اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE -716: ADAKAH TERDAPAT TEMPOH IDAH BAGI PENZINA ?

 

id min 1

Soalan:

Assalammualaikum, saya ada persoalan berkaitan situasi wanita yang berzina kemudian ingin berkahwin. Bagaimana pula kalau hamil, adakah perlu menunggu kelahiran anak? adakah terdapat tempoh idah bagi wanita yang berzina tersebut?  Mohon pencerahan S.S Mufti.

Ringkasan Jawapan:

Tujuan idah adalah untuk memelihara nasab yang merupakan maqasid dalam perkahwinan. Oleh itu, penzina tiada idah dan tidak mempunyai nasab hasil persetubuhan tersebut. Kesannya penzina boleh berkahwin ketika hamil menurut mazhab Syafie. Walau bagaimanapun penzina wajib bertaubat dan tidak mengulanginya.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Idah dari sudut syarak ialah nama suatu tempoh bagi wanita menunggu untuk mengetahui rahimnya kosong dan bersih  dari kandungan selain sebagai tanda tempoh kesedihan bagi yang kematian suami dan semata-mata satu bentuk  mematuhi perintah Allah SWT (ta’abud). Ia disyariatkan bagi memelihara dan melindungi nasab daripada berlaku percampuran benih serta memelihara hak pasangan dan anak.  [1]

Hikmah dan Sebab Pensyariatan Idah

Idah diwajibkan jika wujud hubungan antara lelaki dan wanita melalui pernikahan, mahupun persetubuhan syubhah. Ia berkait dengan nafkah dan tempat tinggal semasa menjalani tempoh idah.  Idah berlaku disebabkan penceraian antara pasangan suami isteri melalui lafaz talak dan seumpamanya mahupun disebabkan kematian. Antara tujuan disyariatkan idah adalah seperti berikut:

  • Memelihara kesucian ikatan dalam perkahwinan, syariah dan kehidupan
  • Memelihara nasab keturunan
  • Mengelakan percampuran nasab
  • Hak suami isteri
  • Hak anak
  • Hak pernikahan
  • Hak Allah SWT dalam mentaati perintah penetapan tempoh idah tanpa penambahan mahupun mengurangkan bilangannya. [2]

Dalam mazhab Syafi’i wanita yang berzina tidak perlu menjalani tempoh idah sepertimana yang dinyatakan oleh al-Khatib al-Syirbini, kata beliau:

وَخَرَجَ بِعِدَّةِ النِّكَاحِ الْمَزْنِيُّ بِهَا فَلَا عِدَّةَ عَلَيْهَا بِالِاتِّفَاقِ

“Golongan yang terkeluar dari hukum idah ialah sebab zina, maka tiada idah bagi penzina(wanita) menurut persepakatan fuqaha” [3]

 Selain itu Imam al-Syirazi juga menjelaskan seperti berikut

فإن زنى بامرأة لم تجب عليها العدة لأن العدة لحفظ النسب والزاني لا يلحقه نسب

“Jika seorang lelaki berzina dengan seorang wanita, maka tidak diwajibkan idah baginya (perempuan tersebut), kerana idah itu untuk memelihara nasab dan hukum nasab tidak boleh dinisbahkan kepada penzina. .[4]

Oleh itu, tujuan idah adalah untuk memelihara nasab sedangkan wanita yang berzina tidak mempunyai nasab hasil persetubuhan tersebut. Tempoh idah untuk memastikan rahim kosong dari kandungan hanya bagi wanita yang bercerai daripada ikatan perkahwinan.

Kesannya, penzina boleh bernikah ketika hamil disebabkan tiada idah. [5] Perbahasan lanjut berkaitan perkahwinan ketika hamil akibat zina, rujuk pautan berikut : https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1191-al-kafi-293-hukum-bernikah-dengan-wanita-hamil-akibat-zina

PENUTUP

Kesimpulannya, wanita berzina tiada keperluan menjalani tempoh idah berdasarkan mazhab syafi’i. Bahkan perbuatan zina tiada kaitan dengan tujuan menjaga nasab yang merupakan maqasid dalam perkahwinan bagi memelihara nasab keturunan. Tempoh idah hanya untuk wanita yang bercerai daripada ikatan perkahwinan. Justeru itu, penzina boleh berkahwin walaupun dalam keadaan hamil dan sah menurut mazhab Syafie.

Akhir kalam, wanita penzina wajib bertaubat daripada perbuatan dosa besar ini dan tidak mengulanginya.

 

RUJUKAN

 

[1] al-Khatib as-Syirbini as-Syafie, Shamsuddin, Muhammad Bin Ahmad, 1994 Mughni al Muhtaj Ila Ma’rifat Ma’ani Alfaz al-Minhaj, Dar al-Kutub al-‘Ilmiah Jld. 5p:78

كِتَابُ الْعِدَدِ : وَهِيَ فِي الشَّرْعِ: اسْمٌ لِمُدَّةٍ تَتَرَبَّصُ فِيهَا الْمَرْأَةُ لِمَعْرِفَةِ بَرَاءَةِ رَحِمِهَا  لِلتَّعَبُّدِ أَوْ لِتَفَجُّعِهَا عَلَى زَوْجِهَا  ..... وَشُرِعَتْ صِيَانَةً لِلْأَنْسَابِ وَتَحْصِينًا لَهَا مِنْ الِاخْتِلَاطِ رِعَايَةً لِحَقِّ الزَّوْجَيْنِ وَالْوَلَدِ

[2] Muhammad al-Zuhaili, (2011) al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, Damsyik: Dar al-Qalam, 4/150

العدة أثر من آثار النكاح، ولا تشرع إلا عند وجود العلاقة بين الرجل والمرأة بنكاح أو غيره كوطء الشبهة، ويتعلق بالعدة نفقة المعتدة، وسكناها أثناء العدة ،

سبب العدة هو فراق الزوجة عن زوجها إما بطلاق ونحوه، وإما بموت الزوج، وذلك نظرا لأهمية الرباط المقدس في النكاح، وأهميته في نظر الشرع، وفي الحياة، ولما يترتب على النكاح من آثار مهمة كالنسب، ومنع اختلاط الأنساب، ورعاية حق الزوج، والولد، والناكح الثاني، ولذلك كانت العدة حقا من حقوق الله تعالى، ويغلب فيها معنى التعبد لله تعالى بالانصياع لأمره، والوقوف عند حده، فلا يحق للزوجين الاتفاق على إلغاء العدة ، ولا يجوز لأحد أن يتنازل عنها، أو يفرط فيها، أو يتجاوز مقدارها.

[3] al-Khatib as-Syirbini as-Syafie, Shamsuddin, Muhammad Bin Ahmad, 1994 Mughni al Muhtaj Ila Ma’rifat Ma’ani Alfaz al-Minhaj, Dar al-Kutub al-‘Ilmia Jld. 5 p:78

[4] Al-Syirazi, Abu Ishak, t.th, Al-Muhadzzaab fi fiqh Imam al-Syafie, Dar kitab al-Ilmiyah J:3 P 123

[5] Al-Khatib al-Syirbini, 1994 Mugni al-Muhtaj ila Ma’rifat al-Falzd al-Minhaj, Dar Kitab Ilmiyah. J :5 P:84

تَنْبِيهٌ: يَجُوزُ نِكَاحُ وَوَطْءُ الْحَامِلِ مِنْ زِنًا،