Soalan
Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu persoalan, saya didatangi haid buat pertama kali namun darah yang keluar melebihi kiraan 15 hari. Warna darah saya pada 6 hari yang pertama adalah hitam pekat, kemudian 6 hari berwarna perang dan seterusnya berwarna merah berlarutan sehingga 11 hari. Benarkah saya tergolong dalam wanita istihadah walaupun baru pertama kali didatangi haid? Mohon pencerahan SS Datuk Mufti.
Ringkasan Jawapan
Mubtadaah mummayizah merupakan wanita yang pertama kali didatangi haid dalam keadaan darahnya melebihi 15 hari. Mereka boleh membezakan jenis sifat darah sama ianya darah kuat atau lemah. Justeru, hukumnya adalah ia perlu beramal dengan tamyiznya di mana darah kuat adalah haid dan darah lemah adalah istihadah.
Huraian Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Secara umumnya, definisi istihadah ialah darah yang keluar selain daripada hari-hari haid dan hari-hari nifas. Manakala wanita yang mengalami istihadah dipanggil mustahadhah[1]. Terdapat perbezaan dalam memahami keadaan golongan mustahadah (darah haid yang bercampur istihadah) dengan wanita yang menyempurnakan baki suci[2].
Perbincangan berkenaan wanita yang menyempurnakan baki suci telah dihuraikan dalam artikel sebelum ini, rujuk (al-Kafi 1846: Sempurnakan Baki Suci Antara Haid) pada pautan berikut:
Menurut mazhab al-Syafi‘i, terdapat tujuh gambaran bagi mengkategorikan golongan mustahadah. Artikel pada kali ini akan membincangkan gambaran pertama golongan mustahadah iaitu wanita yang keluar darah buat pertama kali dan tidak pernah didatangi darah sebelum itu yang diistilahkan dengan mubtadaah mumayyizah. Mumayyizah adalah wanita yang dapat membezakan sifat darah sama ada lemah atau kuat. Contohnya[3]:
- Darah hitam lebih kuat daripada darah merah dan darah merah lebih kuat daripada darah perang.
- Darah yang berbau busuk lebih kuat daripada darah yang tidak berbau.
Hukumnya dikira darah lemah sebagai istihadah dan darah kuat sebagai haid seperti yang dinyatakan dalam Minhaj al-Thalibin:
فإن كانت مبتدأة مميزة بأن ترى قويا وضعيفا فالضعيف استحاضة والقوي حيض
Maksudnya: “Wanita mubtadaah mumayyizah apabila dia melihat darah kuat dan lemah, maka darah lemah itu adalah istihadah maka darah yang kuat itu adalah haid.[4]”
Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa sepanjang tempoh darah keluar iaitu ketika sebelum sampai pada hari ke-15, wanita masih dihukumkan haid kerana ada kebarangkalian darah berhenti sebelum tempoh maksimum haid. Jika darah masih keluar selepas 15 hari barulah wanita itu dihukumkan haidnya mengikut sifat darah iaitu darah kuat (sebagai haid) dan darah lemah (sebagai istihadah). Pada bulan kedua, mereka tidak perlu melakukan hal yang sama seperti bulan pertama bahkan wajib mandi, solat, puasa dan mengqada kembali solatnya pada hari-hari istihadah ketika melihat perubahan pada sifat darah[5].
Wanita mumayyizah perlu memenuhi keseluruhan syarat-syarat tamyiz dan sekiranya ia tidak dipenuhi maka wanita itu tidak boleh dihukumkan dengan tamyiznya. Syarat-syarat tersebut adalah[6]:
- Tempoh darah kuat perlu melebihi kadar minimum haid iaitu 24 jam. Sekiranya kurang, maka dia dikategorikan sebagai wanita yang tidak boleh membezakan sifat darah (ghairu mumayyizah).
- Tempoh darah kuat tidak boleh melebihi kadar maksimum haid iaitu 15 hari. Sekiranya darah kuat melebihi tempoh maksimum, maka dia bukan kategori mumayyizah.
- Tempoh darah lemah perlu melebihi kadar minimum suci iaitu 15 hari jika darah itu berterusan. Jika darah lemah tidak berterusan iaitu ia disusuli dengan tempoh suci, maka ia tidak termasuk dalam syarat ini.
