اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-774: CAJ PEMBAYARAN LEWAT DALAM SISTEM KEWANGAN ISLAM

CAJ PEMBAYARAN LEWAT DALAM SISTEM KEWANGAN ISLAM

 

Soalan:

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanyakan satu soalan. Sebagaimana diketahui, mengenakan faedah ke atas pinjaman adalah termasuk dalam perbuatan riba. Bagaimana pula hukum mengenakan caj atau denda ke atas peminjam yang lewat membayar hutangnya? Saya dapati caj lewat bayar terhadap pinjaman ini tetap dikenakan oleh institusi kewangan Islam seperti yang diamalkan institusi konvensional. Mohon penjelasan Datuk Mufti. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Penalti atau caj pembayaran lewat yang dikenakan untuk memperoleh keuntungan semata-mata dan bersifat gandaan (compounding) adalah termasuk dalam kategori riba yang diharamkan dan tidak boleh diambil atau dimanfaatkan sebagai pendapatan. Namun, pengenaan caj pembayaran lewat oleh institusi kewangan Islam merupakan tuntutan kos kerugian sebenar (ta’widh) yang dihadapi oleh institusi akibat perbuatan penerima biaya. Justeru, ia dibenarkan dengan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Riba dari sudut bahasa adalah pertambahan dan peningkatan[1]. Dari sudut istilah pula bermaksud[2]:

الزيادة في أشياء خاصة والزيادة على الدين مقابل الأجل مطلقا

Maksudnya: “Sebarang tambahan dalam item-item tertentu (ribawi) dan tambahan ke atas hutang akibat tempoh”

Ia merangkumi riba yang terhasil daripada jual beli item ribawi dan tambahan ke atas hutang akibat tempoh.

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa para ulama bersepakat atas pengharaman riba dan ia termasuk dalam dosa besar. Terdapat pandangan yang mengatakan riba juga diharamkan oleh semua agama[3]. Pengharaman riba merupakan salah satu prinsip asas dalam muamalat Islam. Hal ini kerana Islam tidak menerima konsep pemerolehan untung tanpa bekerja atau tanpa meletakkan sebarang usaha.

Rasulullah SAW bersabda:

الخراج بالضمان

Maksudnya: “(Bagi mendapatkan) keuntungan mestilah dengan menghadapi risiko (tiada untung tetap dijanjikan)”

Riwayat Ahmad

Namun begitu, risiko tidak menjadi objektif utama dalam Islam. Islam mementingkan keadilan dalam transaksi kewangan dan menegah keuntungan yang terhasil secara batil.

Merujuk kepada soalan yang diajukan, mengenakan caj tambahan atas hutang dan pinjaman termasuk dalam kategori riba al-Duyun. Terdapat dua jenis riba al-duyun:

  1. Riba al-Qardh; iaitu kadar atau sebarang manfaat tambahan (yang lebih daripada jumlah pinjaman) yang disyaratkan pemberi pinjaman kepada peminjam di awal kontrak pinjaman[4].
  2. Riba al-Jahiliyyah; iaitu kadar atau sebarang manfaat tambahan (yang lebih daripada jumlah pinjaman) yang dikenakan ke atas peminjam akibat gagal membayar jumlah pinjaman pada waktu yang ditetapkan[5].

Dalam konteks pembiayaan di institusi kewangan Islam, terdapat bayaran ganti rugi dan denda yang dikenakan atas kelewatan membuat pembayaran; iaitu ta’widh dan gharamah.

Ta’widh merupakan bayaran kos kerugian sebenar yang dihadapi oleh pembiaya akibat penerima biaya (pelanggan) tidak membayar hutang pada waktu yang dijanjikan. Manakala gharamah pula merujuk kepada penalti atau denda yang dikenakan atas kelewatan pembayaran hutang tanpa mengira kerugian sebenar[6].

Rasulullah SAW bersabda:

لَيُّ الْوَاجِدِ يُحِلُّ عِرْضَهُ وعُقُوبَتَه

Maksudnya: “Bagi orang yang berkemampuan dan melewatkan hutang adalah zalim, halal ke atas mereka hukuman”

Riwayat Abu Daud

Terdapat juga kaedah fiqh yang dipetik daripada hadis:

لا ضرر ولا ضرار

Maksudnya: “Tiada kemudaratan dan tidak boleh memudaratkan (dalam Islam)”[7]

Tindakan institusi kewangan Islam mengenakan caj ganti rugi adalah untuk menyekat mudarat besar yang akan berlaku dan pada masa yang sama, mendisiplinkan penerima biaya supaya membuat bayaran pada waktu yang telah dijanjikan.

Konsep Syart Jazaie

Caj pembayaran lewat juga termasuk dalam perbahasan mengenai syart jazaie; yang bermaksud:

اتفاق بين المتعاقدين على تقدير التعويض الذي يستحقه الدائن على المدين، اذا لم ينفذ المدين التزامه، أو تأخر في تنفيذه

Maksudnya: “Persetujuan antara pihak yang berakad ke atas penetapan kadar ganti rugi berdasarkan kerugian yang dihadapi pemiutang, yang akan dibayar oleh penghutang atas sebab tidak menunaikan hak pemiutang atau lambat menunaikannya”[8].

Syart jazaie merupakan perkara baharu dalam muamalat Islam yang tidak dibincangkan oleh ulama terdahulu. Namun, hukum asal kepada sebarang akad dan syarat adalah harus dan sah selagimana tiada dalil syarak ke atas pengharamannya[9].

