
Maksudnya: Siapa yang menipu maka dia bukan daripada kalangan kita (umat Islam)
Riwayat Muslim (101)
Menipu (al-Ghisy) dalam aktiviti muamalat juga dikenali sebagai al-tadlis yang mana penjual sengaja menyembunyikan suatu kecacatan atau menipu maklumat untuk memperdayakan pembeli. Al-Jamal menyatakan bahawa al-Ghisy adalah al-Tadlis iaitu menyembunyikan kecacatan barangan dan menghiasinya supaya pelanggan tertarik dengan barang dagangannya.
الْغِشُّ تَدْلِيسٌ يَرْجِعُ إلَى ذَاتِ الْمَبِيعِ كَأَنْ يُجَعِّدَ شَعْرَ الْجَارِيَةِ وَيُحَمِّرَ وَجْهَهَا
Maksudnya: al-Ghisy adalah penipuan yang berlaku pada barang jualan seperti mengerintingkan rambut hamba perempuan dan memerahkan mukanya (tujuan untuk mencantikkan dan menyembunyikan aib). (Rujuk Hasyiah al-Jamal 5/3)
Perbuatan tersebut akan menyebabkan timbul rasa tidak puas hati pada pembeli atau downline, ejen dan seumpamanya kerana rasa tertipu dan terpedaya dengan penjual tesebut. Allah SWT juga melarang untuk memakan harta orang lain dengan cara yang bathil. Allah SWT berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu..
Surah an-Nisa’ (29)
Kesimpulan
Hukum memaparkan bonus daripada perniagaan yang dijalankan sebagai teknik pemasaran adalah harus kerana mengambil hukum asal bagi muamalat adalah harus. Namun begitu, sekiranya terdapat unsur-unsur yang diharamkan seperti menipu, maka perbuatan tersebut diharamkan kerana perbuatan menipu adalah perbuatan yang amat dilarang.
Perniagaan adalah salah satu pekerjaan yang mulia. Oleh kerana itu, setiap perniaga mestilah mengamalkan sikap yang mahmudah dan meninggalkan sikap-sikap mazmumah ketika menjalankan pekerjaannya. Ini adalah kerana seorang peniaga yang jujur dan amanah akan ditempatkan bersama para nabi, siddiqin dan syuhada’ di akhirat kelak. Moga-moga kita tergolong dalam golongan tersebut. Rasulullah SAW bersabda:
التَّاجِرُ الصَّدُوقُ الأَمِينُ مَعَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ
Maksudnya: Peniaga yang jujur dan amanah akan bersama-sama dengan para nabi, siddiqin dan para syahid.
Riwayat al-Tirmizi (1208)
Wallahualam.