اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE - 639 : HUKUM IPAR-DUAI BERLAINAN JANTINA TINGGAL SERUMAH

Duai min

 

Soalan

Saya mempunyai adik beradik lelaki yang tinggal serumah untuk menumpang atas faktor kewangan. Sementara isteri saya suri rumah sepenuh masa. Persoalannya, Bolehkah ipar-duai tinggal sebumbung namun berlainan bilik ketika  ketiadaan saya untuk keluar bekerja? Mohon pencerahan SS Mufti, terima kasih

Ringkasan Jawapan:

Hukum ipar-duai tinggal serumah yang ketiadaan mahram adalah  haram  dan perlu dijauhi bagi  menutup pintu fitnah (sadd al-dzari’ah).  Larangan tersebut sebagai langkah berjaga-jaga daripada timbulnya sebarang kerosakan (mafsadah) yang besar pada masa akan datang. Adapun, tidak mengapa ipar-duai  tumpang tidur bermalam yang  berasingan bilik  selagi  adanya mahram disisi ipar duai  dan aman daripada fitnah.  Mahram yang wajib ada ialah mahram dari pihak perempuan bukan lelaki. 

Huraian jawapan

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat

Status antara ipar-duai   adalah   haram muaqqat iaitu haram untuk  dinikahi  dalam tempoh  waktu tertentu. Implikasinya,  mereka perlulah memelihara batasan aurat  dan adab pergaulan  ketika berinteraksi antara satu sama lain  bukan seperti  mahram yang lain.  Mereka turut tidak dibenarkan  berkhalwat (berdua-duaan) apatah tidak lagi  bersentuhan kulit. Ini berdasarkan   sabda Nabi SAW :

«إِيَّاكُمْ وَالدُّخُولَ عَلَى النِّسَاءِ» فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ الأَنْصَارِ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَفَرَأَيْتَ الحَمْوَ؟ قَالَ: «الحَمْوُ المَوْتُ»

Maksudnya : Berhati-hatilah kamu ketika masuk menemui wanita, lalu seorang lelaki Ansar berkata : Wahai Rasulullah, bagaimana pendapat engkau tentang ipar? Baginda bersabda : Ipar adalah maut

 Riwayat al-Bukhari (5232) Riwayat al-Muslim ( 2172)

Rasulullah SAW menyatakan makna ipar adalah maut (al-hamwu al-maut)  dalam hadis tersebut ialah  tentang kebimbangan fitnah yang bakal muncul dari ipar duai lebih besar bahayanya daripada orang lain. Tidak dinafikan kebarangkalian berlaku khalwat dengan ipar duai walaupun hukum ipar berbeza dengan ajnabi, iaitu ipar merupakan mahram sementara yang haram dinikahi manakala wanita ajnabi tidak haram untuk dinikahi. Maksud ipar ialah kerabat suami selain bapa,  datuk dan anak-anaknya. Adapun bapa dan anak - anak suami  hukumnya sudah menjadi mahram untuk isterinya.  Bahkan mereka dibenarkan untuk berdua-duaan di tempat yang sunyi. Sementara adik-beradik lelaki suami, anak sedara, pakcik sedara sebelah suami dan seumpamanya tidak dikira sebagai mahram, Maksud al-Maut di dalam hadis ialah kebinasaan dan kemusnahan dalam kehidupan yang mana ipar duai lebih utama dilarang dan dijauhi berkhalwat. Ini kerana berdua-duaan dengan ipar duai membawa kepada fitnah dan kebinasaan di dalam agama. (Rujuk Sahih Muslim 4/1711, Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim 14/154)

Syariat Islam melarang perbuatan khalwat antara lelaki dan perempuan yang tiada hubungan mahram melainkan si wanita ditemani oleh mahramnya, seperti abang, bapa atau datuk. Perkara ini ditekankan dalam sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلَّا وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ

Maksudnya: Seorang lelaki tidak boleh berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan mahram perempuan itu ada bersamanya.”

 Riwayat Muslim (1341)

Menurut Imam Ibn Battal, seseorang lelaki diharamkan khalwat dengan iparnya yang mana perbuatan ini mampu membawa ke arah kebinasaan melalui perasaan curiga orang lain dan membuka ruang fitnah yang terhasil dari bisikan syaitan seperti zina dan sumpamanya. Oleh yang demikian, Rasulullah SAW hanya membenarkan seseorang lelaki bertemu atau bersama-sama dengan seorang wanita yang ditemani oleh mahramnya( Rujuk Syarah Sahih al-Bukhari, Ibn Battal (7/357).

Berbalik kepada soalan yang diajukan berkaitan keberadaan adik beradik suami di rumah bersama isteri  tersebut ketika suami keluar bekerja, maka  perbuatan berdua-duaan antara ipar duai yang berlainan jantina  dalam serumah tanpa ditemani orang ketiga atau mahram adalah haram kerana  boleh menimbulkan syak dan fitnah seperti hadis yang dikemukakan dengan menyebutkan ipar sebagai al-maut. 

Sehubungan itu, pihak suami perlu  mengasingkan tempat tinggal  saudara lelakinya daripada duduk serumah memandangkan rutin harian suami akan keluar berkerja dan isteri sebagai suri rumah. Tidak dinafikan menyewa rumah bergantung kepada kemampuan individu masing-masing.  Namun begitu, individu tersebut perlu sedaya upaya mencari bilik sewa mampu milik  berbanding duduk menumpang  bersama ipar demi menutup ruangan fitnah.  Justeru, umat Islam perlu sedaya upaya mengelakkan diri daripada menimbulkan sebarang fitnah terhadap dirinya.  

Informasi tambahan, rujuk  ruangan artikel  berikut :

PENUTUP

Hukum ipar-duai tinggal serumah yang ketiadaan mahram adalah dilarang oleh syarak dan perlu dijauhi bagi menutup pintu fitnah (sadd al-dzari’ah).  Namun, ipar-duai menziarahi dan menumpang rumah bermalam yang berasingan bilik  dibolehkan selagi  adanya mahram disisi ipar duai  dan aman daripada fitnah.