اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-754 : BOLEHKAH WARIS PEREMPUAN MENERIMA ASABAH (MENERIMA SEMUA BAKI HARTA PUSAKA)?

BOLEHKAH WARIS PEREMPUAN MENERIMA ASABAH

 

SOALAN

Assalamualaikum, saya ingin bertanya berkenaan pembahagian pusaka. Saya ada dengar yang perempuan boleh menghabiskan harta pusaka tanpa ada waris lelaki, bukankah ada harta ke baitulmal kalau hanya tinggal waris-waris perempuan iaitu isteri, anak perempuan dan kakak?

RINGKASAN JAWAPAN

Waris perempuan boleh mewarisi secara asabah dengan dua cara iaitu:

  1. Asabah bil ghairi – bersama saudara (adik beradik) lelaki sedarjat dengannya.
  2. Asabah ma’al ghairi – khusus untuk saudara (adik beradik) perempuan seibu sebapa atau saudara (adik beradik) perempuan sebapa dengan kehadiran anak perempuan atau cucu perempuan.

Oleh itu, apabila tiada waris lelaki yang layak atau terhalang daripada menerima asabah, maka berdasarkan soalan, kakak (saudara perempuan seibu sebapa) akan menerima asabah dan mengambil baki setelah dibahagikan harta pusaka kepada waris fardu iaitu isteri dan anak perempuan.

HURAIAN JAWAPAN

Waalaikumussalam wbt. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.

Pembahagian harta pusaka orang Islam dibahagikan secara faraid setelah diselesaikan segala pengurusan jenazah, hutang dan wasiatnya berdasarkan firman Allah SWT:

مِنۢ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِى بِهَآ أَوْ دَيْنٍ ۗ

Maksudnya: “(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya.”

Surah al-Nisa’ (11)

Ahli waris yang layak menerima harta pusaka akan mewarisi sama ada secara fardu atau asabah. Fardu ialah kadar bahagian daripada harta pusaka yang telah ditetapkan oleh syarak kepada waris. Antara waris fardu yang mempunyai bahagian yang telah ditetapkan oleh syarak mengikut keadaan-keadaannya ialah:

  • Bapa
  • Ibu
  • Pasangan iaitu suami atau isteri
  • Anak perempuan dan cucu perempuan daripada anak lelaki
  • Datuk sebelah bapa
  • Nenek sebelah ibu dan nenek sebelah bapa
  • Saudara perempuan seibu sebapa, saudara perempuan sebapa, saudara perempuan seibu
  • Saudara lelaki seibu

Manakala cara pewarisan kedua ialah asabah yang umumnya bermaksud ahli keluarga lelaki. Dari sudut istilah faraid pula, asabah ialah waris yang mewarisi sama ada mengambil semua bahagian atau baki setelah dibahagikan kepada bahagian waris fardu. Dalam beberapa keadaan, mewarisi secara asabah tidak mendapat apa-apa harta sekiranya tiada baki selepas pembahagian kepada waris fardu[1]. Sekiranya terdapat ramai waris lelaki yang layak menerima asabah, maka akan diutamakan waris asabah yang paling dekat dengan si mati. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

‌أَلْحِقُوا ‌الْفَرَائِضَ ‌بِأَهْلِهَا، فَمَا بَقِيَ فَهُوَ لِأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ

Maksudnya: “Bahagikanlah harta perwarisan kepada yang berhak di kalangan ahli waris sekiranya ada yang berbaki maka yang lelaki dalam kalangan kamu yang lebih berhak.”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Secara umumnya, waris lelaki akan mewarisi harta pusaka secara asabah dinamakan asabah bi al-nafsi kecuali suami dan saudara lelaki seibu kerana mereka ialah waris fardu yang masing-masing mempunyai bahagian tertentu. Antara waris yang mendapat bahagian faraid secara asabah bi al-nafsi adalah menurut turutan berikut:

  • Anak lelaki dan cucu lelaki serta keturunannya ke bawah
  • Bapa dan datuk (sebelah bapa)
  • Saudara lelaki seibu sebapa, saudara lelaki sebapa dan keturunan lelaki mereka
  • Bapa saudara seibu sebapa (sebelah bapa), bapa saudara sebapa (sebelah bapa) dan keturunan lelaki mereka

Oleh yang demikian, dapat diketahui bahawa terdapat dalam golongan waris lelaki yang akan mendapat harta pusaka secara asabah selain fardu seperti bapa dan datuk.[2]

Namun begitu, waris perempuan yang merupakan waris fardu juga akan mewarisi secara asabah dalam dua keadaan berikut:

  1. Asabah bi al-Ghairi

Waris perempuan akan mewarisi secara asabah bersama saudara (adik beradik) lelaki yang sedarjat dengannya seperti anak perempuan dan anak lelaki, cucu perempuan dan cucu lelaki, saudara perempuan seibu sebapa dan saudara lelaki seibu sebapa serta saudara perempuan sebapa dan saudara lelaki sebapa [3].