- Darah lemah mestilah keluar secara berturut-turut selama 15 hari atau lebih. Makna berturut-turut adalah darah lemah tidak berada di tengah-tengah antara dua darah kuat.
Contoh – contoh bagi permasalahan golongan mubtadaah mumayyizah:
- Wanita keluar darah selama 20 hari berturut-turut iaitu 3 hari pertama adalah darah hitam dan 17 hari berikutnya adalah darah merah. Justeru, dihukumkan haid wanita tersebut pada 3 hari pertama (darah kuat) dan istihadah pada 17 hari selepas itu (darah lemah)[1].
- Wanita keluar darah selama 27 hari iaitu 9 hari pertama adalah darah hitam, diikuti 9 hari darah merah dan kemudiannya 9 hari darah hitam. Maka, dihukumkan haid ke atas wanita berkenaan hanya pada 9 hari yang pertama dan bakinya adalah darah istihadah. Ia termasuk dalam permasalahan darah lemah berada di antara dua darah kuat dan merupakan pandangan jumhur ulama[8].
- Wanita keluar darah selama 20 hari iaitu 9 hari pertama adalah darah hitam, diikuti 5 hari darah merah dan kemudiannya 5 hari darah kuning. Justeru, dihukumkan haid wanita tersebut pada 15 hari pertama (darah kuat) dan istihadah pada 5 hari berikutnya (darah lemah). Hal ini kerana dalam satu tempoh kitaran darah telah berkumpul tiga jenis sifat darah iaitu darah kuat, lemah dan paling lemah. Sekiranya darah kuat datang terlebih dahulu dan kemudian bersambung dengan darah lemah, maka darah kuat dan yang seumpanya (darah lemah) dikira sebagai haid jika jumlah hari pada keduanya tidak melebihi sebanyak-banyak haid (15 hari)[9].
Merujuk kepada persoalan yang diajukan:
Wanita ini keluar darah selama 23 hari iaitu 6 hari pertama adalah darah hitam, diikuti 6 hari darah perang dan kemudiannya 11 hari darah merah. Menurut Imam al-Ramli, hukum darah wanita bagi masalah seperti ini adalah dengan mengambil kira darah hitamnya sahaja sebagai haid kerana dalam permasalahan ini darah kuat tidak bersambung dengan darah lemah bahkan terdapat darah paling lemah di antara kedua-duanya. Maka darah yang keluar daripada hari ke-7 hingga hari ke-21 adalah istihadah kerana melengkapkan tempoh minimum suci 15 hari. Manakala darah pada hari ke-22 dan 23 dikira sebagai kitaran haid bagi bulan kedua[10].
Kesimpulan
Golongan istihadah dibahagikan kepada tujuh golongan dan salah satu daripadanya adalah golongan mubtadaah mumayyizah. Mubtadaah mumayyizah merupakan wanita yang baru pertama kali didatangi darah dalam keadaan darahnya melebihi 15 hari dan mereka mampu membezakan sifat darah (darah kuat dan lemah). Hukum bagi golongan ini adalah mereka perlu memenuhi syarat-syarat tamyiz dan beramal dengannya iaitu menilai darah kuat sebagai haid dan darah lemah sebagai istihadah.
Wallahu A'lam
Rujukan
[1] Abu Syuja’, Ahmad bin Husain bin Ahmad al-Asfahani. Matan Abi Syuja’ al-Musamma al-Ghayah wa al-Taqrib. Maktabah al-Jumhuriyyah al-Arabiyyah. Hlmn 7.
الاستحاضة هو الدم الخارج في غير أيام الحيض والنفاس
[2] Abd Rahman al-Saqqaf. Al-Ibanah wa al-Ifadhah fi Ahkam al-Haid wa al-Nifas wa al-Istihadah. Hlmn 61.
الفرق بين المستحاضة وبين التي عليها بقية طهر, وذلك ان من رأت أقل الحيض أو أكثره ثم انقطع الدم بعد الخمسة عشر من مجيئه أولا فهذه ليست مستحاضة
[3] Syamsuddin al-Ramli, Muhammad bin Abi al-Abbas Ahmad bin Hamzah Syihabuddin. Nihayah al- Muhtaj ila Syarh al-Minhaj. (Beirut: Dar al-Fikr, 1984). Jld 1. Hlmn 341.
