اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-802: KAEDAH PENGIRAAN ENAM BULAN UNTUK PENASABAN ANAK

KAEDAH_PENGIRAAN_ENAM_BULAN_UNTUK_PENASABAN_ANAK.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum S.S Datuk. Boleh saya dapatkan sikit pandangan Datuk berkaitan kiraan anak tak sah taraf dari pandangan syarak? Kaedah yang digunakan dalam kiraan bagi pengesahan anak tak sah taraf iaitu kiraan jumlah 175 hari, 180 hari atau 6 bulan mengikut kiraan bulan hijri semasa ini, apakah dikira cukup jumlah atau kena lebihkan sedikit dari jumlah tersebut, contoh 175 hari cukup atau kena masuk hari ke 176.

Ringkasan Jawapan

Pengiraan tempoh enam bulan dua lahzah qamariah itu bersamaan dengan 180 hari ditambah dua detik, mengambil kira 30 hari setiap bulan dalam kiraan bulan hijri. Bilangan tersebut dikira bermula dari detik kemungkinan berlakunya pertemuan antara pasangan sehinggalah lahirnya bayi. Sebagai contoh mudah, apabila kemungkinan berlakunya pertemuan berlaku pada jam 10 malam maka untuk penasaban anak hendaklah dikira pada hari yang ke 180 pada jam 10 malam dengan ditambah dua detik.

 

Huraian Jawapan

Nasab menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud: Pertalian keluarga, keturunan (terutama daripada sebelah bapa). Contohnya, nasab bapa pertalian keluarga di sebelah bapa; nasab ibu pertalian keluarga di sebelah ibu; penasaban hal yang berkaitan dengan nasab: ini berkaitan dengan nasab, perwalian, pewarisan, dan pergaulan dalam keluarga.

Nasab merupakan suatu perkara yang penting dalam kehidupan berkeluarga. Ia merupakan nikmat agung yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Memelihara nasab adalah salah satu daripada Maqasid al-Syariah yang lima iaitu hifzu al-nasl (memelihara keturunan). firman Allah SWT:

وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ مِنَ الْمَاءِ بَشَرًا فَجَعَلَهُ نَسَبًا وَصِهْرًا وَكَانَ رَبُّكَ قَدِيرًا

Maksudnya: “Dia lah Tuhan yang menciptakan manusia dari air, lalu dijadikannya (mempunyai) titisan baka dan pertalian keluarga; dan sememangnya tuhanmu berkuasa (menciptakan apa jua yang dikehendaki-Nya).”

Surah al-Furqan (54)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah RA, Nabi SAW bersabda:

الْوَلَدُ لِلْفِرَاشِ، وَلِلْعَاهِرِ الْحَجَرُ

Maksudnya:Nasab anak adalah berdasarkan perkahwinan yang sah, sedangkan penzina adalah keaiban.”

Para fuqaha telah menetapkan bahawa bayi yang lahir selepas 6 bulan dari tarikh bersama suami isteri maka adalah dibolehkan untuk anak tersebut dinasabkan kepada suami wanita tersebut. Pendapat ini adalah berdasarkan kefahaman daripada dua ayat yang berikut. Firman Allah SWT :

وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلَاثُونَ شَهْرًا

Maksudnya: “(Dan ibunya) mengandungkan serta menyusukannya (anak) selama tiga puluh bulan.”

Surah al-Ahqaf (15)

Dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman:

وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ

Maksudnya: “(Dan seorang ibu) menyusukan anaknya selama dua tahun.”

Surah Luqman (14)

Berdasarkan dua ayat di atas, Allah SWT menjelaskan bahawa tempoh susuan adalah selama dua tahun yang bersamaan dengan dua puluh empat bulan. Manakala tempoh mengandung dan menyusukan pula ialah tiga puluh bulan. Justeru difahami daripada dua ayat tersebut tempoh hamil yang paling singkat adalah selama enam bulan. Ini kerana, 24 bulan daripada 30 bulan tersebut digunakan untuk menyusukan anak dan selebihnya adalah tempoh mengandung yang paling singkat[1].

Namun menurut mazhab Syafi’i tempoh 6 bulan tersebut hendaklah ditambah dengan tempoh 2 lahzah (detik) maka tempoh sekurang-kurang hamil di sisi mazhab Syafi’i adalah 6 bulan dan 2 lahzah, satu lahzah untuk wati' (persetubuhan) dan satu lahzah lagi untuk bersalin. Selain itu, tempoh tersebut dikira bermula dari tempoh imkan (kemungkinan pasangan berhimpun) selepas sesuatu akad nikah dilaksanakan. Ini merupakan pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafi’i sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam al-Nawawi:

فإن ادعت ولادة ولد تام، فأقل مدة تصدق فيها ستة أشهر ولحظتان من حين إمكان اجتماع الزوجين بعد النكاح لحظة لإمكان الوطء، ولحظة للولادة

Maksudnya: “Jika dia mendakwa kelahiran anak yang cukup bulan, tempoh minimum yang boleh diterima adalah enam bulan dan dua detik dari pasangan dapat bertemu selepas perkahwinan, satu detik untuk kemungkinan bertemu dan satu saat untuk bersalin[2].”

