اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-822: BOLEHKAH MEMANDULKAN KUCING JIKA ADA KEPERLUAN

HUKUM_MEMANDULKAN_KUCING_JIKA_ADA_KEPERLUAN.jpg

 

Soalan:

Apa hukum mandulkan kucing betina untuk elak kucing beranak-pinak kerana risau akan banyak yang mati lagi. Sebelum ini berpuluh-puluh ekor kucing mati disebabkan oleh sakit atau kena langgar.

Ringkasan Jawapan:

Hukum asal memandulkan binatang yang tidak boleh dimakan adalah haram. Namun jika ada keperluan seperti menolak kemudaratan yang pasti, maka hukumnya adalah harus. Kami juga menasihatkan orang ramai supaya melakukan proses pemandulan ini pada keadaan yang benar-benar memerlukan dan dilakukan tanpa menyakiti binatang tersebut.

 

Huraian Jawapan:

Hukum asal memandulkan binatang yang tidak boleh dimakan seperti kucing adalah haram di sisi mazhab Syafi’i. Kami telah bincangkan mengenai perkara ini dalam artikel al-Kafi #313 bertajuk: Hukum Memandulkan Kucing[1]. Firman Allah SWT:

وَلَآَمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya: “(Syaitan berkata) Aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah

Surah al-Nisa’ (119)

Ibn Umar, Anas, Said bin Musayyib dan Qatadah berpandangan bahawa ayat di atas menerangkan mengenai larangan untuk memandulkan binatang kerana ia termasuk dalam mengubah ciptaan Allah SWT[2]. Dalam sebuah hadis Nabi SAW bersabda:

نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم عن إخصاء الخيل والبهائم

Maksudnya: “Nabi SAW melarang memandulkan kuda dan binatang.”

(Riwayat Ahmad[3])

Walau bagaimanapun menurut mazhab Hanafi hukum memandulkan binatang kerana tujuan tertentu atau untuk menolak kemudaratan adalah harus[4]. Syeikh al-Sindi ketika menjelaskan hadis di atas berkata bahawa kemungkinan larangan untuk memandulkan binatang itu hanyalah ketika tidak ada keperluan[5]. Selain itu, Imam al-Qurtubi juga menjelaskan sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam Ibn Hajar al-Asqalani:

الخصاء في غير بني آدم ممنوع في الحيوان إلا لمنفعة حاصلة في ذلك كتطييب اللحم أو قطع ضرر عنه

Maksudnya: “Perbuatan memandulkan selain manusia seperti binatang adalah dilarang kecuali untuk kebaikan, seperti menyedapkan daging atau mencegah kemudaratan[6].”

Jika terdapat keperluan yang mendesak seperti mengelakkan kematian atau lainnya maka harus untuk bertaqlid dengan mazhab Hanafi. Hal ini berdasarkan kaedah:

الضَّرَرُ يُزَالُ

Maksudnya: “Kemudaratan itu mestilah dihilangkan.”

Pandangan ini selari dengan fatwa daripada Dar al-Ifta’ al-Urduniyyah:

وأما إذا كان في خصاء الحيوان دفع مفسدة متحققة، وضرر واقع، فيجوز خصاؤه حينئذ؛ فالشريعة الإسلامية جاءت رافعة للحرج ودافعة للضرر،

Maksudnya:Jika memandulkan haiwan untuk mengelakkan kerosakan yang pasti atau kemudaratan yang jelas maka hukumnya harus. Syariat Islam datang untuk mengangkat kepayahan dan menolak kemudaratan.

 

KESIMPULAN

  1. Hukum asal memandulkan binatang yang tidak boleh dimakan adalah haram.
  2. Namun jika ada keperluan seperti untuk menolak kemudaratan yang pasti maka hukumnya adalah harus.
  3. Kami juga menasihatkan orang ramai supaya melakukan proses pemandulan ini pada keadaan yang benar-benar memerlukan dan dilakukan tanpa menyakiti binatang tersebut.

Wallahu a'lam

 

Rujukan:
[1] Rujuk: https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1180-al-kafi-313-hukum-memandulkan-kucing

[2] Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azim, Saudi: Dar al-Nasyr wa al-Tauzi’ (1999), jld. 2, hlm. 415.

:قال ابن عباس: يعني بذلك خصي الدواب، وكذا روي عن ابن عمر وأنس وسعيد بن المسيب وعكرمة وأبي عياض وقتادة وأبي صالح والثوري

[3] Ibn hajar al-Haithami menilai perawi yang ada dalam hadis ini sebagai perawi hadis sahih. Walau bagaimanapun Syeikh Syuaib al-Arnauut menilai hadis ini sebagai daif dan Riwayat yang lebih kuat hadis ini adalah dari perkataan sahabat. (Rujuk Majma’ al-Zawaid, jld. 5, hlm. 265 & Tahqiq Musnad Ahmad oleh Syuaib al-Arnauut, jld. 8, hlm. 389)

[4] Ibn Mazah al-Bukhari, al-Muhit al-Burhani fi al-Fiqh al-Hanafi, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah (2004), jld. 5, hlm. 376.

في إخصاء السنور: إنه لا بأس به إذا كان فيه منفعة، أو دفع ضرره

[5] Muhammad bin Abd al-hadi al-Sindi, Hasyiah Musnad al-Imam Ahmad bin Hanbal, Qatar: Wizarah al-Auqaf wa al-Syuun al-Islamiyyah (2008), jld. 4, hlm. 50.

قوله: "عن إخصاء الخيل": لعل المراد: الإخصاء بلا حاجة.

[6] Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari bi Syarh al-Bukhari, Mesir: al-Maktabah al-Salafiyyah (1390H), jld. 9, hlm. 112.