(مُبْتَدَأَةً) أَيْ أَوَّلَ مَا ابْتَدَأَهَا الدَّمُ (مُمَيِّزَةً ((بِأَنْ تَرَى) فِي بَعْضِ الْأَيَّامِ دَمًا (قَوِيًّا وَ) فِي بَعْضِهَا (ضَعِيفًا) كَالْأَسْوَدِ وَالْأَحْمَرِ فَهُوَ ضَعِيفٌ بِالنِّسْبَةِ لِلْأَسْوَدِ قَوِيٌّ بِالنِّسْبَةِ لِلْأَشْقَرِ، وَالْأَشْقَرُ أَقْوَى مِنْ الْأَصْفَرِ، وَهُوَ أَقْوَى مِنْ الْأَكْدَرِ، وَذُو الرَّائِحَةِ الْكَرِيهَةِ أَقْوَى مِمَّا لَا رَائِحَةَ لَهُ، وَالثَّخِينُ أَقْوَى مِنْ الرَّقِيقِ، وَالْأَقْوَى مَا جَمَعَ مِنْ هَذِهِ الْقُوَى أَكْثَرَ، فَإِنْ اسْتَوَيَا فِي الصِّفَاتِ كَأَنْ كَانَ أَحَدُهُمَا أَسْوَدَ بِلَا ثِخَنٍ وَنَتْنٍ وَالْآخَرُ أَحْمَرَ بِأَحَدِهِمَا، أَوْ كَانَ الْأَسْوَدُ بِأَحَدِهِمَا وَالْأَحْمَرُ بِهِمَا اُعْتُبِرَ السَّبْقُ لِقُوَّتِهِ
[4] Al-Nawawi, Abu Zakaria Muhyiddin bin Syaraf. Minhaj al-Thalibin wa Umdah al-Muftin fi al-Fiqh. Ed: Iwadh Qasim Ahmad Iwadh. (t.tt: Dar al-Fikr, 2005). Hlmn 19.
[5] Al-Nawawi, Abu Zakaria Muhyiddin bin Syaraf. Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. (Qaherah: Idarah al-Tabaah al-Munirah, 1344 H). Jld 2. Hlmn 405.
قَالَ أَصْحَابُنَا فَإِذَا رَأَتْ الْأَسْوَدَ يَوْمًا وَلَيْلَةً أَوْ أَكْثَرَ ثُمَّ اتَّصَلَ بِهِ أَحْمَرُ قَبْلَ الْخَمْسَةَ عَشَرَ وَجَبَ عَلَيْهَا أَنْ تُمْسِكَ فِي مُدَّةِ الْأَحْمَرِ عَمَّا تُمْسِكُ عَنْهُ الْحَائِضُ لِاحْتِمَالِ أَنْ يَنْقَطِعَ الْأَحْمَرُ قَبْلَ مُجَاوَزَةِ الْمَجْمُوعِ خَمْسَةَ عَشَرَ فَيَكُونُ الْجَمِيعُ حَيْضًا فَإِنْ جَاوَزَ خَمْسَةَ عَشَرَ عَرَفْنَا حِينَئِذٍ أَنَّهَا مُسْتَحَاضَةٌ مُمَيِّزَةٌ فَيَكُونُ حَيْضُهَا الْأَسْوَدَ وَيَكُونُ الْأَحْمَرُ طُهْرًا بِالشُّرُوطِ السَّابِقَةِ فَعَلَيْهَا الْغُسْلُ عَقِبَ الْخَمْسَةَ عَشَرَ وَتُصَلِّي وَتَصُومُ وَتَقْضِي صَلَوَاتِ أَيَّامِ الْأَحْمَرِ
[6] Ibid. Abd Rahman al-Saqqaf. Hlmn 64.
للحكم بالتمييز شروط أربعة:
- أن لا ينقص القوي عن اقل الحيض وهو يوم وليلة, فإن نقص فهي غير مميزة.
- أن لا يعبر القوي أكثر الحيض, فإن عبره فليست مميزة.
- أن لا ينقص الضعيف عن أقل الطهر وهو خمسة عشر يوما, وذلك إن استمر الدم. أما إذا لم يستمر-كان أعقبه طهر- فلا يشترط هذا الشرط.
- أن يكون الضعيف متواليا, فلو لم يكن متواليا فليس بتمييز. والمراد بتوالي الضعيف : أن لا يتخلله قوي.
