اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE - 729: BERHUTANG WANG DOLLAR DAN MEMBAYARNYA MENGGUNAKAN WANG RINGGIT

if729.png

Soalan

Assalamualaikum, saya seorang pelajar di luar negara sebelum saya balik ke Malaysia, saya ada meminjam sejumlah duit dalam matawang dollar daripada sahabat saya. Setelah sahabat kembali ke Malaysia saya ingin membayarnya tapi dalam wang ringgit. Bolehkah saya bayar menggunakan wang ringgit atau kena bayar menggunakan wang dollar juga. Mohon penjelasan Pejabat Mufti Wilayah. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Orang yang berhutang wajib membayar hutang mengikut apa yang dipinjam. Begitu juga jika seseorang itu berhutang sejumlah wang seperti meminjam wang dollar maka hendaklah dia melangsaikannya dalam matawang dollar.

Namun sekiranya dia ingin membayar hutang menggunakan matawang lain sebagai contoh, seseorang yang berhutang sejumlah wang dollar dan ingin membayar menggunakan wang ringgit, maka hendaklah dia mendapat persetujuan orang yang memberi hutang dan membayar mengikut nilai matawang semasa ketika ingin melangsaikannya.

Huraian Jawapan

Hutang merupakan perkara yang dibenarkan syarak dan ia diamalkan semenjak zaman Baginda Nabi SAW. Hikmah Islam mensyariatkan hutang bertepatan dengan kehendak Allah SWT dalam merealisasikan suasana bantu-membantu dalam ketakwaan sesama umat Islam.[1]

Dalam hal ini, orang yang berhutang wajib melunaskan hutangnya mengikut apa yang telah dipinjam. Namun, sekiranya tidak dapat memulangkan barang yang dipinjam itu dengan sempurna atas sebab tertentu seperti rosak atau hilang maka hendaklah digantikan barang tersebut atau sesuatu yang sama nilai dengannya. Perkara ini seperti mana yang dijelaskan di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji yang menyatakan:

فيجب ردّ المثل إذا كان محل القرض مالاً مثلياً وكان موجوداً، فإذا انعدم وجب ردُّ قيمته

Maksudnya: Wajib mengembalikan hutang seumpama yang dipinjam jika hutang tersebut ada dan sama dengannya. Namun, jika tiada sesuatu yang sama maka wajib mengembalikannya mengikut nilainya. [2]

Begitu juga wang yang dipinjam hendaklah dibayar dan dilangsaikan mengikut jumlah dan jenis matawang yang sama walaupun nilainya bertambah ataupun berkurang. Imam Jalaluddin al-Suyuti menjelaskan hal ini di dalam karya al-Hawi li Fatawi dengan menyatakan bahawa:

وَقَدْ تَقَرَّرَ أَنَّ الْقَرْضَ الصَّحِيحَ يُرَدُّ فِيهِ الْمِثْلُ مُطْلَقًا، فَإِذَا اقْتَرَضَ مِنْهُ رِطْلَ فُلُوسٍ فَالْوَاجِبُ رَدُّ رِطْلٍ مِنْ ذَلِكَ الْجِنْسِ سَوَاءٌ زَادَتْ قِيمَتُهُ أَمْ نَقَصَتْ

Maksudnya: Sesungguhnya telah ditetapkan bahawa hutang yang sempurna hendaklah dipulangkan dengan barang yang sama secara mutlak. Jika seseorang itu berhutang dengan sejumlah 1 Ritl wang maka hendaklah dikembalikan 1 Ritl daripada wang tersebut dengan jenis yang sama walaupun nilainya bertambah atau kurang.[3]

Di samping itu, jika seseorang ingin melunaskan hutang sejumlah wang yang dipinjam dalam matawang yang berlainan seperti seseorang itu meminjam wang dollar kemudian ingin melangsaikannya dengan nilai matawang ringgit, maka hendaklah dia mengikut nilai matawang terkini ketika hendak melangsaikannya. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Bujairimi di dalam hasyiahnya:

رَدَّ مِثْلَهُ وَإِلَّا رَدَّ قِيمَتَهُ بِاعْتِبَارِ أَقْرَبِ وَقْتٍ إلَى وَقْتِ الْمُطَالَبَةِ لَهُ فِيهِ قِيمَةٌ

Maksudnya: Hendaklah memulangkan hutangnya sama seperti yang dipinjamnya, sekiranya tidak sama mestilah memulangkannya dengan mengikut nilai hutangnya dengan berdasarkan nilai terkini ketika ingin melangsaikannya.[4]

Oleh itu, orang yang berhutang wajib membayar hutang mengikut apa yang dipinjam. Begitu juga, jika seseorang itu berhutang sejumlah wang seperti meminjam wang dollar maka hendaklah dia melangsaikannya dalam matawang dollar.

