Soalan
Assalamualaikum. Saya ingin memohon pencerahan dan maklumat lanjut mengenai hukum penggunaan tampalan atau disebut patch kontraseptif pencegah kehamilan sebagai salah satu cara mencegah kehamilan dalam kalangan wanita yang telah berkahwin dan melepasi umur 40 tahun. Tampalan ini akan dilekatkan pada kulit badan wanita. Kaedah ini selamat dari segi kesihatan dan perubatan. Selain tampalan kontraseptif ini, terdapat juga patch nikotin bagi perokok yang ingin berhenti merokok.
Persoalannya, adakah tampalan ini akan menghalang air wudhuk atau mandi hadas besar menjdi tidak sah? Apakah ibadah khusus seperti solat, puasa dan yang sewaktu dengannya menjadi tidak sah disebabkan penggunaan tampalan tersebut?
Ringkasan Jawapan
Penggunaan tampalan kontraseptif atau apa-apa tampalan lain seperti tampalan nikotin yang bersifat kalis air pada anggota badan akan menyebabkan mandi wajib tidak sah. Begitu juga dengan wuduknya jika tampalan tersebut ditampal pada mana-mana bahagian anggota wuduk.
Oleh itu, pengguna tampalan kontraseptif atau tampalan nikotin wajib menanggalkan tampalan daripada anggota badan ketika mandi wajib atau mengambil wuduk. Dinasihatkan agar menggunakan metod perancang keluarga yang lain bagi mengelakkan kesukaran untuk bersuci disebabkan tampalan ini.
Wallahu a’lam.
Huraian Jawapan
Mutakhir ini, dengan wujudnya pelbagai kaedah dan alat pencegah kehamilan, perancangan keluarga bukan lagi satu perkara yang rumit buat pasangan yang telah berkahwin dan ingin merancang struktur keluarga dengan menjarakkan kehamilan.
Sebagaimana yang telah dinyatakan dalam artikel Irsyad Al-Fatwa Ke-146: Hukum Merancang Keluarga Kerana Berpendapatan Rendah[i], perancangan keluarga boleh dilakukan dengan cara menjarakkan anak yang diharuskan oleh syarak. (Tanzim al-Nasl)
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-12[ii] pada 20 Januari 1977 juga memutuskan hukum mengenai Perancang Keluarga adalah seperti berikut:
- Memandul lelaki dan perempuan hukumnya adalah haram.
- Mencegah beranak atau menghadkan bilangan anak hukumnya adalah haram melainkan dengan sebab yang diharuskan oleh syarak bagi orang perseorangan.
- Menyusun keluarga dari kesihatan, pelajaran dan kebahagiaan keluarga dengan cara yang selain daripada (1) dan (2) di atas adalah harus.
Sekiranya pasangan suami isteri tetap dikurniakan zuriat walaupun setelah menjalani proses dan kaedah mencegah kehamilan, mereka wajib meyakini bahawa Allah SWT telah menetapkan rezeki bagi setiap anak-anak sebagaimana jelas dinyatakan dalam firman Allah SWT:
وَلاَ تَقْتُلُواْ أَوْلاَدَكُم مِّنْ إمْلاَقٍ نَّحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَإِيَّاهُمْ
Maksudnya: Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka.
Surah al-An’am (151)
Tampalan Kontraseptif
Menurut artikel Kementerian Kesihatan Malaysia, kontraseptif bermaksud kaedah yang digunakan untuk mencegah kehamilan. Kaedah ini tersedia buat pasangan yang sudah berkahwin dan merancang kehamilan sama ada dengan menggunakan kontraseptif hormon atau bukan hormon.
Tampalan hormon merupakan antara salah satu kontraseptif yang menggunakan hormon untuk mencegah ovulasi (pengeluaran telur dari ovari). Ia juga bertindak mengganggu persenyawaan antara sperma dan telur.