Oleh itu Mesyuarat Khas Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah-Wilayah Persekutuan Bil. 4 yang bersidang pada 13 September 2017 menjelaskan bahawa anak tidak sah taraf ialah anak yang dilahirkan kurang daripada enam bulan qamariah dari tarikh akad nikah[3]. Selain itu Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) Kali Ke-57 yang bersidang pada 10 Jun 2003 telah memutuskan seperti berikut: 

Anak Tak Sah Taraf ialah:

  1. Anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan dia bukan daripada persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak perhambaan.
  2. Anak dilahirkan kurang dari 6 bulan 2 lahzah (saat) mengikut Takwim Qamariah daripada tarikh tamkin (setubuh).

Ulama Shafi’iyyah dan jumhur ulama[4] berpendapat bilangan enam bulan qamariyah adalah bersamaan dengan 180 hari dengan mengambil kira 30 hari bagi setiap bulan. Imam al-Bujairimi berkata:

واعلم أن الشهر متى أطلق في كلام الفقهاء، فالمراد به الهلالي إلا في ثلاثة مواضع في المميزة الفاقدة شرطا، وفي المتحيرة، وفي الحمل بالنظر لأقله وغالبه، فإن الشهر في هذه المواضع عددي أعني ثلاثين

Maksudnya: “Apabila fuqaha menyebut tentang hilal tanpa mengaitkan dengan sesuatu maka ia dilaksanakan mengikut kaedah hitungan hilal kecuali dalam tiga keadaan iaitu dalam masalah wanita yang boleh membezakan darah haid namun tidak cukup syarat, masalah wanita yang mutahayirah (lupa adat dan kebiasaan dalam haid) dan hitungan usia minimum kandungan, yang dibuat dengan hitungan hari iaitu 30 hari[5]

Manakala mazhab Maliki mengatakan enam bulan tersebut bersamaan dengan 175 hari kerana terdapat beberapa bulan yang kiraan harinya sebanyak 29 hari. Dalam hal ini Imam al-Sowi berkata:

فيعتبر ستة أشهر إلا خمسة أيام، وإن كاملة في الواقع، لأنه لا يتوالى النقص في الستة

Maksudnya: “Enam bulan itu dikira 175 hari, walaupun realitinya bilangan harinya cukup, kerana enam bulan itu tidak sentiasa berkurangan (29 hari)[6].”

Pengiraan enam bulan dua lahzah tersebut mengikut kepada detik kemungkinan berlakunya pertemuan. Dalam Hasyiah al-Syarwani ‘ala Tuhfah al-Muhtaj menjelaskan bahawa seorang saksi hendaklah mementingkan berkaitan rekod tarikh dan detik perkahwinan itu berlaku. Tidak memadai hanya merekodkan perkahwinan berlaku pada hari Jumaat tetapi hendaklah direkodkan dengan terperinci seperti ia berlaku dua detik selepas tenggelamnya matahari. Hal ini penting kerana ia melibatkan tempoh penasaban anak[7].

KESIMPULAN

  1. Berdasarkan penjelasan di atas pengiraan tempoh enam bulan dua lahzah qamariah itu bersamaan dengan 180 hari ditambah dua detik, mengambil kira 30 hari setiap bulan.
  2. Bilangan tersebut dikira bermula dari detik kemungkinan berlakunya pertemuan antara pasangan sehinggalah lahirnya bayi. Sebagai contoh mudah, apabila kemungkinan berlakunya pertemuan berlaku pada jam 10 malam maka untuk penasaban anak hendaklah dikira pada hari yang ke 180 pada jam 10 malam dengan ditambah dua detik.

Wallahu A'lam

 

Rujukan: 

[1] Ibn Kathir, Ismail bin Umar, Tafsir al-Quran al-Azim, Saudi: Dar al-Toiyibah (1999), jld. 6, hlm. 336.

[2] Al-Nawawi, Yahya bin Syaraf, Raudhah al-Talibin wa Umdah al-Muftin, Beirut: al-Maktab al-Islami (1991), 8, hlm. 218.

[3] Rujuk e-fatwa Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan : https://efatwa.muftiwp.gov.my/fatwa/P.U.%20%28B%29%20446%20WARTA%202017%20-%20FATWA%20BERKENAAN%20DENGAN%20ANAK%20TIDAK%20SAH%20TARAF%20DAN%20PENASABAN%20ANAK%20TIDAK%20SAH%20TARAF?

[4] Wahbah al-Zuhaili, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, Dimasyq: Dar al-Fikr (t.t), jld. 10, hlm. 252.

وكو أقل الحمل ١٨٠ يوما هو رأي الجمهور، وخالفهم المالكية فقد روها بـ ١٧٥ يوما؛ لأن الأشهر الهلالية قد يتوالى منها ثلاثة أشهر بمقدار ٢٩ يوما، ويجوز أن يليهما شهران ناقصان أيضا، فتكون أيام الأشهر الستة ١٧٥ يوما.

[5] Al-Bujairimi, Sulaiman bin Umar, Hasyiah al-Bujairimi ala Syarh al-Khatib, Beirut: Dar al-Fikr (1995), jld. 1, hlm. 346.

[6] Al-Sowi, Ahmad bin Muhammad, Hasyiah al-Sowi ala Syarh al-Soghir, Beirut: Dar al-Maarif (t.t), jld. 1, hlm. 492.

[7] Ibn Hajar al-Haitami, Ahmad bin Muhammad, Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj wa Hawasyai al-Syirwani wa al-Abbadi, Beirut: Dar al-Ihya’ al-Thurast al-Arabiy (1983), jld. 10, hlm. 248