اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-798: PEMBERI HADIAH MENINGGAL SEBELUM HADIAH DITERIMA. ADAKAH MENJADI HARTA PUSAKA?

PEMBERI_HADIAH_MENINGGAL_SEBELUM_HADIAH_DITERIMA._ADAKAH_MENJADI_HARTA_PUSAKA.jpg

 

Soalan:

Assalamualaikum, saya ingin bertanyakan satu soalan. Ibu saya pernah menunjukkan kepada saya beberapa dinar emas miliknya. Kemudian beliau menyatakan hasrat ingin menghadiahkan tiga dinar emas kepada adik saya dan ingin memberikan kepadanya apabila dia pulang ke kampung. Namun, ibu saya meninggal dunia terlebih dahulu sebelum sempat menyerahkan hadiah tersebut kepada adik saya. Apakah status harta tersebut? Adakah wajib diserahkan kepada adik saya atau ia menjadi harta pusaka? Adakah saya wajib meminta izin ahli waris yang lain untuk menyerahkan harta tersebut kepada adik saya? Mohon penjelasan Datuk Mufti. Terima kasih.

Jawapan Ringkas

Antara syarat sah akad hibah ialah al-qabd iaitu barang pemberian mestilah diterima oleh penerima. Suatu pemberian tidak akan sempurna selagi mana tidak berlakunya qabd. Oleh itu, ia masih menjadi milik pemberi kerana perpindahan milik hanya berlaku setelah barang diterima oleh penerima. Sekiranya seseorang berhasrat ingin menghadiahkan hartanya kepada individu lain semasa hidupnya, kemudian dia meninggal dunia sebelum harta tersebut diberi, maka harta itu berpindah kepada ahli waris dan berhak memilih sama ada ingin meneruskan pemberian atau tidak. Hal ini kerana pemilikan harta tersebut masih belum berpindah kepada penerima, maka ia menjadi harta pusaka setelah kematian pemilik asalnya.

Huraian

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Secara asasnya, Islam tidak meletakkan sebarang kewajipan mahupun larangan dalam perbuatan memberi hadiah sesama manusia.

Firman Allah SWT:

وَإِنِّي مُرْسِلَةٌ إِلَيْهِم بِهَدِيَّةٍ فَنَاظِرَةٌ بِمَ يَرْجِعُ الْمُرْسَلُونَ

Maksudnya: “Dan bahawa aku hendak menghantarkan hadiah kepada mereka, kemudian aku menunggu, apakah balasan yang akan dibawa balik oleh utusan-utusan kita

Surah al-Naml (35)

Selain itu, terdapat hadis yang menggalakkan amalan memberi hadiah, antaranya Nabi Muhammad S.A.W bersabda:

تهادُوْا تحابُّوا

Maksudnya: “Hendaknya kalian saling memberi hadiah, nescaya kalian akan saling mencintai”.

(Riwayat al-Bukhari)

Dalam melakukan akad hibah atau pemberian hadiah, terdapat beberapa rukun dan setiap rukun hibah tersebut terdapat syarat-syaratnya yang wajib dipenuhi agar akad yang termeterai itu sah di sisi syarak.

Antara rukun hibah ialah al-mauhub atau barang yang diberi. Berikut merupakan syarat-syarat al-mauhub yang wajib dipenuhi[1]:

  1. Barang itu mestilah ada pada waktu pemberian
  2. Barang itu mestilah harta yang halal dan mempunyai nilai yang sah di sisi syarak
  3. Barang itu mestilah dimiliki oleh pemberi
  4. Barang itu mestilah terpelihara
  5. Barang itu mestilah wujud secara berasingan dan boleh dipisahkan daripada harta-harta yang tidak termasuk dalam hibah
  6. Barang itu mestilah diterima oleh penerima
  7. Barang itu mestilah dengan izin pemberi

Berdasarkan syarat-syarat di atas, ditegaskan bahawa penerimaan hadiah (qabd) merupakan syarat yang penting dalam suatu akad hibah. Pemberian hadiah tidak akan sempurna dan tamat sekiranya barang yang ingin diberi tidak diterima atau sampai ke tangan penerima.

