اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-619: HUKUM MELAKUKAN TAWARAN DAN IKLAN SIHIR DI MEDIA SOSIAL

if619

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Saya ada persoalan tentang perkara yang terjadi di media sosial sekarang ini. Sekarang ini dalam media sosial tidak kira Facebook atau Instagram ada orang yang buat perkhidmatan sihir. Macam-macam yang ditawarkan. Minyak pengasih, sihir pemisah dan lain-lain lagi. Apakah hukumnya ustaz? Bantu saya yang jahil ini

Ringkasan jawapan :

Menjawab persoalan yang dikemukakan, haram mengiklankan dan melakukan tawaran perkhidmatan sihir di media sosial. Ia adalah perbuatan mempromosikan perkara yang haram dan berdosa. Bahkan sihir adalah antara dosa besar seperti yang dinyatakan oleh Nabi SAW. Begitu juga, haram hukumnya mendapatkan perkhidmatan sihir di media sosial. Orang yang melakukan perbuatan tersebut wajib untuk bertaubat dan tidak melakukannya lagi pada masa hadapan.

Semoga Allah memberikan petunjuk dan membimbing kita semua. Wallahu’alam.

Huraian jawapan :

Sihir adalah salah satu perkara yang dianggap sebagai dosa besar. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

‌اجْتَنِبُوا ‌السَّبْعَ ‌المُوبِقَاتِ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ؟ قَالَ: الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالسِّحْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالحَقِّ وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ اليَتِيمِ وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ المُحْصَنَاتِ المُؤْمِنَاتِ الغَافِلَاتِ

Maksudnya : “Jauhi tujuh dosa besar. Para sahabat bertanya : Wahai Rasulullah, apakah tujuh dosa besar tersebut? Nabi SAW menjawab : Menyekutukan Allah, sihir, membunuh nyawa yang mana ianya diharamkan oleh Allah melainkan dengan hak (yang dibenarkan dalam syarak), makan riba, makan harta anak yatim, berpaling dan lari ketika berperang dengan musuh, dan menuduh wanita beriman yang suci dengan tuduhan zina.”[1]

Perkara ini dijelaskan lagi oleh Sheikh Badruddin al-‘Aini. Beliau menyebut :

وَالَّذِي نَص عَلَيْهِ الْعلمَاء وَالْفُقَهَاء أَن تعلم السحر وتعليمه من الْكَبَائِر

“Para ulama dan fuqaha menetapkan bahawa mempelajari dan mengajarkan sihir antara dosa besar.”[2]

Bahkan Nabi SAW memberikan peringatan kepada orang yang mendapatkan khidmat tukang sihir sepertimana sabda baginda Nabi SAW :

‌مَنْ ‌أَتَى ‌عَرَّافًا ‌فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْءٍ، لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلَاةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً

Maksudnya : “Sesiapa yang pergi bertemu tukang tilik, lalu dia bertanya kepadanya tentang sesuatu, solatnya tidak akan diterima selama 40 hari.”[3]

Hadis di atas menjelaskan bahawa orang yang mendapatkan khidmat tukang sihir menyebabkan ibadatnya tidak diterima oleh Allah SWT. Perkara ini dijelaskan oleh Imam al-Nawawi. Beliau menyatakan bahawa tiada pahala yang akan diperolehi walaupun solat tersebut sah mengikut rukun dan syarat-syaratnya[4].

Dalam riwayat yang lain menyebut :

‌مَنْ ‌أَتَى ‌كَاهِنًا فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya : Sesiapa yang pergi bertemu dukun, lalu dia mempercayai apa yang diperkatakan oleh dukun tersebut, dia telah mengingkari apa yang diturunkan kepada Muhammad SAW.”[5]

Sheikh Zakariya al-Ansari menjelaskan :

وَيَحْرُمُ فِعْلُهُ بِالْإِجْمَاعِ (وَيَكْفُرُ مُعْتَقِدُ إبَاحَتِهِ فَإِنْ تَعَمَّدَهُ) تَعْلِيمًا أَوْ تَعَلُّمًا أَوْ فِعْلًا وَفِي نُسْخَةٍ فَإِنْ تَعَلَّمَهُ (أَثِمَ) فَكُلٌّ مِنْهُمَا حَرَامٌ لِخَوْفِ الِافْتِتَانِ وَالْإِضْرَارِ بِالنَّاسِ

“Haram mengamalkan sihir menurut ijmak para ulama. Orang yang meyakini keharusannya adalah kufur. Jika dia sengaja mengajar, belajar dan mengamalkan sihir, maka dia berdosa. Setiap satu dari perkara tersebut adalah haram kerana ditakuti boleh menyebabkan fitnah dan boleh memudaratkan orang ramai.”[6]

Jika seseorang ingin menjauhkan diri dari bahaya atau ingin menolak keburukan, haram untuk menggunakan khidmat sihir. Perkara ini dijelaskan oleh Sheikh al-Syarwani, beliau menyebut :

وَأَنَّهُ لَا يَجُوزُ دَفْعُهُ بِالسِّحْرِ لِأَنَّ ‌السِّحْرَ حَرَامٌ لِذَاتِهِ

“Tidak boleh menolak keburukan (atau kemudaratan) dengan sihir kerana sihir itu sendiri adalah perkara yang haram”[7]

Justeru, berdasarkan penjelasan di atas, haram mengiklankan dan melakukan tawaran perkhidmatan sihir di media sosial. Ia adalah perbuatan mempromosikan perkara yang haram dan berdosa. Bahkan sihir adalah antara dosa besar seperti yang dinyatakan oleh Nabi SAW. Begitu juga, haram hukumnya mendapatkan perkhidmatan sihir di media sosial. Orang yang melakukan perbuatan tersebut wajib untuk bertaubat dan tidak melakukannya lagi pada masa hadapan.

NOTA HUJUNG

[1] Abu Abdullah al-Bukhari, Muhammad Bin Ismail, Sahih al-Bukhari (2001), Dar Tuq al-Najah, Beirut, j.4 h.10 no 2766

[2] Badruddin al-‘Aini, Mahmud Bin Ahmad, Umdah al-Qari fi Syarh Sahih al-Bukhari (t.t), Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, Beirut, j.14 h.61.

[3] Abu al-Hasan, Muslim Bin Hajjaj, Sahih Muslim, Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, Beirut, j.4 h.1751 no 2230

[4] Abu Zakariya al-Nawawi, Yahya Bin Syarf, Syarh Sahih Muslim (1972), Dar Ihya’ Turath al-‘Arabi, Beirut, j. 14 h.227. Beliau menyatakan : وَأَمَّا عَدَمُ قَبُولِ صلاته فمعناه أنه لاثواب لَهُ فِيهَا وَإِنْ كَانَتْ مُجْزِئَةً فِي سُقُوطِ الفرض عنه

[5] Abu Daud, Sulaiman Bin al-Asy’ath, al-Sunan (2009), Dar al-Risalah al-‘Alamiyah, Beirut, j.6 h.48 no 3904.

[6] Al-Ansari, Zakariya Bin Muhammad, Asna al-Matalib fi Syarh Raudh al-Talib (t.t), Dar al-Kitab al-Islamiy, Beirut, j.4 h.82.

[7] Al-Syirwani, Abdul Hamid ; Ibn al-Qasim al-Abbadi ; Ibn Hajar al-Haitami, Ahmad bin Muhammad, Hawasyi Tuhfah al-Muhtaj bi Syarh al-Minhaj (1983), Maktabah al-Tijariyah al-Kubra, Mesir, j.9 h.62.