Sebahagian ulama mengqiyaskan syart jazaie dengan syarat yang diletakkan dalam akad ijarah. Sebagai contoh, seorang pelanggan menempah pakaian dan meletakkan syarat kepada tukang jahit bahawa dia akan membayar upah sebanyak RM 50 sekiranya tempahan tersebut dapat disiapkan dalam masa seminggu. Sekiranya melebihi tempoh seminggu, bayaran upahnya adalah RM 45. Syarat jenis ini diharuskan sebahagian ulama mazhab al-Hanafi[10].

Garis Panduan bagi Caj Pembayaran Lewat

Secara asasnya, caj pembayaran lewat yang dikenakan oleh institusi kewangan Islam merupakan tuntutan bayaran terhadap kos kerugian yang dialami. Ganti rugi tersebut juga terhasil daripada kontrak jual beli secara ansuran dan bukan terhasil atas kontrak pinjaman semata-mata. Selain itu, lebihan daripada kos kerugian tersebut tidak boleh diambil sebagai pendapatan institusi kewangan Islam, malah ia perlu disalurkan kepada badan kebajikan tertentu.

Menurut Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (BNM), pengenaan caj pembayaran lewat oleh institusi kewangan Islam yang merangkumi kedua-dua konsep gharamah (denda) dan ta’widh (ganti rugi) adalah dibenarkan, tertakluk kepada perkara berikut[11]:

  1. Ta’widh hanya boleh dikenakan selepas tamat tempoh pelunasan hutang yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak yang berkontrak;
  2. Institusi perbankan Islam boleh mengiktiraf ta’widh sebagai pendapatan atas dasar ia dikenakan sebagai ganti rugi atas kerugian sebenar yang dialami oleh institusi perbankan Islam; dan
  3. Gharamah tidak boleh diambil kira sebagai pendapatan, sebaliknya perlu disalurkan kepada badan-badan kebajikan tertentu.

Kadar ta’widh yang telah ditetapkan adalah tidak melebihi 1% daripada jumlah tertunggak dan tidak boleh dikompaunkan. Sekiranya kos ganti rugi (ta’widh) yang dihadapi oleh institusi kewangan Islam lebih sedikit berbanding caj pembayaran lewat yang dikenakan ke atas pelanggan, lebihan tersebut dianggap sebagai gharamah dan ia perlu disalurkan kepada badan kebajikan. Sekiranya ia dimanfaatkan oleh institusi tersebut, maka ia dikira riba al-jahiliyyah.

Kesimpulan

Caj pembayaran lewat adalah dibenarkan dengan syarat ia merupakan tuntutan kos kerugian sebenar (ta’widh) yang dihadapi oleh institusi atau pembiaya akibat perbuatan penerima biaya. Lebihan daripada kos ganti rugi tersebut dianggap sebagai gharamah yang perlu disalurkan kepada badan kebajikan dan tidak boleh dikira sebagai pendapatan institusi. Hal ini berbeza dengan penalti pembayaran lewat yang dikenakan untuk memperoleh keuntungan semata-mata dan bersifat gandaan (compounding). Misalnya yang berlaku dalam sistem konvensional, jumlah penalti akan ditambah kepada jumlah pinjaman asal. Kemudian, peratusan penalti yang seterusnya akan dikira daripada jumlah pinjaman asal yang telah ditambah dengan penalti sebelumnya. Ini merupakan perbuatan yang zalim dan menindas. Justeru, caj pembayaran lewat jenis ini termasuk dalam kategori riba yang diharamkan.

Wallahua’lam

 

Rujukan: 

[1] Jamal al-Din Ibn Manzur, Lisan al-Arab, (Beirut: Dar Sodir, cetakan 3, 1414H), 14/304

[2] Umar Abd al-Matrak, al-Riba wal Muamalat al-Ribawiyyah, (Riyadh: Dar al-‘Asimah, cetakan 3, 1418H), 43

[3] Mahyuddin bin Syaraf al-Nawawi, Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, (Kaherah: al-Tiba’ah al-Muniriah, 1347H) 9/391

الأحكام فقد أجمع المسلمون على تحريم الربا وعلى أنه من الكبائر وقيل إنه كان محرما في جميع الشرائع وممن حكاه الماوردي

[4] Dibyan bin Muhammad al-Dibyan, al-Muamalat al-Maliah Asolah wa Mu’asarah, (cetakan 2, 1432H) 11/97

كل زيادة من عين أو منفعة يشترطها المسلف على المستسلف

[5] Al-Dibyan, 11/67

هو الزيادة في الدين نظير الأجل

[6] Bank Negara Malaysia, Resolusi Dalam Kewangan Islam, (Edisi kedua, 2010M), 129

[7] Ahmad bin al-Syeikh Muhammad al-Zarqa’, Syarh al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, (Damsyik: Dar al-Qalam, cetakan 2, 1989M), 165

[8] Al-Sadiq al-Dhorir, al-Syart al-Jazaie, (Jeddah: Majallat Majma’ al-Fiqh al-Islami) 2/50

[9] Ibn Taimiyyah, al-Qawaid al-Nuraniah al-Fiqhiyyah, (Dar Ibn Jauzi, cetakan 1, 1422H) 261

الأصل في العقود والشروط الجواز والصحة، ةلا يحرم منها ويبطل الا ما دل الشرع على تحريمه وابطاله

[10] Badr al-Din al-‘Aini, al-Binayah Syarh al-Hidayah, (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiah, 1420H – 2000M) 10/325

[11] Bank Negara Malaysia, Resolusi Dalam Kewangan Islam, (Edisi kedua, 2010M), 129