Aisyah RA meriwayatkan bahawa:

إِنَّ أَبَا بَكْرٍ الصِّدِّيقَ كَانَ نَحَلَهَا جَادَّ عِشْرِينَ وَسْقًا مِنْ مَالِهِ بِالْغَابَةِ فَلَمَّا حَضَرَتْهُ الْوَفَاةُ قَالَ وَاللَّهِ يَا بُنَيَّةُ مَا مِنَ النَّاسِ أَحَدٌ أَحَبُّ إِلَىَّ غِنًى بَعْدِي مِنْكِ وَلاَ أَعَزُّ عَلَىَّ فَقْرًا بَعْدِي مِنْكِ وَإِنِّي كُنْتُ نَحَلْتُكِ جَادَّ عِشْرِينَ وَسْقًا فَلَوْ كُنْتِ جَدَدْتِيهِ وَاحْتَزْتِيهِ كَانَ لَكِ وَإِنَّمَا هُوَ الْيَوْمَ مَالُ وَارِثٍ وَإِنَّمَا هُمَا أَخَوَاكِ وَأُخْتَاكِ فَاقْتَسِمُوهُ عَلَى كِتَابِ اللَّهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Abu Bakar al-Siddiq pernah memberi kepadaku hasil daripada pohon kurma sebanyak 20 awsuq daripada hartanya di al-Ghaba. Ketika beliau sedang nazak yang menghampiri mati, beliau berkata: ‘Demi Allah, wahai anakku, tiada orang yang aku mengharapkan lebih memerlukan setelah aku mati selain kamu. Tiada juga orang yang aku rasa berat melihat dirinya miskin setelah aku mati selain kamu. Aku memberimu pohon kurma yang hasilnya 20 awsuq. Sekiranya kamu memotong dan mengambil hasilnya, tentulah ia menjadi milik kamu, tetapi pada hari ini harta tersebut menjadi harta ahli waris iaitu dua saudara lelaki dan dua saudara perempuan kamu, maka bahagikanlah menurut syarak. ”

(Riwayat Malik)

Dalam riwayat ini Saidina Abu Bakar al-Siddiq RA berkata, “Sekiranya kamu memotong dan mengambil hasilnya, tentulah ia menjadi milik kamu” kerana pemilikan dan qabd merupakan syarat sempurnanya akad hibah[2]. Seterusnya beliau berkata, “Tetapi pada hari ini harta tersebut menjadi harta ahli waris” yang bermakna sekiranya Saidatina Aisyah RA menyatakan bahawa beliau ingin mengambil dan menerimanya sekarang, maka pemberian tersebut tetap tidak menjadi miliknya kerana pemberian ketika marad al-maut[3] adalah tidak sah. Justeru, ia menjadi harta pusaka[4].

Terdapat juga riwayat daripada Umar bin al-Khattab RA yang menyatakan:

مَنْ نَحَلَ نِحْلَةً فَلَمْ يَحُزْهَا الَّذِي نُحِلَهَا - حَتَّى يَكُونَ إِنْ مَاتَ لِوَرَثَتِهِ - فَهِيَ بَاطِلٌ ‏‏

Maksudnya: “Sesiapa yang memberi hadiah tetapi tidak sampai ke tangan penerimanya, maka pemberian tersebut terbatal. Sekiranya pemberi hadiah tersebut mati, hadiah tersebut menjadi milik ahli warisnya.”

(Riwayat Malik)

Menurut al-Nawawi, syarat sempurna dan sah suatu akad hibah adalah berlakunya penerimaan (qabd). Pemilikan suatu harta tidak akan sempurna tanpa penerimaan. Oleh itu sekiranya pemberi hadiah meninggal dunia sebelum hadiah diterima oleh penerima, maka harta tersebut berpindah kepada ahli waris dan berhak memilih sama ada ingin meneruskan pemberian atau tidak. Begitu juga sekiranya penerima meninggal dunia sebelum hadiah sampai ke tangannya, maka ahli waris berhak menerima hadiah tersebut sekiranya pemberi hadiah atau warisnya ingin meneruskan pemberian itu[5].

Selain itu, al-‘Imrani dalam kitab al-Bayan juga menyatakan bahawa sekiranya seseorang memberi keizinan untuk penerima mengambil barang yang ingin diberi, kemudian pemberi atau penerima hadiah tersebut meninggal dunia sebelum berlakunya qabd, maka transaksi hibah itu tidak terbatal namun keizinannya terbatal kerana berlaku kematian[6].