Tampalan yang tipis, lembut dan mengandungi dua hormon iaitu progestin dan estrogen akan ditampal di bahagian atas bahu, punggung, perut dan bahagian atas lengan setiap minggu selama tiga minggu. Hormon tersebut diserapkan ke dalam badan untuk menghalang pengeluaran telur (ovum).[iii]
Disebabkan oleh penggunaan tampalan hormon bagi tujuan kontraseptif ini mengambil tempoh masa yang panjang, timbul persoalan dalam kalangan wanita tentang kebolehan menggunakannya ketika mandi wajib. Hal ini demikian kerana tampalan hormon tersebut kebiasaannya bersifat kalis air supaya ia tidak mudah tercabut sekiranya basah.
Kewajipan Meratakan Air ketika Mandi Wajib dan Wuduk
Antara perkara yang menyebabkan seseorang itu wajib mandi ialah keluar air mani, haid, nifas dan wiladah.
Apabila berlakunya perkara yang mewajibkan seseorang itu mandi, maka hendaklah dia berniat dan meratakan air keseluruh anggota badan termasuklah semua bulu dan kulit.[5] Ini sebagaimana yang disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah R.Anha, beliau berkata:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: كَانَ إِذَا اغْتَسَلَ مِنَ الجَنَابَةِ، بَدَأَ فَغَسَلَ يَدَيْهِ، ثُمَّ يَتَوَضَّأُ كَمَا يَتَوَضَّأُ لِلصَّلاَةِ، ثُمَّ يُدْخِلُ أَصَابِعَهُ فِي المَاءِ، فَيُخَلِّلُ بِهَا أُصُولَ شَعَرِهِ، ثُمَّ يَصُبُّ عَلَى رَأْسِهِ ثَلاَثَ غُرَفٍ بِيَدَيْهِ، ثُمَّ يُفِيضُ المَاءَ عَلَى جِلْدِهِ كُلِّهِ
Maksudnya: Sesunggunya, apabila Nabi SAW mandi junub, Baginda akan memulakannya dengan mencuci kedua-dua tangannya. Kemudian Baginda berwuduk sebagaimana wuduk untuk solat. Seterusnya, Baginda memasukkan jari-jari ke dalam air lalu meratakannya ke kulit rambutnya. Kemudian Baginda menyiramkan air ke atas kepala dengan kedua-dua tangannya sebanyak tiga kali, seterusnya Baginda mengalirkan air ke seluruh kulit tubuhnya.[6]
Riwayat al-Bukhari
Selain itu, Imam Nawawi menjelaskan situasi seorang yang ada sesuatu yang menghalang air sampai ke kulitnya ketika wuduk dan mandi wajib, kata beliau:
إذَا كَانَ عَلَى بَعْضِ أعضائه شمع أو عجين أو حناء واشتباه ذلك فمنع وصول الماء الى شئ من العضو لم تصح طهارته سواء كثر ذَلِكَ أَمْ قَلَّ
Maksudnya: Jika terdapat lilin, tepung, inai dan sebagainya sama ada banyak atau sedikit dan boleh menghalang air sampai pada sebahagian anggota tersebut, maka tidak sah taharahnya. (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, al-Nawawi, 1/467)[7]
Oleh itu, seseorang yang mengangkat hadas sama ada dengan mandi wajib atau wuduk, hendaklah memastikan air diratakan ke kulit dan tidak terhalang oleh apa-apa jua benda yang bersifat kalis air[8] seperti penggunaan tampalan hormon atau tampalan lain seperti pelekat nikotin bagi golongan perokok.
Kesimpulan
Setelah meneliti perbahasan di atas, maka jelaslah pengunaan apa-apa bentuk alat tampalan (patch) yang kalis air untuk apa jua kegunaan perubatan akan menyebabkan mandi wajib menjadi tidak sah. Demikian juga wuduknya juga tidak sah sekiranya tampalan melibatkan bahagian pada anggota wuduk. Justeru wanita yang mengguna tampalan hormon hendaklah menanggalkan tampalan yang bersifat kalis air sebelum mandi wajib atau ketika mengambil wuduk sekiranya ditampal pada bahagian anggota wuduk. Hal ini kerana penggunaan tampalan ini dilihat bukan sesuatu keperluan yang darurat (ضروري) sehingga menyebabkan kemudaratan kepada anggota badan jika menanggalkannya ketika mandi wajib.
