اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-752 : ADAKAH BENAR ISTERI CERMINAN SUAMI?

ADAKAH BENAR ISTERI CERMINAN SUAMI

SOALAN

Assalammualaikum. Sikap isteri yang berakhlak tidak baik adalah berpunca daripada sikap suaminya sendiri yang tidak pandai mendidik serta cuai melaksanakan tanggungjawab. Justeru itu, benarkah kenyataan yang selalukan diwar-warkan bahawa “isteri cerminan suami”? Mohon pencerahan SS Datuk Mufti.

RINGKASAN JAWAPAN

Sikap baik dan buruk seseorang isteri tidak boleh secara total dipalitkan kepada seorang suami. Namun, tidak dinafikan bahawa kedudukan suami sebagai pemimpin keluarga perlu membimbing dan mendidik isteri dan anak-anak. Boleh jadi pembentukan peribadi isteri yang solehah terhasil daripada usaha didikan keluarga yang harmoni mahupun faktor persekitaran dan juga didikan daripada seorang suami. Walau bagaimanapun, kenyataan ‘isteri cerminan suami’ bukanlah satu sifat yang mutlak dalam semua keadaan. Justeru itu, hakikat tingkah laku atau akhlak seseorang adalah cerminan peribadinya sendiri yang tersemat nilai takwa dan keimanan.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat

Dalam institusi kekeluargaan, persekitaran keluarga harmoni yang dipenuhi dengan nilai kasih sayang dan ketenangan pastinya akan memberi kesan pada kehidupan ahli keluarga. Ungkapan yang selalu diwar-warkan ini ‘isteri cerminan suami’ hanya bersifat simbolik untuk menunjukkan betapa besarnya tanggungjawab suami dalam mendidik dan memimpin isteri ke jalan yang diredai oleh Allah SWT. Begitu juga anak-anak yang soleh adalah hasil didikan dan dan bimbingan daripada ibu bapa yang soleh, Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu serta ahli keluarga kamu dari api neraka.”

Surah al-Tahrim (6)

Potongan ayat “قُوا أَنفُسَكُمْ” menunjukkan perintah “ajarkanlah” dan “didiklah” ahli keluarga. Sementara Ibn Abbas mentafsirkan bahawa ayat tersebut perintah melakukan ketaatan pada Allah dan meninggalkan segala maksiat serta berpesan pesan tentang peringatan kepada ahli keluarga agar terselamat dairpada azab api neraka[1].

Firman-Nya lagi:

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ

Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan.”

 al-Nisa’ (34)

Abu Jaafar memberi tafsiran bahawa kaum lelaki layak menjadi pemimpin dalam mendidik serta menyuruh isteri agar bersama - sama menunaikan segala kewajiban dan menghalang mereka daripada melakukan perkara maksiat.[2] Ayat ini juga menunjukkan bahawa besarnya peranan suami terhadap isteri dalam memastikan mereka menjalankannya hak-hak Allah SWT.

Sikap Dan Tingkah Laku Seseorang Cerminan Sebenar Peribadi Sendiri

Ungkapan ‘isteri cerminan suami’ bukanlah satu sifat yang mutlak dalam semua keadaan. Hal ini kerana terdapat situasi isteri mengingkari suami walaupun suaminya telah mendidik isteri dan mengajaknya ke arah kebaikan, antaranya yang disebutkan dalam al-Quran kisah Isteri Nabi Lut dan Nabi Nuh yang jelas terjerumus dalam kekufuran.

Menyingkap kisah isteri Nabi Nuh yang bernama Walihah dan Isteri Nabi Lut AS yang bernama Wali’ah berkaitan pengkhianatan kepada sang suami. Mereka terletak di bawah jagaan dan bimbingan oleh para suami yang bergelar Nabi, namun kedua isteri Nabi-Nabi tersebut mengkhianati suaminya dalam urusan hal agama. Akibatnya isteri-isteri mereka diumpamakan orang-orang kafir dan menerima azab api neraka. Firman Allah SWT:

ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا لِّلَّذِينَ كَفَرُوا امْرَأَتَ نُوحٍ وَامْرَأَتَ لُوطٍ ۖ كَانَتَا تَحْتَ عَبْدَيْنِ مِنْ عِبَادِنَا صَالِحَيْنِ فَخَانَتَاهُمَا فَلَمْ يُغْنِيَا عَنْهُمَا مِنَ اللَّهِ شَيْئًا وَقِيلَ ادْخُلَا النَّارَ مَعَ الدَّاخِلِينَ

Maksudnya : Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada manfaatnya) bagi orang-orang kafir (berhubung rapat dengan orang-orang mukmin selagi mereka tidak beriman dengan sebenar-benarnya), iaitu: perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut; mereka berdua berada di bawah jagaan dua orang hamba yang soleh dari hamba-hamba Kami (yang sewajibnya mereka berdua taati); dalam pada itu mereka berlaku khianat kepada suami masing-masing; maka kedua-dua suami mereka (yang berpangkat Nabi itu) tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka dari (azab) Allah, dan (sebaliknya) dikatakan kepada mereka berdua (pada hari pembalasan): "Masuklah kamu berdua ke dalam neraka bersama-sama orang-orang yang masuk (ke situ)".

