اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-662: BOLEHKAH MENJADI IMAM DUA KALI UNTUK SOLAT JENAZAH BAGI JENAZAH YANG SAMA?

 

if662 pct

SOALAN

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya, bolehkah saya menjadi imam atau makmum bagi solat jenazah sebanyak dua kali bagi jenazah yang sama?

Mohon pencerahan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Tidak disunatkan untuk solat jenazah kali kedua bagi jenazah yang sama, sama ada sebagai makmum ataupun imam. Bahkan yang disunatkan hanya melakukannya sekali sahaja. WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Hukum solat jenazah adalah fardu kifayah ke atas umat Islam. Selain itu, tidak dihadkan sekali solat sahaja jenazah ke atas seseorang jenazah, bahkan diharuskan lebih daripada itu.

Oleh yang demikian, jika terdapat jemaah yang telah melaksanakan solat jenazah, kemudian datang selepas mereka individu atau jemaah lain yang belum mendirikan solat ke atas seseorang jenazah, maka dibolehkan bagi mereka untuk mendirikan solat jenazah tersebut. Hal ini sepertimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi bahawa:

إذَا حَضَرَ بَعْدَ الصَّلَاةِ عَلَيْهِ إنْسَانٌ لَمْ يَكُنْ صَلَّى عَلَيْهِ أَوْ جَمَاعَةٌ صَلَّوْا عَلَيْهِ وَكَانَتْ صَلَاتُهُمْ فَرْضُ كِفَايَةٍ بِلَا خِلَافٍ عِنْدَنَا

Maksudnya: Jika seseorang individu hadir selepas solat jenazah dilaksanakan, yang mana dia belum mendirikan solat jenazah ke atas mayat tersebut, maka dia diharuskan mendirikan solat jenazah dan hukumnya ialah fardu kifayah yang mana tiada khilaf padanya di sisi kami.[1] (Rujuk al-Majmuk Syarh al-Muhazzab, 5:244)

Walau bagaimanapun, jika seseorang yang sudah melaksanakan solat jenazah ke atas jenazah tadi, maka pandangan sahih dalam mazhab al-Syafie adalah tidak disunatkan baginya untuk mendirikan sekali lagi solat jenazah tersebut.

وَمَنْ صَلَّى نُدِبَ لَهُ أَنَّهُ لَا يُعِيدُ عَلَى الصَّحِيحِ وَإِنْ صَلَّى مُنْفَرِدًا لِأَنَّ صَلَاةَ الْجِنَازَةِ لَا يَنْتَفِلُ بِهَا

Maksudnya: Sesiapa yang telah mendirikan solat jenazah maka disunatkan baginya untuk tidak mengulanginya mengikut pandangan yang sahih (di sisi mazhab al-Syafie) walaupun dia solat secara bersendirian (tidak disunatkan baginya untuk berjemaah untuk kali kedua). Hal ini kerana solat jenazah bukan sesuatu yang boleh dijadikan sebagai amalan sunat (untuk dilakukan berulang-ulang kali). (Rujuk Tuhfat al-Muhtaj, 3:191-192)

Dalam hal ini, Imam al-Nawawi menjelaskan lagi di dalam kitabnya al-Majmuk, kata beliau:

إذَا صَلَّى عَلَى الْجِنَازَةِ جَمَاعَةٌ أَوْ وَاحِدٌ ثُمَّ صَلَّتْ عَلَيْهَا طَائِفَةٌ أُخْرَى فَأَرَادَ مَنْ صَلَّى أَوَّلًا أَنْ يُصَلِّيَ ثَانِيًا مَعَ الطَّائِفَةِ الثَّانِيَةِ فَفِيهِ أَرْبَعَةُ أَوْجُهٍ (أَصَحُّهَا) بِاتِّفَاقِ الْأَصْحَابِ لَا يُسْتَحَبُّ لَهُ الْإِعَادَةُ بَلْ الْمُسْتَحَبُّ تَرْكُهَا.

Maksudnya: Jika seseorang individu atau jemaah telah mendirikan solat jenazah ke atas seorang jenazah, kemudian terdapat jemaah yang lain yang mendirikan solat jenazah ke atas jenazah yang sama, adakah dibolehkan jika orang yang telah mendirikan solat tersebut ingin solat kali kedua bersama jemaah kedua? Terdapat empat pandangan. Pandangan yang paling sahih yang disepakati oleh para ulama mazhab al-Syafie bahawa tidak disunatkan untuk dia mengulangi kembali (solat jenazah), bahkan disunatkan untuk dia meninggalkannya.[2] (Rujuk al-Majmuk Syarh al-Muhazzab, 5:246)

Walau bagaimanapun jika dia tetap melaksanakan solat jenazah bersama jemaah kedua tersebut, maka solatnya sah mengikut pandangan mazhab al-Syafie. Kata Imam al-Nawawi lagi:

فَعَلَى هَذَا لَوْ صَلَّى ثَانِيًا صَحَّتْ صَلَاتُهُ وَإِنْ كَانَتْ غَيْرَ مُسْتَحَبَّةٍ هَذَا هُوَ الْمَشْهُورُ فِي كُتُبِ الْأَصْحَابِ

Maksudnya: Berdasarkan apa yang telah diterangkan, jika dia tetap melaksanakan solat (jenazah) kali kedua, maka solatnya sah walaupun tidak disunatkan. Pandangan ini merupakan pandangan yang masyhur dalam kitab-kitab para ulama al-Syafie. [3] (Rujuk al-Majmuk Syarh al-Muhazzab, 5:246)

Disamping itu, para ulama turut menyatakan sebab mengapa tidak disunatkan solat jenazah bagi orang yang telah melaksakannya. Hal ini sepertimana yang disebut oleh Syeikh Muhammad al-Zuhri al-Ghamrawi bahawa:

ومن صلّى لا يعيد على الصحيح لأنَّ الجنازة لا يتنفّل بها، ولأنّها شفاعة والشفاعة لا تعاد، سواء صلّى منفردا أو جماعة.

Maksudnya: Sesiapa yang telah mendirikan solat (jenazah) maka tidak disunatkan untuk mengulanginya mengikut pandangan mazhab al-Syafie kerana solat jenazah tidak boleh dijadikan sebagai amalan sunat. Ini juga kerana ia merupakan satu bentuk syafaat dan syafaat tidak berulang, samada seseorang itu solat secara bersendirian atau berjemaah.[4] (Rujuk al-Siraj al Wahhaj, 3:103)

WaAllahu a’lam.

 RUJUKAN

[1] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, t.t, al-Majmuk Syarh al-Muhazzab, Beirut, Dar al-Fikr, jld. 5, hlmn. 244.

[2] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, t.t, al-Majmuk Syarh al-Muhazzab, Beirut, Dar al-Fikr, jld. 5, hlmn. 246.

[3] Ibid.

[4] Al-Ghamrawiy, Muhammad Zuhriy, 2004, al-Najm al-Wahhaj Fi Syarh al-Minhaj, Jeddah, Dar al-Minhaj, jld. 3, hlmn. 103.