Dalam keadaan ini, golongan tersebut akan berkongsi bahagian dengan kadar bahagian lelaki bersamaan dua kadar bahagian perempuan berdasarkan firman Allah SWT:

لِلذَّكَرِ مِثْلُ حَظِّ ٱلْأُنثَيَيْنِ

Maksudnya: “Bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan.”

Surah al-Nisa’ (11)

  1. Asabah ma’a al-Ghairi:

Saudara perempuan seibu sebapa atau saudara perempuan sebapa akan mewarisi secara asabah apabila bersama anak perempuan, cucu perempuan atau kedua-duanya sekali[4]. Perkara ini berdasarkan hadis Ibn Mas’ud RA apabila ditanya berkenaan pewarisan anak perempuan, cucu perempuan dan saudara perempuan:

أَقْضِي فِيهَا بِمَا قَضَى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ‌لِلْابْنَةِ ‌النِّصْفُ، وَلِابْنَةِ ابْنٍ السُّدُسُ تَكْمِلَةَ الثُّلُثَيْنِ، وَمَا بَقِيَ فَلِلْأُخْتِ

Maksudnya: “Hukum yang saya putuskan dalam keadaan ini sama seperti yang dilakukan oleh Nabi SAW iaitu satu perdua adalah untuk anak perempuan dan satu per enam untuk anak perempuan daripada anak lelaki kerana kedua-dua bahagian itu menjadikan dua pertiga bahagian; dan selebihnya untuk saudara perempuan.”

Riwayat a-Bukhari

Oleh itu, sekiranya terdapat ahli keluarga meninggal dunia dan hanya mempunyai waris perempuan sahaja seperti isteri, anak perempuan dan kakak (saudara perempuan seibu sebapa), maka kakak akan mendapat pewarisan secara asabah dan mengambil baki selepas diberikan bahagian isteri iaitu satu per lapan dan bahagian anak perempuan satu per dua. Perkara ini berlaku sekiranya tiada waris lelaki lain yang mewarisi secara asabah semasa kematian berlaku iaitu bapa, datuk, anak lelaki dan adik beradik lelaki seibu sebapa.

Wallahu a’lam.

Rujukan:

[1] Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, Ali al-Syarbaji. (1992). Al-Fiqh al-Manhaji. Damsyik: Dar al-Qalam. Jilid 5, Hlmn, 82-98

والفرض اصطلاحاً هو النصيب المقدر شرعاً للوارث

إن العصبة، هم قرابة الرجل الذكور، سموا بذلك لإحاطتهم به، وقوته بهم

إن العصبة شرعاً: هو من يستحق كل المال إذا انفراد، ويأخذ ما أبقاه أصحاب الفروض بعد أخذهم فروضهم، وإذا لم يبق شئ بعد أصحاب الفروض سقط ولم يستحق شيئاً

[2] Ibid. Hlmn. 98-99

العصبة بالنسب هم كل الذكور، الذين مر ذكرهم في بحث (الوارثون من الرجال)، ولا يستثنى منهم إلا الزوج، والأخ من الأم، فإنهما من أصحاب الفروض فقط، ولا يكونان عصبة. فالأب، والجد، والابن، وابن الابن، والأخ الشقيق، ومن الأب، وابن الأخ الشقيق، ومن الأب، والعم الشقيق، ومن الأب، وابن العم الشقيق، ومن الأب، فهؤلاء كلهم عصبات، يرث كل واحد منهم بالتعصيب، وإن كان بعضهم يأخذ بالفرض أحياناً، كالأب والجدّ.

[3] Ibid. Hlmn. 101

والعصبة بالغير محصورة في أصحاب الثلثين والنصف مع إخوتهن. وهن: البنات مع الابن، بنات الابن مع ابن الابن، الأخوات الشقيقات مع الأخ الشقيق، الأخوات لأب مع الأخ لأب.

[4] Muhammad bin Ahmad al-Ramli. (1984). Nihayah al-Muhtaj. Beirut: Dar al-Fikr. Jilid 6 Hlmn 22.

(وَالْأَخَوَاتُ) أَوْ الْأُخْتُ (لِأَبَوَيْنِ أَوْ لِأَبٍ مَعَ) الْبِنْتِ أَوْ (الْبَنَاتِ أَوْ) مَعَ بِنْتِ الِابْنِ أَوْ (بَنَاتِ الِابْنِ عَصَبَةٌ كَالْإِخْوَةِ) إجْمَاعًا