Surah al-Tahrim (10)

Ibn Abbas RA dalam tafsir Qurtubi menyatakan bahawa isteri Nuh memfitnah dan menghebahkan kepada kaumnya bahawa suaminya gila, sementara isteri Nabi Lut AS membocorkan rahsia berkaitan kedatangan tetamu-tetamu Nabi Lut AS kepada kaumnya (yang bernafsu dengan kaum jenis) dengan cara menyalakan api pada waktu malam dan tetamu yang datang waktu siap memberi tanda dengan asap. Isteri Nabi tersebut tidak pernah melakukan zina, namun maksud pengkhianatan menurut kesepakatan ahli tafsir yang dilakukan oleh isteri-isteri Nabi adalah pengkhianatan terhadap urusan agama[3]. Hal ini jelas menunjukkan bahawa mereka tidak mengikuti dakwah yang disampaikan oleh suaminya bahkan menyekat usaha-usaha dakwah Nabi Lut dan Nabi Nuh.

Imam al-Baghawi menyatakan bahawa suami yang soleh tidak akan dipersalahkan dan dimudaratkan dengan maksiat yang masih dilakukan oleh isteri[4]. Sebagaimana yang kita maklum, isteri-isteri kedua-dua nabi Allah, Nabi Lut dan Nabi Nuh AS merupakan isteri yang menentang dakwah untuk mentaati Allah SWT dan kufur sedangkan suami mereka berpangkat nabi dan hamba Allah yang taat. Ini merupakan satu contoh bahawa seorang suami bukanlah punca utama sikap buruk seorang isteri bahkan bukan semua kesalahan isteri boleh dipalitkan dengan kecuaian suami dalam mendidik. Sekiranya suami telah melaksanakan tanggungjawabnya mendidik isteri selari dengan kehendak syarak, maka kemaksiatan isteri bukan lagi tanggung jawabnya.

Begitu juga sebaliknya berlaku daripada iktibar kisah Asiah binti Muzahim yang merupakan wanita yang beriman dengan ajaran Nabi Musa AS. Walaupun suaminya Firaun yang dilaknat oleh Allah SWT menyeksa Asiah dengan teruk, sedikitpun tidak mengoyahkan keimanannya[5], Firman Allah SWT:

وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلاً لِلَّذِينَ آمَنُوا امْرَأَتَ فِرْعَوْنَ إِذْ قالَتْ رَبِّ ابْنِ لِي عِنْدَكَ بَيْتاً فِي الْجَنَّةِ وَنَجِّنِي مِنْ فِرْعَوْنَ وَعَمَلِهِ وَنَجِّنِي مِنَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ

Maksudnya :”Dan Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada mudaratnya) kepada orang-orang mukmin (berhubung rapat dengan orang-orang kafir kalau tidak terjejas keadaan imannya), iaitu: perihal isteri Firaun, ketika ia berkata: "Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam Syurga, dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim";

Surah al-Tahrim (11)

Berdasarkan kisah -kisah tersebut, ini menunjukkan bahawa didikan dan layanan suami di rumah bukanlah satu ketetapan mutlak kerana sikap dan tingkah laku seseorang adalah cerminan peribadinya sendiri. Sekiranya dia beriman kepada Allah SWT dan berakhlak dengan akhlak Rasulullah SAW, maka itulah dirinya yang sebenar. Tingkah laku sebenar seseorang adalah cerminan diri sendiri tanpa perlu mengaitkan sesiapa. Perkara ini berdasarkan firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّـهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِم

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”

Surah al-Ra’d: (11)

 

PENUTUP

Kesimpulannya, sikap baik dan buruk seseorang isteri tidak boleh secara total dipalitkan kepada seorang suami. Ungkapan ‘isteri cerminan suami’ hanya bersifat simbolik untuk menunjukkan betapa besarnya tanggung jawab suami dalam mendidik dan memimpin isteri dan anak-anak pada jalan yang diredai Allah SWT. Oleh itu, hakikat tingkah laku mahmudah seseorang adalah cerminan diri yang tersemat nilai takwa dan keimanan kepada Allah SWT.

Wallahu a'lam.