[7] Hassan bin Ahmad bin Muhammad al-Kaff. Al-Taqrirat al-Sadidah fi Masail al-Mufidah. (Hadramaut: Dar al-Mirath al-Nabawi, 2003). Hlmn 168.
صورتها: امرأة تقول : جاءني الدم لأول مرة عشرين يوما متواليا ثلاثة أيام منها دم أسود ((قوي)) وسبعة عشر يوما دم أحمر ((ضعيف)), فنحكم لها بأن حيضها ثلاثة أيام واستحاضها سبعة عشر يوما
[8] Al-Nawawi, Abu Zakaria Muhyiddin bin Syaraf. Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. (Qaherah: Idarah al-Tabaah al-Munirah, 1344 H). Jld 2. Hlmn 409.
(الْحَالُ الثَّالِثُ) أَنْ يَتَوَسَّطَ دَمٌ ضَعِيفٌ بَيْنَ قَوِيَّيْنِ بِأَنْ رَأَتْ سِوَادَيْنِ بَيْنَهُمَا حُمْرَةٌ أَوْ صُفْرَةٌ فَفِيهِ أَقْسَامٌ كَثِيرَةٌ رَتَّبَهَا صَاحِبُ الْحَاوِي تَرْتِيبًا حَسَنًا فَجَعَلَهُ ثَمَانِيَةَ أَقْسَامٍ. الْقِسَمُ الثَّانِي أَنْ يُجَاوِزَ الْمَجْمُوعُ خَمْسَةَ عَشَرَ بِأَنْ رَأَتْ سَبْعَةً سَوَادًا ثُمَّ سَبْعَةً حُمْرَةً ثُمَّ سَبْعَةً سَوَادًا قَالَ ابْنُ سُرَيْجٍ حَيْضُهَا السواد الاول مع الحمر وأما السواد الثاني فطهر وقال أبو اسحق حَيْضُهَا السَّوَادَانِ. وَتَكُونُ الْحُمْرَةُ بَيْنَهُمَا طُهْرًا وَلَا يجئ قَوْلَا التَّلْفِيقِ لِمُجَاوَزَةِ خَمْسَةَ عَشَرَ وَهَذَا الَّذِي حكاه عن ابى اسحق ضَعِيفٌ جِدًّا بَلْ غَلَطٌ لِأَنَّ الدَّمَ جَاوَزَ خَمْسَةَ عَشَرَ وَلَوْ رَأَتْ ثَمَانِيَةً سَوَادًا ثُمَّ ثَمَانِيَةً حُمْرَةً ثُمَّ ثَمَانِيَةً سَوَادًا فَحَيْضُهَا السَّوَادُ الْأَوَّلُ بِالِاتِّفَاقِ
[9] Ibid. Syamsuddin al-Ramli. Jld 1. hlmn 342.
وَلَوْ اجْتَمَعَ قَوِيٌّ وَضَعِيفٌ وَأَضْعَفُ فَالْقَوِيُّ مَعَ مَا يُنَاسِبُهُ فِي الْقُوَّةِ مِنْ الضَّعِيفِ حَيْضٌ بِثَلَاثَةِ شُرُوطٍ: أَنْ يَتَقَدَّمَ الْقَوِيُّ، وَأَنْ يَتَّصِلَ بِهِ الْمُنَاسِبُ الضَّعِيفُ، وَأَنْ يَصْلُحَا مَعًا لِلْحَيْضِ بِأَنْ لَا يَزِيدَ مَجْمُوعُهُمَا عَلَى أَكْثَرِهِ
[10] Ibid. Syamsuddin al-Ramli. Jld 1. hlmn 342.
أَوْ تَأَخَّرَ لَكِنْ لَمْ يَتَّصِلْ الضَّعِيفُ بِالْقَوِيِّ كَخَمْسَةٍ سَوَادًا ثُمَّ خَمْسَةٍ صُفْرَةً ثُمَّ أَطْبَقَتْ الْحُمْرَةُ فَالْحَيْضُ السَّوَادُ فَقَطْ، وَمَا ذَكَرَ فِي الثَّالِثَةِ هُوَ مَا صَرَّحَ بِهِ الرُّويَانِيُّ وَشُرَّاحُ الْحَاوِي الصَّغِيرِ وَصَحَّحَهُ الْمُصَنِّفُ فِي تَحْقِيقِهِ