Soalan
Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanya, apakah hukum bekerja di bank konvensional? Adakah ia dibenarkan? Mohon pandangan Datuk Mufti. Terima kasih.
Ringkasan Jawapan
Pada asasnya, jika pekerjaan itu tidak melibatkan riba, maka ia diharuskan. Walau bagaimanapun, bank konvensional merupakan institusi perbankan yang terlibat dengan riba. Oleh yang demikian, adalah baik untuk berusaha sebaik mungkin mencari pekerjaan yang lebih diyakini. Hal ini tentunya akan berbeza antara setiap individu dengan individu yang lain serta kesusahan yang dihadapi untuk mendapat pekerjaan lain.
Oleh itu, para pekerja tidak perlu tergesa-gesa berhenti daripada pekerjaan sedia ada sehinggalah mendapat pekerjaan lain yang sesuai. Di negara kita, hasil daripada sokongan dan bantuan kerajaan, perbankan Islam telah berkembang dengan pesat dan menjadi rujukan di seluruh dunia yang boleh dijadikan alternatif.
Huraian Jawapan
Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.
Allah SWT berfirman:
وَكُلُوا مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ حَلَالًا طَيِّبًا ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي أَنتُم بِهِ مُؤْمِنُونَ ﴿٨٨﴾
Maksudnya: “Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertaqwalah kepada Allah yang kepada-Nya sahaja kamu beriman.”
Surah al-Ma’idah (88)
Ayat ini jelas menunjukkan kewajipan mencari dan memakan rezeki yang halal lagi baik. Lafaz makan dalam ayat ini adalah umum merangkumi segala perbuatan yang lain seperti minum, pakai, menaiki dan sebagainya[1]. Hal ini termasuklah bekerja bagi menyara kehidupan seharian, mestilah ditekankan agar punca rezeki dan mata pencarian datangnya daripada sumber yang halal. Hal ini kerana setiap apa yang menjadi rezeki atau yang berkaitan dengan kehidupan seharian kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT di akhirat kelak.
Ia jelas berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Mas‘ud R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لاَ تَزُولُ قَدَمَا ابْنِ آدَمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عِنْدِ رَبِّهِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ خَمْسٍ عَنْ عُمْرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ وَعَنْ شَبَابِهِ فِيمَا أَبْلاَهُ وَمَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ وَمَاذَا عَمِلَ فِيمَا عَلِمَ
Maksudnya: “Kaki anak Adam akan tetap tegak berdiri di sisi Tuhannya pada hari Kiamat hingga dia ditanya tentang lima perkara (iaitu): tentang umurnya untuk apa dia habiskan, tentang masa mudanya untuk apa dia gunakan, tentang hartanya dari mana dia dapatkan, dan dalam hal apa (hartanya tersebut) dia belanjakan dan apa sahaja yang telah dia lakukan dari ilmu yang dimilikinya.”
Riwayat al-Tirmizi (2416)
Isu yang berlaku ialah bila mana seseorang itu bekerja di bank konvensional yang mana kebanyakan transaksi yang dijalankan adalah melalui sistem riba, sedangkan Allah SWT berfirman:
وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا
Maksudnya: “Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”
Surah al-Baqarah (275)
Juga dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Jabir R.A bahawasanya:
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ آكِلَ الرِّبَا وَمُؤْكِلَهُ وَكَاتِبَهُ وَشَاهِدَيْهِ وَقَالَ هُمْ سَوَاءٌ
Maksudnya: “Rasulullah SAW telah melaknat orang yang memakan harta riba, orang yang menjadi wakilnya (orang yang memberi makan hasil riba), orang yang menuliskan dan dua orang yang saksinya, (dan selanjutnya), Nabi bersabda, mereka itu semua sama saja.”
Riwayat Muslim (1598)
Ini merupakan dalil yang menunjukkan pengharaman berurus niaga dengan mereka yang menjalankan proses atau transaksi riba[2]. Berkenaan isu bekerja di bank konvensional, umum mengetahui bahawa bank konvensional merupakan salah satu institusi kewangan yang wujud di Malaysia sebelum adanya bank islamik. Kedua-duanya daripada industri yang sama namun pada hakikatnya, ia berbeza daripada sudut pengurusan, penghasilan dan sebagainya.
Perbezaan yang ketara di sini boleh dilihat pada keuntungan dalam perbankan Islam diperoleh daripada transaksi yang dibenarkan oleh syarak seperti kontrak jual beli. Manakala faedah dalam perbankan konvensional pula, diperoleh secara langsung daripada kontrak pinjaman dan ini tidak dibenarkan oleh syarak kerana membawa kepada riba.
Terdapat fatwa daripada berbagai buah negara dalam hal ini yang boleh dirujuk seperti Jordan, Saudi, Kuwait, Palestin, Syria, Badan Fatwa bagi Muslim di Amerika, Fatwa Mufti Kerajaan Brunei dan lain-lain.
Berdasarkan penjelasan di atas, apa yang dapat kami nasihatkan ialah berusaha sebaik mungkin untuk mencari pekerjaan lain yang lebih diyakini. Hal ini tentunya akan berbeza daripada setiap individu dengan individu yang lain serta kesusahan yang dihadapi dalam mendapat pekerjaan lain yang sesuai.
Oleh itu, para pekerja tidak perlu tergesa-gesa berhenti daripada pekerjaan sedia ada sehinggalah mendapat pekerjaan lain yang sesuai. Di negara kita hasil daripada sokongan dan bantuan kerajaan, perbankan Islam telah berkembang dengan pesat dan menjadi rujukan di seluruh dunia yang boleh dijadikan alternatif.
Wallahu A‘lam.
Rujukan:
[1] Syamsuddin al-Qurtubi, al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, Tahkik: Ahmad al-Burduni & Ibrahim Atfisy, (Kaherah: Dar al-Kutub al-Misriyyah, cetakan ke-2, 1384H/1964M), 6/263.
وَكُلُوا مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ حَلالاً طَيِّباً وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي أَنْتُمْ بِهِ مُؤْمِنُونَ (88)
قَوْلُهُ تَعَالَى: (وَكُلُوا مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ حَلالًا طَيِّباً) فِيهِ مَسْأَلَةٌ وَاحِدَةٌ: الْأَكْلُ فِي هَذِهِ الْآيَةِ عِبَارَةٌ عَنِ التَّمَتُّعِ بِالْأَكْلِ وَالشُّرْبِ وَاللِّبَاسِ وَالرُّكُوبِ وَنَحْوِ ذَلِكَ. وَخُصَّ الْأَكْلُ بِالذِّكْرِ، لِأَنَّهُ أَعْظَمُ الْمَقْصُودِ وَأَخَصُّ الِانْتِفَاعَاتِ بِالْإِنْسَانِ.
[2] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin al-Hajjaj, (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, cetakan ke-2, 1392H), 11/26.
هذا تصريح بتحريم كتابة المبايعة بين المترابيين والشهادة عليهما وَفِيهِ تَحْرِيمُ الْإِعَانَةِ عَلَى الْبَاطِلِ وَاللَّهُ أَعْلَمُ