اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-660: HUKUM MENYOKONG KELAB BOLA SEPAK YANG MENGIKTIRAF LGBT

hukum sokong bola

 

SOALAN:

Sepertimana kita tahu, banyak kelab bola sepak antarabangsa sekarang yang mengiktiraf LGBT. Apakah hukum kita masih menyokong kelab-kelab tersebut? Adakah kita dikira mengiktiraf juga LGBT secara tidak langsung?

 

RINGKASAN JAWAPAN

Tidak menjadi satu kesalahan untuk meminati mana-mana kelab bola sepak yang menyatakan solidariti, atau kelab yang berkempen ke arah normalisasi LGBT, jika menyokong kelab-kelab tersebut sekadar untuk hiburan atas dasar mereka sebagai pasukan bola sepak. Adapun sikap mereka berkenaan isu LGBT atau hal-hal lain, maka itu berada di luar bidang kuasa kita. Maka sekadar minat kepada kelab tersebut tidak termasuk dalam kerjasama atau tolong-menolong ke arah kemaksiatan yang dilarang oleh syarak.

Namun, dalam kita menyokong kelab bola sepak yang diminati, hati kita mestilah disertai dengan rasa tidak redha dengan kempen mempromosi LGBT yang dijalankan itu. Selain itu, kita juga dilarang untuk memakai jersi yang mempunyai simbol sokongan terhadap gerakan LGBT seperti simbol pelangi pada lengan jersi, dan dilarang juga untuk mengongsikan hantaran-hantaran di media sosial yang mempromosi amalan LGBT, kerana ia juga termasuk dalam kategori berkempen ke arah kemaksiatan.

 

HURAIAN JAWAPAN:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Berkenaan isu Lesbian, Gay, Bisexual and Transgender (LGBT), kami sertakan pautan-pautan kepada artikel yang pernah kami tulis berkenaan isu ini:

Adapun persoalan yang dikemukakan adalah berkaitan hukum menyokong kelab bola sepak yang mempromosi LGBT, adakah dikira bersubahat dalam menyokong atau mempromosi kemaksiatan?

Sememangnya Allah SWT melarang tegas amalan bekerjasama ke arah maksiat. Firman-Nya dalam al-Qur’an:

وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: ...dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

Surah al-Ma’idah (3)

Berkenaan sokongan ke arah maksiat ini juga, Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلاَلَةٍ كَانَ عَلَيْهِ مِنَ الإِثْمِ مِثْلُ آثَامِ مَنْ تَبِعَهُ لاَ يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ آثَامِهِمْ شَيْئًا

Maksudnya: Barangsiapa yang menyeru kepada kesesatan, dia akan memperoleh dosa sebesar jumlah dosa mereka yang melakukan perkara kesesatan tersebut, dan dosa mereka tidak akan berkurang walau sedikitpun.

Sahih Muslim (2674)

Hadith di atas jelas merujuk kepada mereka yang menyeru ke arah kesesatan. Maka jika seseorang secara jelas menyatakan persetujuan terhadap polisi menyokong dan menormalisasi LGBT, maka pada ketika itulah dia dianggap bersubahat dalam mempromosi kemaksiatan.

 

Bentuk-bentuk kerjasama ke arah maksiat

Salah seorang ahli Majma’ Fuqaha’ Syariah Amerika Syarikat, Dr. Walid bin Idris al-Manisi sewaktu bersidang buat kali kelima pada tahun 2007 di Bahrain telah membincangkan soal parameter dalam menetapkan kaedah membantu ke arah dosa dan kemaksiatan. Persidangan tersebut telah menetapkan bahawa isu ini terbahagi kepada empat kategori:

i. Kerjasama secara langsung dan diniatkan padanya membantu ke arah maksiat (mubasyarah maqsudah), seperti memberi arak kepada seseorang untuk membolehkannya minum arak tersebut.

ii. Kerjasama secara langsung tanpa niat (mubasyarah ghairu maqsudah): Contohnya menjual barang yang tiada kegunaan lain melainkan ke arah perkara haram, namun tidak diniatkan penjualan itu untuk digunakan pada perkara yang diharamkan itu.

iii. Kerjasama dengan niat, secara tidak langsung (maqsudah ghairu mubasyarah): Memberi duit kepada seseorang untuk orang tersebut membeli arak.

iv. Kerjasama tidang langsung dan tanpa niat (ghairu mubasyarah wa la maqsudah): Contohnya memberi seseorang duit tanpa apa-apa tujuan khusus, kemudian penerima tersebut membeli arak dengan duit tersebut. Kategori ini juga merangkumi muamalat jual beli, sewaan dan sedekah dengan orang-orang Musyrikin. Jika mereka menggunakan duit yang kita sumbangkan ke arah maksiat, kita tidak dikira berdosa.