Oleh yang demikian, dinasihatkan agar menggunakan metod perancang keluarga yang lain bagi mengelakkan kesukaran untuk bersuci disebabkan tampalan ini.
Wallahu a’lam.
[i] Rujuk laman rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/1847-irsyad-al-fatwa-ke-146-hukum-merancang-keluarga-kerana-berpendapatan-rendah.
[ii] Rujuk keputusan Fatwa Sistem Susuk Norplant Dalam program Perancang Keluarga Kebangsaan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia. http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/15239.
[iii] Artikel “Kontraseptif” oleh Dr. Harlina Halizah Siraj, laman rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia. http://www.myhealth.gov.my/kontraseptif/. Tarikh semak 27 April 2012. Dirujuk pada 25 Januari 2022.
[4] Al-Ghazzi, Muhammad bin Qasim. Fath al-Qarib al-Mujib fi Syarh Alfaz al-Taqrib. (Beirut: Dar Ibn Hazim li al-Taba’ah wa al-Nasyr wa al-Tawzi’, 2005). Hlmn. 42.
(إنزال) أي خروج (المني) من شخص بغير إيلاج، وإن قل المني كقطرة، ولو كانت على لون الدم، ولو كان الخارج بجماع أو غيره، في يقظة أو نوم، بشهوة أو غيرها، من طريقه المعتاد أو غيره، كأن انكسر صلبه فخرج منيُّه. (و) من المشترك (الموت) إلا في الشهيد. (وثلاثة تختص بها النساء؛ وهي: الحيض)، أي الدم الخارج من امرأة بلغت تسع سنين، (والنفاس) وهو الدم الخارج عقب الولادة؛ فإنه موجب للغسل قطعا، (والوِلادة) المصحوبة بالبلل موجبة للغسل قطعا.
[5] Al-Ramli, Muhammad bin Abi al-‘Abbas. Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj. (Beirut: Dar al-Fikr, 1984). 1/224.
(وَتَعْمِيمُ شَعْرِهِ وَبَشَرِهِ) لِمَا فِي الصَّحِيحِ مِنْ قَوْلِهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - «أَمَّا أَنَا فَيَكْفِينِي أَنْ أَصُبَّ عَلَى رَأْسِي ثَلَاثًا ثُمَّ أُفِيضَ بَعْدَ ذَلِكَ عَلَى سَائِرِ جَسَدِي» وَلِأَنَّ الْحَدَثَ عَمَّ جَمِيعَ الْبَدَنِ فَوَجَبَ تَعْمِيمُهُ بِالْغُسْلِ، وَيَجِبُ إيصَالُ الْمَاءِ إلَى مَنَابِتِ شَعْرٍ وَإِنْ كَثُفَ
[6] Al-Bukhari, Abū ‘Abd Allāh Muḥammad Ibn Ismā‘īl. Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, ed. Muḥammad Zuhayr Ibn Nāṣir al-Nāṣir (Beirūt: Dār Ṭūq al-Najāh, 2001). 1/59, no. hadis 248.
[7] Al-Nawawi, Yahya bin Syaraf. Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. (Beirut: Dar al-Fikr, t.t). 1/467
[8] Al-Haithami, Ahmad bin Muhammad. Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj. (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, t.t). 1/186-187.
وَشَرْطُهُ كَالْغُسْلِ... وَأَنْ لَا يَكُونَ عَلَى الْعُضْوِ مَا يُغَيِّرُ الْمَاءَ تَغَيُّرًا ضَارًّا أَوْ جُرْمٌ كَثِيفٌ يَمْنَعُ وُصُولَهُ لِلْبَشَرَةِ