Namun sekiranya dia ingin membayar hutang menggunakan matawang lain sebagai contoh, seseorang yang berhutang sejumlah wang dollar dan ingin membayar menggunakan wang ringgit, maka hendaklah dia mendapat persetujuan orang yang memberi hutang dan membayar mengikut nilai matawang semasa ketika ingin melangsaikannya.

Begitu juga, jika perbezaan nilai matawang tersebut terlalu tinggi dengan melebihi sepertiga daripada kadar hutang sehingga boleh memberi kemudaratan kepada pihak pemiutang atau orang yang memberi hutang, maka kedua-dua pihak hendaklah membuat rundingan dalam menentukan kadar hutang tersebut. Sekiranya sukar menentukan kadarnya maka perkara ini hendaklah dirujuk kepada pihak hakim atau mahkamah bagi membuat keputusan. Perkara ini telah diputuskan oleh Majma’ al-Fiqh al-Islamiy yang bersidang di Jeddah pada tahun 1999.[5]

Wallahu’alam

 

[1] Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al-Bugha, ‘Ali al-Syarbaji, (Damsyik: Dar al-Qalam li Taba’ah wa al-Nashr wa al-Tauzi’, 1413H)

إن الحكمة من تشريع القرض واضحة جليّة، وهي تحقيق ما أراده الله تعالى من التعاون على البرّ والتقوى بين المسلمين

[2] Ibid, 6/108

[3] Abdul al-Rahman bin Abi Bakr, Jalaluddin al-Suyuti, al-Hawi li Fatawi, (Beirut: Dar al-Fikr li Taba’ah wa al-Nashr, 1424H) 1/114

[4] Sulaiman bin Muhammad bin Umar al-Bujairimi al-Syafi’I, Hasyiah al-Bujairimi ala Syarh al-Minhaj (Matba’ah al-Halabi, 1369) 2/354

[5] Rujuk: https://islamicsham.org/fatawa/1778

وهذا ما نصَّت عليه توصيات "الندوة الفقهية الاقتصادية لدراسة قضايا التضخم" التي عقدها مجمع الفقه الإسلامي بجدة بالتعاون مع مصرف فيصل الإسلامي بالبحرين في عام (1420 هـ_ 1999م):

"أ- إذا كان التَّضخُّم عند التعاقد متوقعًا، فإنه لا يترتب عليه تأثير في تعديل الديون الآجلة، فيكون وفاؤها بالمثل وليس بالقيمة، وذلك لحصول التراضي ضمنًا بنتائج التضخم، ولما في ذلك من استقرار التعامل.

ب- إن كان التَّضخُّم عند التعاقد غير متوقع الحدوث ثم حدث التَّضخُّم:

فإن كان التَّضخُّم يسيرًا فإنه لا يعتبر مسوغًا لتعديل الديون الآجلة؛ لأن الأصل وفاء الديون بأمثالها، واليسير في نظائر ذلك من الجهالة أو الغرر أو الغبن مغتفر شرعًا.

وإذا كان التضخم كثيرًا (وضابط التضخم الكثير أن يبلغ ثلث مقدار الدين الآجل)، فإن وفاءَ الدين الآجل حينئذ بالمثل يُلحق ضررًا كثيرًا بالدائن يجب رفعه.

والحل لمعالجة ذلك: اللجوءُ إلى الصلح، وذلك باتفاق الطرفين على توزيع الفرق الناشئ عن التضخم بين المدين والدائن بأي نسبة يتراضيان عليها " انتهى باختصار.

والصلحُ وإن كان في أصله مندوبًا لكن قد يَعرض له من العوارض ما يجعله واجبًا متحتمًا على كلا الطرفين، قال ابن عرفة: " وَهُوَ -أَيْ: الصُّلْحُ- مِنْ حَيْثُ ذَاتُهُ مَنْدُوبٌ إلَيْهِ، وَقَدْ يَعْرِضُ وُجُوبُهُ عِنْدَ تَعْيِينِ مَصْلَحَةٍ " نقله عنه في مواهب الجليل.