Kesimpulannya, suatu pemberian tidak akan sempurna selagi mana tidak berlakunya qabd iaitu penerimaan barang atau harta yang ingin diberi. Oleh itu, ia masih menjadi milik pemberi kerana perpindahan milik hanya berlaku setelah barang diterima oleh penerima. Sekiranya seseorang berhasrat ingin menghadiahkan hartanya kepada individu lain semasa hidupnya, kemudian dia meninggal dunia sebelum harta tersebut diberi, maka menjadi hak ahli waris sama ada ingin meneruskan pemberian atau tidak. Hal ini kerana pemilikan harta tersebut masih belum berpindah kepada penerima, maka ia menjadi harta pusaka setelah kematian pemilik asalnya.

Wallahua’lam

Rujukan:

[1] Wahbah bin Mustafa al-Zuhaili, Fiqh al-Islamiy wa Adillatuhu, (Damsyik: Dar al-Fikr, 4), 5:390 – 398

١ - أن يكون موجودا وقت الهبة، ٢ - أن يكون مالا متقوما، ٣ - أن يكون مملوكا في نفسه، ٤ - أن يكون مملوكا للواهب، ٥ - أن يكون محرزا أي مفرزا، ٦ - أن يكون الموهوب متميزا عن غيره، ليس متصلا به، ولا مشغولا بغير الموهوب، ٧ - الشرط السابع وهو قبض الموهوب، ٨ - يشترط لصحة القبض عند جمهور العلماء: أن يكون بإذن الواهب

[2] Muhammad bin Abdul Baqi al-Zarqani, Syarh al-Zarqani ala Muwatta Imam Malik, (Kaherah: Maktabah al-Thaqafah al-Diniyyah, 1, 1424H – 2003M), 4:85

(وإني كنت نحلتك جاد عشرين وسقا فلو كنت جددتيه) بفتح الجيم والدال الأولى وإسكان الثانية، قطعتيه (واحتزتيه) بإسكان الحاء والزاي بينهما فوقية مفتوحة، أي حزتيه (كان لك) لأن الحيازة والقبض شرط في تمام الهبة، فإن وهب الثمرة على الكيل فلا تكون الحيازة إلا بالكيل بعد الجد

[3] Nazak yang menghampiri mati

[4] Abdul Karim bin Abdullah al-Khudair, Syarh al-Muwatta, 11:139

"كان لك، وإنما هو اليوم مال وارث" لو قالت: الآن أنا أجذه وأقبضه، صارت العطية من الآن، والعطية في مرض الموت لا تصح. "وإنما هو اليوم مال وارث، وإنما هما أخواك وأختاك" أبو بكر -رضي الله عنه- مات عن هؤلاء الخمسة، اثنان من الذكور وثلاث من البنات "فاقتسموه على كتاب الله" لأنه صار تركة

[5] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, Raudah al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin, (Beirut: al-Maktab al-Islamiy, 3, 1412H – 1991M), 5:375

أما شرط لزوم الهبة، فهو القبض، فلا يحصل الملك في الموهوب والهدية إلا بقبضهما، هذا هو المشهور … فعلى هذا، إن مات الواهب تخير الوارث في الإقباض. وإن مات الموهوب له قبض وارثه إن أقبضه الواهب.

Syihab al-Din Ahmad bin Ahmad al-Ramli, Fath al-Rahman bi Syarh Zubad Ibn Raslan, (Beirut: Dar al-Minhaj, 1, 1430H – 2009M), 598

ولو مات أحدهما قبل القبض قام وارثه مقامه, فيتخير وارث الواهب في الإقباض, ووارث المتهب في القبض إن أقبضه الواهب أو وارثه؛ فلا ينفسخ العقد بالموت

[6] Yahya bin Abi al-Khair al-Imrani, al-Bayan fi Mazhab al-Imam al-Syafi’i, (Jeddah: Dar al-Minhaj, 1, 1421H – 2000M), 8: 118

إذا أذن له في القبض، ثم مات الواهب أو الموهوب له قبل القبض، وقلنا: لا تبطل الهبة.. بطل الإذن؛ لأنه جائز، فبطل بالموت