Menurut kenyataan ini, kategori pertama, kedua dan ketiga di atas dihukum sebagai haram, manakala ketagori keempat sahaja yang dhukum sebagai harus.[1]

Parameter dalam menentukan sama ada sesuatu perbuatan itu dikira kerjasama ke arah maksiat secara langsung atau tidak langsung pula bergantung kepada konteks semasa dan keadaan.[2]

Dalam hal ini, menyokong satu-satu kelab bola sepak tidak memestikan kita menyokong setiap polisi dan perkara yang berkaitan dengan kelab tersebut. Sokongan yang diberikan hanya atas dasar hiburan dan minat terhadap seni bola sepak yang dipamerkan, dan ini tidak menatijahkan sokongan terhadap polisi mempromosi dan menyokong LGBT yang dipegang oleh sesebuah kelab.

Kerjasama yang diharamkan ialah kerjasama yang secara langsung (al-i’anah al-maqsudah) atau kerjasama secara terus (al-i’anah al-mubasyirah), di mana sokongan tersebut sememangnya ditujukan kepada perkara maksiat tersebut dan ia berkait secara langsung, contohnya menghadiri himpunan LGBT anjuran kelab bola sepak yang diminati. Maka hal ini jelas diharamkan berdasarkan nas al-Qur’an yang disebut di atas.

Pada pandangan kami juga, perkara ini termasuk dalam perkara-perkara yang disebut sebagai perkara yang terpecah hukum kepada beberapa sudut dimensi (infikak al-jihah). Antara contoh yang biasa digunakan dalam kitab-kitab fiqh ialah:

  • Talak yang dilafazkan oleh suami kepada isterinya ketika haid adalah sah dan berlaku. Namun begitu hukum talak itu sendiri pada waktu haid adalah haram. Namun hukum sahnya talaq ini pastinya tidak boleh dianggap sebagai anjuran untuk melafazkan talak ketika isteri dalam keadaan haid.
  • Solat sewaktu memakai baju yang dicuri, atau baju sutera bagi lelaki, atau solat di atas tanah atau rumah yang dirampas daripada pemiliknya; kesemua perkara ini termasuk perkara yang diharamkan, tetapi ia tidak menyebabkan solat yang didirikan itu tidak sah. Namun hukum sahnya solat tidaklah bermakna kita menggalakkan perbuatan mencuri, memakai baju sutera dan merampas rumah orang.
  • Dibolehkan untuk memberi sumbangan kewangan kepada keluarga si mati non-Muslim bagi keperluan seharian mereka seumpama nafkah, kos perubatan dan lain-lain. Sekiranya ia dibelanjakan untuk tujuan-tujuan yang diluar pengetahuan seperti perkara yang melibatkan upacara keagamaan, Muslim tersebut tidaklah berdosa.[3]

Selain itu, harus dipertimbangkan bahawa neraca moral yang diamalkan di Barat juga jauh berbeza dengan neraca moral di negara kita. Kelab-kelab bola sepak antarabangsa lazimnya terikat dengan norma setempat, di mana amalan LGBT telah diterima sebagai suatu yang sah, samada dari sudut moral atau perundangan, dan golongan LGBT diiktiraf di atas dasar hak asasi manusia dan kesamarataan.

Namun demikian, ini tidak sesekali membenarkan kita untuk bertoleransi dengan sebarang usaha untuk menormalisasikan gerakan LGBT di negara kita. Sebagai seorang Muslim, menjadi kewajipan bagi kita berwaspada terhadap ancaman gerakan yang cuba menjadikan amalan LGBT sebagai amalan yang sah di negara ini.

 

Kesimpulan

Kesimpulannya, kami nyatakan bahawa tidak menjadi satu kesalahan kalau sekadar menyokong mana-mana kelab bola sepak yang menyatakan solidariti, atau kelab yang berkempen ke arah normalisasi LGBT atas dasar mereka sebagai pasukan bola sepak. Adapun sikap mereka berkenaan isu LGBT atau hal-hal lain, maka itu berada di luar bidang kuasa kita.

Namun, dalam kita menyokong kelab bola sepak yang diminati, hati kita mestilah disertai dengan rasa tidak redha dengan kempen mempromosi LGBT yang dijalankan itu. Selain itu, kita juga dilarang untuk memakai jersi yang mempunyai simbol sokongan terhadap gerakan LGBT seperti simbol pelangi pada lengan jersi, dan dilarang juga untuk mengongsikan hantaran-hantaran di media sosial yang mempromosi amalan LGBT, kerana ia juga termasuk dalam kategori berkempen ke arah kemaksiatan.

Wallahu a’lam.

[1] Rujuk al-Badrani, Abu Faisal, t.t, Kitab al-Wala’ wa al-Bara’ wa al-‘Ada’ fi al-Islam, hlm. 76 dan Al-Bukairi, Ahmad Fathi (2021), Athar al-Niyyah fi al-Mu’amalat al-Maliyyah, Mansoura: Dar al-Lu’lu’ah, hlm. 167

[2] Rujuk Kitab al-Wala’ wa al-Bara’ wa al-‘Ada’ fi al-Islam, hlm. 76.

[3] Rujuk pautan http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/3720-irsyad-al-fatwa-siri-ke-321-menghadiri-upacara-majlis-pengebumian-jiran-bukan-islam  )