 

Rujukan: 

[1] Al-Thabari, Abu Jaafar. 2000m. Jami’ al-Bayan fi Ta’wil al-Quran. Muassasah al-Risalah. J: 23 P: 491

بنحو الذي قلنا في ذلك قال أهل التأويل.

حدثنا ابن حميد، قال: ثنا مهران، عن سفيان، عن منصور، عن رجل، عن عليّ (قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا) يقول: أدّبوهم، علموهم

عن ابن عباس، قوله: (قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا) يقول: اعملوا بطاعة الله، واتقوا معاصي الله، ومروا أهليكم بالذكر ينْجيكم الله من النار.

[2] Al-Thabari, Abu Jaafar. 2000m. Jami’ al-Bayan fi Ta’wil al-Quran. Muassasah al-Risalah. J: 8 P:290

قال أبو جعفر: يعني بقوله جل ثناؤه: (1) "الرجال قوّامون على النساء"، الرجال أهل قيام على نسائهم، في تأديبهن والأخذ على أيديهن فيما يجب عليهن لله ولأنفسهم

[3]Al-Qurtubi, Syamsuddin. 1964. Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, Tafsir Qurtubi. Qaherah : Dar al-Kitab AL-Misriyah. J: 18 P:  201-202

كَانَ اسْمُ امْرَأَةِ نُوحٍ وَالِهَةَ، وَاسْمُ امْرَأَةِ لُوطٍ وَالِعَةَ، قَالَهُ مُقَاتِلٌ. وَقَالَ الضَّحَّاكُ عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا: إِنَّ جِبْرِيلَ نَزَلَ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَخْبَرَهُ أَنَّ اسْمَ امْرَأَةِ نُوحٍ وَاغِلَةُ وَاسْمَ امْرَأَةِ لُوطٍ وَالِهَةُ. (فَخانَتاهُما) قال عكرمة

وَالضَّحَّاكُ. بِالْكُفْرِ. وَقَالَ سُلَيْمَانُ بْنُ رُقَيَّةَ «1» عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ: كَانَتِ امْرَأَةُ نُوحٍ تَقُولُ لِلنَّاسِ إِنَّهُ مَجْنُونٌ. وَكَانَتِ امْرَأَةُ لُوطٍ تُخْبِرُ بِأَضْيَافِهِ. وَعَنْهُ: مَا بَغَتِ امْرَأَةُ نَبِيٍّ قَطُّ

وَهَذَا إِجْمَاعٌ مِنَ الْمُفَسِّرِينَ فِيمَا ذَكَرَ الْقُشَيْرِيُّ. إِنَّمَا كَانَتْ خِيَانَتُهُمَا فِي الدِّينِ وَكَانَتَا مُشْرِكَتَيْنِ. وَقِيلَ: كَانَتَا مُنَافِقَتَيْنِ. وَقِيلَ: خِيَانَتُهُمَا النَّمِيمَةُ إِذَا أَوْحَى اللَّهُ إِلَيْهِمَا شَيْئًا أَفْشَتَاهُ إِلَى الْمُشْرِكِينَ، قَالَهُ الضَّحَّاكُ.

Wahbah Az-Zuhaili, 1418. Tafsir al-Munir. Damsyik: Dar Al-Fikr Mua’ssir. J: 28 P: 324

وامرأة لوط واسمها أو واهلة تدل قومه على أضيافه، بإيقاد النار ليلا، وبالتدخين نهارا

[4] Al-Husin bin Mas’id al-Baghawi. (1420H). Tafsir al-Baghawi. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah. Jilid 5 Hlmn. 123.

قَطَعَ اللَّهُ بِهَذِهِ الْآيَةِ طَمَعَ كُلِّ مَنْ يَرْكَبُ الْمَعْصِيَةَ أَنْ يَنْفَعَهُ صلاح غيره، ثُمَّ أَخْبَرَ أَنَّ مَعْصِيَةَ غَيْرِهِ لَا تَضُرُّهُ إِذَا كَانَ مُطِيعًا

[5] Al-Husin bin Mas’id al-Baghawi. (1420H). Tafsir al-Baghawi. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah. Jilid 5 Hlmn. 123.

فَقَالَ: وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا لِلَّذِينَ آمَنُوا امْرَأَتَ فِرْعَوْنَ، وَهِيَ آسِيَةُ بِنْتُ مُزَاحِمٍ، قَالَ الْمُفَسِّرُونَ: لَمَّا غَلَبَ مُوسَى السَّحَرَةَ آمَنَتِ امْرَأَةُ فِرْعَوْنَ وَلَمَّا تَبَيَّنَ لِفِرْعَوْنَ إِسْلَامُهَا أَوْتَدَ يَدَيْهَا وَرِجْلَيْهَا بِأَرْبَعَةِ